Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Khamis, 14 Mei 2015

Bab 19 BUTAKAH CINTA


Bertunangnya tidak. Kahwin aja terus! Begitulah keadaan Regina dan Iqmal. Bagaimana orang tua mereka boleh bersetuju untuk mempercepatkan perkahwinan? Jawapannya mudah sahaja. Mereka takut dilanda masalah yang sama seperti dahulu sekiranya rancangan perkahwinan itu dilewat-lewatkan. Tempoh tiga bulan itu tidaklah lama. Namun sepasang manusia itu tidak juga seperti orang yang teruja mahu bernikah. Boleh dikira berapa kali mereka bertemu atau keluar bersama. Salah satu sebabnya, Regina bertugas di hospital mengikut shif.
Tidak seperti perkahwinan yang dahulu. Kali ini ada sambutan diadakan sempena penyatuan kedua-dua mempelai. Dek kerana jarak yang tidak begitu jauh, sambutan kedua-dua belah pihak dibuat selang sehari kemudian.
“Siap sekarang. Abang nak bawa Gina balik rumah sana,” ucap Iqmal kepada isterinya.
Regina yang baru sahaja mahu melabuhkan tubuh ke tilam terkedu. Dah nak balik?? Mulutnya terbuka sedikit memandang sang suami. Serius sahaja wajah Iqmal.
“Kenapa?” tanya Regina hairan.
“Kita tidur rumah sana. Cepat siap,” ajak Iqmal lantas menanggalkan baju di tubuhnya. Tanpa mempedulikan Regina yang masih memandang, dia terus mencapai tuala dan ke kamar mandi. Regina terus terpana tidak tahu hujung pangkal. Esok saja tak boleh ke? Bisik hatinya sendiri. Namun dia bangun juga. Tuala diambil dari dalam begnya. Pakaian di tubuhnya ditanggalkan satu persatu sebelum dia duduk di birai katil menanti Iqmal siap menggunakan kamar mandi.
Seketika kemudian pintu kamar mandi terbuka. Iqmal melangkah keluar. Namun sesaat kemudian dadanya berderau saat terpandangkan Regina sedang meniarap di atas katil dengan hanya tuala pada tubuhnya. Bohonglah kalau dia kata dia jakun melihat semua itu. Dahulu dia pun beristeri. Memandikan isteri itu semua sudah biasa. Tetapi ketika itu Zahnita sakit. Lain pula perempuan yang seorang ini. Gebu-gebasnya memang tidak mampu disangkal. Itu yang membuatkan pandangannya melekat ke arah wanita itu tanpa sengaja.
“Dah habis ke guna bathroom?” tanya Regina lantas membiarkan telefonnya di atas katil. Dia bangun semula untuk ke kamar mandi. Iqmal kala itu buat-buat tidak memandang.
Regina terus sahaja ke kamar mandi tanpa mempedulikan reaksi lelaki itu. Sebaik sahaja pintu kamar mandi ditutup, Iqmal menghela nafas perlahan. Mencabar sungguh!
Sejam kemudian sepasang suami isteri itu turun ke bawah. Tan Sri Ansur agak terkejut melihat Iqmal sudah mahu membawa pulang isterinya ke rumah sana dalam jam segini. Kenapa tidak esok sahaja. Puan Sri Bainun menjeling tidak suka.
“Dah malam ni, Mal? Kenapa tak esok aja?”
“Orang tu nak bersendirian. Biarlah.. baru kahwin, kan?” ucap Puan Sri Bainun separuh memperli. Tanpa mempedulikan dua manusia itu, dia terus menuju ke dapur.
Iqmal hanya diam. Regina semakin tidak sedap hati mendengar nada emak mertuanya. Namun seperti mana Iqmal, dia juga memilih untuk membisu.
“Balik dulu, pa. Nanti ada masa Mal balik sini.” Iqmal terus mendekati ayahnya. Tangan dihulurkan kepada lelaki tua itu.
Mahu tidak mahu Tan Sri Ansur akur juga. Melihat wajah kelat Iqmal dia jatuh simpati. Pasti ada kata-kata isterinya yang membuatkan hati anaknya terusik.
“Jangan ambil hati dengan mama tu. Lama-lama nanti dia okaylah,” nasihat Tan Sri Ansur lembut kepada anak dan menantunya.
“Hal kecil aja, pa.”
Regina terus memilih untuk membisu sehinggalah mereka keluar dari perkarangan rumah itu. Iqmal terus memandu ke arah rumahnya. Sesekali kedengaran keluhan lelaki itu terhela entah kenapa.
“Mama abang masih tak suka Gina,” ucap Regina tidak lama kemudian. Dari siang tadi dia perasan emak mertuanya langsung tidak mahu dekat dengannya. Senyum pun macam tidak ikhlas. Bercakap asyik nak memperli dia.
“Biarkan aja mama tu. Lama-lama nanti eloklah. Dulu dengan arwah Nita pun dia buat macam tu. Ada aja yang tak kena. Lepas dah kenal lama baru dia suka,” jawab Iqmal lembut.
Regina diam mendengar bicara suaminya. Kata-kata itu langsung tidak mampu memujuk hatinya. Kisah Zahnita lain. Kisah dia lain. Keadaannya nanti mungkin takkan semudah Zahnita. Tanpa dapat ditahan wanita muda itu menghela keluhan. Majlis resepsi mereka baru aja selesai. Iqmal sudah mengajak dia balik ke rumah sana. Tentu sebab emak mertuanya.
“Abang ajak Gina balik rumah sana sebab nak jauh dari mama ke?” tanya Regina lantas menoleh kepada suaminya.
Iqmal pula yang berdiam. Matanya tekun memandang ke hadapan dalam pada fikirannya ligat berfikir. Suara emaknya mengutuk Regina sebentar tadi terngiang-ngiang. Dia tidak sampai hati.
“Sayang juga abang pada Gina ya? Ingat tak sayang,” ucap Regina lantas menempel di bahu lelaki itu.
Iqmal tersentak saat ada tangan berlabuh elok di atas pahanya. Serta merta gambaran Regina meniarap di atas katil tadi terimbau semula. Lambat-lambat dia menoleh ke sebelahnya. Regina sedang tersenyum merenung wajahnya.
“Gina tak pernah lupakan abang selama ni. Walaupun abang dah kahwin dengan orang lain, perasaan tu tetap ada dalam diri Gina. Kata orang cinta pertama memang susah nak dilupakan. Tapi cinta pertama takkan sama dengan perkahwinan pertama, kan?”
“Benda dah lepas janganlah ungkit lagi. Kita dah kahwin pun,” jawab Iqmal mula resah apabila hal itu disebut. Serta merta dia teringat semula kepada Zahnita.
Regina kembali tegak di kerusinya. Kelat melanda perasaan. Tidak dapat tidak, dia sering membuat perbandingan. Cara Iqmal bercakap dengan Zahnita berlainan dengan dirinya. Dengan dia lagak Iqmal keras dan kaku walaupun tidaklah kasar. Dengan Zahnita lembut macam menatang minyak yang penuh.
Iqmal mula menoleh ke sebelah. Regina sudah mula berubah riak. Isterinya lebih suka termenung sendiri melayan perasaan.
“Nak makan lagi tak? Kita boleh singgah dulu kat mana-mana,” ucap Iqmal.
Regina sekadar menggeleng tanda menolak. Perutnya masih kenyang. Hati pula sedang meragam. Manalah dia lalu mahu makan. Iqmal hanya menggeleng dengan sedikit keluhan. Perempuan dan merajuk memang tidak boleh dipisahkan!
Sudahnya mereka berdua membisu sehingga tiba di hadapan pintu pagar rumah. Iqmal keluar dari kereta untuk membuka pagar. Regina terus memandang rumah itu. Kali terakhir dia berada di rumah ini, dia dan Iqmal bertengkar tentang wasiat Zahnita. Sekarang dia dan Iqmal sudah berkahwin. Dia akan hidup di rumah ini sebagai isteri. Mungkin juga sebagai pengganti Zahnita.
Seketika kemudian kereta itu merangkak masuk ke kawasan garaj.
“Jom..” ajak Iqmal sambil keluar dari kereta. Lambat-lambat Regina keluar dari kereta itu.
“Masuklah dulu. Barang Gina nanti abang bawa masuk,” ucap Iqmal lantas menuju ke arah pintu pagar rumah. Regina sekadar mengangguk. Dengan berbekal beg tangannya dia masuk ke dalam rumah. Lampu ruang tamu terbuka. Mungkin Iqmal sengaja membiarkan lampu itu bernyala sepanjang dia tiada di rumah itu. Persekitaran ruang tamu itu kemas sahaja. Tidak lama kemudian Iqmal muncul dengan dua beg pakaian milik isterinya. Tanpa diajak Regina mengekori suaminya ke arah sebuah kamar di bawah.
“Ni bilik kita,” ujar Iqmal sambil menolak pintu.
Regina terdiam. Iqmal masih menetap di kamar kecil itu? Mengapa tidak di atas sahaja? Dahulu Iqmal memilih tinggal di bilik bawah kerana isterinya lumpuh. Sekarang apa pula alasannya? Sebab masih tidak mampu melupakan isteri yang pernah hidup bersamanya selama lebih enam tahun?
Melihat Regina membisu Iqmal bersuara. “Kalau Gina tak suka duduk bilik ni, bilik atas ada.”
“Abang?” tanya Regina perlahan.
“Abang suka bilik ni,” jawab Iqmal tanpa memandang lagi raut itu. Dia terus masuk ke dalam.
“Pembantu rumah dah tak berkerja lagi di sini. Jadi faham-faham ajalah,” ujar Iqmal lagi.
Tapa kata Regina masuk juga ke dalam kamar itu. Memilih tinggal di kamar lain bermakna dia dan Iqmal akan berpisah kamar tidur. Itu dia tidak mahu! Biarlah dia berkorban sahaja.
“Gina tak mahu tidur di tingkat atas?”
“Apa nikmatnya tidur di kamar yang besar kalau sendirian? Apa Gina patut kata kalau bilik ni lebih bermakna untuk abang. Mestilah ada kenangan yang indah yang tak mahu abang lupakan,” jawab Regina sedikit pedas.
“Gina, bukan macam tu..”
“Takpe. Gina dah letih. Malas nak bergaduh dengan abang selalu.” Regina segera memintas.
Sudahnya Iqmal terkebil-kebil memandang isterinya menuju ke arah katil. Lambat-lambat pintu kamar itu dirapatkan. Regina menyelongkar begnya untuk mencari baju tidur kegemarannya. Melihat ada seorang wanita di dalam kamar itu, Iqmal resah entah kenapa. Dia terasa aneh. Keadaan ini tidak pernah berlaku dahulu. Tambah pula wanita itu dengan selamba menarik blaus dari tubuhnya sambil membelakangi lelaki itu. Terkedu Iqmal memandang belakang Regina hanya berbalut tali coli. Usai menyalin pakaian, Regina berpaling. Sempat dia terpandangkan Iqmal melarikan pandangan.
“Pandanglah nak pandang. Tak payah curi-curi macam pencuri,” perli Regina lantas mencari kamar mandi di luar.
Terkulat-kulat Iqmal dismash isterinya. Sudahnya dia pula yang menukar baju. Penat tubuhnya sudah tidak terkira. Kemudian dia terus mencari tempat tidurnya. Beberapa hari tidak jejak tempat tidurnya, dia benar-benar rindu. Sehingga terlupa.. dia lebih mengutamakan lenanya daripada Regina yang baru dinikahi. Wanita itu mengeluh sebal saat masuk ke dalam kamar. Iqmal dilihatnya sudah berdengkur!

1 ulasan:

  1. Iqmal....kenapa perlu mengahwini Regina jika hanya menyakiti hatinya... masih tak pandai menghargai cinta dan wanita sebaik Regina... patutnya Iqmal menjaga perasaan dan hati Regina... namun sebaliknya dia mahukan bilik tidurnya bersama Zahnita dulu... sgt menjengkelkan...

    BalasPadam