Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Isnin, 18 Mei 2015

BAB 28 BUTAKAH CINTA


“Iqmal ada call mama sebelum ni.”
Terbeliak mata Regina mendengar itu. “Apa dia cakap dengan mama?” tanya Regina pantas.
“Takde apa. Sekadar bertanya khabar. Dia ada bagitahu mama yang dia berkawan dengan Gina semula,” ujar Puan Iffah tenang sahaja.
Berdebar dada Regina melihat ketenangan di wajah emaknya. Bimbang emaknya tidak suka biarpun tidak begitu ketara rasa itu.
“Lagi dia ada cakap apa dengan mama?”
“Maksud Gina? Ada sesuatu yang lain patut mama dengar ke?” telah Puan Iffah selamba.
“Emm…” Regina terdiam sekejap. Patutkah dia berterus terang saja?
“Iqmal melamar Gina ke?” teka Puan Iffah mudah.
Perlahan Regina mengangguk. “Tapi Gina tak bagi jawapan apa-apa pun.”
“Kenapa?”
“Kenapa apa?” hairan Regina dengan pertanyaan mamanya.
“Kenapa masih tak bagi jawapan? Ada masalah lagi ke? Kalau Gina memang tak mahukan Iqmal, mama rasa awal-awal lagi Gina dah kata tidak pada lamaran dia tu, kan? Jadi apa masalahnya?” duga Puan Iffah. Bukankah selama ini Regina paling memuja lelaki itu? Apa lagi yang kurang?
“Gina nak tanya pendapat mama dulu,” ujar Regina perlahan.
Puan Iffah menghela nafas perlahan saat merenung tampang sang anak. Biarlah kali ini dia akur kalau sudah itu kehendak Regina. Dia tahu tiada gunanya dia menegah. Itu hanya akan memburukkan lagi hidup Regina. Lihat perkahwinan Regina sebelum ini sahaja sudah cukup.
 “Mama tak kisah, Gina. Gina rasa yakin dengan Iqmal, mama ikut aja. Yang nak hidup dengan dia Gina. Bukan mama. Mama hanya mampu mendoakan kalian berdua.” Puan Iffah segera meluahkan pendiriannya.
“Kalau mama jadi Gina, apa mama akan jawab pada Iqmal?” tanya Regina lagi.
“Jangan tanya mama. Sebab Gina yang ada perasaan tu. Mama hanya memandang selama ini. Macam yang mama katakan tadi, kalau Gina yakin dengan Iqmal teruskanlah. Gagal sekali dua tak semestinya kita akan gagal selalu. Lagipun kamu berdua bukan di zaman remaja lagi. Masing-masing dah berumur. Rasanya dah cukup matang untuk belajar dari kesilapan lalu,” jawab Puan Iffah bersungguh.
Regina membisu sambil memikir kata-kata sang ibu.
“Bila mama tengok Gina berdiam begini, mama faham sesuatu. Keraguan tu sentiasa ada. Gina, apa-apa pun bersangka baik sajalah. Bila buat pertimbangan, jangan campur adukkan dengan segala macam andaian yang belum tentu akan terjadi. Kehidupan ni kita yang memilihnya dan kita yang berusaha untuk membentuknya. Tanya hati Gina sendiri. Apa sebenarnya yang Gina mahukan selama ini. Jika dengan Naquib pun tidak berjaya, dengan Iqmal pun Gina pernah gagal.. apa sebenarnya yang Gina nakkan pada sebuah rumahtangga? Allah tidak minta kita berserah begitu sahaja. Sebaliknya kita juga kena berusaha untuk dapatkan rumahtangga yang kekal sehingga ke akhir hayat. Tepuk dada.. dengarlah suara hati yang paling dalam. Jangan berpegang kepada keraguan tu. Ini masa terbaik untuk kamu perbaiki segala kekurangan waktu dulu,” ujar Puan Iffah lagi.
Regina menghela nafas perlahan. Terbayang lelaki seorang itu. Sudah lebih sebulan lamaran Iqmal terbiar begitu sahaja. Lelaki itu tidak ada mengungkitnya. Dia tahu Iqmal tidak mahu mendesak dia sangat. Tetapi memikirkan kesudahan hubungannya dengan Iqmal, dia rasa dia perlu meminta pendapat orang lain.
“Gina cuma tak mahu menjadi buta lagi kerana cinta, mama. Gina takut nak mencuba sekali lagi. Sakitnya tak tertanggung.”
“Kalau sikap Iqmal masih tidak mampu meyakinkan Gina, kenapa Gina nak membuang masa dengan dia lagi? Atau Gina yang bermasalah di sini? Jangan kenang sangat benda yang lepas-lepas tu, sayang. Semua orang melalui kepahitan masa lalu. Ada yang mampu meneruskan hidup kali kedua dengan orang yang sama. Tak kurang juga beralih pada orang lain. Pokok pangkalnya ialah diri kita. Berfikirlah yang baik-baik. Jangan campur adukkan semua kenangan tu dalam kehidupan Gina sekarang. Iqmal yang mama kenal, dia memang sayangkan Gina. Cuma di antara kamu berdua Allah letakkan Nita sebagai ujian. Kamu berdua pernah mengalah kepada keadaan. Berpisah sudah. Bertemu pun sudah. Itu semua masih tak cukup untuk Gina buat keputusan yang terbaik untuk diri Gina?” nasihat sang emak lembut.
“Abang Iqmal okay. Gina rasa ni cuma perasaan Gina aja. Kadang-kadang Gina rasa susah nak maafkan dia.”
“Macam yang mama katakan tadi, berfikir yang baik-baik. Selagi Gina berfikiran negative, keadaan tak akan berubah. Biar seratus kali Gina gagal dalam rumahtangga, mama tetap nak Gina mencuba sekali lagi. Kalau bukan dengan Iqmal atau Naquib, dengan orang lain! Mama tak mahu tengok Gina terus hidup dalam kenangan tu. Lepaskan semua tu pergi. Berdendam takkan menguntungkan sesiapa, Gina. Jika Iqmal lelaki terbaik untuk Gina, mama tiada masalah untuk terima dia semula sebagai menantu mama.”
Regina membisu seketika sambil merenung permukaan meja di hadapannya itu.
“Mama Iqmal macam mana?”
“Gina tak tahu. Abang Iqmal takde sebut pun pasal mama dia,” jawab Regina perlahan.
“Seeloknya selesaikan dulu masalah itu. Mama tak mahu perkara yang dianggap enteng sebaliknya semua itu yang menjadi barah dalam rumah tangga. Restu emak dan ayah penting. Mama pun tak mahu anak mama jadi seteru kepada mentua sendiri,” komen Puan Iffah lembut.
Regina sekadar mengangguk. Diperdengarkan tentang bekas emak mertuanya itu membuatkan dia mula seriau sendiri. Sudah lama dia tidak melihat wanita itu. Entah apa khabar Puan Sri Bainun sekarang.
Malam itu Regina sekadar mahu menguji. Dia tahu Iqmal berada di rumah orang tuanya sepanjang hujung minggu ini. Jadi dia menelefon ke sana. Tepat dugaannya, panggilannya disambut oleh seorang wanita.
“Siapa ni?” tanya wanita itu setelah Regina meminta untuk bercakap dengan Iqmal.
“Gina, auntie..” ucap Regina dalam ketenangan yang dibuat-buat.
“Ha.. lama tak dengar cerita? Tiba-tiba timbul pula kamu ya? Hmm.. bila boleh kami ni masuk meminangnya?” balas wanita itu selamba.
Berdesing juga telinga Regina mendengar nada sedikit sinis wanita itu.
“Meminang siapa??” tanya Regina semula.
“Hai.. takkanlah nak meminang anak dara kamu tu pulak? Datang bulan pun belum lagi. Si Zayn dengan si Zayed tu belum pun bersunat!” balas Puan Sri Bainun sedikit meninggi.
Terkedu lagi Regina dibuat wanita tua itu. Kepala yang tidak gatal digaru. Puan Sri ni merepek apa entah! Blur dia sekejap.
“Tunggu sekejap. Mama panggilkan Iqmal,” ucap Puan Sri Bainun tanpa menanti jawapan Regina.
“Zayn.. pergi panggil papa kat atas, sayang. Auntie Gina call ni,” suara Puan Sri Bainun kedengaran sayup-sayup.
“Cepat sikit! Budak bertuah ni. Orang tengah menunggu, dia boleh tersengih-sengih pulak. Macam dia pulak yang sibuk nak kahwin!”
Sketsa kecil di hujung sana sempat kedengaran melalui corong itu oleh Regina. Regina terdiam memikir sendiri dalam pada dia menanti suara Iqmal menerjah talian itu. Mama? Panggilan itu masih sebati dengan Puan Sri Bainun sedangkan dia sudah menukar kepada panggilan auntie. Adakah keluarga Iqmal sudah tahu yang Iqmal ada melamar dia? Kalau benar dia tersalah tafsir.. soal meminang tadi ditujukan kepada siapa? Iqmal anak tunggal. Takkanlah kembar Zayn dan Zayed pulak yang nak kahwin, kan? Bersunat pun belum lagi. Ah! Dia sudah pening.
“Sayang.. abang mandi kejap tadi. Kenapa tak call handphone abang?” suara Iqmal tiba-tiba menerpa di talian.
“Emm.. err..” Regina mula kalut sendiri. Apa alasan nak diberinya?
“Gina pinjam telefon rumah mama. Handphone Gina tertinggal kat rumah,” jawab Regina akhirnya.
“Jangan nanti abang pun Gina terlupa. Tertinggal entah kat mana-mana,” usik lelaki itu lantas ketawa sendiri.
Regina tersenyum sendiri mendengar usikan lelaki itu.
“Ara mana?”
“Tidur.”
“Kirim salam rindu pada dia ya? Cakap I love you kat dia untuk abang.” Nada lunak Iqmal terus kedengaran membuatkan wanita itu tersenyum sendiri.
“Mama abang tak marah ke Gina call ni?” tanya Regina perlahan.
“Dia tak sempat nak marah. Sibuk dengan cucu dia,” jawab Iqmal lantas ketawa sendiri mengenang ibunya itu.
“Mama abang ada cakap masuk meminang. Gina tak faham apa maksud mama. Mama abang dah tahu pasal kita ke?” ujar Regina lagi.
“Dah.” Sepatah sahaja jawapan Iqmal.
“Habis tu apa komen dia?”
“Gina jangan tanya abang apa komen mama. Lebih baik Gina tak tahu.”
Jawapan Iqmal mula membuatkan Regina tidak sedap hati. sudah diagaknya. Puan Sri Bainun mesti tidak sukakan dia.
“Cakaplah. Gina nak tahu sama ada mama masih bencikan Gina atau tak,” ujar Regina sedikit kelat.
“Takde kena mengena dengan benci atau tak. Cuma dia kata pada abang sebelum ni, tolong kahwin cepat sikit sebab dia nak Zayn dan Zayed tinggal dengan dia. Sekarang dalam kepala mama tu hanya ada Zayn dan Zayed aja. Yang lain dia tak peduli. Dia suruh abang kahwin cepat supaya abang tak sunyi bila dua kembar tu mama dah ambil nanti. Sekarang ni pun abang kena berebut dengan mama. Pantang lepa aja, dua anak abang tu lesap diculiknya,” ujar Iqmal mula tersenyum sendiri mengenang mamanya. Mabuk melayan cucu pula sekarang. Tanpa dapat ditahan Regina tergelak mendengar cerita Iqmal tentang bekas emak mentuanya itu.
“Mama dah tak macam dulu, sayang. Dia dah malas nak sibuk-sibuk hal kita. Gina jangan bimbang. Mama tak bencikan Gina lagi,” ucap Iqmal cuba menyakinkan wanita itu.
“Mama tak kisah ke Gina ni..”
“Janda?” pintas Iqmal lebih pantas.
“Betul..” jawab Regina agak rendah.
“Abang pun apa kurangnya? Dah dua kali berkahwin. Kedua-duanya tak kekal.”
Regina menghela nafas perlahan. Makin banyak dia berfikir, makin serabut otaknya. Sedangkan Iqmal elok sahaja. Dia yang takut tak tentu pasal.
“Gina dah fikir habis-habis. Gina nak terima lamaran abang,” ucap Regina akhirnya.
“Alhamdulillah.. terima kasih atas peluang ni, sayang. Akhirnya doa abang dimakbulkan Allah,” ucap Iqmal penuh kesyukuran.
“Tapi dengan syarat..”
“Apa syaratnya?”
“Tak perlulah rombongan meminang tu semua ya? Gina malu nak naik pelamin banyak kali. Sebelum ni dah merasa naik pelamin dengan abang. Cukuplah tu,” ujar Regina perlahan.
“Naik pelamin banyak kali dengan abang pun kenapa? Kita berdua aja. Orang lain tak payah tengok kita. Abang tengok Gina, Gina tengok abang,” jawab Iqmal selamba.
“Dah nama pun naik pelamin mestilah orang tengok! Lainlah kalau kita buat majlis tak jemput orang,” tukas perempuan itu hairan. Ada ke bersanding olok-olok? Entah ke manalah agaknya melencong fikiran Iqmal.
“Pelamin tu kita suruhlah wedding planner pasang dalam bilik tidur kita. Jadi kita bersanding berdua aja. Lepas puas bersanding kita boleh terus lompat naik atas katil.”
“Eee.. tak kuasa nak main lompat-lompat ni,” gerutu perempuan itu mula terasa segan dengan usikan Iqmal. Kalau masih anak dara mungkinlah dia teruja. Masalahnya dia dah mak orang! Tak sesuailah nak gelojoh sangat ni. Sakan Iqmal tergelak di hujung talian. Hati sedang berbungalah katakan.
“Gina serius ni, abang! Jangan nak tergelak-gelak suka sangat.”
“Abang faham. Abang tak kisah asalkan itu baik untuk kita.  Kalau Gina tak mahu majlis besar, kita buat yang kecil-kecilan sudahlah. Abang pun tak mahu menyusahkan orang tua kita. Diorang tu dah tua. Lagipun macam yang Gina kata, ini kali kedua, kan? So semua tu tak begitu penting,” ucap Iqmal mula serius.
Regina membisu seketika dalam suasana damai itu. Hatinya juga merasa amat damai sekali. Utama sekali, dia merasa dirinya kuat untuk menghadapi segala ujian yang bakal mendatang.  
“Jadi bila agak-agaknya abang boleh nak pindah duduk dengan Gina?”
“Manalah Gina tahu. Nikah pun belum nak pindah apanya,” jawab wanita itu selamba.
“Yalah. Maksud abang nikahnya bila? Janganlah jauh sangat tarikhnya. Seksa abang nanti,” sambut Iqmal mula berubah lain macam nadanya. Macam gedik aja!
“Tak tahu. Kalau ikut Gina, eloknya pertengahan tahun depan aja.”
“Ha?” Iqmal tersentak. Pertengahan tahun depan? Mulalah dia membuat simpan kira dalam otaknya. Sekarang baru bulan Jun. bermakna lagi enam bulan lagi baru menjelang hujung tahun. Kalau pertengahan tahun depan, bermakna ada tambahan lagi enam bulan atau lebih senang kira.. lebih kurang setahun lagi baru mereka akan bernikah.
“Lamanya? Gina tak kasihankan, abang?”
“Gina rasa mengantuk pulak ni. Okay, bye..”
“Gina.. janganlah tahun depan. Bulan depan bolehlah. Okay. Okay. Biar abang yang tentukan tarikhnya.” Iqmal mula menggelupur kalut sendiri.
“Ahhhh.. mengantuknya. Selamat malam, bang..” Regina buat-buat menguap tanda malas mahu mendengar lagi.

“Hello! Hello! Gina, abang belum..” Iqmal terpaku memandang telefon di tangan. Talian sudah terputus. Serius ke tahun depan?? Kena buat solat hajatlah kalau macam ni. Hajat nak menikah cepat! 

1 ulasan: