Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Sabtu, 14 Disember 2013

BAB 19 SI KOLOT SUAMI KU

Jentolak yang sedang sibuk melakukan kerjanya itu terus diperhatikan Kudin. Tanah seluas 5 hektar itu sebahagianya sudah lapang dikerjakan oleh jentera itu. Kawasan belukar itu sudah rebah ditolak jentolak. Dalam sedikit masa lagi projek ikan talapia dan udangnya akan dibangunkan di kawasan itu. Dan dia sudah berbincang dengan Mokhtar. Baki 2 setengah hektar lagi mereka akan usahakan projek lain pula.
Puas memerhatikan kerja di situ Kudin mendapatkan semula keretanya. Hari ini dia berhasrat mahu ke pekan. Kudin singgah seketika di rumah emaknya.
“Nak ikut pergi pekan?” tanyanya sebaik sahaja ternampak Edrina di dalam rumah.
“Nak..” jawab Edrina pantas. Terang benderang ceria wajahnya mendengar ajakan Kudin. Semenjak berkahwin inilah kali pertama Kudin mengajak dia keluar dari kampung.
“Mak mana?” soal Kudin sambil mengintai lebih jauh ke dalam rumah.
“Mak kat dapur.”
“Aku nak ajak mak sekali. Pergilah siap lekas,” ucap Kudin lantas dia mengatur langkah ke dapur rumah.
“Mak..” sapa Kudin dari atas rumah itu.
“Aik? Awal balik?” tanya mak cik Kunah sebaik sahaja ternampak muka Kudin di ambang dapur itu.
“Nak pergi pekan. Mak, jom ikut sekali. Kita beli barang dapur,” ucap Kudin.
“Ha.. elok benarlah tu. Dapur mak ni pun dah nak kosong,” sambut Mak cik Kunah segera akur.
Sementara dua wanita itu bersiap Kudin menunggu di dalam kereta. Hari ini dia berhasrat mahu memenuhkan rumahnya dengan keperluan rumah. Takdelah Edrina bosan di rumah.
Setiba di pekan sejam kemudian Kudin berhenti di sebuah kedai perabot. Bukan main lebar lagi senyuman Edrina melihat koleksi perabot-perabot yang ada. apabila diberi peluang oleh Kudin, dia segera menunjukkan kepakarannya menghabiskan duit Kudin. Habis semua perabot ditundingnya. Macam semua nak dibelinya. Masam kelat muka Kudin menunaikan kehendak isterinya itu.
Hal yang sama juga berlaku di kedai pekakas eletrik. Dengan senang hati Edrina meminta tv jenis LED bersaiz 48 inci. Nasib baik dia mintak yang 48 inci. Kalau ikutkan selera sebenar dia, tv yang dia mahu adalah sama besarnya dengan tapak rumah yang dia duduk dengan Kudin sekarang. Dikedai itu semua pekakas dia hendak beli. Kalaulah ada mesin pengetip kuku automatik, itu pun dia nak beli jugak. Menggigil tangan Kudin menghulur duit kepada tauke kedai itu.
Kemudian Edrina menarik Kudin ke kedai baju. Laju tangannya memilih baju untuk Kudin.
“Tak payahlah. Baju banyak kat rumah,” keluh Kudin cuba menolak baju yang disua wanita itu kepadanya.
“Memanglah banyak. Semua baju buruk. Selekeh tau tak!” getus Edrina tetap berdegil. Dipaksanya juga Kudin memegang baju itu.
Kudin mendecit seketika. Mahu tidak mahu dia mengacu juga baju itu ke tubuhnya.
“Cantikkan, mak?” tanya Edrina kepada mak cik Kunah yang tengah asyik membelek satu baju lain.
“Cantik,” jawab Mak cik Kunah sambil tergelak kecil melihat muka anaknya itu. Sudah masam macam asam kecut. Padan muka kau, Kudin. Dapat bini kaki shopping. Kenalah dengan kau yang kedekut tu..
“Pergi ladang aja buat apa nak baju cantik-cantik?” keluh Kudin tidak senang.
“Biarlah! Asyik pakai baju comot dia tu aja. Aku tak suka tengoklah!” getus Edrina sambil menjeling. Tangannya kembali membelek baju lain pula.
Mahu tidak mahu Kudin menurut juga. Bimbang kalau dia menolak merajuk lagi Edrina. Takpelah, Kudin. Bukannya selalu.. kalau selalu alamat memang bankrupt dia. Sekali ini aja dah beribu duitnya habis dikerjakan dek isterinya itu. Nasiblah..
Kemudian mereka ke pasaraya berjenama murah pula. Dah nama pun dia jenis kaki berjimatkan? Jadi pasaraya murah itu memang sesuai untuk orang sepertinya. Tapi sebenarnya bukannya ada pasaraya berjenama mahal seperti Jaya Jusco dan sebagainya di pekan mereka itu.
Akhirnya lebih 6 jam di pekan Kudin mengajak pulang. Dompetnya pun macam dah mintak ampun di belakang seluarnya itu. Keretanya sendiri sudah sarat di belakang. Dah tak muat nak isi barang. Tetapi walaupun dompetnya sedang nyawa-nyawa ikan dikerjakan Edrina, dia senang hati melihat Edrina tersenyum sepanjang hari. Yalah.. dapat shopping ikut suka, manalah tak senyum lebar.
Senang aja nak ambil hati Edrina rupanya. Ajak aja pergi shopping, gerenti mood dia baik.
Lewat petang itu barulah mereka tiba di rumah. Edrina terus naik ke atas. Dia sudah tidak sabar lagi mahu mencuba telefon baru yang dibelinya. Abang Kudin yang belikan kononnya.
Kudin hanya mampu menggeleng melihat gelagat isterinya. Dia membeli cukuplah banyak. Lepas tu bukannya nak tolong angkat. Bertuah punya bini!
Malam itu dek kerana penat dan hujan lebat, Kudin tidak ke masjid. Dia bersolat di rumah sahaja. Usai makan malam dia duduk bersantai di ambang pintu depan memandang ke titisan hujan di luar. Fikirannya sarat merangka apa yang perlu dilakukan esok. Esok dia pasti sibuk.
“Kudin..” Edrina memanggil sambil keluar daripada bilik. Dia terus mendekati suaminya itu.
“Apa?” tanya Kudin lembut. Sehari dua ini dia lihat Edrina sedikit mesra dengannya. Senyuman Edrina sudah semakin murah kepadanya. Tengking herdiknya sudah mula menyurut dan wanita itu sudah tidak kisah duduk dekat dengannya. Seperti saat ini. Dengan selambanya Edrina duduk bersandar ke bahunya.
“Nanti kita masuk astro nak?”
“Astro?”
“Yalah.. takde astro macamana nak tengok tv?”
Kudin diam seketika sambil memandang ke luar. Buat seketika dia berfikir sendiri apa keperluan benda alah itu. Namun seketika kemudian dia menoleh kepada isterinya itu. “Yalah..” jawab Kudin akur. Kalau ada tv dia pun boleh sekaki menontonnya.
Edrina tersenyum senang hati. Dia kembali membelek gadjet barunya.
“Nanti dalam bilik tu dah ada katil, aku kena tidur kat belakang lagi ke?” tanya Kudin lembut. Paras isterinya yang sedang menunduk itu dipandangnya.
Edrina terus memanggung pandangan kepada suaminya. Bibirnya tersenyum tiba-tiba. “Okay.. sebabkan katil tu kau yang beli, aku bagi kau tidur sebelah aku. Tapi kau kena janji jangan buat macam hari tu lagi,” jawab Edrina tidak menunggu lama.
“Sampai bila?” tanya Kudin bersungguh.
Kali ini Edrina terdiam. Senyumnya memudar dalam pada pandangan suaminya itu dibalas. Pada wajah lelaki itu dia melihat ada harapan yang dilahirkan Kudin supaya dirinya dilayan seperti seorang suami yang sebenar.
“Kau sayang aku tak?” tanya Edrina tiba-tiba.
“Bini aku mestilah aku sayang,” jawab Kudin bersungguh.
“Habis tu kenapa dulu kau suka buat aku benci dengan kau?” tanya Edrina selamba.
Kudin ketawa perlahan. “Sebab kau ni perempuan KL yang berlagak.”
Edrina menjeling. “Kau tu yang poyo macam apa entah! Tolak aku sampai jatuh dalam lubang cik B tu. Jijik tau tak!” getusnya dengan bibir termuncung-muncung.
Kudin tergelak lagi. “Aku bergurau aja waktu tu. Janganlah ingat lagi pasal dulu tu,” pujuk Kudin lembut. Kalaulah dia tahu Edrina akan menjadi isterinya hari ini, dia tidak akan buat begitu.
“Nasib baiklah kau selalu teman aku pergi jamban. Kalau tak sampai bila-bila aku tak suka dengan kau,” sambut Edrina selamba membuatkan Kudin ketawa sendiri.
“Kalau aku mintak sesuatu boleh?” tanya Kudin perlahan.
“Apa?”
“Nanti belajar memasak dengan mak ya? Aku dah tak larat nak makan kedai. Makan kat kedai ni tak kenyang.”
Edrina diam seketika sambil memandang lelaki itu. Dia teringat kata-kata emak mertuanya. Kudin memang tidak suka makan di kedai. Sarapan paginya kena buat begini.. kena buat begitu. Mana-mana wanita pun baik di bandar atau di kampung, tanggungjawab menjaga makan pakai suami tetap tergalas kepada isteri. Siapa lagi yang kena faham semua itu jika bukan dia sebagai seorang yang dinamakan isteri.
“Okay..” jawab Edrina akur akhirnya. Matanya dialihkan semula kepada skrin telefon pintarnya itu.
“Belajar buat air..” ucap Kudin lagi.
“Okay..” jawab Edrina antara dengar dengan tidak kata-kata Kudin.
“Basuh baju aku..”
“Okay..”
"Kemas rumah.."
"Okay.." jawab Edrina terus selamba.
Kudin terdiam seketika memandang isterinya. Aik? Semua boleh? Selalunya Edrina kuat melenting. Betul ke tidak ni? Kudin macam tidak percaya. “Sayang aku sebagai suami..” duga Kudin.
“Okay..” jawab Edrina.
“Tidur dengan aku malam ni..”
“Okay..” jawab Edrina dalam kelekaan. Namun seketika kemudian dia memandang Kudin semula. “Apa soalan yang last tadi?” tanya Edrina semula.
“Emm.. jom kita buat air kopi, cicah dengan biskut kering yang kita beli tadi. Sedap!” ajak Kudin terus mengelak. Dia menolak sedikit tubuh wanita itu sebelum bangun.
Edrina terus memandang suaminya. Dia rasa dia macam dengar sesuatu yang aneh tadi. Bunyinya macam.. ‘tidur dengan aku..’dan dia pulak terus jawab okay. Okay? Oh no! Yang itu belum okay!
“Cepatlah! Nak ke tak nak?” tanya Kudin setelah dia hampir sampai ke dapur. Edrina masih bersimpuh di tempat yang sama memandang kepadanya dengan muka blur.
“Nak..” pantas wanita itu bangun mengejar Kudin. Biskut pun biskutlah!
“Sedap?” tanya Kudin saat memandang isterinya bukan main laju lagi mengunyah biskut yang dicicah dengan air kopi kampung yang dibancuhnya.
“Sedap..” sambut Edrina. Tak sangka.. sedap juga. Kena pulak dengan selera dia.
“Bestkan? Aku tak suka biskut kering. Tapi kalau sesekali cicah dengan air kopi memang sedap. Nak-nak lagi kalau musim hujan. Perut cepat lapar,” ucap Kudin ikut mencicah juga.
“Kau tu kayu dengan batu aja yang kau tak makan,” cebir Edrina. Kudin punya mencicah, dekat setengah tin biskut itu habis dikerjakannya.
Kudin tergelak perlahan. Bila dah bosan.. inilah jadinya. Makan pun laju aja.
“Makan banyak-banyak. Nanti sakit perut lagi, aku yang kena temankan kau pergi jamban,” ucap Kudin mengusik perempuan itu.
Edrina tergelak pula tiba-tiba. Duduk di kampung habis hilang standard Tengku dia. Dia pun dua tiga hari ini dah berjangkit dari si Kudin. Suka makan banyak. Lepas tu malam Kudin juga yang kena teman dia membuang. Nasiblah.. siapa suruh ajak mencicah tadi.
Tengah malam itu..
Edrina sudah lama menghilang ke dalam biliknya. Tengah enak membuai mimpi agaknya. Kudin mula menutup lampu. Dia pun mahu beradu rasanya. Namun kakinya terhenti tatkala mahu memasuki tempat tidurnya. Dia memandang seketika ke ruang tamu. Buat seketika dia berkira-kira sendiri.
“Agak-agak dia bagi ke?” ucap Kudin sendiri.
“Ah! Belum cuba belum tahu..” bisik Kudin sendiri. Akhirnya dia mengatur langkah ke bilik Edrina. Dengan derap perlahan dia masuk.
“Assalamualaikum.. tidur dah ke?” ucapnya cukup perlahan.
Senyap! Kudin tersengih sendiri. Dia terus masuk ke dalam kelambu. Isterinya sedang mengerekot kesejukan di tengah-tengah tilam lembik itu.
“Abang Kudin tumpang kat sini boleh?” ucap Kudin dengan suara halus. Masih juga tiada jawapan. Kudin mula melabuhkan tubuhnya di sebelah Edrina.
Buat seketika dia memandang sahaja ke arah Edrina. Rambut wanita itu diusapnya lembut. Usikannya membuatkan Edrina tersedar seketika kemudian.
“Hujan.. Aku tidur sini ya? Sejuk tidur sorang-sorang,” ucap Kudin rendah sebelum sempat Edrina berkata apa-apa.
 Edrina mengangguk sahaja. Malas dia mahu bertekak malam-malam buta begini.
“Peluk sikit boleh?” soal Kudin perlahan.
 Edrina membuka matanya. Wajah lelaki itu samar-samar sahaja di matanya. “Peluk aja tau!” jawabnya perlahan.
“Okay..” Kudin tersenyum. Tubuh perempuan itu diraihnya rapat kepadanya. Peluk pun peluklah.. daripada tak dapat apa-apa, okaylah ni! Namun seketika kemudian tangan Edrina mula beralih ke tubuh lelaki itu. Lelaki itu turut dipeluknya erat.


Lisa mendegus saat melihat pejabat kecil Kudin kosong tanpa sesiapa. Mana perginya Kudin? Di ladang Kudin tiada. Di kolam pun tiada jugak. Susah benar mahu berjumpa Kudin sekarang.
“Abang Mokhtar tahu tak Abang Kudin pergi mana?” tanya Lisa setelah dia menemui Mokhtar di tengah kawasan kolam ikan keli itu.
“Dia ada kat tanah sebelah hulu sana,” jawab Mokhtar sambil meneliti gadis itu. pelik! Ada apa Lisa mencari Kudin?
“Tanah belah hulu? Tanah yang mana?” soal Lisa tidak faham.
“Tanah kat sebelah kawasan kubur tu. Tanah tu dia nak bangunkan. Sekarang orang tengah sodok, nak bersihkan kawasan tu,” jawab Mokhtar.
“Oh..” Lisa termanggu seketika.
“Bila dia datang sini?” tanya Lisa lagi.
“Hari ni dia tak ke sini. Abang yang jaga kolam ni sementara dia ada kerja kat sana.”
“Tanah tu nak buat apa? Tanah siapa kat belah hulu tu?”
“Lah.. tanah dialah. Takkanlah dia nak bangunkan tanah orang pulak. Dia nak buat kolam ikan dengan udang kat sana. Ada apa cari dia ni? Kalau nak beli ikan, abang boleh ambilkan,” ucap Mokhtar sambil menyeringai di hadapan gadis itu.
“Tanah sebelah kubur tu tanah Abang Kudin jugak ke?”
“Iya..” jawab Mokhtar sedikit menekan dalam kebosanan. Tak dengar ke apa budak Lisa ni. Berapa kali nak ulang kenyataan yang sama. Dia pun banyak kerja lagi nak dibuat selain daripada melayan soalan Lisa tentang Kudin.
Lisa termanggu lagi memikirkan Kudin. Semakin maju nampaknya lelaki itu.
“Ada apa cari Kudin ni?” tanya Mokhtar sekali lagi.
Menungan Lisa tergugah. Wajah Mokhtar kembali dimamah oleh bola matanya. “Takde apa. Saja je,” jawab Lisa rendah sahaja.
“Saja je? Kudin tu dah ada bini. Karang kamu diganyang dek bini pulak. Bini Kudin tu dahlah tak suka bergaul dengan orang,” ucap Mokhtar sambil tersengih.
“Garang ke bini abang Kudin tu?”
“Tak tahulah garang ke tidak. Abang pun bukan kenal rapat dengan Edrina tu. Tapi dia tu abang tengok tak suka sangat bergaul dengan kita-kita ni. Kamu kacau laki dia, abang takut kamu dapat bala nanti,” pesan Mokhtar selamba.
Lisa mencebik sedikit mengenangkan wanita tengku yang terbuang di kampungnya itu. Dia tidak hairan!
“Okaylah.. Lisa pergi dulu.”
“Okay..”
Wanita itu kembali mendapatkan keretanya. Kali ini kenderaan itu dihalakan ke arah tanah yang dimaksudkan oleh Mokhtar itu. Memang benar.. kawasan yang dulu belukar kini sudah rata. Sudah seperti padang jarak padang tekukur. Lisa segera memberhentikan keretanya di sebelah kereta Kudin.
Dari tepi keretanya Lisa memerhatikan kawasan tanah itu. Sudah ada 4 lubang berbentuk empat segi yang cukup besar sudah siap dikorek. Menunggu masa untuk air dialirkan. Dari tempat dia berdiri juga Lisa ternampak kelibat Kudin berbual dengan seorang lelaki yang dia tidak kenal.
Lisa terus mendekati lelaki itu sebaik sahaja dia ternampak Kudin ditinggalkan lelaki itu sendiri.
“Abang..” panggil Lisa dari arah belakang.
Kudin menoleh tatkala mendengar namanya diseru. “Lisa?” soal Kudin sedikit terkejut melihat Lisa berada di situ. Macamana Lisa boleh tahu dia berada di sini?
Lisa tersenyum. Dia berdiri di sebelah lelaki itu sambil memandang keluasan tanah itu. “Lisa tak tahu pulak yang tanah ni tanah abang,” ucap Lisa tanpa membalas pandangan pelik Kudin kepadanya.
“Nak kena bagitahu semua orang ke?” balas Kudin semula.
Lisa mula menoleh kepada lelaki itu. Lelaki itu dipandang dari atas ke bawah. Kudin nampak lain macam pada matanya kini. Penampilan Kudin sudah sedikit berubah. Tidak lagi dengan jeans dan tee lusuhnya. Atau dalam erti kata lainnya Kudin nampak bergaya sedikit pada matanya.
“Ada apa Lisa datang sini?” soal Kudin hairan.
“Lisa cari abanglah. Tadi Lisa pergi ladang dengan kolam abang. Abang Mokhtar kata abang ada kat sini,” jawab Lisa.
“Yalah.. tapi ada apa halnya?”
“Saja. Dah lama tak jumpa abang.”
Kudin menghela nafas perlahan. Hatinya semakin tidak senang dengan gadis ini. “Bini abang ada kat rumah tu,” ucap Kudin rendah sahaja.
“Dia buat apa kat rumah?” tanya Lisa terus mahu berbasi basa.
“Entah..” jawab Kudin malas.
“Okay ke dia duduk kat rumah buruk tu?”
“Okay je..” Kudin menjawab kosong.
“Lepas ni abang pergi mana?” tanya Lisa cukup mesra.
“Baliklah. Nak pergi mana lagi? Takkan nak pergi berkaraoke pulak,” rengus Kudin malas mahu melayan soalan Lisa. Dia tahu Lisa sekadar mahu membuang masa dengannya.
“Lisa nak ajak abang temankan Lisa pergi pekan, boleh? Lisa ada barang nak beli,” ucap Lisa lembut sengaja mahu memancing perhatian Kudin.
“Tak boleh. Abang nak balik lepas ni,” jawab Kudin serius.
“Alah.. Abang ni sombong betullah sekarang. Nak ajak temankan sekejap pun tak boleh,” getus Lisa tidak senang dengan jawapan Kudin.
Kudin menoleh dengan sorotan tajam. “Selama Lisa dah jadi budak KL ni, pergi pekan tak sudi nak ajak abang temankan. Sampai jugak pekan tu kan? Kenapa sekarang tiba-tiba nak ajak abang pulak?” ejek Kudin sinis.
Lisa terdiam. Wajahnya berubah mendengar kata-kata Kudin. “Abang marah lagi pasal dulu tu ke?” soal Lisa agak rendah.
“Abang tak marah. Itu hak Lisa untuk jadi siapa pun. Tapi abang ni dah kahwin, Lisa. Abang bukan Kudin yang dulu.” Kudin mula mengendurkan suaranya.
“Sebab abang bukan lagi Kudin yang dulu abang nak menyombong dengan Lisa? Sebab abang ni dah jadi menantu keluarga Tengku sekarang, abang dah tak sudi nak bercakap dengan Lisa lagi? Sebab tu abang berubah macam ni sekali. Pakaian pun dah pakai yang berjenama. Dah pakai kereta mahal,” tebak Lisa mudah. Wajah lelaki itu dipandang lama.
Kudin menghela nafas perlahan. “Abang beli kereta sebab abang perlukan kereta. Lori abang tu dah tua! Baju ni bini abang yang beli, dia yang paksa abang pakai. Sebab dia tengok baju abang semuanya dah buruk. Abang ni selalu selekeh. Salah ke?” ucap Kudin bersungguh.
Lisa terdiam memandang Kudin.
“Kalau abang ni dah berubah, abang tak jejakkan kaki ke kampung ni lagi, Lisa. Dah tentulah abang ada di KL sana. Menikmati kemodenan dan kemewahan yang ada di sana. Tapi abang tetap ada di sini. Abang dah ada kehidupan abang di sini semenjak dulu. Apa yang ada di sini masih istimewa buat abang. Takde apa yang berubah!” ujar Kudin lagi dalam pada Lisa membisu sahaja.
“Lisa cuma nak berkawan dengan abang. Macam dulu-dulu. Takkanlah sebab abang dah ada Edrina abang nak jauhkan diri daripada Lisa?” ucap Lisa kemudian.
“Abang dah tanggungjawab, Lisa. Kisah dulu-dulu tu semuanya dah habis lama dulu! Abang dah lama terima kenyataan. Jangan datang untuk sulitkan keadaan abang, Lisa. Abang bukan jenis lelaki macam tu. seeloknya Lisa kembali semula kepada kehidupan Lisa, minat Lisa. Abang tahu takde apa yang menarik lagi di kampung ni untuk Lisa. Teruskan macam tu!” ucap Kudin penuh makna. Dia tahu Lisa mengerti apa yang sedang diperkatakannya.
Lisa tunduk seketika. Tiba-tiba dia rasa malu sendiri mendengar ucapan Kudin. Dia memang bersalah kerana meminggirkan Kudin dulu. Dia tahu lelaki ini pernah sayang kepadanya. Sekarang dia jadi cemburu sendiri melihat kemewahan demi kemewahan yang dibina Kudin. Lebih teruk lagi.. dia merasa tertampar sendiri apabila mengetahui Kudin rupanya memang berasal dari keluarga bangsawan. Rugilah dia.. tak dapatlah dia nak meletak nama ‘Tengku’ kepada anak-anaknya nanti.
“Lebih baik Lisa balik aja,” ucap Kudin kemudian.
“Lisa baru aja datang abang ni..” rengus Lisa sebal.
“Baliklah. Orang yang ada urusan penting aja yang dibenarkan masuk ke sini. Pergi balik!” ucap Kudin tanpa memandang lagi.
Lisa mendegus. Namun mahu tidak mahu dia akur juga dengan permintaan Kudin. Sebelum berlalu dengan keretanya dia sempat memandang semula ke arah Kudin di sana. Lelaki itu berdiri berpeluk tubuh tanpa memandang kepadanya. Dia tahu lelaki itu sudah meletakkan dia jauh daripada hidup lelaki itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan