Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Jumaat, 15 Mei 2015

Bab 22 BUTAKAH CINTA

Jika benar cinta itu buta. Butakah mataku?
“Gina..” Iqmal terus memanggil. Pintu kamar itu diketuk lagi. Bayang Regina masih tidak muncul.
“Gina, buka pintu ni. Abang nak bercakap dengan Gina.” Tanpa berputus asa, Iqmal memanggil lagi isterinya. Tidak sedap benar hatinya membiarkan Regina memulaukan kamar tidur mereka.
“Gina..” buat kesekian kalinya Iqmal mencuba lagi. Tiba-tiba pintu kamar itu terbuka.
“Gina, abang minta maaf pasal tadi,” ucap Iqmal sebaik sahaja terlihat wajah isterinya di ambang pintu itu. Rasa bersalahnya semakin menebal melihat mata isterinya merah, kesan menangis.
Regina sekadar membisu.
“Gina, abang tak bermaksud nak tengking Gina tadi. Maafkan abang ya?” pujuk Iqmal semakin lemah gemalai suaranya.
“Biarlah Gina kat sini dulu. Gina perlu tenangkan fikiran,” ucap Regina tanpa semangat. Wajah lelaki itu tidak mampu ditatap lama. Dia terasa mahu menangis lagi. Wajah yang paling banyak membuatkan air matanya tumpah. Inilah dia!
“Abang nak tengok tangan Gina.”
“Tak perlu. Selama ni Gina rawat luka sendiri. Abang tak pernah pedulikan Gina. Kenapa sekarang nak tunjuk prihatin?” balas Regina sinis. Tangannya sengaja dialihkan ke belakang.
Iqmal diam seketika dengan sedikit helaan nafas. Dia sedar, jika dibariskan kekecewaan yang sudah diberikan kepada wanita ini, satu buku kertas kajang tidak akan mencukupi.
“Pergilah balik bilik abang. Biarkan Gina kat sini,” ucap Regina sebelum dia berundur dari ambang pintu itu.
“Gina, abang betul-betul menyesal dengan tindakan abang tadi. Abang tahu keadaan kita tak berapa baik sehari dua ni. Abang tak sengaja tersebut nama dia.”
Regina sekadar tersenyum pahit. Pintu kamar itu tetap dirapatkan biarpun Iqmal masih berdiri di hadapan kamar itu. Dalam keadaan hatinya begini, biarpun dijanjikan bulan dan bintang itu semua tidak bermakna lagi kepadanya. Dia sudah letih. Benar-benar perih dengan semua ini.
Iqmal di hadapan pintu itu terus terpegun menatap pintu kamar sudah bertutup rapat. Buat seketika dia terus pegun di situ. Bukan dia tidak sedar selama dua bulan ini rumahtangganya langsung tidak berseri. Bukan dia suka hidup begini. Namun berterus terang hal yang sebenarnya hanya akan membuatkan Regina semakin terluka. Kerana itu dia lebih suka membisu.
Keesokan harinya, Regina hanya keluar dari kamar pada jam 10 pagi. Sangkanya Iqmal sudah keluar berkerja. Baru sahaja kakinya menjejak lantai ruang tamu, telefon rumah berbunyi. Malas-malas Regina menjawab.
“Mana Iqmal ni? Kenapa dia tak call mama?” bentak Puan Sri Bainun terus ke lubang telinga Regina.
Regina terpaku memandang ke hadapan. Manalah dia tahu kenapa lelaki itu tidak menghubungi mamanya.
“Gina dah sampaikan pesan mama semalam,” ucap Regina perlahan.
“Dulu Iqmal tak buat perangai macam ni dengan mama. Sekarang ni dia dah lain sangat! Semenjak kamu tinggalkan Iqmal dulu, perangai dia memang dah banyak berubah. Sebab kamulah dia nekad buat keputusan sendiri. Kalau kamu tak pentingkan diri sendiri, Iqmal takkan jadi macam tu!” selar Puan Sri Bainun tiba-tiba.
“Apa maksud mama?”
“Tak sedar diri lagi..”
“Gina tak faham, mama.”
“Iqmal tak mahu kamu pergi ke Ireland tapi kamu degil. Kamu sanggup korbankan dia semata-mata nak kejar cita-cita. Kamu ingat kamu seorang aja yang ada cita-cita? Iqmal tu dah lama kecil hati dengan kamu. Iqmal tolak tawaran sambung pengajian di London sebab kamu. Tapi kamu.. dah dapat tawaran sambung belajar di universiti yang sama dengan Iqmal di Malaysia, kamu sengaja pergi tempat yang jauh. Hidup Iqmal jadi lintang pukang sebab terlalu sayangkan kamu. Kemudian tiba-tiba arwah Zahnita sakit. Kalau kamu ada waktu tu, dia tak perlu kahwin dengan Nita. Sekarang hidup dia dah makin tak tentu arah. Puaslah hati kamu sekarang??” ucap Puan Sri Bainun tajam.
Regina terdiam mendengar bait demi bait yang diucapkan emak mertuanya. Sungguh. Dia benar-benar tidak tahu semua itu. Memang dia tahu Iqmal memilih untuk menyambung pengajian di UM kerana tidak mahu berjauhan darinya. Tetapi dia tidak pernah tahu Iqmal kecil hati dengannya disebabkan dia memilih untuk ke Ireland. Sangkanya Iqmal menerima dengan hati terbuka keputusan dia dahulu.
“Ada kekasih tetapi mementingkan diri sendiri. Mujurlah Iqmal sanggup terima kamu semula. Tapi hidup dengan kamu pun mama nampak Iqmal takdelah bahagia sangat. Macam tu jugak!” cemuh Puan Sri Bainun lagi.
“Maaf, ma. Gina ada hal. Nanti Gina suruh abang Iqmal call mama semula. Assalamualaikum..” ucap Regina lantas mematikan talian. Sebak kian mencengkam dadanya. Rupanya ada lagi kisah yang dia tidak tahu. Setitis air mata yang mahu mengalir pantas diseka Regina. Langkah terus dihayun ke dapur.
Di dapur Regina membancuh air untuk dirinya. Namun kata-kata emak Iqmal sebentar tadi terus bergaung di benaknya. Adakah selama ini Iqmal sengaja mahu membalas dendam kepadanya? Namun bayang Iqmal yang muncul tiba-tiba mengejutkan Regina daripada menungannya. Wanita itu sengaja buat-buat tidak memandang biarpun dia terkejut.
“Gina..”
“Mama abang marah-marah. Dia suruh abang call. Kenapa tak call mama? Tak pasal-pasal Gina yang kena marah,” ucap Regina amat tawar nadanya.
“Mama call tadi?” tanya Iqmal sedikit terkejut. Mulalah dia terasa kesal kerana mematikan telefon bimbitnya semalam. Memang dia sengaja mematikan telefon bimbitnya disebabkan dia sudah tidak sanggup mahu bersoal jawab dengan mamanya tentang Regina.
“Gina tak kerja hari ni?”
“Off.” Sepatah sahaja jawapan Regina. Air di dalam cawan terus dikacau dalam pada perasaan terus tidak tenang.
“Gina, pandang abang.” Iqmal cuba meraih wajah sang isteri. Namun Regina terus menepis.
“Apa abang nak dari Gina?” getus Regina tidak senang.
“Abang tak puas hati selagi masalah semalam tu tak selesai. Abang betul-betul minta maaf. Abang tak sengaja kecilkan hati Gina,” ucap Iqmal bersungguh.
“Entahlah.. perasaan ni rasa tawar sangat. Semua ni dah takde makna,” luah Regina tanpa memandang lelaki itu.
“Kalau pasal apa yang mama cakap tadi..”
“Jangan salahkan mama. Gina bukan hidup dengan mama abang. Gina hidup dengan abang selama ni. Kita bercakap tentang kita.” Regina segera memintas.
Iqmal kembali terdiam. Dia perasaan raut isterinya benar-benar mendung. Mata Regina bengkak. Entah berapa lama Regina menangis semalam.
“Gina dah bertahan lebih tujuh tahun. Kesakitan yang Nita tanggung selama hidupnya, ada penghujungnya. Allah dah ambil dia dan Gina redha dengan segala yang pernah berlaku dulu. Tapi kesakitan di hati Gina ni bila akan bertemu penghujungnya? Wasiat Nita penting pada abang sehingga ambil keputusan untuk ikat Gina dalam perkahwinan ni sedangkan perasaan abang masih terumbang ambing. Tapi perkahwinan ni tak sepenting wasiat itu. Perkahwinan ni kosong! Gina tak tahu apa yang patut Gina buat lagi. Sebab cintakan abang, maruah Gina dipijak mama abang. Salah Gina ke kita jadi begini, bang?”
“Gina, bagi abang masa..”
“Gina dah bagi abang masa lebih dari tujuh tahun. Tapi semenjak awal lagi abang pilih untuk kahwin dengan perempuan lain! Kenapa abang tak call Gina waktu tu? Kenapa saat ini Gina yang dihukum? Kenapa abang kejam sangat pada Gina? Abang tahu tak betapa sayangnya Gina pada abang selama ini. Kenapa ini yang abang balas pada Gina!” wanita itu menangis lagi di hadapan Iqmal. Saat lelaki itu mahu menggapainya, tubuh Iqmal ditolak kuat. Tidak! Pelukan itu tidak bermakna apa-apa kepadanya. Hanya satu angan-angan kosong agar dia berhenti menangis. Selepas ini pasti hatinya dicalari lagi.
Iqmal mula meraup resah seluruh pelusuk wajahnya. Kesal hatinya melihat Regina masih tidak terpujuk.
“Perasaan Gina dah hampir mati. Gina nak abang lepaskan Gina.”
“Gina!!” Iqmal tersentak mendengar ucapan itu. Semudah itu Regina meminta cerai?
“Gina tak tahu, rupanya selama ni abang simpan rasa kecil hati pada Gina disebabkan Gina memilih untuk ke Ireland dulu.”
“Mana Gina tahu pasal ni? Itu semua cerita lama, Gina. Abang dah tak ingat lagi tentang semua tu!” tegas Iqmal semakin kalut. Pasti mamanya yang membuka mulut.
“Sama macam abang lupakan Gina selama ni, kan? Harga kasih sayang Gina tak setara dengan apa yang abang dah korbankan untuk Gina. Abang lepaskan cita-cita abang untuk ke London sebab Gina. Tapi Gina mementingkan diri sendiri. Sudahnya.. beginilah hidup Gina di sisi abang. Semenjak dari awal abang mengahwini Nita, sekalipun abang takde hubungi Gina untuk meluahkan apa yang patut Gina dengar dari mulut abang. Sekalipun abang tak pernah letak noktah pada hubungan kita. Penyakit Zahnita hanya alasan. Tapi kesetiaan abang gugur disebabkan tindakan Gina pergi ke Ireland, betulkan? Seterusnya cinta abang hilang sebab Nita tak sama macam Gina. Nita boleh ikut segala kehendak abang. Nita seorang perempuan yang bibirnya tak lekang dari ucapan terima kasih dan maaf. Gina ni hanya seorang perempuan yang mementingkan diri sendiri berbanding perasaan kekasihnya! Jadi lepaskanlah Gina, abang. Gina tahu Gina tak membawa apa-apa makna lagi pada abang. Kisah cinta kita dulu dah lama habis. Alangkah baiknya kalau abang berterus terang aja semenjak awal,” luah Regina dalam sendu yang semakin dalam.
Iqmal menghela keluhan berat sambil menyandarkan dirinya ke kabinet di belakangnya. Sesak fikirannya disumbat dengan kisah lama itu. Mamanya memang sengaja mahu mengusutkan keadaannya dengan Regina.
“Tolonglah jangan membisu lagi. Gina dah tak tahan lagi hidup begini. Kalau benar Gina tak mampu mendapat kasih sayang abang, biarlah Gina hidup jauh dari abang. Gina pun ada maruah. Perasaan Gina macam dah takde harga. Semudah itu dipermainkan. Kenapa abang sampai hati buat Gina macam ni? Sebelum kita kahwin abang berjanji dengan Gina abang nak memperbetulkan keadaan kita. Tapi kenapa kita tetap jadi begini?” luah Regina. Di penghujung bicaranya esakannya terhela lagi.
Iqmal menghela keluhan perlahan. Dia sedar apa saja kata-kata pujukan yang diberikan semua itu hanya palsu. Melihat Iqmal terus berdiam Regina terus keluar dari kawasan dapur itu. Dia sudah tidak sanggup memandang keluguan lelaki itu setiap kali masalah mereka dibangkitkan. Menyakitkan jiwa.
“Gina..” panggil Iqmal lantas mengekori isterinya. Namun semakin laju langkah diatur Regina ke atas. Iqmal terus memburu langkah wanita itu.
“Gina!” bentak Iqmal saat isterinya masuk ke dalam kamarnya. Pergelangan tangan wanita itu sempat dicapainya.
“Lepas!” Regina cuba menarik tangannya semula.
“Dengarlah dulu cakap abang..” tekan Iqmal serius.
“Tadi abang hanya diam. Sekarang dah banyak idea nak bercakap?” ejek Regina lantas ketawa sinis.
“Gina tak perlu buat macam ni. Abang sedia beri Gina masa untuk kita bertenang. Nanti kita bincang semula,” pujuk Iqmal.
“Gina dah tak mahu berbincang apa-apa. Gina dah muak hidup begini. Untuk apa Gina menunggu kalau jelas sekali abang memang tak perlukan Gina? Abang nak hidup dalam kenangan dulu, teruskanlah. Tapi sebelum tu bebaskan Gina dari semua ni.”
“Siapa cakap abang nak hidup dengan semua kenangan tu? Tapi bagilah abang masa. Bukan mudah untuk abang lupakan Nita. Dia hidup dengan abang selama ni, Gina. Memang abang sayangkan dia. Tapi dia dah takde! Abang tahu hakikat tu. Cuma kadang-kadang abang tak mampu lawan perasaan rindu abang pada dia,” ujar Iqmal bersungguh.
“Tidakkah kejam abang mengahwini perempuan lain dalam keadaan abang masih terkenangkan wanita lain? Kalau perkahwinan ni masih tak mampu mengalihkan perhatian abang daripada kenangan tu, untuk apa perkahwinan ni wujud?”
“Dulu abang sangka kehadiran Gina akan membuatkan keadaan pulih. Tapi hakikatnya Gina semakin membuatkan abang teringat pada dia! Sebab selama ini Gina sahabat Nita. Selama ini di mulut dia nama Regina tak pernah lekang. Itu membuktikan betapa dekatnya Gina dan Nita selama ini. Itu masalah yang abang tanggung selama ini, Gina. Setiap kali abang dekat dengan Gina, bayang-bayang dia pasti ada. Abang semakin teringatkan dia!” jelas Iqmal sedikit meninggi suaranya.
Regina menggeleng perlahan. Sesungguhnya dia sudah tidak mampu menelan kejutan demi kejutan yang didengarinya.
“Kalau begitu.. kita bercerai ajalah.”
“Gina, jangan buat abang macam ni. Kalau abang mampu, abang takkan..”
“Sudahlah, abang. Jangan paksa diri abang untuk Gina lagi. Gina tak perlukan belas kasihan abang dan Gina tak berharap wasiat Nita tu akan tercapai. Mungkin semenjak awal lagi jodoh kita tak panjang. Ini yang patut Gina terima sebab Gina tinggalkan abang dulu.”
“Gina, itu semua dulu. Abang tak pernah terfikir nak membalas dendam pada Gina disebab semua tu.”
Regina tiba-tiba mendekati almari. Dari dalam almari itu sebuah kotak dikeluarkan. “Abang lebih sayangkan pakaian ni daripada perasaan Gina. Jadi cukuplah kita setakat ini. Ambillah ni. Letakkan semula di tempatnya. Gina akan ambil pakaian Gina nanti.”
“Jangan macam ni, Gina. Apa lagi yang abang patut cakap supaya Gina faham apa yang abang lalui sekarang,” balas Iqmal. Kotak itu sekadar diletakkan di lantai.
“Abang dah ada cukup untuk diri abang. Tolong tinggalkan Gina sendiri,” ucap Regina sambil menyeka air mata yang masih tidak jemu mencemar pipinya. Kotak itu ditolaknya ke luar sebelum pintu kamar itu ditolaknya sehingga tertutup rapat.
“Gina..” panggil Iqmal.
Namun Regina di sebalik pintu itu semakin tidak mampu menahan tangisan saat mendengar suara lelaki itu. Ingin benar dia menutup pintu hatinya serapat-rapatnya kepada lelaki itu seperti mana dia menutup pintu kamar ini kepada Iqmal. Namun jika benar dia reda untuk melepaskan lelaki itu dari hatinya.. mengapa ada tangisan ini? Mengapa masih ada air mata yang jatuh?
Setelah ketukan demi ketukan tidak dilayan, akhirnya Iqmal turun semula ke bawah. Namun longlai langkahnya. Sedang dia termenung di ruang tamu, kelibat Regina muncul semula. Tanpa menegur Iqmal dia terus ke kamar tidur lelaki itu. Iqmal mula berkejaran ke kamar tidurnya pula.
“Gina!!” bentak Iqmal saat melihat isterinya mengambil beg pakaiannya.
“Janganlah menyibuk!!” balas Regina. Hampir sahaja mereka berdua bergelut berebutkan pakaian yang sedang dipegangnya.
“Sayang, jangan buat abang macam ni! Tolonglah..” rayu Iqmal. Melihat Regina melawan, dia segera memeluk isterinya itu agar Regina bertenang. Namun Regina yang sudah keletihan hanya mampu menangis di tubuh Iqmal.
“Abang minta maaf..” bisik Iqmal berkali-kali. Rambut isterinya diusap lembut tanpa henti. Namun Regina tetap menggeleng. Maaf itu sudah tidak ingin didengarinya lagi.
“Pandang abang.. ini Abang Iqmal. Gina sayangkan abang, kan? Gina takkan biarkan abang seorang. Betul tak?” ucap Iqmal setelah dia meraih wajah isterinya. Namun melihat air mata Regina cukup lebat, bola matanya berkaca. Hatinya dihentam kesayuan yang amat sangat. Abang Iqmal.. dahulu Regina sering memanggilnya begitu. Sebaris nama itu seolah-olah sedang membawa dia pulang kepada kenangan lebih lapan tahun dahulu. Saat pertama kali dia jatuh cinta kepada Regina.
“Tapi abang tak sayangkan Gina. Kalau abang sayangkan Gina, abang takkan buat Gina sampai macam ni sekali. Jangan menyesal lagi abang. Untuk abang mungkin tiada patah balik setelah abang buat keputusan. Mana mungkin kita akan kembali semula seperti dulu sedangkan kita tahu kita tak mampu berpatah semula. Untuk diri Gina.. kalau kita tak mampu berpatah balik setelah keputusan kita ambil, Gina rela tak meneruskan perjalanan yang sia-sia ni. Kerana destinasinya takkan kita jumpa,” balas Regina sambil tangan lelaki itu ditolaknya. Namun tubuhnya kembali dipeluk erat oleh Iqmal.
“Jangan..” ucap Iqmal sepatah.
“Kalau betul abang sayangkan Gina, lepaskan pelukan ni. Abang bukan lagi Iqmal yang dulu. Begitu juga dengan Regina. Bukan lagi Gina yang dulu. Sampai satu masa perasaan sayang ni akan berhenti juga. Tolonglah..”
Iqmal terdiam. Wajah isterinya dipandang lama. Namun di dalam mata berkaca wanita itu hanya kosong. Sedarlah dia kini yang mereka sudah pergi terlalu jauh. Teramat jauh sehingga dia tidak mampu menggapai Regina lagi. 

1 ulasan: