Resam manusia yang baru berkahwin sudah pastinya
indah. Tetapi keadaan itu tidak mampu dirasakan oleh Regina biarpun inai masih
merah menyala di jari. Hari pertamanya di rumah itu barulah dia perasan
sebahagian pakaian Zahnita masih ada di dalam almari. Betapa dia terkedu dan
terkejut besar melihat itu.
“Abang memang sengaja biarkan di situ ke?” tanya
Regina saat terlihat wajah Iqmal di dalam kamar itu.
Wajah Iqmal berubah sedikit. “Abang tak tahu nak
buat apa dengan semua pakaian tu. Jadi abang biarkan ajalah kat situ.”
Hampir ternganga Regina mendengar jawapan Iqmal.
Jadi di mana dia harus meletakkan pakaiannya pula? Di stor? Melihat reaksi
Regina sudah berubah semacam, Iqmal segera mendekati almari itu.
“Abang takde masa nak kemas baju Nita ni. Sebab tu
abang biarkan semua baju tu di situ. Gina jangan salah faham,” jelas Iqmal amat
perlahan.
“Apa yang Gina salah faham kalau abang tahu?” selar
Regina pantas.
Kali itu Iqmal membeku. Pergerakannya juga serta
merta pegun sambil menatap reaksi Regina. “Abang tak mahu Gina anggap yang
bukan-bukan. Abang bukannya sengaja nak membiarkan pakaian ni semua kat sini,”
jelas Iqmal lembut.
“Sepanjang lima bulan ni abang memang langsung tiada
masa?” balas Regina sedikit tidak percaya. Bukan baru semalam Zahnita meninggalkan
mereka. Tetapi sudah lima bulan!
“Gina, hal yang kecil jangan jadikan punca
pergaduhan kita. Abang memang takde masa. Balik kerja abang dah penat, abang
terus tidur. Abang tak terfikir tentang ni semua. Bagi abang kain baju ni tak
menganggu pun!” jawab Iqmal mula kedengaran serius nadanya.
“Yalah..” sambut Regina sambil tersenyum pahit.
Nampak macam tiada alu-aluan dia di rumah ini sehingga ruangan untuk dia
meletakkan kain baju pun tiada. Apatah lagi ruang di dalam hati Iqmal buat
dirinya. Semuanya masih penuh dengan gambaran arwah Zahnita. Betapa betuahnya
Zahnita. Dia yang merana selama ini Iqmal tidak peduli.
“Apa yang paling abang suka tentang Nita selama
ini?”
Iqmal menghela keluhan perlahan. Serabut fikirannya
apabila Regina sudah mula menghidupkan kisah Zahnita. Macam sengaja mahu
mencari gaduh pun ada.
“Gina saja nak tahu. Manalah tahu Gina boleh jadi
macam dia. Sama serupa macam dia!”
“Untuk apa Gina nak tiru Nita?” tekan Iqmal semakin
tidak senang.
Regina tersenyum pahit sendiri. “Gina tahu Nita
isteri yang baik. Sebab itu kehadiran dia terlalu bermakna buat abang. Tanpa
dia abang rasa kehilangan. Gina Cuma nak jadi isteri yang baik macam dia,”
jawab Regina amat perlahan.
Iqmal terus berdiam. Hatinya tersiat pedih saat nama
Zahnita kedengaran lagi. Ada rasa di dalam jiwa yang menyesakkan. Tidak mampu
lepas. Malas mahu melayan bicara Regina, Iqmal mengaut kain baju Zahnita lalu
dibawa keluar.
“Letak ajalah atas lantai tu. Biar Gina yang kemas.”
Iqmal kembali menoleh kepada isterinya. Buat
seketika wajah itu dipandang. Cuba mencari keikhlasan Regina.
“Sebelum simpan kena lipat dulu, susun elok-elok.
Takkan nak peruk aja macam tu,” ucap Regina lembut.
Bagaikan lembu dicucuk hidung, langkah diatur semula
mendekati Regina. Kain baju itu diletakkan di atas lantai di hadapan almari.
Regina tersenyum sedikit kepada lelaki itu.
“Abang keluar dulu. Kalau perlukan apa-apa, panggil
abang kat luar.”
“Okay..” sambut Regina lembut.
Pemergian lelaki itu dipandang sehingga Iqmal
menghilang. Regina terus pegun memikir sendiri. Seketika kemudian bola matanya
singgah pada longgokan kain baju milik sahabatnya. Sebahagiannya masih ada di
dalam almari. Tiba-tiba hatinya diketuk oleh rasa rindu. Dia terlalu ingin
mengerti. Kalau dia sendiri masih sukar menghalau cebisan perasaan itu, apatah
lagi Iqmal yang hidup bersama Zahnita. Dia sedar Iqmal sengaja tidak mengalih
pakaian Zahnita supaya dia dapat merasakan kehadiran wanita itu di
sekelilingnya. Iqmal masih tidak mahu melepaskan sebahagian daripada diri
Zahnita. Dia tahu! Tidak perlu Iqmal beralasan segala. Tidak tanduk lelaki itu
selalu ada dalam permerhatiannya.
Pagi tadi sebelum lelaki itu keluar, dia
terpandangkan Iqmal merenung bingkai gambar Zahnita saat dia mahu mengambil
kunci keretanya. Bingkai gambar itu masih ada di situ seperti mana pertama kali
dia melihatnya hampir setahun yang lalu. Iqmal tidak perasan dia memandang. Namun
tidak mampu dielak, hatinya benar-benar dijeruk oleh rasa cemburu melihat Iqmal
lebih senang memandang lama kepada gambar kaku itu berbanding merenung ke dalam
matanya. Dia seorang manusia yang masih bernyawa. Dia tidak pernah berhenti
mencintai lelaki itu selama ini. Namun sekarang entah apa salahnya dia
terpinggir daripada lelaki itu.
Dengan helaan nafas perlahan, Regina mula melipat
pakaian Zahnita. Sejam kemudian pakaian itu sudah elok bersusun. Menunggu masa
untuk dipindahkan.
Petang itu Regina meminta Iqmal menghantar dia
pulang ke rumah mamanya untuk mengambil keretanya. Lusa dia akan mula berkerja
semula. Tanpa kereta itu mati langkah dia jadinya. Tanpa banyak kira Iqmal akur
dengan permintaan sang isteri.
Namun lewat petang itu Regina kehairanan melihat
kereta Iqmal tiada di garaj. Sangkanya Iqmal terlebih dahulu sampai ke rumah.
Sebelum maghrib barulah Iqmal muncul semula di rumah.
“Abang pergi mana? Kenapa lambat sangat sampai
rumah?” tanya Regina hairan dengan tindak tanduk lelaki itu. Macam ada yang
tidak kena.
“Emm.. abang pergi kubur Nita sekejap tadi,” jawab
Iqmal agak serba salah. Ada tertera sedikit kebimbangan Regina tidak suka
dengan perbuatannya.
Terdiam Regina mendengar itu. Namun sekadar
menziarahi pusara masakan itu pun mahu dijadikan masalah? Sudahnya soal itu
mati di situ sahaja.
Apabila malam nan syahdu menjelma, Regina sempat
membayangkan sesuatu yang indah bakal berlaku setelah beberapa malam berlalu
tanpa apa-apa. Sengaja dia menempel kepada sang lelaki saat lelaki itu sedang
duduk bersantai di katil. Iqmal sempat tersenyum melihat isterinya bergaun
tidur singkat.
“Semalam abang mengantuk sangat. Hari ni?” ucap
Regina manja.
Senyum Iqmal sedikit melebar dalam pada dadanya mula
bergendang hebat. Resah asmara tidak pernah dilaluinya ketika bersama Zahnita
dahulu. Bukan tiada keinginan itu. Tetapi dia tidak tergamak meminta haknya
dalam keadaan Zahnita tidak berdaya.
Regina? Kecantikan yang dimiliki Regina masih tidak
memudar di matanya. Suatu masa dahulu dia memuja keindahan bola mata coklat
terang yang dipunyai Regina. Gadis kacukan Melayu dan Pakistan ini memang
jelita walau roman wajahnya tidaklah menyalin heroin-heroin Hindustan seperti
Manisha Koirala atau Madhuri Dixit. Namun hidung mancung ala-ala pakistannya memang
menawan.
Melihat Iqmal asyik merenung wajahnya, Regina
tersenyum bahagia. Baru kini dia merasa dirinya dekat dengan Iqmal. Baru kini
dia terlihat senyuman lelaki itu kepadanya.
“Tak mahu tidur awal ke malam ni?” tanya Regina
sekadar mahu menduga.
“Orang dewasa nak buat apa tidur awal sangat? Lainlah
baby,” jawab Iqmal lembut. Perlahan rambut wanita itu diusapnya. Kemudian tanpa
disuruh sebuah kucupan berlabuh di atas ubun-ubun si isteri.
“Dulu waktu Gina balik, Gina sangka kita akan ikut
haluan masing-masing sehingga akhir hayat kita. Takde lagi Abang Iqmal yang
dulu. Gina tak pernah terfikir hari ni Gina akan duduk sebelah abang sebagai
isteri,” ujar Regina perlahan.
Iqmal terus membisu. Usapannya terus berlabuh lembut
di kepala Regina. Sedetik dua itu keheningan merajai antara mereka. Iqmal terus
termenung sendiri. Khayalannya membawa dia jauh ke masa-masa dulu. Kepala Zahnita
diusap setiap kali isterinya dilanda kesakitan. Isterinya itu perlu didukung
setiap kali mahu bergerak kesan daripada ubat kemoterapi yang diberikan oleh
doktornya. Kesengsaraan Zahnita tidak mampu dipandang begitu sahaja. Namun ketabahan
Zahnitalah yang membuatkan dia kuat dan berani. Dia masih terlalu ingat. Betapa
pemalunya Zahnita. Ketika disahkan lumpuh sebahagian besar badannya, Iqmal terpaksa
menguruskan dirinya sehinggalah kepada lampin pakai buangnya.
Regina akhirnya mengangkat pandangan kepada sang
suami. Jauh menungan Iqmal dilihatnya. Riak di wajah Iqmal entah kenapa
memudarkan keceriaan di hatinya. Dia tahu Iqmal sedang memikirkan tentang orang
lain. Bukan tentang dirinya atau tentang mereka berdua.
“Abang fikir apa?” tegur Regina tibaa-tiba.
“Ha?” Iqmal tersentak. Pandangannya kembali
dihalakan kepada sang isteri di dadanya. Namun seketika kemudian wajahnya
dihalakan ke arah lain. Tidak sanggup membiarkan Regina merenung jauh ke dalam
matanya. Perlahan Regina menjarakkan dirinya daripada Iqmal. Sedih hatinya
melihat Iqmal langsung tidak menghalang. Fahamlah dia.. Iqmal tidak kisah pun
dengan kehadiran dia.
“Perasaan yang pernah ada dulu tu, dah takde lagi
pada abang, kan? Gina masih ingat apa yang Nita kata pada Gina dulu. Abang
masih sayangkan Gina walaupun dia isteri abang. Tapi sekarang Gina rasa apa
yang dia kata tu salah,” ujar Regina agak kelat.
“Gina.. janganlah cakap macam tu. Abang tak suka
membandingkan perasaan abang pada Gina dan Nita,” jawab Iqmal separuh memujuk.
“Tapi waktu dengan Gina pun abang ingat dia,” ucap
Regina dalam rasa sendu yang terkulum sendiri. Tiada ertinya wasiat Zahnita
jika perasaan Iqmal kepadanya langsung menghilang. Kehadiran dia di dalam hidup
Iqmal seolah tidak membawa makna. Iqmal sengaja membataskan diri. Iqmal yang
dikenalinya dahulu sudah jauh berubah.
“Bukan sehari dua abang dengan Nita, Gina. Sehari dua
tak cukup untuk abang lupakan semuanya tentang dia,” jawab Iqmal lagi.
“Gina tak pernah suruh abang lupakan Nita. Cuma yang
Gina tak faham, kenapa dulu abang tak katakan saja yang abang dah takde
perasaan pada Gina? Kenapa bagi harapan kosong? Gina pun tak mahu rumitkan
keadaan kita kalau benar antara kita dah tak macam dulu.”
Iqmal terdiam dibidas isterinya. Terkebil-kebil
matanya memandang Regina.
“Mungkin salah Gina juga. Gina takde di sisi Nita
waktu dia perlukan Gina. Sampai abang yang perlu berada di sisi dia. Gina Berjaya
capai cita-cita Gina. Tapi Gina hilang lelaki yang paling Gina sayang,” tokok
Regina semakin kelat.
“Gina, tak payahlah sebut semua tu lagi. Abang masih
ada dengan Gina, kan?”
Senyum pahit mula terukir di bibir wanita itu. Iqmal
memang masih ada dengan dia. Tapi hanya jasadnya. Fikirannya entah di mana. Entahkan
sedang berada di kayangan bersama Zahnita.
“Kadang-kadang abang tak mampu berhenti memikirkan
tentang Nita. Kenangan-kenangan tu sentiasa hidup dalam fikiran abang. Kenangan
tu tidaklah semanis waktu kita bercinta dulu. Tapi kenangan tu membawa erti
yang besar pada abang.” Iqmal bersuara sambil menghela keluhan panjang.
Regina terus mendengar biarpun hatinya bagai disiat
kala itu. Dia sedar mengapa keadaan itu terjadi. Dia pernah mendengar kata-kata
Ariya sebelum ini. Zahnitalah wanita yang bersama Iqmal saat susah dan senang
lelaki itu. Dia? Dia tidak mampu begitu ketika jasadnya berada di jauh di
Ireland dahulu.
“Gina, tidurlah. Abang nak keluar sekejap.” Iqmal
tiba-tiba memilih untuk menjauh pula.
Regina sekadar memandang lelaki itu bangun dari
katil. Saat itu dia seperti mahu menangis sahaja. Masih dia ingat kata-kata
Iqmal ketika di hospital beberapa bulan dulu. Iqmal meminta dia menjauhkan
diri. Hidup lelaki itu hanya untuk Zahnita. Seharusnya waktu itu dia sedar
kata-kata Iqmal memang benar. Bukan kerana Iqmal serba salah dengan sisa kasih
yang ada kepada dirinya. Tetapi sebenarnya Iqmal serba salah kepada dirinya
yang masih berharap sedangkan namanya sudah lama mati dalam diri lelaki itu!
Rindunya
telah lama berlabuh di pantai. Sayangnya lautan tetap sepi.
Sikap suka termenung lelaki itu terus-terusan menjeruk
perasaan Regina. Biarpun tidak secara jelas, namun dia tetap merasakan
penolakan lelaki itu kepadanya. Kusam warna hidupnya. Keindahan berumahtangga
langsung tidak mahu singgah di hadapan pintu rumahnya. Regina tidak tahu apa
sebenarnya yang dimahukan Iqmal daripadanya. Dan dia tidak tahu mengapa lelaki
itu jadi begitu.
Kalau sebelum ini Iqmal sengaja membiarkan pakaian
Zahnita terletak elok di dalam almari, kali ini pertengkaran mereka berdua
berkisar lagi tentang pakaian-pakaian itu. Puncanya apabila dia meminta izin
Iqmal untuk memberikan beberapa helai pakaian Zahnita kepada Ariya.
“Kenapa pulak tak boleh? Ary nak simpan sebagai
kenangan,” ucap Regina kepada lelaki itu.
“Biarkan baju tu kat situ. Jangan usik! Jangan ada
sehelai pun pakaian Nita keluar dari rumah ni,” ucap Iqmal cukup serius.
“Abang ni dah kenapa? Ary nak baju tu. Simpan banyak-banyak
nanti buruk macam tu aja. Sekurang-kurangnya baju tu boleh digunakan,” tekan
Regina.
“Dia dah takde duit ke nak beli baju sendiri?” balas
Iqmal. Spontan baju di tangan Regina diambilnya lalu dimasukkan semula ke dalam
kotak. Kotak itu diangkutnya naik ke kamar atas. Regina yang memandang terasa
mahu menjerit kepada lelaki itu. Mengapa sampai begitu sekali Iqmal sensitive tentang
Zahnita? Apa salahnya jika sebahagian pakaian yang masih elok diberikan kepada
Ariya? Bukankah Zahnita juga sahabat kepada Ariya?
Sudahnya Regina terduduk di birai katil. Nafas dihela
berkali-kali agar dia bertenang. Entah mengapa, hidup berdua bersama Iqmal. Namun
dia terasa seperti ada orang ketiga di antara mereka. Sakit jiwakah lelaki itu
sebenarnya? Bukan sekali dua dia melihat sikap Iqmal aneh begitu. Kadang kala
dia merasakan Iqmal seperti hidup dalam dunianya sendiri. Jadi untuk apa
sebenarnya Iqmal mengahwini dia?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan