Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Khamis, 21 Mei 2015

Bab 32 BUTAKAH CINTA


Musim kehamilan kali ini sungguh-sungguh mencabar buat Regina. Alahan di waktu pagi itu sudah wajib. Namun alahan itu tidak sekadar di waktu pagi. Sepanjang hari menyeksanya dengan rasa sakit kepala dan muntah. Lintang pukang hidup dibuatnya.
Namun Iqmal tetap sabar melayan kerenah wanita itu. Walaupun masih belum begitu kelihatan kandungannya namun Regina kerap mengambil cuti sakit. Dalam keadaan dirinya lemah tidak tertanggung, segala urusan rumahtangga tidak mampu disentuhnya termasuklah Arabella. Semua Iqmal yang uruskan.
Jam dua petang itu panggilan daripada seorang kakitangan hospital membuatkan Iqmal panas punggung di pejabat. Sudahnya ruangan kerjanya ditinggalkan begitu sahaja untuk mendapatkan isterinya di PPUM. Di unit kecemasan dia bertemu dengan seseorang yang membawa dia kepada Regina. Isterinya sedang berehat di katil rawatan seorang diri.
“Gina..” panggil Iqmal lantas mendekati sang isteri.
Regina mula membuka mata saat kepalanya disentuh seseorang. Terlihat Iqmal di situ kelopak matanya kian membesar.
“Gina nak balik abang. Tak tahan dah duduk sini,” ujar wanita itu lemah. Bau ubat di sekelilingnya benar-benar membuatkan dia tidak tahan. Naik sakit tekaknya akibat asyik muntah.
“Ya. Abang nak bawa Gina baliklah ni.”
Berpusu-pusu mata kakitangan memandang Regina dibawa pergi oleh Iqmal. Sibuk masing-masing memandang sambil berbisik sesama sendiri.
“Itu suami baru dia rupanya. Boleh tahan juga orangnya. Baiknya laki dia. Kalau laki aku, lantak kaulah nak pengsan ke apa! Sok.. sek.. sok.. sek..”
Setiba di rumah, Regina dibawa naik ke atas. Iqmal duduk di sisi sang isteri setelah wanita itu dibaringkan.
“Gina nak makan tak?”
“Gina tak boleh nak makan,” jawab wanita itu perlahan. Makan pun tiada guna. Habis semuanya keluar semula.
“Abang buatkan Gina bubur ya? Boleh isi perut,” ucap Iqmal lagi. Tanpa menunggu jawapan Regina dia terus bangun.
Di dapur lelaki itu bersungguh-sungguh menyediakan makanan buat sang isteri. Segala macam sayur disumbatnya ke dalam bubur itu. Hirisan daging ayam turut dicampur sekali di dalam bubur itu. Teringat pesanan emak mertuanya sebelum ini, Regina paling suka ikan bilis goreng dimakan bersama bubur. Iqmal menggoreng ikan bilis di dalam kuali sambil bubur dibiarkan di atas dapur. Selesai memasak dia membawa bubur naik ke atas.
“Sayang..” wanita itu disentuh lembut.
Regina pantas membuka mata.
“Abang buatkan bubur. Ada ikan bilis goreng. Nak tak?” tanya Iqmal sekadar mahu mengumpan selera isterinya.
Mendengar itu Regina mengangguk perlahan. Walaupun agak payah, dia cuba juga bangun. Melihat bubur itu berseri-seri dengan segala macam ramuan seleranya terbuka serta merta.
“Abang tiup dulu ya? Panas ni..”
Regina sekadar memandang. Seharian tidak makan tubuhnya mula terasa menggigil. Namun suapan pertama, wajah Regina berkerut seolah-olah bubur itu terlalu masin. Baru separuh bubur itu masuk ke perutnya, Regina sudah bangun dari tilam. Mulutnya ditekup sambil berjalan laju ke kamar mandi. Sudahnya apa yang masuk ke perutnya tadi dimuntahkan semula di dalam sinki. Iqmal hanya mampu mengeluh melihat Regina muntah lagi. Belakang isterinya ditepuk lembut.
Sudahnya baki bubur itu terbiar begitu sahaja tanpa mahu ditelan lagi oleh Regina. Sakit di kepalanya semakin kuat.
“Gina tak larat sangat ni, abang. Seksanya..” rayu perempuan itu hampir mahu menangis. Sukar benar dia menahan diri. Kenapa kehamilan kali ini terlalu mencabar? Sedangkan ketika dia mengadungkan Arabella, semuanya tidak sedahsyat ini.
“Sabar, sayang. Ini ujian Allah. Abang ada. Abang akan jaga Gina baik-baik. Gina rehat ya?” bisik Iqmal perlahan.
“Bella..”
“Jangan risau pasal Bella. Abang ambil dia sekejap lagi. Gina tidur ya?” pujuk sang lelaki tanpa jemu. Rambut isterinya diusap penuh kasih sayang.
Regina sekadar mengangguk. Tanpa lelaki ini entah macam manalah hidupnya.
Malam itu Arabella sendirian lagi tanpa perhatian sang ibu. Kasihan anak itu. Ketika dia mahu menghampiri Regina, Iqmal melarang anak itu mengusik lena Regina.
"Arabella.." Panggil Iqmal lembut.
"Mama mana?"
Iqmal segera meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Meminta anak itu diam.
"Papa cedokkan nasi ya?" ucap Iqmal lembut.
"Mama?" tanya Arabella lagi.
"Mama tak sihat tu, sayang. Jom.." Ajak Iqmal lantas mencapai tangan anak itu. Arabella sekadar menurut ajakan Iqmal.
"Nape dengan mama?" Tanya Arabella lagi. Aneh rasanya. Selalunya mamanya yang melayan dia di meja makan. Tetapi semenjak tadi dia hanya keseorangan.
"Mama demam. Bella makan ya? Papa temankan Bella makan," ujar  Iqmal sambil kepala anak itu diusapnya.
Sedang dia sibuk melayan Arabella, telefon rumah itu dihubungi seseorang. Iqmal terus bangun. Suara Puan Iffah kedengaran di telinganya.
"Gina tak sihat lagi?"
"Belum, mama." Iqmal menjawab lembut.
"Mana Bella?"
"Tengah makan tu."
"Teruk ke alahannya tu?" Puan Iffah terus menyoal risau mengenangkan anaknya itu.
"Teruk juga. Langsung tak mahu makan," jawab Iqmal lantas menghela nafas perlahan.
"Paksa dia makan. Cakap dengan Gina, mama suruh Abang Iqbal ambil Bella esok. Biar Bella dengan mama. Kamu jaga Gina baik-baik. Jangan lupa pesan mama tadi. Suruh dia makan juga. Sikit pun jadilah."
"Yalah.."
Iqmal menghela nafas perlahan usai bercakap dengan emak mentuanya. Mahu anak mudah sahaja. Tapi ragamnya benar-benar menguji. Simpati Iqmal tiada berbatas mengenang Regina. Pengorbanan yang tidak mampu dibalas dengan apa pun di atas dunia ini.
Setelah menguruskan Arabella, Iqmal naik semula menjengah sang isteri. Regina terjaga tiba-tiba saat ada beban terhenyak di sebelahnya. Biarpun agak payah dia cuba juga membuka mata. Namun sakit kepalanya benar-benar membuatkan dia mengeluh sendiri. Tidak tahu mengapa sakit kepalanya ini seperti tidak mahu berhenti.
“Gina nak makan tak?”
Cepat sahaja Regina memberi jawapan tidak. Mendengar istilah makan sahaja pun sudah membuat dia merasa tidak selesa.
“Dari petang tadi Gina tak makan. Abang risau tengok Gina macam ni,” ucap Iqmal sambil kepala sang isteri diusap lembut.
“Gina nak bangun sekejap, abang.” Wanita itu berbisik perlahan sambil tangannya terus mencapai lengan sang suami untuk berpaut.
“Nak bangun?” bahu sang isteri diangkatnya penuh hati-hati. Terhegeh-hegeh Regina menurunkan kedua-dua belah kakinya dari katil. Dunia di sekelilingnya terasa berputar ligat.
“Gina..” panggil Iqmal semakin risau melihat Regina tunduk memegang kepalanya. Bahu wanita itu dipegangnya erat. Regina tidak mampu menjawab. Lubang tekaknya mula terasa mual tanpa sebab.
“Gina nak pergi mana?”
“Toilet,” balas Regina tanpa memandang. Kepalanya dipicit kuat sambil menunduk di birai katil.
“Abang hantarkan ya?” ucap Iqmal lembut.
Lelaki itu segera mendekati Regina. Wanita itu dibantunya bangun. Regina hanya mampu membiarkan tubuhnya dicempung Iqmal. Entah kenapa saat ini, dia teringat kepada Zahnita. Adakah seperti ini layanan Iqmal sehingga membuatkan wanita itu tidak pernah bersangka buruk kepada Iqmal? Lelaki itu menemaninya sepanjang masa. Buat apa sahaja untuk dirinya dalam keadaan dirinya tidak berdaya. Tanpa sedar semakin erat leher lelaki itu dipeluknya sehingga Iqmal menurunkan dia di dalam kamar mandi.
“Abang keluarlah. Gina boleh buat sendiri,” ucap Regina hairan melihat Iqmal tercegat di hadapannya.
“Tak boleh. Abang risau biarkan Gina sorang-sorang dalam ni,” ucap Iqmal tetap pegun di situ.
“Gina seganlah..” rungut Regina perlahan. Urine yang ditahan hampir sahaja mahu terkeluar. Iqmal pula sibuk mahu menemankan dia di situ. Manalah dia tidak segan?
“Nak segan buat apa? Abang ni bukannya orang lain,” jawab Iqmal langsung tidak kisah.
Sudahnya Regina menebalkan muka melepaskan hajat dek kerana rasa nak terkucil itu sudah tidak mampu ditahan.
“Abang tolong cebokkan ya?” ucap Iqmal lantas mencapai saluran paip air di tepi Regina.
“Tak payahlah! Gina boleh buat,” getus wanita itu lantas getah paip air itu cuba dicapainya.
“Biarlah abang buat. Gina tak sihat ni. Gina duduk diam aja,” jawab Iqmal selamba.
“Setakat bercebok, Gina boleh buat!” ucap wanita itu semakin tidak tentu arah. Bukan makin kuat dia mengepit pahanya. Malu benar dia dengan lelaki itu. Sampai nak tolong cucikan? Oh tidak! Gelihati pun ada melihat kesungguhan Iqmal mahu membantunya.
“Gina, jangan degil cakap abang,” tegur Iqmal tidak senang melihat isterinya tidak mahu memberikan kerjasama.
“Gina nak buat sendiri. Bak sini benda tu,” balas Regina lantas meminta saluran air itu daripada Iqmal. Sudahnya Iqmal akur juga dengan kehendak isterinya.
“Pandang sana!” ucap Regina lagi. Segannya masih bersisa melihat Iqmal pegun menatap dirinya.
Lambat-lambat Iqmal berpaling ke belakang.
“Dah.” Laju kepala Iqmal memandang ke arah Regina semula setelah terdengar sepatah kata itu. Tanpa disuruh dia mendekati Regina. Apa yang tidak betul, dia pula yang sibuk tolong betulkan sehingga tangannya dicubit halus oleh Regina.
“Sibuknya dia ni! Benda yang tak perlu di sentuh, tak payah berlama-lama kat situ!” marah Regina.
“Apa dia?” balas Iqmal tidak mengerti. Tolong pun marah? Tercengang Iqmal memandang isterinya.
“Tak payah sibuk nak pegang sana pegang sini. Gina tahu abang sengaja nak ambil kesempatan,” tuduh Regina selamba.
Terkulat-kulat Iqmal mendengar kata-kata isterinya.
“Kenapa? Tak mahu mengaku?” sergah perempuan itu geram melihat reaksi Iqmal.
“Gina ni tak baik tuduh abang macam tu. Mana ada abang ambil kesempatan. Dah kesempatan tu sendiri yang datang kat abang. Nak buat macam mana? Takkan abang nak tolak,” jawab Iqmal macam bersungguh aja.
Makin meruap-ruap Regina memandang muka selamba Iqmal. Sedap aja dia bercakap. Peluang yang datang kat dia konon!
“Jom..” spontan isterinya itu dicempung semula keluar dari kamar mandi. Tubuh Regina diletakkan elok di atas tempat tidur. Kemudian Iqmal duduk menghadap wanita itu bersandar di kepala katil.
“Kalau nak pergi tandas lagi, cakap dengan abang ya?”
Regina sekadar mengangguk. Namun dalam hati dia menjawab lain. Memang taklah..
“Gina nak makan? Abang boleh ambilkan.”
“Tak nak. Tak boleh terima langsung tekak ni. Gina nak minum aja,” balas perempuan itu perlahan.
“Abang ambilkan air ya?” ucap lelaki itu lantas bangun mendapatkan bekas air masak di atas meja kecil di tepi katil itu. Setiap perbuatan lelaki itu terus dipandang Regina penuh kasih sayang. Seorang lelaki yang telus dalam perbuatannya. Jika sayang, nyata sekali kasih sayang itu melalui tindak tanduknya. Begitu juga sebaliknya. Iqmal lelaki yang tidak mampu berpura-pura hanya dengan kata-kata. Itulah istimewa Iqmal di matanya.
“Minum, sayang.”
“Terima kasih..” ucap Regina lantas menyambut gelas putih yang dihulurkan Iqmal.
“Gina betul tak mahu makan? Petang tadi pun sikit sangat Gina makan. Kalau Gina tak sihat, nanti baby kita pun tak sihat. Bubur petang tadi banyak lagi. Abang boleh panaskan sekejap,” pujuk Iqmal saat isterinya meneguk perlahan air putih.
Regina menghela nafas perlahan. Setelah gelas jernih itu diletakkan di tepi dia mencapai tangan Iqmal.
“Abang dah makan?” tanya Regina pula.
“Belum. Abang susah hati tengok Gina macam ni, macam mana abang nak makan? Abang makan kenyang-kenyang. Tapi isteri abang tak mampu makan.”
Lama pandangan Regina singgah ke wajah itu. Entah kenapa hatinya sayu. Sekarang dia mengerti mengapa arwah Zahnita tidak pernah bercakap buruk tentang lelaki ini. Lelaki ini sentiasa terbaik di mata Zahnita. Dia tidak pernah melihat betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan Iqmal buat Zahnita suatu masa dulu. Tetapi dia telah melihat betapa bersungguhnya lelaki ini menjaga dirinya sehingga melupakan kepentingan diri sendiri. Disaat dia tidak lena, Iqmal juga tidak lena. Tangan lelaki itu sentiasa mengusap kepalanya agar dia dapat lena.
Sungguh. Dia rela bertahan akan segala macam pahit getir demi melahirkan cahaya mata buat lelaki yang paling istimewa di hatinya.
“Kenapa Gina pandang abang macam tu?”
“Gina sayang abang sangat-sangat,” ucap Regina tiba-tiba. Jemari lelaki itu diramas lembut.
“Abang pun sayang Gina. Abang nak tengok Gina kuat menghadapi keadaan ini,” balas Iqmal perlahan.
“Kita makan sama ya?” kali itu sedikit senyuman diukir buat sang suami. Agar gusar di hati sang lelaki beransur pergi.

Mendengar itu cerah wajah Iqmal. Kebimbangannya beransur pergi. Permintaan itu, kecil tapak tangan.. dunia ini mahu ditadahkan!

2 ulasan:

  1. Bestnya. Kalau boleh memang nak hubby macam Iqmal.

    BalasPadam
  2. Ada ke suami yg mcm ni kt luar sana..baik melayan kerenah istri

    BalasPadam