“Dada ni sakit sangat, bonda. Sesak
nafas,” jawab lelaki itu cukup payah.
“Sakit dada?” wanita tua itu terus
bangun mendekati Tengku Ahmad Ehsan. Tali leher anaknya itu segera dilonggarkan.
“Aisyah!” laungnya sambil memandang sekeliling mencari kelibat Toh Puan Siti
Aisyah.
“Aisyah!! Sini lekas!” sekali lagi dia
menjerit. Tunku Zainab sudah benar-benar panik. Keadaan Tengku Ahmad Ehsan
semakin teruk dilihatnya. Anaknya itu tercungap-cungap macam orang baru habis
acara lumba lari.
“Ya, bonda. Ai datang ni.” Tidak lama
kemudian Toh Puan Siti Aisyah muncul dari arah dapur.
“Apa yang kamu buat lama-lama di dapur
tu? Sini lekas.. tengok suami kamu ni,” degus Tunku Zainab dalam kekalutan yang
sudah tidak terkawal. Tangannya asyik mengusap dada Tengku Ahmad Ehsan.
“Ya Allah.. Ehsan, kenapa ni?” Toh Puan
Siti Aisyah pula yang kalut melihat suaminya begitu. “Ehsan! Pandang saya.” Dia
cuba memanggil lagi sambil meraih wajah suaminya. Mulut lelaki itu terbuka
dengan lidah sedikit terjelir. Mata hitamnya kelihatan naik ke atas.
“Bonda, kenapa dengan Ehsan ni?” hampir
menangis Toh Puan Siti Aisyah ketakutan. Tubuh suaminya digoncangkan lagi.
“Ehsan!” kali Tunku Zainab pula cuba
menggoyangkan tubuh lelaki itu. Namun panggilannya tetap tidak mendapat
sebarang jawapan. “Biar bonda panggil ambulan,” Tunku Zainab terus meninggalkan
meja makan itu untuk ke ruang tamu.
5 jam kemudian Tengku Ahmad Ehsan sudah
pun ditempatkan di wad untuk menjalani bermacam-macam lagi jenis ujian lanjutan.
Namun pada peringkat awal setelah selesai melakukan pemeriksaan ECG, doktor
menjangkakan yang lelaki itu telah mengalami serangan jantung akibat masalah
angina tidak stabil. Lelaki itu terpaksa direhatkan dengan ubat pencair darah.
Selepas makan tengahari itu Farah tiba
di hospital seorang diri. Mahu tidak mahu dia terpaksa memberitahu apa yang
pernah dilihatnya tentang bosnya itu.
“Berapa kali awak nampak dia sakit di
pejabat?” soal Toh Puan Siti Aisyah agak terkejut mendengar berita itu daripada
mulut Farah.
“Sebelum ni Tengku ada meminta untuk
berjumpa Dr. Mohammad. And then after a
few days.. I ada nampak dia lain macam waktu lepas meeting. I tanya dia, dia
kata dia sesak nafas. I advice dia supaya pergi hospital terus tapi Tengku tak
mahu. Dia kata nak tunggu temujanji dia dengan Dr. Mohammad.” Farah berkata
sambil memandang dua wanita di hadapannya itu.
“Kenapa awak tak bagitahu saya tentang
itu?” tekan Toh Puan Siti Aisyah kesal. Bukan kesalkan Farah sebaliknya kesal
kerana dia tidak perasan kelainan suaminya selama ini. Dia tidak tahu langsung
yang suaminya sedang menderita penyakit jantung.
Farah sekadar mendiamkan diri. Dia juga
kesal kerana tidak memberitahu hal itu kepada isteri bosnya sedangkan mereka
sering berhubung selama ini. Ah! Sesal sekarang pun apa guna. Semuanya dah
berlaku.
“Sudahlah.. benda dah jadi. Tak perlu
kita perbesarkan benda yang tak mampu kita tarik semula.” Tunku Zainab segera
mencelah. Anaknya di atas katil itu dipandang sekilas. Sayu hatinya melihat
wayar-wayar yang menyelimuti tubuh itu dan mesin-mesin yang setia mengapit lelaki
itu.
“Macamana dengan Rina? Bila nak beritahu
dia?” Tunku Zainab kembali memandang menantunya itu.
“Tak tahulah, bonda. Ai bimbang.. takut
Rina tu terkejut.” Toh Puan Siti Aisyah menjawab perlahan. Semakin resah
memikirkan penerimaan Edrina yang sedang hamil sekarang.
“Seeloknya kamu beritahu dia, Ai. Jangan
sampai dia dapat tahu daripada orang luar. Kata-kata Tunku Zainab ikut
dipersetujui oleh Farah yang menelinga sahaja perbualan dia manusia itu. Wanita
itu mengangguk pantas.
“Ai, tak sanggup nak bagitahu dia,
bonda. Ai takut dia tak mampu kawal perasaan,” ujar Toh Puan Siti Aisyah agak
payah.
“Apa pun keadaannya beritahu dia, Ai.
Dia perlu dan dia berhak tahu apa yang berlaku pada papa dia. Keadaan ni harus
diharungi oleh semua ahli keluarga ni. Ini masalah kita bersama. Insya-Allah
dia akan baik-baik saja,” ujar Tunku Zainab tenang sahaja.
Toh Puan Siti Aisyah mengangguk
perlahan. Mulalah fikirannya mencongak ayat apa yang hendak dipersembahkan
kepada anaknya itu. Namun sedang wanita itu berfikir sendiri wajah menantunya
melintas di benak tiba-tiba. Rasanya lebih baik dia memberitahu kepada Emran
tentang hal ini. Macamana caranya Emran mahu memberitahu Edrina, terpulanglah
kepada lelaki itu. Lelaki itu pasti tahu apa yang perlu dilakukan nanti.
“Okay.. nanti saya bagitahu dia, ma. Mama jangan bimbang.
Tahulah saya nak cakap dengan dia macamana,” ujar Kudin melalui corong itu.
“Insya-Allah, ma. Mama dengan nenda jangan stress sangat.
Saya akan bawak dia ke sana secepat mungkin,” jawab Kudin bersungguh.
“Kenapa?” Mokhtar tercengang sedikit melihat reak wajah
Kudin yang sudah berubah usai berbual melalui telefon itu.
“Bapak mertua aku sakit. Aku kena balik ni, Mokhtar.
Beberapa hari ni kau tolong jaga kolam dan ladang kita. Ada apa-apa call aja
aku. Aku nak ke KL sekejap lagi ni.” Kudin terus bangun dari kerusinya. Poket
seluarnya diseluk untuk mencari kunci keretanya.
“Baik-baik memandu tu, Kudin. Jangan kau pulak yang
lalai,” pesan Mokhtar ikut terasa kebimbangan Kudin.
“Insya-Allah..” jawab Kudin pendek sebelum berlalu ke
keretanya. Namun ketika di luar dia ternampak Lisa berjalan ke arahnya. Lisa
mula berlari anak apabila ternampak Kudin sedang menuju ke arah keretanya.
“Abang nak ke mana?” tanya Lisa sebaik sahaja tiba di
tepi kereta Kudin.
“Nak balik. Ada hal penting,” jawab Kudin biasa. Pintu
keretanya terus dibuka.
“Hal apa, bang?” tanya Lisa mula terdesak mahu tahu.
“Ayah mertua aku sakit. Aku nak balik cepat,” jawab Kudin
lantas meloncat masuk ke dalam keretanya. Namun Lisa menahan pintu kereta itu
saat ditarik Kudin.
“Abang nak pergi KL ke?” tanya Lisa lagi.
“Ya..”
“Mak abang ikut sekali?”
“Ikutlah. Takkanlah besan tengah sakit, dia nak duduk
buah kuih pulak kat rumah tu?” getus Kudin sedikit tajam.
Lisa termanggu seketika. Ya tak ya juga.. “Jadi berapa
hari abang nak ke KL tu?” tanya Lisa lagi.
“Lisa, aku dah takde masa nak layan soalan remeh kau ni.
Boleh tak kau lepaskan pintu tu. Aku nak balik lekas ni,” getus Kudin sedikit
keras. Nak suruh aku jadi kaunter pertanyaan pun nanti-nantilah! Tanya banyak
dalam keadaan aku tengah serabut macam ni memang mintak kena marah ajalah,
desis hati Kudin menyampah kepada gelagat gadis itu. Ramah tak kena masa inilah
dia.
Wajah Lisa terus berubah kala itu. Berlagak betullah dia
ni. Aku tanya dia baik-baik, dia sedap-sedap aja tengking aku, getus hatinya
sendiri. Namun akhirnya dia melepaskan juga pintu kereta itu tanda membiarkan
Kudin berlalu.
Kudin pulang ke rumah emaknya terlebih dahulu. Sekadar
memberitahu dan meminta emaknya bersiap untuk mengikutnya ke Kuala Lumpur.
Kemudian dia pulang ke rumah pula.
“Rina..” panggil Kudin sebaik sahaja dia naik ke atas
rumah.
“Ya, Rina kat sini.” panggilan Kudin bersambut dari arah
dapur. Kudin terus menghalakan kaki ke sana. Edrina sedang memasak rupanya.
Melihat wajah ceria isterinya itu tiba-tiba lidahnya terasa berat mahu
mencalarkan keceriaan itu dengan berita penting yang sedang dipendamnya.
“Awal abang balik?” Edrina tersenyum kepada suaminya itu.
“Kita kena pergi KL,” jawab Kudin tanpa secalit pun
senyuman di wajahnya.
“Pergi KL? Ada apa?” tanya Edrina sedikit terkejut.
Kudin tidak segera menjawab. Api yang menyala di atas
dapur dimatikan serta merta sebelum dia kembali memandang raut isterinya
isterinya itu. Edrina sedang memerhatikannya dengan reaksi kabur.
“Papa sakit. Mama call abang tadi bagitahu yang papa
dimasukkan ke IJN akibat serangan jantung.” Saat itu barulah Kudin menjelaskan
hal yang sebenarnya.
Edrina terkedu memandang wajah Kudin. Seketika kemudian
tangannya terus melekap di bibir bagaikan sedang cuba menahan dirinya daripada
hilang kawalan.
“Sayang, abang tahu sayang terkejut. Sabar ya? Mama kata
papa stabil. Takde apa yang nak dirisaukan. Tapi kita kena pergi KL cepat. Kita
siap sekarang ya? Abang dah suruh mak bersiap kat rumah. Lepas ni kita ambik
mak, lepas tu terus pergi.” Kudin segera memaut tubuh isterinya itu. Bimbang
wanita itu tumbang pula.
“Papa sakit jantung?” tanya Edrina masih dengan rasa
terkejut yang membukit. Dia tidak pernah tahu ayahnya ada penyakit itu.
“Itu yang doktor kata pada mama tadi,” jawab Kudin rendah
sahaja.
“Tapi papa sihat selama ni, bang..”
“Shhhttt..” Kudin mengeleng sambil meletakkan jarinya di
bibir isterinya. “Sakit ni ujian Allah. Bila masanya penyakit nak datang pada
tubuh kita dan bila dia nak pergi semuanya ketentuan Allah. Jangan kesalkan
semua ni. Kita kena sabar dengan semua dugaan ni,” pujuk Kudin lembut.
Edrina termanggu. Dia benar-benar tidak tahu apa yang
harus diucapkannya. Sungguh! Dia benar-benar tidak bersedia untuk menghadapi
semua ini.
“Jom kita masuk bilik. Abang tolong sayang kemaskan baju
kita.”
Edrina masih kebingungan tatkala tangannya ditarik pergi
oleh Kudin. Dia terasa mahu menangis namun air matanya seperti takut untuk
keluar. Di dalam kereta sepanjang jalan itu Edrina terus membisu melayan
keresahan di dalam dadanya. Pandangannya terus dihalakan ke luar jendela sambil
membayangkan keadaan ayahnya saat ini.
Sebaik sahaja tiba di wad orang pertama yang ditemui
Edrina adalah emaknya. Dia terlupa langsung dirinya sedang berbadan dua. Wanita
itu terus diterpanya. “Mama..”
Tubuh anak itu terus didakap Toh Puan Siti Aisyah erat.
Edrina menangis sayu di dalam dakapan wanita itu. “Sabar ya, sayang. Jangan
menangis. Tak baik untuk baby Rina,” pujuk wanita itu lembut.
“Kenapa mama tak call Rina?” tanya Edrina sebaik sahaja
tubuhnya dilepaskan oleh si ibu.
“Mama tak berani, sayang. Mama takut Rina terkejut. Mama
bimbang sesuatu akan terjadi pada Rina. Sebab tu mama call Emran.
Sekurang-kurangnya Emran tahu apa nak buat kalau Rina tak kuat,” jawab Toh Puan
Siti Aisyah lembut. Wajah menantu dan besannya itu sempat dipandangnya.
Edrina mengangguk tanda menerima alasan emaknya itu.
Perlahan air matanya diseka dengan jemarinya. “Rina nak masuk tengok papa.”
“Marilah.. nenda pun ada di dalam temankan papa.”
Kudin terus mendapatkan Tunku Zainab sementara Edrina
mendapatkan ayahnya. Tangan wanita itu diciumnya penuh hormat. Mak cik Kunah
sempat berpelukan dengan Tunku Zainab.
“Papa, Rina datang ni.” Air mata Edrina gugur tatkala dia
mencium tangan kaku lelaki tua itu. Betapa hatinya sayu tidak terucap saat
memandang keadaan ayahnya begitu. Sedarlah dia kini.. akan sampai juga satu
masa nanti Tuhan akan menarik semula masanya dengan seorang lelaki bernama ayah.
Sedangkan dia tidak pernah berusaha menjadi anak yang baik kepada ayahnya
selama ini. Dia tidak pernah peduli kepada perasaan ayahnya. Dia tidak pernah
kisah untuk membahagiakan lelaki itu. Dia culas untuk mengorbankan kehendaknya
demi seorang ayah.
“Jangan menangis, sayang. Papa baik-baik aja,” pujuk
Tunku Zainab lembut. Belakang cucunya itu diusap lembut. Kudin hanya mampu
memandang sayu isterinya itu.
“Rina rindukan papa, Nenda.” Edrina meluahkan bicaranya
perlahan. Dia sendiri sudah lupa bila kali terakhir dia ada menghubungi lelaki
ini. Dia hanya tahu menghubungi ayahnya bila dia ada masalah. Selalunya dia
hanya berbual dengan emaknya sahaja di telefon.
“Insya-Allah papa akan sembuh, sayang. Doa kita akan
Allah makbulkan nanti. Yakin dengan Allah,” ucap Tunku Zainab tetap tenang,
memujuk anak itu.
“Apa rawatan yang sesuai untuk penyakit papa ni, nenda?”
celah Kudin tiba-tiba.
“Doktor mencadangkan pembedahan pintasan jantung. Tapi
semua tu hanya akan diputuskan bila semua pemeriksaan susulan selesai. Papa
masih perlu menjalani beberapa ujian lagi untuk mengesan tahap penyakitnya.”
Tunku Zainab menjawab tenang.
“Bypass ke, nenda?” soal Edrina dengan mata kembali
berkaca. Tunku Zainab hanya mengangguk. Edrina tidak terkata lagi mendengar
itu.
“Rina, setiap penyakit Allah beri, DIA juga akan beri
penawarnya. Insya-Allah semuanya akan baik-baik aja,” ucap Mak cik Kunah pula.
Risau dia melihat Edrina asyik menangis sahaja dalam keadaan dia berbandan dua
begitu.
Edrina kembali memandang ayahnya itu. Wajah lelaki itu
dipandang tanpa putus. Perlahan dia mengusap lengan lelaki itu. Jangan
tinggalkan Rina, papa. Rina tak sanggup kehilangan papa secepat ini. Rina
sayang papa.. bisik Edrina saat matanya terus terhala kepada lelaki itu.
Kudin mula mendekati Edrina. Bahu wanita itu diusapnya
lembut sebagai penyokong kepada isterinya itu. Harap-harap Edrina tabah melalui
keadaan itu.
“Rina takut, abang. Rina tak sanggup kehilangan papa seawal
ini. Rina banyak buat salah dengan papa selama ni,” keluh Edrina kesayuan.
“Jangan cakap macam tu, sayang. Insya-Allah.. Allah akan
kembalikan papa pada kita semua. Kita kena banyak berdoa. Allah bagi ujian
sebab DIA nak dengar suara kita meminta pada DIA. Jangan fikir yang bukan-bukan
dulu dalam keadaan macam ni. Kita kena usaha untuk mencari penawarnya disamping
berdoa. Kemudian barulah bertawakal pada Allah,” pujuk Kudin lembut.
Edrina segera menyeka air mata yang mengalir lagi di
pipinya. Ya! tangisannya tiada erti dalam keadaan seperti ini. Sebaliknya doa
adalah senjata orang mukmin sepertinya.
“Emran..” panggil Toh Puan Siti Aisyah kepada menantunya yang
duduk menanti di ruangan lobi hospital itu seroang diri.
“Ya, ma..” Kudin segera menoleh ke sisinya. Spontan dia
bangun tanda menghormati wanita itu.
“Emran, bawak Rina balik ya? Dah malam ni. Pelawat tak
boleh ramai sangat dalam tu. Seorang saja yang boleh temankan papa malam ni,”
ujar wanita itu lembut. Bonda mertuanya dan besannya itu sudah pulang petang
tadi. Hanya tinggal mereka bertiga di situ.
“Rina mana?”
“Dia kat dalam. Mama dah suruh dia balik tapi dia degil
nak temankan papa jugak malam ni. Kamu pergi pujuk dia. Ajak dia balik,” jawab
Toh Puan Siti Aisyah.
“Takpe ke mama yang jaga? Kalau mama tak kisah, saya
boleh temankan papa. Mama boleh balik dengan Rina,” jawab Kudin lembut.
Wanita itu terus menggeleng dengan sedikit senyuman.
“Yang kat dalam tu suami mama. Biarlah mama yang jaga dia, Emran. Kamu bawak
Rina balik. Mama tak mahu dia terlalu tertekan sangat dalam keadaan dia macam
tu. Biar dia berehat kat rumah aja,” ujar Toh Puan Siti Aisyah sambil memandang
wajah menantunya itu.
Kudin tunduk memikir seketika. Namun akhirnya dia
mengangguk.
“Emran, mama nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada
kamu.”
Kudin sempat termanggu dengan kerutan di kening memandang
wajah emak mertuanya itu. “Kenapa pulak mama terima kasih dengan saya?” soalnya
hairan. Takkanlah sebab dia membawa Edrina ke sini emak mertuanya berkata
begitu?
“Mama nampak Rina dah cukup banyak berubah sekarang. Mama
senang sangat tengok dia yang sekarang ni. Mama anggap mungkin kamulah yang dah
berjaya ubah dia jadi macam tu. Rina nampak lebih matang sekarang,” ujar Toh
Puan Siti Aisyah lembut.
Kudin menelan liur perlahan. Dia tidak pernah meminta
Edrina berubah. Perubahan itu datang sendiri atas kesedaran isterinya. Itu yang
dia percaya selama ini.
“Rina berubah kerana kehendak diri dia sendiri, ma. Saya
tak pernah buat apa-apa pun supaya dia jadi begitu. Allah dah gerakkan hati dia
untuk menjadi wanita seperti yang hari ni,” jawab Kudin tidak bersedia untuk
menerima pujian itu. Dia juga hanya manusia biasa yang sarat dengan kelemahan.
Toh Puan Siti Aisyah tersenyum lembut sambil memandang
paras menantunya itu. “Mama dengan papa, kami memang tak tersilap bila membuat
keputusan menerima Emran sebagai menantu kami. Mama rasa bersyukur sangat Rina
ada suami seperti Emran. Mama boleh nampak kebahagiaan tu pada wajah dia
sekarang.” Wanita itu berkata bersungguh. Hakikatnya dia terasa seperti sedang
bermimpi. Tidak sampai setahun dia melihat Edrina berubah menjadi wanita yang
sederhana dan merendah diri.
Kudin tersenyum seketika. “Saya tak pernah menyesal sikit
pun dengan takdir ni, mama. Saya ada seorang isteri yang baik walaupun mungkin
dia tak sesempurna untuk dibariskan dengan isteri para Rasul. Apa yang ada pada
dia dah cukup menyejukkan hati saya. Saya terima dia seadanya dan saya
sayangkan dia sepenuh hati saya, mama. Dia isteri saya dunia akhirat,” jawab
Kudin jujur. Tiada apa yang dapat disembunyikan daripada emak mertuanya itu.
Memang dia ikhlas menerima Edrina dan dia bahagia dengan pilihan yang telah
dibuat oleh hatinya ini.
“Kamu berdua bahagia, kami pun tumpang bahagia, Emran.
Mama harap dia mampu menjadi isteri dan ibu yang baik pada masa depan.”
Kudin mengangguk sambil tersenyum. Kata-kata baik dari
seorang ibu adalah satu doa yang mustajab. Dia tahu Edrina akan menjadi ibu
yang terbaik untuk anak-anaknya.
“Pergilah ajak dia balik,” ucap Toh Puan Siti Aisyah
enggan berlama-lama lagi di situ.
“Ya, ma..” tanpa menunggu lagi Kudin terus berlalu ke wad
rawatan rapi yang menempatkan bapa mertuanya itu. Edrina dilihatnya sedang
termenung merenung ayahnya.
“Sayang..” panggil Kudin sambil menyentuh bahu isterinya.
Edrina segera menoleh kepada suaminya itu.
“Kita balik ya? Rina kena berehat,” pujuk Kudin.
“Rina nak duduk sini,” jawab Edrina sambil menggeleng.
Kudin meraih jemari isterinya. “Dengar cakap abang. Malam
ni kita balik, esok pagi kita datang semula. Biar mama yang temankan papa kat
sini ya? Dalam wad ni hanya seorang aja yang dibenarkan temankan pesakit,”
pujuk Kudin sambil diperhatikan oleh Toh Puan Siti Aisyah dari arah belakang.
Edrina terdiam merenung suaminya itu. Belas hati Kudin
melihat pandangan sarat kemendungan milik isterinya itu. Dia tahu Edrina susah
hati memikirkan ayahnya. Perlahan bahu wanita itu didakapnya erat. Dahi wanita
itu dikucup lembut.
“Takpe kalau jasad kita takde di sini dengan papa,
sayang. Yang penting Allah ada melihat hati kita dan DIA ada mendengar doa
daripada kita semua. Itu yang paling penting sebenarnya,” ujar Kudin separuh
berbisik kepada wanita itu.
Wanita itu meraup wajahnya perlahan. Sedaya upaya dia
cuba juga memujuk hatinya agar menerima nasihat Kudin itu.
“Kita balik ya? Kesihatan Rina pun kena jaga jugak. Esok
kita boleh datang lagi,” ucap Kudin lagi.
Edrina akhirnya mengangguk akur kepada permintaan
suaminya. Dia menoleh mencari mamanya. Toh Puan Siti Aisyah masih ralik
memerhatikan anak dan menantunya itu. Kagum dia melihat Emran dengan mudah
dapat memujuk Edrina.
“Mama, Rina balik dulu ya? Esok Rina datang lagi.” Edrina
berkata perlahan kepada mamanya itu.
“Yalah.. jangan terlalu stress, sayang. Jangan lupa Rina
ada baby kat dalam tu,” pesan Toh Puan Siti Aisyah setelah mendekati anaknya
itu.
Edrina mengangguk dengan sedikit senyuman hambar.
Perlahan tubuh ibunya itu dipeluknya erat. “Tolong jaga papa baik-baik, mama.”
Sempat juga dia membisikkan pesanan itu kepada emaknya.
“Dah tentu mama akan jaga papa baik-baik sebab dia suami
mama. Semuanya akan okay, sayang. Percayalah..” balas si ibu lembut.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah keluarga Edrina di
Bukit Bandaraya itu Edrina hanya membisu sahaja. Kudin lihat isterinya asyik
memicit dahi.
“Sakit kepala ke?”
Edrina menoleh kepada lelaki itu sebelum mengangguk.
Memang semenjak petang tadi kepalanya merasa sakit.
Kudin segera menarik sebelah tangan isterinya itu.
“Sampai rumah nanti terus tidur ya? Rina dah letih sangat ni,” ucap Kudin
lembut.
“Tak tahulah boleh tidur ke tak dalam keadaan macam ni,”
jawab Edrina agak perlahan. Hampir saja tidak kedengaran suaranya.
Kudin menoleh sekilas kepada isterinya itu. “Kalau tak
mampu nak lelapkan mata pun, sekurang-kurangnya Rina kena rehatkan minda dan
perasaan. Jangan terlalu banyak berfikir. Nak-nak lagi yang tak elok. Itu semua
kerja syaitan nak mengkucar-kacirkan iman kita. Kita berserah segala-galanya
pada Allah, sayang.” Nasihat itu terus diberikan Kudin tanpa jemu.
Edrina mengangguk lagi kepada nasihat suaminya itu.
Malam itu wanita itu tetap tidak mampu melelapkan mata
biarpun tubuhnya itu sudah terlalu keletihan. Fikirannya asyik terbang mencari
ayahnya di hospital sana. Kudin menoleh ke sebelahnya. Dalam kelam bilik itu
dia dapat melihat mata putih wanita itu menandakan isterinya masih berjaga. Dia
sendiri pun lebih kurang sama. Risaukan ayah mertuanya itu dan risaukan ladang
dan kolam ikan di kampungnya.
“Sayang fikir apa?” tanya Kudin lantas mengiringkan
tubuhnya menghadap wanita itu. Tangannya mula dialihkan ke atas perut Edrina.
Kandungan isterinya sudah masuk 2 bulan.
“Papa..” Edrina menjawab bersama sebuah helaan nafas.
“Sini baring dengan abang,” ucap Kudin lantas menepuk
lengannya.
Edrina menurut tanpa kata. Tubuhnya dirapatkan kepada
lelaki itu sambil kepalanya berbantalkan lengan Kudin. Demi Tuhan dia bersyukur
lelaki ini ada menemaninya di kala dia hebat teruji begini.
“Insya-Allah papa akan sihat nanti, sayang..” pujuk Kudin
lembut sekali. Belakang wanita itu diusapnya lembut.
“Rina cuma harap Allah akan beri Rina peluang untuk balas
segala jasa-jasa papa kepada Rina. Selama ni Rina tak pernah fikirkan semua tu.
Rina ni anak yang degil, abang. Rina tak pernah jaga hati papa sedangkan papa
dah buat segala-galanya untuk Rina.” Sayu kedengaran luahan wanita itu.
“Abang faham, sayang. Abang percaya papa dah maafkan
semua kesalahan Rina pada dia selama ni. Takde manusia yang sempurna dalam
dunia ni. Sabar ya? Kita doakan papa baik-baik aja,” jawab Kudin lembut.
Edrina mengangguk perlahan.
“Dah! Jangan fikir jauh sangat. Dalam keadaan macam ni..
lagi kita banyak berfikir, lagi senang emosi kita dipengaruhi iblis. Kita kena
bersangka baik dulu. Selebihnya kita berserah pada Allah.” Kudin mengusap
rambut wanita itu.
“Rina tak boleh tidur,” adu wanita itu perlahan.
“Peluk abang. Dah peluk abang nanti mesti boleh tidur,”
bisik Kudin mesra.
Spontan Edrina tertawa perlahan. Lelaki ini memang pandai
membuatkan jiwanya terhibur walaupun dalam keadaan begini. Tanpa kata tubuh
lelaki itu dipeluknya erat. Lega hati Kudin melihat tawa yang sempat singgah di
bibir wanita itu. Harap-harap esok mereka tidak diuji dengan sesuatu yang lebih
berat lagi.
31- Pembedahan pintasan jantung selamat dijalani oleh Tengku Ahmad
Ehsan. 7 jam setelah pembedahan itu lelaki itu sedar sepenuhnya. Dia sudah
mampu tersenyum kepada orang di sekelilingnya. Bagi mereka yang menanti dengan
sabar tiada lain melainkan kalimah syukur yang tidak terhingga dipanjatkan
kepada Yang Maha Kuasa atas kejayaan mereka mengharungi dugaan ini.
Semenjak waktu melawat bermula Tengku Ahmad Ehsan mula diziarahi ramai
sahabat-sahabatnya. Tidak ketinggalan juga sepasang suami isteri dengan seorang
lelaki muda. Mungkin sebaya dengan Kudin. Sebaik sahaja masuk ke wad itu
manusia pertama yang ditegur lelaki itu adalah Edrina.
“Lama tak jumpa you,” ucap lelaki muda itu sambil memandang Edrina atas ke
bawah.
“I dengan husband. Takde masa nak jumpa you dah,” jawab Edrina ringkas
sahaja.
“I see. Sorry, hari tu waktu wedding you, I tak dapat datang. Ada hal,”
ujar lelaki itu lagi tanpa mempedulikan Kudin di sisi Edrina.
Edrina menjungkit bahu. “It’s okay. You takde pun I tetap selamat berkahwin
jugak, ya tak?” selamba sahaja Edrina menjawab begitu. Nadanya kedengaran agak
aneh. Kudin terkebil-kebil di tepi Edrina menelinga perbualan dua manusia itu.
Lelaki muda itu ketawa pula seolah-olah tidak kecil hati langsung dengan
kata-kata Edrina. “You ni masih juga macam dulu kan, Ed? Sombong.. sacarstik. Tak
pernah berubah,” komen lelaki itu sambil menayang gigi.
Edrina segera mengukir tawa sebagai responnya kepada komen itu. Namun
tawanya kedengaran agak hambar. Semacam mengejek pun ada.
“Bad..” panggilan wanita itu menggugah perbualan dua manusia itu. “Sinilah..
yang sakit Uncle Ehsan. Bukannya Edrina!” wanita agak berusia itu segera
melambai ‘Bad’ itu agar mendekatinya.
“Excuse me..” ucap lelaki itu lantas mendekati katil pesakit.
Kudin hanya memandang sahaja lelaki itu. Lelaki itu juga tidak kelihatan
seperti mahu berkenalan dengannya. Namun tidak lama kemudian Kudin akhirnya
terpaksa memilih duduk di lobi hospital memandangkan di dalam wad itu sendat
dengan manusia yang dia langsung tidak kenal. Kakinya pun sudah letih berdiri
sahaja dari tadi. edrina dibiarkan sahaja di dalam itu melawan wanita yang
menjadi tetamu itu.
Namun hampir setengah jam kemudian Edrina keluar mencari suaminya yang
tiba-tiba menghilang.
“Kat sini rupanya dia. Puas Rina cari abang,” ucap Edrina sebaik sahaja
melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Kudin. Kudin sekadar memandang
wanita itu.
“Kenapa duduk sini?”
“Saja. Sesak kat dalam wad tu. Lagipun mana ada tempat nak duduk,” jawab
Kudin biasa. Memang pun sesak. Ruangan wad itu bukannya besar mana. Lagipun
suasana riuh rendah begitu membuatkan dia rimas.
“Siapa lelaki tadi tu?” tanya Kudin
tidak mahu menunggu lama untuk menghuraikan tanda tanya di benaknya ini.
“Badrul Hisyam, anak kepada Tan Sri Ghafur. Tan Sri Gahfur tu salah seorang
share holder dalam Semarak Holding,” jawab Edrina perlahan sahaja.
“Dia tu salah seorang daripada bekas teman lelaki Rina jugak ke?” teka
Kudin tidak begitu mempercayai kenyataan Edrina itu sebenarnya sudah lengkap.
Dia perasan pandangan lelaki itu kepada isterinya sebentar tadi ketika Edrina
sedang memandang ke arah lain.
“Kawan lama lebih sesuai kut,” jawab Edrina sambil mendegus sedikit. Dia
tidak gemar dikaitkan lagi dengan lelaki itu. Badrul memang pernah cuba
memikatnya suatu masa dulu. Tetapi dia memang tidak pernah berkenankan lelaki
itu selama ini. Sehingga sekarang! Bukan taste dia anak Tan Sri perasan romeo
macam itu.
Edrina menoleh kembali kepada suaminya. "Kenapa
tanya pasal dia?"
"Takde apa-apa. Saja je," jawab Kudin lantas
memandang ke arah lain. Rasa hati yang aneh itu segera disembunyikan daripada
isterinya.
Edrina mencebik sedikit melihat gelagat Kudin. Huh! kalau
jelous cakap ajalah.. detik hatinya sendiri. Lama wanita itu memandang suaminya. Sengaja dia menunggu sehingga lelaki
itu mengalihkan pandangan kepadanya semula. Tatkala pandangan mereka berpadu,
wajah Kudin mula berubah.
“Apa?” tanya Kudin buat-buat tidak mengerti dengan makna pandangan itu.
“Yang abang tu pandang sana kenapa?” ucap Edrina semula dengan kerlingan
sinis.
“Saja je nak pandang sana. Tak boleh ke pandang sana?”
“Kalau ada apa-apa yang abang tak puas hati baik cakap aja. Tak payah nak
berlakon pandang sana sini,” perli Edrina dengan senyum tertahan. Kelakar pulak
gelagat suaminya bila dilanda cemburu.
“Okay.. abang ingat dia tu bekas teman lelaki Rina. Kalau bukan, baguslah.
Itu aja yang abang nak cakap. Mana ada abang cemburu,” ujar Kudin lembut.
“Rina takde mention pun pasal cemburu ni semua. Rina cuma kata kalau ada
yang abang tak puas hati.” Edrina segera menyambut sementelah Kudin sendiri
sudah berjaya memasukkan diri ke dalam perangkapnya. Spontan wanita itu terus
ketawa.
Kudin terus terkedu. Mulutnya terbuka memandang Edrina. Cis! Buat malu aku
aja.
Semakin galak tawa Edrina melihat wajah Kudin masam kelat. Perlahan lengan
lelaki itu dipautnya. “Kalau jelous tu cakap ajalah. Nak buat apa
simpan-simpan,” ucapnya dengan senyuman yang cukup lebar.
“Yalah.. memang abang jelous tengok dia tegur Rina tadi. Dia tegur Rina
sorang aja. abang dia tak tegur pun. Patutnya dia kena mintak izin abang dulu
nak bercakap dengan Rina,” cebir Kudin sambil dengan suara rendah. Mengaku juga
dia akhirnya.
“Dia tu memang macam tu. Abang janganlah fikir yang bukan-bukan. Rina
daripada dulu memang tak ngam dengan dia tu. Tak berapa gemar,” ujar Edrina
bersungguh.
Kudin mengangguk perlahan. Patutlah dia dengar nada isterinya macam malas
sahaja mahu melayan si Badrul itu.
“Papa nampak dah okay sikit. Dia dah tak lemah macam hari semalam. Semalam
abang tengok nak bercakap pun macam tak larat.” Kudin mula mengalihkan topik
tentang Tengku Ahmad Ehsan pula.
Edrina segera mengangguk. “Tapi papa kena bergantung pada ubat sampai
bila-bila. Papa takkan boleh kembali sihat macam dulu,” ulasnya rendah sahaja.
Kudin merenung seketika wanita di sisinya itu. Ada terselit sedikit
kemendungan di wajah itu dalam menungan isterinya itu. Dia simpati tetapi ini
semua sudah takdir Allah. “Tapi sekurang-kurangnya papa masih ada dengan
kitakan?” ucap Kudin lembut.
Edrina mengangguk pantas. Dia reda dengan cubaan ini walaupun dia sedih
melihat ayahnya sudah tidak sesihat dulu. Sekurang-kurangnya penyakit ayahnya
tidak sekronik penyakit orang lain. Dia juga sedar akan sampai satu masa Allah
pasti mencabut satu persatu nikmat pada kehidupan manusia. Mungkin ini salah satu
daripadanya.
“Kalau Rina nak tunggu sini temankan papa untuk sementara waktu, abang tak
kisah. Abang izinkan. Biar abang dengan mak balik dulu. Nanti bila Rina dah
sedia nak balik kampung, Rina bagitahu abang. Abang datang ambil.” Kudin
berkata lagi tanpa mengalihkan pandangannya daripada raut itu.
Kali itu Edrina mengalihkan tatapan bola matanya kepada Kudin. “Betul ke,
bang?” wajahnya mula berubah ceria mendengar cadangan lelaki itu.
“Inilah waktu yang tepat untuk seorang anak menunjukkan kasih sayangnya
pada seorang ayah. Orang sakit ni, semangat dia pasti akan lemah. Perhatian
orang sekeliling dia akan buat dia kuat semula macam dulu. Insya-Allah..” balas
Kudin benar-benar tulus.
“Abang nanti macamana?” soal Edrina sambil merenung tampang lelaki itu.
Kudin tersenyum lagi, cuba untuk mengusir keraguan wanita itu. “Takkanlah
abang tak boleh mengalah sikit dalam keadaan papa macam ni? Takpelah.. tahulah
abang uruskan diri abang sendiri. Rina jangan susah-susah hati fikir tentang
makan minum abang. Lagipun mak adakan? Insya-Allah semuanya akan okay nanti,”
jawab Kudin bersungguh.
Edrina diam seketika memandang ke hadapan. Buat seminit dua masa yang
berlalu itu dia mula memikirkan tentang sesuatu. Sesuatu yang dirasakannya amat
perlu dilakukan dalam sedikit masa lagi.
“Kenapa diam ni?” tanya Kudin hairan melihat kekusutan yang masih
terpampang di wajah isterinya itu.
“Apa kata kita pindah KL, bang? Kalau boleh Rina nak papa bersara dalam
waktu terdekat ni. Tapi nak bersara pun papa kena lantik pengganti. Siapa lagi
yang akan gantikan tempat papa dalam company tu kalau bukan kita?” ujar Edrina
lembut sahaja.
“Pindah?” soal Kudin sedikit terkejut apabila soal itu tiba-tiba
dibangkitkan Edrina.
Edrina segera mengangguk.
Kudin terdiam sambil menggaru kepalanya. Permintaan itu bukan setakat
terlalu susah untuk ditunaikannya. Sebaliknya teramat mustahil untuk dilakukan
dalam tempoh terdekat ini. Projek ternakan ikan dan udangnya baru sahaja
bermula dan ladangnya sedang rancak membuahkan hasil.
“Kenapa? Abang tak suka ke?” soal Edrina seakan sudah mendapat jawapannya
dalam kebisuan suaminya itu.
Kudin menghela nafas perlahan. Serba salah dia. Antara kemahuannya sendiri
dan permintaan Edrina, dia tidak tahu yang mana harus dipilihnya.
“Abang, kalau bukan kita berdua, papa terpaksa serahkan jawatan tu pada
Bad. Sebab dalam keluarga kita dah takde sesiapa lagi yang layak mengambil alih
jawatan tu. Kalau nak diikutkan Bad tu pun tak layak sebab yang menjadi share
holder adalah ayah dia. Tapi Tan Sri mesti akan jadikan Bad sebagai proksi
dia,” ujar Edrina cuba memujuk lelaki itu.
“Penting sangat ke jawatan tu pada keluarga ni? Kalau Bad yang ambil alih
pun kita masih juga pemegang sahamkan? Tak kisahlah sebagai proksi ke apa.
Selagi dia amanah kepada tanggungjawab dia, takde apa yang nak kita pertikaikan
,” jawab Kudin pantas.
“Abang rasa hal ini tak penting ke?”
Sekali lagi Kudin menghela nafas perlahan. “Abang nak Rina faham, abang pun
ada tanggungjawab di kampung. Abang tak boleh tinggalkan macam tu aja,” ujar
Kudin dengan nada serius.
“Abang anggap Semarak Holding tu bukan tanggungjawab abang ke?” nada Edrina
mula berubah. Sudah diagaknya. Kudin memang tidak pernah berhasrat mahu
mengubah pendiriannya tentang itu.
“Bukan macam tu..” Kudin menggaru kepalanya perlahan. Otaknya terus ligat
merangka kata-kata yang sesuai untuk membuat isterinya memahami dirinya. “Abang
tak boleh paksa diri abang buat sesuatu yang abang tak suka, Rina. Ladang dan
kolam ikan tu adalah kehidupan abang, cita-cita abang selama ini. Bertahun
abang menunggu, Rina. Baru sekarang abang dapat rasai hasilnya. Sayang kalau
abang tinggalkan macam tu aja,” jelas Kudin lembut.
Edrina diam seketika dalam pada dia cuba menerima pendirian lelaki itu.
“Sayang, abang nak Rina faham abang. Abang tak suka bergantung pada orang
lain baik dalam soal apa pun,” ucap Kudin cukup lembut. Bimbang juga dia Edrina
merajuk dengannya tentang masalah itu.
“Rina
susah nak percaya Bad tu, bang.” Edrina mengeluh perlahan sambil meraup
wajahnya.
“Maksudnya?”
“Entahlah.. mungkin ini perasaan Rina aja kut. Dia tu semenjak dulu memang
jenis kaki joli,” jawab Edrina perlahan.
“Tabiat dia di luar waktu kerja, kita tak boleh nak halang. Lagipun tak
baik kita berburuk sangka pada orang, sayang. Rina dah lama tak jumpa dia.
Manalah tahu dia dah berubah. Masa mampu mematangkan seseorang,” sambut Kudin
penuh rasional.
Edrina segera menoleh kepada lelaki di sebelahnya itu. “Abang bercakap
macam ni, sebab nak suruh Rina setuju biarkan Bad tu ambil alih tempat papa
kan?”
“Bukan macam tu maksud abang. Tak baik kita sangka dia bukan-bukan.
Entah-entah dia tak macam tu,” ujar Kudin.
“Huh! Rina tengok dia tu tak banyak berubah pun. Sama aja,” jawab Edrina
semula. Dia masih terbayangkan renungan lelaki itu sebentar tadi. Biarpun
Badrul tahu dia sudah bersuami lelaki itu masih juga mahu bermain mata
dengannya. Meluat dia!
“Siapa yang benar-benar tahu tentang hati manusia melainkan orang tu
sendiri dan Allah yang mengizinkan manusia itu berubah? Tengok contoh yang
paling dekat dengan abang ni. Bad kata tadi Rina ni tak pernah berubah. Masih
juga macam dulu-dulu. Ya, memang dulu Rina tak suka abang sebab abang kolot,
abang lelaki kampung. Tapi sekarang? Lelaki kampung ni jugaklah yang jadi
bantal peluk Rina tiap-tiap malam. Dia pun tak tahu yang sebenarnya Rina dah
tak macam dulu. Betul tak apa abang cakap ni?” Kudin sempat tersenyum saat
membalas pandangan isterinya itu.
“Iyalah sangat!” getus Edrina akur dalam keterpaksaan dengan kata-kata
suaminya.
Kudin tersenyum lembut sambil meraih
bahu isterinya itu. “Bukan abang tak mahu, sayang. Tapi abang tak mampu nak
ambil semua tanggungjawab tu serentak. Apa salahnya kita bahagi-bahagikan
antara satu sama lain,” pujuk Kudin lagi.
Edrina menghela nafas perlahan. Wajahnya diraup seluruhnya sambil
memikirkan reaksi papanya nanti jika inilah keputusan suaminya. Bertahun-tahun
ini keluarga mereka yang memonopoli Semarak Holding. Kali ini demi statusnya
sebagai isteri dia terpaksa akur dengan keputusan Kudin walaupun hatinya
benar-benar tidak rela. Ah! Harta dunia tidak boleh dibawa ke mati, Edrina.
Hatinya berbisik begitu.
“Bila abang nak balik kampung?” Edrina menoleh semula kepada suaminya.
“Esok..”
“Cepatnya? Papa kan baru aja habis operation?”
“Abang ada banyak kerja di kolam dengan ladang tu. Ada masa nanti abang
akan datang jenguk papa dan bini abang ni sekali. Rina kena jaga kesihatan ya?
Makan jangan sengaja dilambat-lambatkan. Jangan lupa.. baby kita ni bergantung hidup
pada ibunya,” jawab Kudin lantas meletakkan telapak tangannya di atas perut
isterinya itu.
“Insya-Allah, bang..” jawab wanita itu akur akhirnya.
“Kalau rindu dengan abang, nyanyi aja lagu dangdut kegemaran abang tu.”
“Tak kuasalah nak nyanyi lagu sabun mandi tu!” getus Edrina mula menjeling
lelaki itu yang sudah seronok ketawa di sebelahnya.
“Okay.. kalau Rina malu nak nyanyi lagu tu, telefon abang. Biar abang
tolong nyanyi lagu sabun mandi tu,” sakat Kudin seronok melihat isterinya itu
naik angin.
“Boleh tolong tak?” tanya Edrina bersungguh.
“Tolong apa?”
“Tolong jangan nyanyi apa-apa. Suara abang tu nak kata sedap pun tak! Nak
kata merdu tu, memang bidaah sangat-sangat. Pendek kata kalau tak nyanyi tu lagi
baguslah!” jawab Edrina sedikit keras.
“Tengok tu? Tak baik tipu tau. Cita-cita abang masa kecil dulu nak jadi
penyanyi, tau tak? Tapi mak tak bagi abang jadi penyanyi. Sebab mak takut
peminat abang nanti terlalu ramai. Susah nak layan surat peminat-peminat abang
tu nanti,” ucap Kudin sambil menyeringai.
Edrina terus menekup telinganya. “Boleh tolong diam tak? Nak muntahlah
rasanya,” ucap Edrina kuat dalam mata yang terpejam rapat. Tak sanggup dia mendengar
Kudin menceceh bab peminat itu. Belum apa-apa dah perasan dia ramai peminat.
Semakin galak tawa si Kudin melihat reaksi Edrina. Bahu wanita itu terus
dipeluknya erat. Sempat juga pipi mulus itu dikucupnya. “Nanti kalau rindu,
call abang ya? Abang Kudin tunggu..” ucap Kudin mula kembali serius.
“Okay..” jawab Edrina sambil menunduk sedikit. Dia sendiri pun tidak tahu
selama mana dia mampu menjalani kehidupannya di sini tanpa Kudin berada di
sisinya seperti hari ini dan semalam-semalam. Jangan dia angau lagi macam hari
itu sudahlah!
😊😊😊😊😊
BalasPadam