Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 17 Mei 2015

BAB 27 BUTAKAH CINTA


Dua minggu berlalu. Mereka jarang bertemu biarpun dekat. Namun baik Regina mahupun Iqmal, masing-masing tidak menuntut lebih memandangkan masing-masing ada tanggungjawab pada anak-anak. Namun malam itu Iqmal mengajak Regina makan malam di luar. Katanya malam itu dia keseorangan. Anak-anak kembarnya sudah diangkut oleh Tan Sri Ansur dan Puan Sri Bainun ke rumah sana petang tadi. Semenjak kehadiran Zayn dan Zayed di dalam keluarganya, keadaan keluarganya sudah banyak berubah. Emak dan ayahnya ternyata cukup senang dengan dua kembar itu. Dua anak itu dianggap sebagai penyeri keluarga.
Arabella sudah tentu teramat ceria apabila diajak keluar. Tambah pula bukan senang mamanya mahu melanggar pantang. Keluar malam hari seperti malam ini.
“Uncle, hai!!!” jerit anak itu sebaik sahaja ternampak wajah Iqmal di hadapan pintu pagar. Terkedu Regina melihat telatah anaknya. Muka tak malu betul budak kecik seorang itu! Ingat itu papa dia agaknya.
Iqmal menyambut mesra panggilan Arabella. “Ara sayang..”
“Bella, jangan keluar dulu!” panggil Regina mula segan dengan gelagat anaknya. Tangan anak itu segera dicapainya sebelum Arabella sempat berlari melepasi pintu pagar. Namun sudahnya dia hanya menggeleng melihat Arabella meluru ke arah lelaki itu.
Iqmal mula berbisik-bisik kepada anak itu sebelum menadah pipinya. Kemudian tiba-tiba Arabella mengucup pipinya.
“Pandai dia..” ucap Iqmal mesra. Kemudian pipi anak itu pula dikucupnya.
“Wangi sayang uncle ni!” puji Iqmal sambil menyeringai. Lupa sekejap dia kepada Regina yang sedang memandang gelagat dia dan Arabella. Rajin pula Iqmal melayan kerenah anak kecil.
“Jom, sayang.” Kali itu perhatian Iqmal mula terhala kepada buah hatinya pula. Regina sekadar membuntuti lelaki itu kereta. Iqmal membuka pintu buat Arabella di belakang.
Mereka memilih untuk singgah di sebuah restoran terdekat memandangkan esok masing-masing perlu keluar awal pagi untuk urusan masing-masing. Tambah pula Regina tidak senang membawa anaknya keluar sehingga larut malam.
Di restoran itu ramai pengunjung sedang memenuhi sehinggakan makanan yang mereka pesan agak lambat tiba. Hampir sepuluh minit kemudian makanan yang dipesan oleh Regina untuk anaknya yang tiba terlebih dahulu. Iqmal seronok melihat anak itu makan bubur ayam penuh berselera. Tanpa perlu disuap oleh si ibu, Arabella menyuap tertib makanan ke mulutnya. Bersinar-sinar matanya tanda dia sedang menikmati makanan itu.
Regina pula asyik memandang sekeliling. Perutnya sudah memulas kelaparan. Saat dia menoleh ke sebelah Iqmal dilihatnya sedang tersenyum-senyum merenung Arabella. Menyedari Regina sedang memandang, Iqmal turut menoleh.
“Kenapa?” tanya Regina hairan melihat Iqmal tersenyum sendirian.
“Abang suka anak Gina. Comel. Perangai dia betul-betul mengingatkan abang pada seseorang waktu abang baru-baru kenal dia dulu. Mula-mula malu-malu kucing. Lepas tu?” ucap Iqmal kedengaran sedang mengusik.
“Lepas tu apa?”
Iqmal masih tersenyum-senyum sendiri. Dalam kepalanya terus mengenang akan seseorang itu. Mula-mula mereka berkenalan dahulu seseorang itu memang sangat pemalu. Memang sama seperti Arabella. Tapi apabila sesi ‘memanaskan badan’ dah selesai, dia yang paling banyak mulut. Memang seketul perangainya macam seseorang itu.
“Senyum kenapa?” getus perempuan itu lantas mencubit lengan Iqmal. Dia tahu Iqmal sedang mengajuk dia.
“Ara memang sama macam Gina. Mula-mula dia malu dengan abang. Sekarang ni.. Gina dah jatuh nombor dua, abang nombor satu.”
Regina merenung sebal lelaki itu. Teringat dia tadi waktu Iqmal sampai. Arabella terus melepaskan tangannya. Kemudian tangan Iqmal pula yang disauknya dengan penuh senang hati. Langsung tiada segan silu. Apa yang hebat sangat lelaki ini entahlah!
“Ada can tak abang jadi ayah Ara lepas ni?” tanya Iqmal dengan renungan lunak buat sang perempuan di sisinya itu.
“Tak tahu,” jawab Regina selamba.
“Kenapa tak tahu pulak?”
Regina menjungkit bahu lagi. Sesungguhnya topic yang sedang dibicarakan Iqmal bukan sesuatu yang asing buatnya. Tetapi dia perempuan. Masakan dia yang harus memulakan?
“Abang serius ni, Gina.” suara lelaki itu kedengaran lagi menagih jawapan.
“Jadi abang nak Gina cakap apa?” balas Regina tanpa memandang Iqmal.
“Cakaplah Gina setuju ke tidak,” ucap Iqmal semakin lembut nadanya.
Regina diam seketika sebelum dia menoleh ke arah lelaki itu. Apa yang terhias di dalam mata Iqmal membuatkan dia terpaku memandang. Dalam mata itu sarat dengan harapan buat dirinya. Iqmal mahu ikatan yang pernah terhenti dahulu terjalin sekali lagi.
“Tak cepat sangat ke?” tanya Regina perlahan.
“Berapa lama masa yang perlu abang ambil untuk jadikan Gina isteri abang yang sah?” Iqmal bertanya semula.
“Entah.” Regina mula menghela nafas perlahan. Serba salah dan bimbang berbaur di dalam jiwanya. Bukan sekadar soal masa. Tetapi kepercayaan itu masih rapuh. Dia sendiri tidak tahu berapa lama kepercayaan itu akan kembali teguh.
“Abang tak paksa. Cuma abang minta Gina fikirkan. Abang akan tunggu sampai Gina bersedia. Cuma abang nak Gina tahu dalam hati abang takde orang lain melainkan Gina,” ucap Iqmal seketika kemudian.
“Ia? Bila abang dekati Gina, tak teringat orang lain dah sekarang? Jangan sekarang cakap lain, lepas kahwin nanti abang mula keliru pulak,” ujar Regina selamba.
“Gina..” keluh Iqmal mula terasa disindir.
“Dulu mungkin kita terburu-buru..”
“Sekarang ni tak terburu-buru ke?” tukas Regina pantas.
“Sekarang ni hati abang bulat. Saat ini abang benar-benar tahu apa yang abang mahu dalam hidup abang. Abang nak Gina! Sebab tu abang berani timbulkan soal ini. Bukan sebab sesiapa. Tapi sebab abang memang nak kahwin dengan Gina,” jelas Iqmal bersungguh.
Regina terus membisu dalam pada hatinya terus berbolak balik sendiri. Berkali-kali nafas dihela agar dirinya tenang dalam keadaan ini.
“Gina, dah berbelas tahun tapi kita masih belum ada apa-apa. Yakinlah dengan abang. Abang bukannya nak mempermainkan perasaan Gina. Tapi takpe. Abang tak mahu soal ini jadi satu beban bagi Gina. Gina fikirlah dulu. Abang tak paksa Gina bagi jawapan sekarang. Abang boleh nampak keraguan tu pada wajah Gina. Abang tak suruh Gina memaksa diri semata-mata kerana nak menjaga hati abang,” luah Iqmal lembut.
Akhirnya Regina mengangguk setuju. Biarlah diambil beberapa ketika untuk dia memikirkan hal itu.
Selesai menikmati makan malam, Iqmal membawa dua beranak itu berjalan-jalan seketika dengan kereta. Regina yang pada mulanya agak keberatan, akhirnya akur juga dengan pujukan Iqmal.
“Nak pergi situ!!!” jerit Arabella mula teruja saat ternampak kemeriahan cahaya dari dalam ICT.
“Jangan nak mengada-ada. Tak boleh! Dah malam ni,” balas Regina serius.
“Nak pergi, mama. Jomlah!!!”
“Hish! Degil! Dah malam ni. Nanti Bella juga yang letih!” marah Regina benar-benar tidak suka dengan kehendak anaknya itu.
“Lain kali kita pergi ya? Sekarang dah malam,” ucap Iqmal pula. Mulalah dia terasa bersalah. Secara tidak sengaja terlalu pula kawasan itu.
“Nak pergi jugak. Jomlah, uncle. Bella nak main kat situ.” Anak kecil itu cuba memujuk Iqmal pula.
“Lain kali kita pergi. Sekarang dah malam. Mari sini duduk dengan uncle,” ajak Iqmal lantas mencapai anak itu. Melihat wajah mendung Arabella dia benar-benar kasihan. Sudahnya anak kecil itu dibawa duduk di atas pangkunya.
“Malam ni tak boleh. Hujung minggu ni kita pergi ya? Kita ajak abang Zayn dengan Abang Zayed. Uncle pun belum pernah pergi main kat situ. Nanti kita pergi sama-sama. Boleh?” Iqmal memujuk lagi sambil rambut anak itu diusapnya. Arabella diam. Namun kesedihan di wajah masih tidak memudar mengenangkan tempat itu sudah jauh ditinggalkan. Sudahnya dia tersandar di tubuh Iqmal sambil memandang ke hadapan.
“Janjilah banyak-banyak. Kalau abang tak tunaikan janji tu, lubang telinga Gina ni yang sesak dibuatnya,” gerutu Regina tidak senang dengan apa yang diucapkan Iqmal.
Iqmal mula memandang ke sebelah. Perlahan jemari Regina dicapainya. “Gina, percayakan abang. Sikit pun jadilah. Abang takkan buat macam dulu lagi.” Perempuan itu pula yang dipujuk Iqmal.
Regina mula memandang ke sebelah. Matanya singgah seketika kepada sang lelaki sebelum beralih kepada anaknya diatas pangkuan Iqmal.
“Sini, sayang. Uncle tengah drive,” ucap Regina lantas menghulurkan tangan kepada anaknya.
Arabella menggeleng. Spontan tubuhnya dipalingkan ke belakang dan wajahnya disembamkan ke tubuh Iqmal. Kedua-dua belah tangannya memeluk erat Iqmal sambil sebelah matanya mengintai reaksi mamanya.
Regina menghela nafas lagi. Dia tahu anaknya sengaja menghantar maksud yang dia lebih sayangkan Iqmal berbanding Regina. Iqmal ketawa perlahan melihat cara emak dan anak itu melancarkan perang dingin.
“Takpe. Tak nak kawan mama sudah! Biarlah mama merajuk,” dengus Regina lantas memandang ke luar.
“Bella kawan dengan uncle! Uncle baik. Bella sayang uncle,” ucap Arabella selamba. Iqmal terus tersenyum gelihati melihat gelagat dua perempuan itu.
“Yalah.. biarlah mama sorang-sorang aja. Mama nak merajuk!” cebir Regina.
“Uncle tak payah pujuk mama. Mama tak bagi Bella pergi main kat tempat tadi,” jawab Arabella dengan suara halusnya.
“Amboi.. lawan tauke nampak?” Regina terus menjegilkan matanya kepada Arabella. Iqmal tergelak pula melihat dua manusia itu berlawan cakap.
Arabella kembali memeluk Iqmal. Sengaja mahu menunjuk kepada mamanya yang dia lebih berkuasa ke atas lelaki itu. Iqmal mengusap rambut anak itu lembut.
“Uncle pun sayang mama. Uncle nak mama jadi isteri uncle,” ucap Iqmal lantas memandang wanita di sebelahnya itu.

Regina terdiam serta merta. Ucapan itu menyentak sedikit perasaannya. Dalam diam dia diusik debar yang mengasyikkan. Namun pandangan segera dialih ke luar. Walaupun kata-kata itu tidak berbalas namun Iqmal masih mampu tersenyum sendiri. Tidak mengapa jika ucapan sekadar terbiar sepi. Kerana dia juga pernah membiarkan ucapan sayang Regina terbiar begitu sahaja suatu masa dulu. Dia berjanji akan terus menunggu sehingga pintu hati itu terbuka amat luas buat dirinya. Di dalam sana pasti sudah tiada keraguan, tiada ketakutan dan tiada lagi kelukaan membaluti hati Regina.

1 ulasan:

  1. Peritnya kenangan lalu membuatkan Gina berwaspada agar tidak tersalah membuat keputusan utk menerima Iqmal kembali dlm hidupnya... bukan mudah hati yg dilukai berkali2 oleh Iqmal menerima sewenang2 nya walaupun Iqmal adalah lelaki yg paling dicintainya selama ini...
    Bagaimana pula dgn ibu Iqmal???
    Dapatkan dia menerima Gina semula sbg menantunya tanpa ada apa2 prejudis lagi???

    BalasPadam