Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Selasa, 10 Disember 2013

Bab 13 SI KOLOT SUAMI KU

Keempat-empat roda Toyota Vego itu berhenti di hadapan rumah pusaka itu. Edrina terpaku memandang susuk rumah kayu berlantai tinggi itu.
“Ini ke rumahnya?” soalnya sambil menoleh kepada Kudin. Wajahnya mula berubah mendung sedikit melihat rumah buruk itu.
“Iyalah.. mana ada rumah lain lagi kat sini,” jawab Kudin selamba.
Edrina meneguk liur. Mahu membantah dia pun tidak mahu tinggal bersama emak mertuanya. Dia tidak bebas! Tetapi rumah ini...? Buruknya! Hatinya terus memberi komen itu walaupun dia baru memandang hadapan rumah itu.
“Jom turun!” ajak Kudin lantas melompat keluar daripada kenderaan 4 Wheel Drive itu. dia terus berjalan ke bahagian belakang. Beg besar Edrina diambilnya.
Mahu tidak mahu Edrina keluar juga daripada kereta itu. Dah janji dengan emak Kudin sebelum inikan? Dia meletakkan hantaran tinggi dan emak mertuanya hanya meletakkan syarat dia harus akur tinggal di rumah pusaka itu berdua dengan Kudin. Jadi mana boleh mungkir janji. Suka atau tidak dia kena akur tinggal di rumah serba daif itu. Waktu dia bersetuju itu manalah dia tahu rumah ini lebih buruk dan kecil berbanding rumah emak mertuanya itu.
Tapi.. hati yang sedia kala tidak rela semakin tidak rela melihat keadaan rumah yang buruk, kawasan sekeliling yang terpencil dan jalan masuk yang berlopak-lopak macam jalan masuk lori ke tempat mengutip kayu balak!
“Apa termenung lagi tu? jomlah masuk..” ajak Kudin lantas menggamit isterinya itu yang masih terpacak sambil memandang rumah itu.
Lambat-lambat Edrina akur mengekori Kudin. Ketika memanjat tangga kayu itu secara tidak sengaja dia memaut lengan Kudin. Langsung tak minta izin nak pegang! Pedulilah! Janji dia tak tergolek akibat tangga kayu stail dulu-dulu. Anak tangganya diperbuat daripada kayu yang berbentuk bulat dan kecil. Gayat Edrina dibuatnya.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah Edrina terlopong. Ruang tamu itu lengang tanpa apa-apa melainkan sebuah gobok lama yang berisi pinggan mangkuk masih berdiri kukuh di hujung ruang itu. Ruang tamu itu pun kecil sahaja. Takde sofa.. takde karpet.. takde tv.. takde jakuzi.. takde yakuza.. pendek kata semuanya memang takde! Tidak tertelan liur Edrina melihat keadaan itu.
“Ruang tamu ni memang macam ni ke?” soal Edrina dengan mata terkebil-kebil memandang suaminya itu.
“Yalah.. habis tu?”
“Tv takde?”
“Takde.” Sepatah sahaja jawapan Kudin.
“Radio?” soal Edrina lagi.
“Tak perlu semua tu,” jawab Kudin macam orang tidak berperasaan. Beg isterinya itu diletakkan di atas lantai.
“Habis tu aku nak buat apa dalam rumah ni selama kau pergi ladang kau tu?” soal Edrina tercengang sendiri. Dia mula tertanya sendiri.. dia ni dapat laki miskin ke.. kedekut ke.. atau kuno? Takkanlah tv sebiji pun tak boleh beli?
“Masaklah! Dapur ada.. tapi dapur kayulah. Nanti aku beli dapur gas,” jawab Kudin lantas memuncungkan mulutnya ke arah dapur di belakang sana.
“Takkanlah celik aja biji mata sampailah ke petang aku nak kena memasak aja? Takde kerja lain?” Edrina menyoal jengkel. Dia ingat aku ni masterchef ke apa?
“Emm.. basuh baju aku. Lepas tu sidai.. bila dah kering angkat dan lipat,” jelas Kudin mengikut rutin kehidupan emaknya yang selalu dia lihat.
“Mesin basuh?” soal Edrina dengan mulut sudah terlopong kecil.
“Takde mesin basuh sebab rumah ni belum ada paip air dalam rumah. Mandi kena kat perigi. Jamban pun kat luar.” Kudin menjawab semula dengan nada polos.
Semakin luas mulut Edrina terlopong. Ini rumah ke tempat perkhemahan, main mandi-manda kat pergi pulak? Namun dek kerana terlalu terkejut dia tidak terkata. Dia masih terfikir-fikir bagaimana untuk dia meneruskan hidup dalam keadaan serba kuno seperti ini.
“Jom.. ini bilik kita,” ucap Kudin lantas menunjukkan bilik paling hampir dengan mereka.
Edrina membuntuti lagi suaminya itu masuk ke dalam bilik. Parah! Katil pun takde. Hanya ada tilam lama yang tidak bersampul. Ada kelambu tergantung di sekeliling tilam bersaiz kelamin itu. Nasib baiklah almari ada. itupun cerminya dah berkarat. Maklumlah.. pusaka punya almari.
“Aku nak minta sesuatu dengan kau.” Edrina berkata dalam pada matanya liar memerhatikan bilik itu.
“Apa?” tanya Kudin lantas menoleh.
“Aku nak kita tidur dalam bilik asing. Kalau kau tak setuju aku nak balik KL sekarang,” ucap Edrina sekali dengan ancamannya.
Kudin terpaku seketika memandang isterinya itu. “Rumah ni ada satu bilik aja,” ucap Kudin sedikit rendah.
“Aku tak peduli! Aku tak mahu tidur sekatil dengan kau.” Edrina menyambut cukup serius.
“Sampai bila?” tanya Kudin dengan pandangan sedikit redup. Bohonglah jika dia tidak terasa apa-apa bila isterinya meminta untuk berpisah tempat tidur daripadanya.
“Sampai aku rela terima semua yang ada di sekeliling aku ni!” jawab Edrina mula mengeraskan nadanya. Dia tidak mahu berkompromi tentang itu. Cukuplah dia dipaksa melalui semua ini. Dia tidak mahu menjadi wanita pelayan nafsu lelaki ini. Yang itu dia memang tidak rela sama sekali. Titik!
Kudin terdiam seketika dalam pada dia mencari idea untuk memujuk. Namun seketika kemudian dia teringat sesuatu. Wajah isterinya dipandang semula.
“Boleh.. tapi kau tengoklah apa kat luar tu,” ucap Kudin lantas menolak jendela bilik itu sehingga terbuka.
Edrina ikut menjengah keluar. Matanya terus disajikan dengan permandangan indah lagi mendamaikan, juga menyeramkan bulu roma tanah perkuburan.
“Kubur?” ucap Edrina selamba.
“Ya, kubur..” sambut Kudin sambil mengangkat kening sedikit. Kemudian dia memandang lagi ke arah kawasan itu. Tidaklah dekat benar sebenarnya. Tapi memang boleh kelihatan jelas daripada jendela bilik itu.
“Oh.. jadi kau fikir aku akan terjerit-jerit ketakutanlah? Lepas tu bolehlah aku batalkan niat aku tak mahu sebilik dengan kau?” ucap Edrina lekas meneka apa yang sedang bermain di hati lelaki itu. Wajah lelaki itu dipandang jengkel.
“Kau tak takut ke?” tanya Kudin dengan lagak seorang lelaki yang sedang bersiap sedia mahu menjadi hero.
“Pleaselah, Kudin. Gunalah cara lain. Tak lakulah trik kau ni!” jawab Edrina sengaja buat-buat menguap bosan kononnya.
Cis! Dia tak takut pulak.. getus hati Kudin ralat. Memang terpaksalah dia tidur di tempat lain. Nasib baiklah rumah ini ada satu lagi ruang kecil berhampiran dapur yang dibina bertirai yang dijadikan tempat solat oleh arwah neneknya. Kalau tidak dilantai ruang tamu itulah dia terpaksa menghamparkan tempat tidurnya.
“Ada idea lain?” soal Edrina mengejek. Mimik jengkelnya sengaja ditunjukkan di hadapan mata Kudin.
“Apa salahnya aku tidur sekali dengan kau dalam bilik ni? Bukannya aku nak apa-apakan kau pun,” ucap Kudin rendah macam mahu menagih simpati aja.
“Sorry.. aku memang jenis susah nak percaya dan suka pada lelaki ni. Sebelum ni kita bukan berdua aja. Sebab tu aku bagi muka pada kau. Aku tak suka kau buat perangai bukan-bukan bila tidur sebelah aku. Macam orang takde sivik!” jawab Edrina sambil berpeluk tubuh, angkuh di hadapan Kudin.
“Okay.. Okay.. aku janji tak buat macam sebelum ni lagi dah. Aku cuma bergurau aja, Rina. Takkanlah itu pun kau nak ambil hati?” ujar Kudin semakin merendahkan nadanya. Harap-harap Edrina bersimpatilah kepadanya. Siapa nak tidur sorang? Rumah ini dekat dengan kawasan hutan. Sejuk bila malam!
“Aku jijik dengan cara kau bergurau dengan aku. Tak kelakar langsung!” Edrina membalas tajam.
Kudin terdiam. Melihat wajah ketat itu wanita itu dia tahu bukan mudah dia memujuk dalam keadaan begini. Dia harus bersabar sedikit masa lagi. “Okaylah.. aku tidur di belakang aja.” Kudin menjawab hampa. Tanpa kata lagi kakinya dihayun keluar daripada kamar itu.
Edrina mula mengalihkan pandangan ke luar jendela. Wajah kawasan perkuburan itu dijamah lagi oleh matanya.
“Kubur..” ucapnya sendiri dalam pada matanya masih memandang kawasan yang rata-ratanya bernesan putih itu.
“Mana ada hantu dalam dunia ni. Merepek ajalah!” ucap Edrina yakin seratus peratus dengan kenyataan itu.


2 ulasan:

  1. mcm nak hempuk je si rina ni. Kasih sedar sikit. Muahahahaa

    BalasPadam
  2. *lupa nak kasih semangat ngan kudin oppa. Hihihi.... Abang kudiiiin !! Chayooook ! Kamu pasti bisa ! *hihi lebay tak ;p x pe janji sy puass muahaha

    BalasPadam