Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 8 Disember 2013

Bab 7 Si Kolot Suami Ku

   Porsche Cayenne hitam itu berhenti di belakang kenderaan itu. Edrina mendegus sambil membuka tali pinggang keledar. Dia keluar daripada keretanya sambil mendekati kenderaan yang berada di hadapan keretanya. Lama dia mengelilingi kenderaan itu untuk mengenali siapa empunyanya. Macam pernah nampak aja kenderaan itu. Tapi dia lupa di mana. Pintu kenderaan itu berkunci saat dia cuba membukanya.
Edrina memandang ke arah rumahnya. “Kurang ajar betul! Lori buruk siapa yang berani sekali ambil port aku ni?” getusnya tidak berpuas hati. Akhirnya dia kembali ke keretanya. Bag tangannya dicapai lalu pintu keretanya dihempas.
Saat dia masuk ke dalam kediaman keluarganya itu dia sudah ternampak kelibat dua tetamu. Salah seorangnya memang dia benci sangat-sangat.
“Lori kau ke kat luar tu?” soal Edrina tanpa langsung memberi salam. Dia bercekak pinggang memandang Kudin.
“Rina, apa ni? Hormat sikit pada tetamu ni. Nenda ada kat sini ni..” Toh Puan Siti Aisyah segera bersuara menegur anaknya itu. wajah emak mertuanya dipandang. Wanita itu sedang merenung ke arah cucunya itu.
Edrina menjeling Kudin. Namun dia mendekati Mak cik Kunah. Tangannya dihulurkan kepada wanita itu. Dia tunduk mencium tangan wanita itu. Senyuman Mak cik Kunah dibalas biasa. Dengan mak cik Kunah memang dia takde hal. Dengan Kudin yang berani sekali memakir lori buruknya di tempat parkirnya itu.. memang dia sakit hati sangat-sangat!
“Alih lori kau..” ucap Edrina kasar kepada Kudin setelah dia memandang lelaki itu. sakit hatinya melihat muka selamba Kudin bersandar elok di sofa bercirikan tradisional yang ditempatkan di ruang tamu utama rumah itu. Macam macholah kononnya tu. Huh! tak terpikat langsung.. ejek hati kecil Edrina meluat.
Kudin buat tidak dengar sahaja sambil berpeluk tubuh. Langsung dia tidak hairan dengan pandangan semua orang kepadanya.
“Hey, mamat kolot! Kau nak bawak lori tanker datang sini pun aku takde hal. Tapi apasal kau letak lori kau tu dekat tempat kereta aku ha?”
“Rina, janganlah besarkan hal yang kecil,” tegur Tengku Ahmad Ehsan tidak senang.
“Pa, kereta Rina takde tempatlah. Dia dah ambil tempat Rina,” ucap Edrina geram sambil menjeling lelaki yang masih buat muka tidak berperasaan itu. Ada ke patut lori berkanvas kelabu yang buruk itu ditempatkan di bawah porch sedangkan kereta dia terpaksa dipakirkan di luar porch? Mana boleh!
“Kudin, alihkan lori kamu tu,” ucap Mak cik Kunah enggan perkara itu diperbesarkan.
“Dia nak.. dia kena cakap elok-elok. Baru Kudin alihkan,” ucap Kudin selamba dengan beraninya di hadapan semua orang. 
Tersirap darah Edrina mendengar bicara Kudin. “Hei! Minta tolong sikit ya? Aku sebut benda alah tu sebagai lori pun dah cukup baik. Benda tu dah elok dihantar kat tempat besi buruk aja! Buat semak aja kat rumah ni,” jerkah Edrina dengan mata melolot.
Kudin memandang ke arah Edrina tajam. Terbakar hatinya mendengar Edrina membahasakan lorinya seperti itu. “Ya.. aku takde kereta mewah macam kau. Jadi aku terpaksalah naik lori buruk aku tu datang sini. Ada masalah?” balas Kudin sengit.
“Kalau dah tahu macam tu naik aja bas! Senang. Tak payah aku nak berebut porch tu dengan kau.” Gadis itu mula bercekak pinggang.
“Nur Edrina!” Tunku Zainab mula bersuara sedikit keras.
“Nenda..” Edrina merengek sedikit.
“Jangan kecohkan hal yang remeh macam ni. Nenda tak suka tengok kamu berdua berkelahi hanya disebabkan hal sekecil itu. Duduk!” Tunku Zainab memintas sebelum gadis itu berkata lebih-lebih.
Melihat wanita itu sudah merenungnya Edrina akur juga. Dia terpaksa duduk di sofa yang sama dengan Kudin. Penat matanya menjeling lelaki itu. Namun Kudin hanya selamba sahaja. Memandangnya juga tidak.
“Eloklah kamu berdua dah ada di sini. Nenda pun tak mahu bertangguh lagi,” ucap Tunku Zainab mula melembutkan nadanya.
“Bertangguh apa, nenda?” soal Edrina pantas sambil memandang tampang emak dan ayahnya.
“Pasal Semarak Holding. Sampai sekarang masih ada belum ada sesiapa nak jadi pengganti papa Rina ni,” jawab Tunku Zainab.
“Owh..” itu sahaja jawapan Edrina sambil memandang Kudin di sebelahnya itu. Apasal dia diam macam patung ni? Takkan orang nak tawarkan jawatan CEO pun dia tak mahu? Ish! Peliklah mamat kolot ni..
“Emran..” Tunku Zainab memandang Kudin yang membisu sahaja.
“Ya..” Kudin menjawab perlahan. Wajah wanita tua itu singgah seketika di matanya sebelum dia merendahkan bola matanya ke arah permaidani di hujung kakinya.
“Nenda harap kamu sudi terima pemberian kami. Wasiat almarhum nenekanda dulu ada menyebut sebahagian saham dalam Semarak Holding mesti diserahkan kepada Emran. Kami tak mahu terlambat dalam menunaikan amanah arwah nenekanda kamu tu. Nenda tahu ada sebab mengapa arwah nenekanda kamu mahu kamu ada dalam Semarak Holding dan hasrat dia sama juga dengan hasrat nenda sekarang. Kami tak mahu kisah dulu tu terus memecah belahkan keluarga ni sedangkan Emran juga cucu nenda,” ucap Tunku Zainab kepada cucu saudaranya itu.
“Saya tahu, nenda. Pak Engku dah bagitahu saya pasal tu sebelum ni,” jawab Kudin lembut.
Tunku Zainab mengangguk perlahan. Lega hatinya jika cucundanya itu mengerti tentang itu. “Kamu berdua sahaja pewaris kami yang masih tinggal. Tentang Semarak Holding, Pak Engku kamu benar-benar berhasrat ada salah seorang daripada kamu masuk ke Semarak Holding. Kami semua ni dah tua. Harapan kami hanya terletak pada kamu yang masih muda ni untuk ambil alih warisan keluarga ni. Semarak Holding ni sama-sama hak kita semua. Kita ada tanggungjawab untuk menjaga kelangsungan perniagaan ni demi masa depan keluarga dan para pekerja yang bergantung hidup kepada perniagaan tu. Harapan nenda dah tentulah kepada kamu kerana kamu satu-satunya cucu lelaki dalam keluarga ni,” ucap Tunku Zainab.
Kudin mula menggaru kepalanya. Letak duduknya mula diperbetulkan sebelum meluahkan bicaranya. “Nenda, saya tak bermaksud nak biadap pada nenda atau Pak Engku. Tapi saya memang tak berminat nak mengendalikan business tu. Saya ada tanggungjawab saya di kampung. Saya ada perniagaan saya sendiri,” jawab Kudin agak rendah.
“Elleh.. setakat jaga pokok je. Suruh ajalah pekerja buat,” celah Edrina agak perlahan.
“Edrina..” suara Tunku Zainab mula teralih kepada cucunya yang itu pula.
“Ya, nenda..”
“Kamu pun tak berminat? Kamu belajar sampai ke London tapi penghabisannya kamu tak mahu langsung tolong papa kamu di pejabat?” ucap Tunku Zainab sambil merenung wajah cucunya itu.
“Rina tak minatlah, nenda. Sorry..” jawab Edrina mudah.
Jawapan itu menerbitkan sedikit gelengan wanita tua itu. “Dua-dua tak mahu. Takkan Tengku Ehsan nak kendalikan syarikat tu sampai mati? Lepas tu apa akan jadi?” soal Tunku Zainab sedikit kecewa dengan dua manusia di hadapan matanya itu.
“Rina memang dah plan nak jadi isteri sepenuh masa ke?” soal Toh Puan Siti Aisyah selamba.
“Ma, kahwin pun jauh lagi nak jadi full time housewive apa pulak?” jawab Edrina tidak senang. Tiba-tiba pulak sebut pasal tu. Alergik telinganya mendengar.
Toh Puan Siti Aisyah menggeleng perlahan. Kesal dengan sikap anaknya itu.
“Baiklah.. kalau dua-dua tak mahu uruskan Semarak Holding, nenda ada syarat. Kalau kamu tak terima permintaan nenda ni, maka nenda terpaksa pilih syarat kedua.” Tunku Zainab kembali bersuara.
Kudin mula memandang wanita tua itu. Begitu juga yang lain. Masing-masing macam dah tak sabar.
"Nenda mahu ikatan keluarga ni didekatkan semula. Hanya satu cara aja yang ada dalam fikiran nenda. Nenda mahu Emran dan Edrina berkahwin. Nenda rasa itu yang terbaik untuk keluarga ni," sambung Tunku Zainab lembut sahaja.
Kudin dan Edrina terus saling memandang. Riak masing-masing lebih kurang sahaja. Terkejut dan ngeri!
"Kahwin dengan dia ni? Apa ni, nenda? Tak mahulah!" Edrina lebih pantas memberikan penolakannya. Ada ke mamat kampong ni nak dipadokkan dengan dia? Apa kelas?
"Betul.." sambut Kudin selepas Edrina. Dia lagilah tak sanggup kahwin dengan minah perasan diva ni.
Tunku Zainab sudah tersenyum kepada kedua-dua cucunya itu. "Kalau begitu Semarak Holding, Edrina kena ambil alih segera. Itu syarat kedua nenda kalau kamu berdua menolak," ujar Tunku Zainab tetap lembut. Tengku Ahmad Ehsan sudah tersenyum memerli anak daranya itu.
Edrina menegur liur. Dia? Eh! itu lagi dia tak nak. Dia mana suka kerja ikut masa ni semua. Dia suka bebas berjalan menghabiskan duit. "Itu pun tak mahu, nenda!" jawab Edrina serius.
"Jadi kamu berdua kena kahwin. Emran, nenda cuma nak keluarga ni bersatu semula. Demi Nenda, tolong terima hasrat nenda ni.." pujuk Tunku Zainab dengan suara yang cukup lembut.
Kudin dan Edrina kembali berpandangan dengan mata membulat.
“Nenda ada cucu lain selain dia ni?” soal Kudin berani. Jari telunjuknya ditundingkan kepada gadis bersebelahan dengannya itu.
“Eh! Tolong sikit eh. Aku sorang aja cucu nenda tau,” ucap Edrina sambil menjeling.
“Huh! Baik tak kahwin daripada dapat bini mulut celupar macam ni,” jawab Kudin sambil memandang ke arah lain.
“Tengok dia ni, nenda. Kurang ajar betul! Siapa nak dengan dia entah!” getus Edrina sambil membulatkan matanya kepada neneknya itu.
Tunku Zainab sudah tersenyum sambil menggeleng melihat gelagat dua manusia itu. “Kamu berdua ni macam budak-budak nenda tengok. Asyik nak berkelahi.”
“Dia ni yang teruk, nenda! Siapa nak kahwin dengan lelaki tak berperasaan macam dia ni. Membosankan!” ujar Edrina selamba. Dahlah tak hensem, hitam pulak tu. Nanti anak-anak aku semua ikut kulit macam dia. Eee.. tak mahulah, sambungnya dalam hati.
Kudin sekadar menggeleng menyabarkan diri mendengar cemuhan Edrina kepadanya.
“Kalau macam tu hari Isnin ni nenda nak Rina masuk pejabat. Mula kerja dengan papa segera,” arah Tunku Zainab.
“Nenda, tak mahulah. Rina tak minat. Kalau nenda paksa Rina nanti habis syarikat tu hancur Rina buat,” keluh Edrina tidak senang.
“Emran?” soal Tunku Zainab kepada cucu lelakinya itu pula.
Kudin diam tidak memberikan jawapan. Namun semua mata yang sudah terhala kepada sudah membuatkan dia dihambat rasa serba salah. Mata emaknya seakan-akan meminta dia memilih satu keputusan agar dia tidak meluruhkan hati Tunku Zainab.
Jadi apa pilihannya? Menikahi Edrina atau meninggalkan perniagaannya di kampung demi Semarak Holding?
“Emran minta masa sikit, Nenda..” ucap anak muda itu akhirnya.


  “Mak bukannya nak memaksa kamu, Kudin. Tapi mak harap kamu jangan hampakan sesiapa. Kesian nenda kamu,” ucap Mak cik Kunah lembut sahaja petang yang sama. Dia duduk berdua sahaja dengan Kudin di halaman rumah mewah itu. 
“Tapi bukan senang Kudin nak tinggalkan apa yang dah Kudin usahakan selama ni, mak. Itu semua hasil titik peluh Kudin. Kudin pun tak mahu tinggalkan mak sorang-sorang kat kampung,” ujar Kudin perlahan. Dia tunduk merenung rumput golf di hujung kakinya itu.
“Tak semestinya kamu kena pilih tinggalkan ladang kamu tu kan?”
Kudin menoleh kepada ibunya itu. “Kahwin dengan Edrina? Mak tahukan macamana Kudin dengan dia? Itu mustahil, mak.”
“Kamu kata mustahil sebelum kamu mencuba?”
Kudin mengeluh perlahan. Masalahnya kedua-dua pilihan yang diberikan nendanya itu merumitkan.
“Kita kena berkorban kehendak kita sekali-sekala, Kudin. Mak tak nampak ada apa yang mustahil pada kehendak nenda tu. Mak lagi suka tengok Kudin ada isteri. Mana tahu ada rezeki nanti mak dapat timang cucu,” ucap Mak cik Kunah lembut.
“Mak, Kudin bakal ada isteri macam tu mak suka jugak ke?” soal Kudin dengan kerutan di kening.
“Kenapa dengan Edrina tu? Mak tak nampak apa yang kurang pada dia,” jawab Mak cik Kunah pantas.
Kudin mengeluh lagi sambil menggeleng. “Dia tak suka dengan Kudin dan Kudin pun tak suka dengan dia,” ucap Kudin serius.
Mak cik Kunah tergelak perlahan. Belakang anaknya itu diusap lembut. “Tapi dia masih seorang perempuankan? Kalau betul cara didikan suaminya, layanan suaminya pun elok.. cukup segala keperluan suami dia sediakan, insya-Allah dia boleh jadi isteri yang baik pada suaminya.” Mak Kunah menyambut kata-kata Kudin dengan pandangannya sendiri. Apa yang dia lihat pada Edrina, anak itu memang manja.
“Kudin tak suka dia, mak.”
“Iya ke kamu tak suka dia?” duga Mak cik Kunah sambil mengerling Kudin dengan hujung matanya. “Esok dah jadi isteri mak nak tengok jugak sejauh mana kamu boleh tak suka dengan dia,” perli mak cik Kunah sambil ketawa sedikit.
Kudin mendecit perlahan. Susahlah! Dia pun tak mampu membayangkan apa akan jadi kepada rumahtangganya nanti jika wanita itulah yang menjadi isterinya. Ngeri!
“Apa patut Kudin buat, mak? Dua-dua pilihan tu Kudin tak mahu,” ujar Kudin cukup rendah.
“Buatlah pilihan yang akan membahagiakan semua orang, Kudin. Mak bahagia, nenda bahagia dan ladang kamu tu pun tak pernah lepas daripada pandangan kamu. Kita kena berkorban sikit perasaan kita jika kita nak orang memahami pendirian kita. Kamu tahukan apa yang maksud mak ni?” ucap Mak cik Kunah lembut.
Kudin diam seketika. Namun akhirnya dia mengangguk. Dia tahu emaknya mahu dia memilih Edrina berbanding Semarak Holding. “Mak cakaplah apa yang patut Kudin pilih. Kudin ikut cakap mak,” ucap Kudin kemudian.
“Jangan tanya pada mak. Tanya pada hati kamu. Hati kamu berat sebelah mana?”
Kudin membisu lagi sambil memandang rumput di kakinya itu. Masalahnya hatinya terasa kosong kepada kedua-dua pilihan itu. Dua-dua dia tidak sanggup.
“Kudin, bercinta lepas kahwin bukan satu benda yang mustahil berlaku dalam dunia ni. Pokok pangkalnya kita ni.. macamana kita bertindak untuk menyelesaikan masalah. Macamana cara kita mengawal rumahtangga. Kudin lelaki. Kuasa ada di tangan lelaki. Terpulanglah pada kamu nak corakkan kebahagiaan kamu macamana. Tak salah kamu rendahkan ego kamu tu untuk kebaikkan kamu berdua, Kudin. Kalau dua-dua mengeras.. sampai bila pun keadaan ni takkan berubah,” ujar Mak cik Kunah lagi.
Kudin mengangguk-angguk tanda mendengar ucapan emaknya itu. “Kudin tak mahu tinggalkan mak. Kudin akan kahwin dengan Edrina,” ucap Kudin segera memberi keputusannya.
Mak cik Kunah tersenyum penuh kesyukuran mendengar jawapan Kudin. Dia sentiasa tahu Kudin seorang yang lembut hati. Dia juga yakin keegoan Edrina tidak mampu terpacak lama jika berhadapan dengan anaknya ini. Dia pasti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan