Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 8 Disember 2013

Bab 2-3 Si Kolot Suami Ku

2
Suasana hingar bingar tingkat atas rumah itu menganggu keralikan sepasang suami isteri yang sedang menikmati sarapan pagi itu. Kedua-duanya terus menuntaskan pandangan ke arah tangga. Masing-masing sudah dapat meneka apa yang sedang berlaku di tingkat atas melalui tangga itu. Sekilas dia terdengar si empunya suara, dia sudah tahu apa yang sedang dikecohkan di atas sana. Jalan ceritanya sama sahaja seperti sebelum ini. Tidak perlulah mereka bertanya lagi. Apa lagi kalau bukan kerenah cerewet anak daranya nan seorang itu, Tengku Nur Edrina.
“Apa lagilah si Rina ni..” keluh Toh Puan Siti Aisyah mula runsing dengan kebisingan mulut anaknya itu. tidak tahan, dia terus mengangkat punggung untuk melihat keadaan di tingkat atas.
Tengku Ahmad Ehsan hanya mampu memandang. Nasib baiklah dia hanya dikurniakan seorang sahaja anak. Kalau ada dua tiga lagi anak dara.. entahkan rumah ini terpaksa dibina dengan keluli sepenuhnya. Baru tak runtuh!
Tidak lama kemudian dua beranak itu turun ke bawah. Wajah kelat Edrina menyapa pandangan si ayah.
“Ada apa lagi ni, Rina?” soal Tengku Ahmad Ehsan perlahan sahaja. Matanya tidak mampu dilarikan daripada memandang wajah cemberut anaknya itu.
“Kamilah tu.. entah kat mana dia simpan baju Rina. Rina nak bawak baju tu ke Egypt nanti, pa. Orang Kemboja tu buat kerja entah apa-apa. Habis semua baju Rina disimpannya merata-rata.” Edrina mula mengadu kepada ayahnya itu. Tercebik-cebik mulutnya untuk mengadun cerita agar dirinya kelihatan cukup malang di mata ayahnya. Ada canlah dia mahu menyingkirkan wanita Cambodia yang baru 3 bulan berkerja sebagai pembantu rumah di rumah itu.
“Baju sendiri.. simpanlah sendiri. Inilah akibatnya kalau pemalas. Baju sendiri kat mana pun tak tahu. Semuanya nak harapkan orang yang buat.” Toh Puan Siti Aisyah terus menyampuk sedikit sinis. Apa punya anak daralah ni.. keluh hatinya sendiri.
“Mama, apa guna orang gaji kalau semua kena buat sendiri? Kalau macam tu tak payahlah upah orang gaji,” degus Edrina tidak senang dengan jawapan emaknya itu. Tampang selamba emaknya itu dijeling geram.
Toh Puan Siti Aisyah sekadar diam. Nak marah lebih-lebih pun tak guna. Dia juga yang memuakan Edrina sampai begini sekali jadinya. Setakat nak mengambil air masak segelas pun dia boleh memekik memanggil orang suruhan. Memang pemalas tahap 7 petala langit punya anak dara! Tak tahulah macamana rupanya Edrina jika sudah bersuami nanti. Lelaki mana yang mahu memperisterikan anak daranya pemalas begini? Sudahlah pemalas.. sombong.. mulut pun, ya ampun! Laser!
“Rina asyik travel ke sana ke mari.. bila nak tolong papa di office?” soal Tengku Ahmad Ehsan lembut. Gelagat anak dan isterinya terus dipandang.
“Nantilah, pa. Rina belum bersedia lagi sekarang. Lagipun Rina tak minatlah kerja kat syarikat tu,” jawab Edrina selamba tanpa memandang tampang ayahnya itu.
Jawapan Edrina membuatkan terbit sedikit keluhan dari celah bibir lelaki awal 50-an itu. Hilang seleranya untuk menikmati sarapa pagi. Mudah sahaja jawapan anaknya itu sedangkan hatinya sudah tercalar mendengarnya. Kepada siapa lagi hendak diharapan jika bukan anaknya ini? Tetapi nampak gayanya dia harus terus menggagahkan diri menjalankan perniagaan keluarga sendirian. Sedangkan saat ini dia sudah mula mengharapkan ada pengganti yang dapat menggantikan tempatnya. Dia pula mahu berehat. Masalahnya Edrina anak tunggalnya.
“Papa dah letih, Rina. Papa nak bersara..” keluh Tengku Ahmad Ehsan perlahan.
“Kalau macam tu bersara ajalah..” sambut Edrina seolah tidak berperasaan.
“Senangnya Rina bercakap? Habis tu siapa nak gantikan tempat papa tu? Takkan nak biarkan orang luar yang manage syarikat keluarga kita?” Toh Puan Siti Aisyah segera mencelah. Dia pun ikut geram dengan gelagat anaknya itu. Suruh kerja tak mahu.. mintak duit rajin pulak! Apa punya anak ni?
“Anak arwah Mak Long tu kan ada? Papa pergilah cari dia. Biar dia yang jaga syarikat tu. Rina tak minatlah bussines ni semua, papa. Jangan paksa Rina buat benda yang Rina tak suka, boleh tak?” Masih dengan gelagat yang sama Edrina menjawab.
Terpaku Tengku Ahmad Ehsan mendegar jawapan selamba Edrina. Macam bijak sahaja idea yang diberikan Edrina. Anaknya itu masih tidak sedar.. dia berlengah-lengah mencari Tengku Raden Emranuddin itu ada sebabnya. Kalaulah Edrina tahu apa sebabnya, pasti mulutnya itu tidak selancang ini.
Toh Puan Siti Aisyah terus mengunci mulut tidak mahu memberi komen. Bimbang jika dia tersalah cakap keadaan akan menjadi kucar kacir. Soal syarikat dua pun tidak mahu masuk campur sangat.
Namun lelaki tua itu sudah mula mengeluh sendiri. Mungkin sudah sampai masanya dia pergi mencari anak buahnya itu. “Papa takde masalah nak cari Tengku Emran tu, Rina. Tapi bila papa dah jumpa dia nanti, keadaan Rina pun takkan sesenang ini,” ujar Tengku Ahmad Ehsan serius merenung tampang kosong anak daranya itu.
Edrina yang sedang menikmati roti di tangannya itu terus memandang ayahnya. “Apa maksud papa ni?” soalnya pantas. Spontan kunyahannya menjadi lambat.
“Nanti Rina akan tahu. Kalau Rina tak masuk kerja juga dalam tempoh terdekat ni, bermakna papa kena juga cari Tengku Emran. Lepas tu apa nak jadi, jadilah!” ucap Tengku Ahmad Ehsan serius.
“Ai..” Tengku Ahmad Ehsan memanggil isterinya yang berjeda sendiri.
“Ya..” jawab wanita itu lembut.
“Tolong tengokkan bonda. Pastikan bonda makan ubat macam biasa,” ucap lelaki itu kepada isterinya. Toh Puan Siti Aisyah terus mengangguk.
Tanpa kata lagi Tengku Ahmad Ehsan terus bangun. Pandangan Edrina yang membulat kepadanya juga tidak dilayan. Kali ini dia serius dengan kata duanya. Dia tahu kalau dia tidak buat begini, Edrina takkan mahu mendengar cakapnya. Dia sendiri sudah letih melayan kerenah Edrina.
Edrina di meja makan terus terkulat-kulat memandang ayahnya berlalu. Belum sempat dia bertanya kepada emaknya, wanita itu juga bangun untuk menghantar suaminya ke kereta. Sepeninggalan suaminya Toh Puan Siti Aisyah terus naik ke tingkat atas. Bilik emak mertuanya itu dijejakinya.
“Mana Rina?” soal Tunku Zainab lembut kepada menantunya itu.
“Dia kat bawah, bonda..” jawab Toh Puan Sri Aisyah perlahan. Tampang tua emak mertuanya yang sedang duduk bersandar di kepala katil itu dipandang lembut.
“Ehsan?”
“Dah pergi ofis sekejap tadi..” sekali lagi suara wanita itu teralun lembut kepada emak mertuanya itu.
Tunku Zainab mengangguk lagi. “Bonda ada hal nak cakap dengan kamu..” ucap Tunku Zainab lembut sambil memandang ke hadapan.
Toh Puan Siti Aisyah sekadar memandang Tunku Zainab. Emak mertuanya dilihat sedang memikirkan sesuatu.
“Bila dah tak sihat begini fikiran bonda mula terfikir macam-macam. Salah satunya tentang wasiat ayahnda dulu. Kalau boleh bonda mahu Ehsan segera selesaikan masalah tu. Selagi masih ada nyawa ni, bonda nak tengok sangat wasiat ayahnda tu tertunai,” ujar wanita 80 tahun itu lembut.
Toh Puan Siti Aisyah mengangguk mengerti. Ya! wasiat itu masih tidak tertunai sehingga kini.
“Ai..” panggil Tunku Zainab lembut. Tangan menantunya itu diambilnya lalu digenggam erat. “Pujuk Ehsan.. minta dia serahkan saham tu pada Tengku Emran. Itu memang hak dia yang dah ayahnda putuskan. Kita tak boleh tamak, nak. Bonda tak mahu hubungan dua keluarga ni terus retak begini. Hubungan sekeluarga tak boleh dibeli dengan wang ringgit.”
“Ai takut nak masuk campur dalam hal tu, bonda. Ai takut Ehsan marah,” jawab Toh Puan Siti Aisyah perlahan sahaja.
“Bukan soal marah atau tidak. Tapi saham tu memang hak Tengku Emran. Takde siapa yang boleh nafikan.” Tunku Zainab menghela nafas perlahan sambil memandang menantunya itu. “Bonda kesal.. dah terlalu dua keluarga ni jadi begini. Hati bonda tak tenang selagi keadaan tu tak dipulihkan segera. Bonda tak pernah berniat nak memulaukan keluarga di sana. Tapi hati nenda dulu cukup keras untuk terima bonda sebagai anak,” ucap Tunku Zainab agak rendah. Sedih hatinya memikirkan kekerasan hati emak tirinya dulu. Sanggup memisahkan mereka tiga beradik sehingga kini. Sayangnya dia tidak akan dapat lagi bertemu dua saudaranya itu kerana kedua-duanya sudah meninggal dunia.
Toh Puan Siti Aisyah sekadar memandang wajah emak mertuanya itu. Dia tahu sedikit sebanyak kisah yang dimaksudkan oleh emak mertuanya itu. Kisah itu tentang ayah kepada Tunku Zainab yang berkahwin dua secara rahsia. Namun setelah perkahwinan itu terbongkar.. isteri pertama Tengku Hishamudin telah meminta cerai dan membawa diri bersama dua anaknya.
Akibatnya wanita itu memulaukan keluarga ini sehingga kini. Setahunya juga Tunku Zainab adalah anak hasil daripada perkahwinan kedua itu. Dan ayahnda mertuanya itu membuat satu wasiat sebelum pemergiannya dulu, sebahagian saham di dalam syarikat milik keluarga mereka harus diserahkan kepada waris Tunku Zanariah iaitu bekas isteri pertama Tengku Hishamudin. Setahu mereka Tunku Zanariah hanya ada seorang cucu iaitu Tengku Raden Emranuddin itu. Begitulah lebih kurang yang pernah didengari daripada suaminya.
 “Bonda nak tengok keluarga ni bersatu semula, Ai. Tengku Emran berhak berada dalam keluarga ni kerana dia satu-satu pewaris lelaki yang kita ada. Bonda nak Ehsan kahwinkan dia dengan Edrina. Bonda harap dengan cara itu hubungan dua keluarga ni dapat dicantum semula,” ucap Tunku Zainab serius.
Toh Puan Siti Aisyah terpaku memandang tampang emak mertuanya itu. Kahwinkan dengan anaknya? Mimpi ke bonda ni? Dengar dek Edrina mahu terbalik rumah ni dibuatnya.. Toh Puan Siti Aisyah hanya mampu memandang emak mertuanya itu dengan mata terkebil-kebil.

“Saya dah tahu pasal tu. Bonda dah cakap dulu,” jawab Tengku Ahmad Ehsan tenang sahaja kepada isterinya malam itu. Dia langsung tidak terkejut mendengar kemahuan emaknya itu. Kerana itulah dia sengaja berlengah-lengah mencari Tengku Emran. Bukan sebab dia tamakkan harta. Dia sendiri pun sudah putus harap kepada Edrina untuk mengambil alih tempatnya. Jadi sekarang dia memang mengharapkan Tengku Emran itu yang mengambil alih syarikat dalam masa terdekat ini. Sayangnya hasrat emaknya yang mahu bermenantu cucukan Tengku Emran itu membuatkan dia ragu sehingga kini.
“Habis tu kenapa awak tak bersuara langsung pasal tu?” ucap Toh Puan Siti Aisyah kepada suaminya itu. Wanita bekas seorang guru itu terus memandang wajah sedikit mendung suaminya yang sedang duduk di sisi katil.
Tengku Ahmad Ehsan terdiam seketika. Perlahan dia mengeluh. Mahu menolak hasrat bondanya itu dia tidak sanggup. Tetapi untuk menerima begitu sahaja. Entahlah! Hanya satu yang bermain di fikirannya saat ini.. penerimaan Edrina tentang itu!
“Apa kata awak tentang itu, Ai? Awak setuju ke dengan kemahuan bonda tu?”
“Apa yang ada dalam otak saya sekarang ni.. mahu ke Tengku Emran pada anak kita? dengan tak tahu memasaknya. Pemalas! Takde tokoh langsung nak jadi isteri. Masalahnya kita tahukan Tengku Emran bukannya hidup mewah macam kita. Dia pun bukannya menentap di bandar besar macam KL ni. Sanggup ke dia tahan dengan perangai cerewet anak kita? Lelaki kampung ni mereka perlukan isteri sepenuh masa. Takde istilah orang gaji dalam rumahtangga! Takkanlah kita nak mintak Tengku Emran tu sediakan orang gaji seorang semata-mata untuk senangkan anak kita? Tak masuk akal!” ucap Toh Puan Siti Aisyah serius.
Sekali lagi Tengku Ahmad Ehsan terdiam. Ya tak ya juga.. itu pun satu masalah jugak. Ah! Payahnya kalau ada anak kepala batu macam ni... jerit hati lelaki itu sendiri. Anaknya itu memang tidak pernah lekat dengan seorang lelaki. Sebab semuanya tak tahan dengan perangai Edrina yang cerewet dan berlagak diva.
“Bonda hanya fikir untuk kebaikan kita bersama, Ehsan. Saya setuju dengan kemahuan bonda. Tapi saya takut anak kita tak mampu jadi isteri yang baik kepada Tengku Emran. Saya paling takut hal anak-anak akan membuatkan dua keluarga ni semakin jauh,” ucap Toh Puan Siti Aisyah lagi tatkala suaminya terus berdiam.
“Emran tu sebatang kara. Dia memang perlukan kita,” ucap Tengku Ahmad Ehsan sambil memandang isterinya di kepala katil itu.
“Jadi apa keputusan awak sekarang?”

“Saya akan berbincang dengan Kunah nanti,” jawab Tengku Ehsan lantas bangun dari duduknya. Tubuhnya dibawa menghilang ke dalam kamar mandi.

3
“Kudin.. oh.. Kudin..” laungan itu mengejutkan Kudin yang sedang mengenakan baju di biliknya.
“Ya, mak..” jawab Kudin agak kuat dari ambang pintu biliknya.
“Dah siap ke belum? Marilah sarapan dengan mak ni,” panggil mak cik Kunah.
“Dah nak siap..” Kudin lekas-lekas kembali ke cermin yang melekat di pintu almarinya itu. Bajunya dibetulkan sediki sebelum menyisir rambut pendeknya. Setelah itu dia terus keluar.
Di atas meja Kudin sudah terlihat hidangan pagi yang disediakan emaknya. Ada pulut kukus dengan sambal ikan bilis yang amat digemarinya. Ada juga nasi goreng ikan bilis, juga kegemarannya. Bekal makanan untuk dibawanya juga sudah tersedia di atas meja itu.
“Mari makan..” ucap Mak cik Kunah tatkala terpandangkan Kudin berdiri di tepi meja memandang hidangan di atas meja.
“Tengahari ni Kudin tak balik makan kat rumah, mak. Kudin ada kerja di ladang. Lagipun lepas zohor nanti peraih nak datang ambil buah yang dah masak tu,” ucap Kudin saat menghadap pulut tanak hasil tangan emaknya itu.
“Iya ke? Kenapa tak cakap awal-awal? Nanti mak tambah sikit lagi bekal tu,” sambut Mak cik Kunah sambil memandang tampang anaknya itu.
“Pulut ni mak letak banyak sikitlah. Sedap!” ucap Kudin sambil tersengih sedikit.
“Yalah.. kamu tu tak bosan ke sarapan pagi dengan pulut cicah sambal ikan bilis ni, Kudin? Mak nak masak yang lain kamu tak suka pulak,” komen Mak cik Kunah sambil menggeleng sedikit. Dia sendiri macam dah nak muntah menghadap sarapan pagi yang sama aja setiap hari. Pulut tanak dan nasi goreng. Wajib!
“Alah.. selalu makan pulut kulit cantik, mak. Tengok model Jepun yang kat dalam tv tu. pakai produk berasaskan pulut. Kulit dia dengan kulit Kudin nak sama lembutnya. Mulus aja! Bagus apa makan pulut ni,” jawab Kudin selamba menyuap pulut itu ke mulutnya.
Mahu tersembur semula pulut tanak daripada mulut mak cik Kunah mendengar itu. mulus? Ah sudah.. lain macam pulak dengarnya telinga aku ni. Semenjak bila pulak Kudin kisah kulit dia mulus ke tidak? Bisik hati wanita tua itu sambil memandang anaknya itu.
Si Jepun tu eloklah mulusnya.. sebab dia perempuan. Yang depan dia ni lelaki. Nak kulit mulus pulus segala, nak buat apa? Buang tebiat ke apa anak aku ni? Gusar pula hati wanita tua itu. Dah lah anaknya ini memang tak pernah ada teman wanita. Jangan-jangan Kudin ni...
Ya Allah.. mintak simpanglah! Cepat-cepat mak cik Kunah mengusir bayangan ngeri itu daripada benaknya. Tak mungkin Kudin begitu.
“Alhamdulillah.. Kenyang dah, mak. Pulut mak ni memang terbaiklah. Rasa macam nak tidur balik aja kat dalam bilik tu,” seloroh Kudin setelah dia kekenyangan. Sedar tak sedar dua pinggan dia memulun pulut itu.
“Kamu jangan nak buang tebiat. Ikan keli kamu tu menunggu aja nak tengok muka kamu tu,” getus wanita tua itu tidak senang. Dia menggeleng sedikit memandang Kudin yang sudah tersandar sambil memegang perutnya. Anaknya ini memang makan banyak. Mungkin sebab setiap hari dia kerja berat.
Usai menambah bekalan makanan Kudin, wanita itu menghantar anaknya ke motornya. Kudin terus menyarung kasut bootnya. Sebelum melompat ke atas motor dia sempat mencapai tangan emaknya itu.
“Pergi dulu, mak. Kalau ada apa-apa, mak email aja Kudin ya?”
“Banyak kamu punya email! Aku lempang jugak budak ni karang,” getus wanita itu. Spontan tangannya diangkat mahu menampar anaknya itu. Namun Kudin lebih pantas melarikan diri sambil ketawa.
“Ha.. kalau nampak anak-anak dara tepi jalan tu ngoratlah. Mana tahu boleh buat bini..” ucap Mak cik Kunah separuh menjerit.
“Yalah, mak. Nanti kalau terjumpa Kudin ngorat. Terus Kudin bawak balik jumpa mak.” Kudin menjawab patuh.
“Yalah sangat kamu tu!” Menggeleng wanita itu melihat gelagat anak lelakinya itu. Email konon.. Nak email apa kebendanya kalau komputer pun dia tak kenal. Tak pernah seumur hidupnya ada benda alah itu. Kudin kalau moodnya baik memang suka berseloroh dengan dia. Tapi bila dia ada masalah atau sedang sibuk memikirkan sesuatu, anaknya itu kadang-kadang jadi pendiam.
Setiba di kawasan ladang longannya kebanyakan pekerja sudah ada di sana. Longan Brazil yang sedang dalam musim berbuah sudah boleh dituai hasilnya. Menunggu pemborong datang mengambil hasilnya sahaja lagi.
Kudin tersenyum sendiri melihat buah longan yang jarang dilihat di tempat lain itu. Buah longan yang terhasil di ladangnya ini besarnya hampir seperti buah epal. Rasanya hampir sama sahaja dengan longan biasa namun rasanya lebih manis dan isinya lembut berbanding longan biasa. Itu kelebihan longan Brazil ini walaupun benihnya agak susah untuk didapati.
Sebahagian lagi tanah itu ditanam dengan longan biasa. Namun masih belum berbuah. Kebanyakan pokok masih muda. Sebaik sahaja menongkat motornya Kudin didekati seorang pekerjanya.
“Bang Kudin.. di sebelah sana itu bisa kita mula petik buahnya? Tadi saya lihat kebanyakkan buah di sebelah sana semuanya sudah cukup masak,” ucap Rudi sambil menunjuk ke satu arah.
“Boleh.. kita kena ambil semua hari ni, Rudi. Lepas zuhur ni tauke Cina tu datang ambil,” jawab Kudin pantas.
“Iya, bang. Nanti saya bagitahu sama semua pekerja lain.” anak muda bernama Rudi itu terus berlalu. Dia antara pekerja yang paling dipercayai Kudin kerana kejujuran dan kerajinannya.
Seperti selalunya Kudin akan ikut sekali membanting tulang di ladang itu bersama pekerja-perkerja lain. Tiada istilah dia bos dan yang lain itu kuli walaupun dialah pemilik ladang itu. Sikap itu yang menyebabkan ramai pekerja hormat kepadanya. Masing-masing segan mahu mencuri tulang disaat Kudin bertungkus lumus menyudahkan kerjanya. Itulah antara keistimewaan Kudin yang dilihat oleh orang sekelilingnya. Dia seorang yang gigih.
Usai tugasnya di ladang petang itu Kudin terus ke kolam ikan kelinya pula. Mokhtar salah seorang rakan kongsi yang setia menguruskan kolam itu terus datang kepadanya. Termengah-mengah lelaki. Letih dengan kerja-kerja membersihkan kolam ikan mereka.
“Din, tadi Wak Tukiman datang lagi..” ucap Mohktar ringkas.
“Dia buat apa datang sini?” 
 “Macam biasalah..” jawab Mokhtar biasa. Dia tahu Kudin tahu apa yang dimaksudkannya.
Kudin diam seketika sambil memandang wajah temannya itu. “Berapa banyak dia ambil kali ni?” soal Kudin serius.
“Hampir semua ikan yang kat kolam yang belah hujung sana. Nak buat makan kenduri katanya. Budak-budak pekerja tu tak boleh nak buat apa bila dia ugut nak berhentikan budak-budak tu. Terpaksa ikut jugak kehendak dia,” jelas Mokhtar bersungguh.
Kudin mendecit sedikit. Geram betul dia dengan perangai lelaki tua itu. Mentang-mentanglah lelaki itu juga ada bahagian perkongsian dalam kolam ini.. sedap sahaja datang mengambil ikan-ikan di situ begitu sahaja. Ini bukan kali pertama lelaki itu buat begitu. Kerana sikap lelaki itu dia dan Mokhtar sering kerugian.
“Rugi kita kalau selalu macam ni, Din..” ucap Mohktar perlahan.
“Aku tahu..” sambut Kudin rendah sahaja.
“Apa kau nak buat?”
Kudin memandang tampang Mokhtar. “Aku fikir dulu..” jawabnya perlahan.
Usai meninjau kerja-kerja di kolam itu Kudin terus pulang ke rumah. Dalam perjalana pulang itu fikirannya sudah mula sarat memikirkan masalah Wak Tukiman itu. Kalau bukan sebab lelaki itu adalah ayah Lisa.. sudah lama dia berjumpa dengan lelaki itu.
“Kenapa muka mendung aja ni, Kudin?” soal Mak Kunah hairan melihat anaknya berwajah lain macam. Segelas air diletakkan di hadapan Kudin di atas meja makan itu.
“Takde apa-apa, mak.” Kudin menjawab perlahan. Air itu diteguknya perlahan.
“Kamu tu kalau ada masalah bukannya nak kongsi dengan mak. Suka dok pendam sendiri. Lepas tu dok berkurung dalam bilik,” ucap Mak Kunah rendah.
Kudin mengeluh tiba-tiba memikirkan masalah yang timbul lagi itu. “Wak ambil ikan lagi di kolam,” ujar Kudin pendek.
“Astaghafirullah.. banyak ke diambilnya?” sambut Mak Kunah dengan mata sedikit terbeliak.
“Banyak..” keluh Kudin perlahan. Sebelum ini lelaki itu sudah mengambil wang hasil jualan ikan-ikan itu. Kemudian ikan itu pula diambilnya sesuka hati. Kalau sudah selalu benar begini memang susah dia dan Mokhtar mahu meneruskan perniagaan kolam itu. Memang susah hendak maju bila ada rakan niaga yang tidak berdisiplin seperti ini.
Mak Kunah merenung sahaja wajah Kudin. Kasihan dia melihat anak lelakinya itu. Bukannya dia tidak nampak betapa gigihnya Kudin mengusahakan kolam itu bersama kawannya. Wak Tukiman itu pula tahu mengutip hasilnya sahaja. Pemalas punya manusia!
“Buatlah sesuatu Kudin. Jangan biarkan dia terus pijak kepala macam ni,” ucap Mak Kunah setelah dia berdiam seketika. Kudin dilihatnya termenung sendiri.
“Nantilah, mak. Kudin naik atas dulu ya? Belum solat asar lagi ni,” ucap Kudin perlahan. Dia mula bangun dari situ.
“Yalah..” jawab wanita itu akur. Batang tubuh tinggi anaknya itu dipandang lama sehingga hilang dari pandangannya.
Terbayang oleh Mak Kunah lelaki bernama Tukiman itu. Dulu masa zaman sekolah anak Tukiman itu berkawan baik dengan Kudin. Lisa sering datang ke sini sekali sekala walaupun Kudin tiada di rumah. Namun semenjak kebelakangan ini Lisa sudah tidak kemari. Mak Kunah tidak tahu apa sebabnya. Dia tahu keakraban itu juga salah satu sebab mengapa Wak Tukiman sering mengambil kesempatan kepada Kudin. Masalahnya dulu ketika Kudin tiada apa-apa, takde pulak lelaki itu mahu menghimpit anak bujangnya. Pelik bin ajaib!
Wanita tua itu menghela nafas perlahan. Harap-harap anak lelakinya tidak terus dipergunakan orang kerana sifat lembut hatinya.

“Tak nak, okay!” tegas Edrina dengan muka selamba.
Tengku Ahmad Ehsan mengeluh perlahan. “Sampai bila Rina nak macam ni?” keluh lelaki itu mula geram.
“Papa janganlah paksa-paksa Rina pergi sana. Rina tak suka!”
“Papa tu ajak melawat saudara kita kat sana. Apa salahnya? Rina pun kena berkenalan dengan saudara kita yang masih ada ni. Tak baik buat sombong dengan famili sendiri,” celah Toh Puan Siti Aisyah cuba memujuk anaknya yang degil.
“Bukan Rina nak sombong, ma. Tapi nak pergi kampung macam tu.. tak naklah! Suruh ajalah dia orang datang sini rumah kita,” jawab Edrina masih dengan muka selambanya.
“Apa salahnya pergi kampung?”
“Memanglah tak salah. Tapi Rina tak suka! Nanti kalau Rina kena gigit lintah, papa jugak yang susah,” sambut Edrina lancang. Kalau ajak ke Paris ke.. Milan ke.. mahulah dia. Ada ke ajak pergi kampung yang banyak lintah tu? No way! Dia takut dia histeria kat sana nanti.
“Papa ajak pergi sekejap aja. Jenguk Tengku Emran dengan mak dia,” pujuk Tengku Ahmad Ehsan sambil tersenyum. Dia tahu Edrina memang alergik benar dengan benda-benda begitu. Bukan sekadar kampung.. mana-mana tempat yang sering ada binatang itu dan sekutu-kutunya seperti pacat, memanglah Edrina tidak akan jejak. Sebab itu Edrina tidak ikut jika diajak berpiknik ke air terjun atau sungai. Sebab tempat itu memang ada binatang-binatang seperti itu.
“Suruh ajalah Tengku Emran tu datang sini..”
“Mana pulak boleh kita suruh orang yang kita nak ziarah tu datang ke tempat kita? Kitalah kena pergi cari dia kalau kita nak ziarah dia. Apalah Rina ni.” Tengku Ahmad Ehsan tergelak perlahan. Toh Puan Siti Aisyah sudah menggeleng sendiri. Pening kepalanya bercakap dengan Edrina. Ada sahaja konarnya.
Edrina terdiam seketika sambil berfikir sendiri. Dia sendiri tidak pernah lihat rupa dua pupunya itu. Hanya emak dan ayahnya sahaja yang kenal dengan Tengku Emran.
“Tengku Emran tu hensem tak, pa?” soal Edrina tiba-tiba.
“Kalau nak tahu hensem ke tak, kenalah pergi sana jumpa dia sendiri. Papa tengok dia tu memang boleh tahan orangnya,” jawab Tengku Ahmad Ehsan selamba.
“Dia dah kahwin?” soal Edrina lagi. tiba-tiba wajahnya berubah teruja pula.
 “Amboi.. anak dara ni. Siap tanya dah kahwin ke belum? Nak tahu butiran peribadi Tengku Emran tu, jom ikut kami ke sana. Tengok sendiri orangnya. Agak-agak kalau ada rasa berkenan biar mama pinangkan terus.” Toh Puan Siti Aisyah mencelah sebelum suaminya itu.
Edrina terdiam seketika. Nak pergi ke tak? Buatnya Tengku Emran tu hensem gila.. rugi dia nanti! Tapi kat kampung banyak lintah.. takutnya! Edrina sudah serba salah.
“Esok pagi kita pergi ya? Mana-mana pun sama aja, Rina. Yang penting kita pandai sesuaikan diri,” pujuk Tengku Ahmad Ehsan lembut.
“Okay..” akhirnya kerelaan itu diberikan begitu sahaja. Entah apa anginnya.. nama Tengku Emran tiba-tiba menggamit dirinya mencemar duli mencecahkan kaki ke selut kampung itu. Dia pun mahu tahu bagaimana Tengku Emran itu boleh berselera tinggal di tempat berlintah seperti itu.

We’ll see..

2 ulasan: