Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Rabu, 11 Disember 2013

BAB 16 SI KOLOT SUAMI KU

Sehingga sakit tekak ayam berkokok namun pasangan merpati dua sejoli itu tidak juga terjaga. Mungkin kesejukan awal pagi itu membuatkan lena mereka lain macam jadinya. Namun sengatan nyamuk di kakinya membuatkan wanita itu terjaga dalam keadaan mamai. Dengan menggunakan sebelah lagi kaki dia menggaru dalam pada dia seronok memeluk bantal peluknya. Tetapi besar pula rasanya bantal itu. Panas pulak tu. Bukan itu sahaja.. dia pun terasa macam sedang dipeluk.
Edrina membuka mata. Gelap gelita tak nampak apa-apa! Wajahnya terasa lain macam. Kerasnya bantal ni? hidungnya terasa penyek dihimpit bantal keras itu. Malah ada sesuatu yang kasar menempel elok di wajahnya. Akalnya cuba mencerakinkan apa yang sedang berlaku. Akhirnya Edrina terdengar sesuatu. Macam bunyi dengkuran Kudin. Edrina semakin sedar dari mamainya.
Bantal peluk itu adalah Kudin! Dan benda yang kasar menempel di mukanya itu adalah bulu dada Kudin! Spontan Edrina menolak lelaki itu sekuat-kuat hatinya.
Kudin ikut terkejut. Matanya digosokkan. “Kenapa?” soal Kudin dalam mamai-mamai.
“Kenapa kau peluk aku?” soal Edrina kasar.
Kudin termangu seketika memandang isterinya. “Dah tengah tidur manalah aku tahu kenapa aku terpeluk kau. Yang kau tu peluk aku kenapa?” balas Kudin ikut mengeraskan suaranya.
“Bila masa aku peluk kau?” balas Edrina lantas meraup kasar rambutnya.
“Elleh! Tak payah nak kelentonglah. Aku sedar tengah malam tadi. kau yang peluk aku dulu. Aku tengok kau peluk aku, aku peluklah kau balik. Rezeki dah ada depan mata buat apa aku tolak,” jawab Kudin berani.
Edrina terdiam memandang Kudin. Kurang ajar punya Kudin. Rezeki ya.. geram punya pasal Edrina mengambil bantal lalu dicampaknya ke muka lelaki itu. “Itu rezeki kau pagi-pagi macam ni,” ucap Edrina lantang.
Kudin terkejut akibat terpaan bantal itu yang mengenai tepat ke muka. Tersirap darahnya dengan kelakuan biadap Edrina. “Apasal kurang ajar sangat ni? Setakat peluk sikit pun marah sangat ke?” soal Kudin tajam.
“Tak ingin aku tidur dengan kau lagi,” balas Edrina kuat.
“Aku tak ajak pun kau tidur kat sini. kau yang datang sini. bila kita dah mintak tolong orang, kita kena hargai apa yang orang bantu kita. bukannya balas dengan tengking herdik, faham? Aku ni suami kau! Tolong simpan sikit rasa hormat kau pada aku!” jerkah Kudin mula panas hati.
“Lain kali tak ingin aku nak mintak tolong kau apa-apa. Kau fikir aku tak boleh hidup tanpa kau ke? Boleh jalanlah, Kudin! Setakat duduk rumah buruk kau ni, aku tak hairan!” balas Edrina bongkak. Tanpa menunggu lagi dia terus bangun untuk kembali ke biliknya.
Kudin diam memandang. Turun naik dadanya menahan marah. Ikutkan hatinya mulut yang mengeluarkan suara penuh keangkuhan itu sudah diajarnya. Malas mahu memikirkan wanita itu akhirnya Kudin kembali berbaring melayan hati yang sakit.
“Dia yang peluk kita dulu,” ucap Kudin sebal. Bantal alas kepala Edrina semalam diambilnya lalu dipeluk.
Pagi itu..
“Kau masak sarapan sendiri. Hari ni aku tak beli makanan kat luar,” ucap Kudin serius sahaja ketika wanita itu melintasinya setelah pulang daripada mandi. Jelingan maut Edrina tidak dipedulikannya. Lelaki itu terus menyarungkan tee lusuhnya menandakan dia sudah mahu ke ladang.
“Apasal pulak?” soal Edrina sambil memandang lelaki itu.
Kudin diam tidak menjawab. Dengan muka selamba dia menyikat rambut pendeknya dicermin. Semakin bengkak hati wanita itu melihat dirinya hanya dibiarkan begitu sahaja oleh suaminya itu.
“Kau ni memang jenis lelaki takde perasaankan? Dahlah tak hensem, kolot pulak tu! Tak cukup tu, tambah lagi satu. Pekak badak!” selamba sahaja kutukan itu diluahkan Edrina. Mulutnya dicebikkan bagi menambahkan lagi reaksi jengkelnya ke tahap yang paling maksimum kepada lelaki itu.
Kudin terus diam malas mahu melayan. Atau dalam erti kata lain dia sedang memboikot isterinya itu.
Edrina mendecit geram. “Entah apa malang nasib perempuan secantik aku dijodohkan dengan lelaki tak hensem macam kau ni. Dahlah hitam.. bisu pulak tu!” Edrina mengutuk lagi suaminya dengan selamba.
Kudin sekadar menoleh sekilas. Bicara pedas Edrina ingin benar dilawannya. “Daripada aku melayan minah salih tersesat kat Katulistiwa ni, baik aku pergi kebun. Lagi ada faedah! Masuk bilik kecik aku ni, lepas tu nak kutuk-kutuk aku. Banyak cantik muka kau?” desis Kudin tajam. Sehabis bersiap dia terus keluar dari bilik itu.
“Hey! Aku ni macamana? Aku nak makan apa nanti?” degus Edrina semakin geram. Dia mula mengejar Kudin yang menapak ke ruang tamu.
“Kudin!!!!” jerkah Edrina yang semakin geram. Lengan lelaki itu direntap kuat agar Kudin kembali memandangnya.
“Nak apa lagi ni?” bentak Kudin mula meninggikan suaranya. Mencerlang matanya memandang wanita itu.
“Kau nak pergi macam tu aja? Habis tu aku ni?” Edrina ikut membentak melawan kekerasan suaminya itu.
“Kau nak aku buat apa untuk kau? Kau nak aku gomol kau atas katil ke? Kalau nak cakap! Sekarang jugak aku boleh kasi!” cabar Kudin dengan sinar mata melolot tajam. Tercabar benar kesabarannya dengan kekasaran Edrina yang tidak pernah mengira masa dan tempat.
Tersirap darah Edrina mendengar bicara Kudin. Spontan matanya membuntang. “Please, okay! Tak teringin aku nak biarkan kau gomol aku atas katil.”
“Habis yang kau tahan-tahan aku ni kenapa? Aku nak pergi kerja. Nak kena cari banyak duit untuk suap mulut anak orang kaya macam kau! Melayan kau bertekak macam ni tak mendatangkan rezeki, faham!” sergah Kudin garang.
Terkejut seketika Edrina dengan kelantangan suara Kudin kepadanya. Tidak pernah lelaki itu meninggikan suara seperti itu.
“Aku nak makan apa nanti?” mengendur sedikit nada Edrina kala itu. Sebahagian dirinya mula sedar dia harus berlembut sedikit dengan Kudin agar dirinya tidak kebuluran.
“Makan apa? Makan nasilah! Beras, bawang, ikan semua ada kat dapur. Periuk ada, kuali ada. Apa lagi? Masaklah!” Kudin menempelak selamba. Sakit benar hatinya dengan kemanjaan wanita ini. Langsung tidak tahu berdikari jika tidak disuakan dengan kemewahan. Sampaikan memasak nasi pun perlu menyusahkan orang lain.
“Manalah aku tahu memasak!” rengus Edrina semakin geram. Nampaknya Kudin tidak mengerti masalahnya. Memanglah semuanya ada di dapur. Tapi yang mentah! Aku mahu yang sudah dimasak! Bendul punya laki! Kutuknya dalam hati.
Kudin menggeleng jengkel kepada isterinya itu.
“Inilah anak orang kaya. Semua benda bergantung pada orang lain. Sampai masak nasi pun tak tahu. Kalau ada inisiatif nak belajar takpe jugak. Ini tak! Mengarah orang sana sini. Kau ingat aku ni apa? Orang gaji kau? Sebagai isteri kau yang seharusnya menyediakan makan minum aku. Bukannya aku yang kena memasak untuk kau! Ada faham?” meninggi lagi suara Kudin kepada isterinya itu.
“Kalau dah tak tahu nak buat macamana! Membebel sampai subuh esok pun bukannya nasi tu boleh termasak sendiri di dapur!” bidas Edrina berani bersama sebuah jelingan tajam. Bercakap dengan si kolot ni memang menyakitkan hati. Al maklumlah.. kolot! hati Edrina mencemuh lagi.
“Pandai-pandailah kau nak hidup. Kau jugak yang kata kau boleh hidup tanpa akukan?” Kudin segera berpaling. Langkah yang terhenti sebentar tadi diteruskan tanpa mempedulikan isterinya itu. Tanpa sebarang pamitan dia terus berlalu dengan keretanya setelah menyarung kasut kerjanya.
“Hi! Menyakitkan hati! Benci aku dengan mamat ni! Dahlah rumah ni panas, dia lagi bikin hati aku makin panas!” rengus Edrina yang memandang sahaja pemergian suaminya itu. Lidahnya dijelirkan tanda kebencian yang sudah ke tahap maksimum namun sayangnya hanya asap kereta Kudin sahaja yang sudi memandang jeliran itu.
Lesap bayang Kudin dari pandangan matanya, wanita itu terus ke dapur. Betapa saat itu perutnya sudah berkeriut kelaparan. Dia pula memang pantang tidak bersarapan pagi. Lekas terkena gastrik. Mahu tidak mahu dia terpaksa mengikut sahaja saranan Kudin agar memasak sendiri untuk mengisi perutnya. Bolehkah dia memasak? Entahlah..
“Macamana nak masak benda ni?” tanya Edrina sambil membelek sebiji bawang besar. Matanya mengelilingi objek itu untuk mencari perbezaan antara objek itu dengan buah epal merah. Warna dah sama.. merah. Tapi kulit lain sikit.
“Kena buang kulit dia dulu ke? Ke masak aja sekali dengan kulit? Nak masak macamana?” tanya Edrina kepada dirinya sendiri.
Argh!!! Pening kepala aku fikir semua ni. Kalau kat KL semuanya senang. Pergi aja kedai makan. Semua ada! Kampung ni kedai makan pun jauh. Kubur aja yang dekat.. hati Edrina mengomel sendiri.
Gagal menyelesaikan formula itu Edrina kembali meletakkan bawang itu di tempatnya. Kemudian dia mencapai sebuah bekas plastik berbentuk empat segi di rak garam, lalu dibukanya.
“Wah!!! Tak sangka mamat ni pandai beli coklat. Tapi nampak lainlah pulak. Agaknya kampung punya coklat memang macam ni kut! Bantai ajalah!” ucapnya teruja. Tanpa menunggu lama, plastik berbalut terus dikoyakkan dan kepingan itu terus disuakan ke mulut tanpa ragu-ragu.
Selepas kunyahan pertama wajah teruja Edrina berubah berkerut. Haakkk!!! Tuiiii!!!! Spontan isi kandungan yang dimasukkan ke mulutnya diludahkan ke dalam sinki tanpa dapat dikawal.
“Apa benda ni?? Masinnya??” jerit wanita itu tidak tertahan. Botol air masak dicapainya. Berkali-kali mulut celuparnya itu dikumurkan bagi menghilangkan rasa masin yang cukup pekata di lidah dan serata mulutnya.
“Bodoh! Coklat apa masin macam ni? Teruknya rasa dia. Busuk pulak tu!” bebel Edrina sendiri. Puas digosokkan hidungnya kerana saat itu dia asyik terbau sesuatu yang tidak menyenangkan.
“Eee.. apa aku nak makan ni? Laparlah..” keluh Edrina kecewa. Selalunya Kudin akan keluar sekejap membelikan dia nasi lemak sebagai sarapan pagi. Kemudian tengahari Kudin akan balik membawa lauk untuk dia.
Akibatnya sepanjang pagi hinggalah ke tengahari itu Edrina berpuasa menahan lapar. Namun tidak menahan dahaga kerana air masak memang banyak terdapat di dapur. Lebih malang lagi nasibnya, Kudin benar-benar memaksudkan yang dia kena memasak hari itu. Suaminya itu langsung tidak pulang pada tengahari itu. Lelaki itu hanya memunculkan diri ketika maghrib hampir menjelang.

Sebelum ke masjid Kudin sempat termanggu seketika. Dia perasan semenjak tadi Edrina tidak keluar dari biliknya. Ambang bilik isterinya sempat dipandang. Gelap sahaja bilik itu.
“Dah tidur lagi ke maghrib-maghrib ni? Senyap aja?” Kudin tertanya sendiri sambil menggaru kepalanya. 
Nak kena ketuk ke? Karang dia marah aku pulak, bisik hati Kudin. Namun memikirkan waktu begini tidak elok untuk tidur Kudin mendekati juga kamar itu. “Rina..” panggil Kudin dari arah luar. Tiada jawapan yang kedengaran dalam sesaat dua itu.
“Rina..” Kudin memanggil lagi sambil tirai di ambang bilik itu dikuaknya sedikit. Kepalanya dijengukkan ke dalam. Suasana bilik itu gelap gelita membuatkan dia tidak nampak di mana Edrina berada.
Akhirnya Kudin masuk ke dalam. Pantas jemarinya mencari suis lampu untuk melihat keadaan Edrina dengan lebih jelas lagi. Sudah larikah wanita itu? Sangkaan itu sempat memalu hebat dada Kudin.
Namun sebaik sahaja bilik itu diterangi oleh lampu kalimantang, batang tubuh Edrina dilihat Kudin kaku sahaja di atas tempat tidur. Ketika dihampiri Edrina langsung tidak berkutik.
“Tidur mati ke apa? Maghrib macam ni pun boleh membuta lagi! Katil ni dah macam tempat kerbau berkubang. Pemalas punya perempuan!” degus Kudin tidak senang melihat tabiat isterinya itu.
“Rina..” panggil Kudin lantas bahu wanita itu dicuitnya. Namun Edrina terus tidak memberi sebarang reaksi. Kudin sempat meraba dahi Edrina. Suhu badan Edrina tidak menunjukkan wanita itu sedang demam pula.
“Hey, bangunlah!” panggil Kudin lebih kuat lagi. Kali ini dia nekad menggoncang tubuh wanita itu agar Edrina tersedar.
Kali ini barulah ada sedikit gerakan pada tubuh itu. Namun sebaik sahaja membuka mata Edrina mengerang agak kuat sambil mengerekot di atas tilam lembik itu.
“Kau ni kenapa? Tak cukup lagi membuta daripada petang tadi?” tanya Kudin agak meninggi.
Edrina membuka matanya. Wajah Kudin tidak ingin dipandangnya. Dia terus berpaling ke arah lain.
“Bangun! Jangan nak membuta lagi,” jerkah Kudin lantas bahu Edrina ditariknya kasar agar memandang kepadanya.
“Janganlah kacau aku. Aku sakit perut ni..” adu Edrina kian lemah. Tangan kasar lelaki itu ditolaknya dari bahunya.
“Dah! Dah! Jangan nak mengada-ngada! Bangun! Pergi mandi sana!” Kudin terus enggan melayan aduan Edrina. Wanita itu terus ditinggalkannya di situ.
Namun esakan halus yang kedengaran di telinganya membuatkan kaki Kudin terus terpaku, tidak jadi untuk keluar dari bilik itu. Kudin menoleh. Bahu Edrina terhinggut-hinggut. Esakan itu segera memberitahunya yang wanita itu tidak berbohong.
“Kau sakit?” tanya Kudin setelah tilam itu didekatinya.
Edrina tidak menjawab dengan kata-kata sebaliknya esakannya semakin menghebat. Kesakitan yang sudah dirasainya semenjak petang tadi bagaikan sudah tidak tertahan.
Kudin mula duduk di sisi wanita itu. Tubuh Edrina ditarik agar memandangnya. Tiba-tiba dirinya disapa rasa simpati pula apabila terpandangkan air mata yang cukup lebat mengalir di pipi isterinya itu.
“Kau makan apa tengahari tadi?” tanya Kudin segera melembutkan nadanya.
“Kenapa kau nak pedulikan aku? Pergilah! Aku benci hidup macam ni! Aku benci kau!” jerit Edrina tidak tertahan. Tangan lelaki itu ditepisnya. Dia kembali berbaring dia atas tilam itu. Tangisannya semakin kuat mengenangkan nasibnya.
Kudin terpaku memandang wanita itu. Tiba-tiba dia merasa bersalah pula kerana membuat wanita itu menangis. “Kau makan apa petang tadi?” tanya Kudin lagi.
Edrina sekadar menggeleng sambil memegang perutnya yang semakin sakit. Memang pun dia tidak ada memakan apa-apa untuk mengisi perutnya. Sekadar biskut kering pun tiada disediakan Kudin untuk dia mengalas perut. Di suruh dia memasak.. manalah dia tahu!
“Astaghafirullah..” Kudin beristighfar sendiri. Kini dia tahu Edrina terkena gastrik. Tengahari tadi dia sengaja tidak pulang menghantar makanan seperti sebelum ini. Dia mahu melihat sejauh mana Edrina mampu berdikari di rumah ini tanpa dirinya. Sayangnya ini pula yang terjadi.
“Aku nak balik, Kudin. Aku tak mahu hidup macam ni. Tolonglah hantar aku balik rumah papa aku. Ini bukan kehidupan aku. Tolonglah jangan siksa aku dengan semua ni lagi. Aku dah tak tahan hidup kat sini,” rayuan itu teralun bersama tangisan yang semakin pecah berderai.
Retak hati Kudin mendengar permintaan wanita itu. Sebuah keluhan dihela perlahan dalam pada dia memandang tubuh wanita yang sedang tertiarap di atas tilam itu.
“Kau tunggu sini. Aku masakkan kau sesuatu. Lepas tu kita pergi klinik. Tunggu sekejap!” ucap Kudin bersungguh.
Lelaki itu bingkas bangun meninggalkan Edrina yang masih bertangis-tangisan di atas tilam itu. Kudin segera menenggek nasi. Kepalanya digaru seketika dalam pada dia memikirkan apa yang harus diberikan kepada Edrina sementara menunggu nasi itu masak.
Mulalah dia terfikir nak membancuh milo. Bolehlah cicah dengan roti ke.. biskut ke.. Tapi mana dia pernah membeli milo. Yang ada hanya kopi di dapur itu. Biskut? Dia mana suka makan biskut kering. Jadi dia tak beli. Roti? Tak terfikir pulak dia nak beli roti simpan di rumah. Takut membazir pula kalau tak makan.
Kudin tersandar sendiri ke dinding dapur itu. Patutlah Edrina tidak makan langsung. Memang tiada apa yang boleh dimakan selain daripada bahan-bahan mentah yang perlu dimasak. Inilah akibatnya bila dia kedekut benar. Sekarang tanggunglah akibatnya!


1 ulasan:

  1. Serba salah jadinya... Ciaaaan abg kudin ni. Sabooo jer la ek.. Badai pasti berlalu. Eceh ! Hahaha

    BalasPadam