Hari ketiga wanita itu menghuni rumah itu dia sudah terlihat
rombongan manusia ke tanah perkuburan itu. Suaminya juga tidak ke ladang
semenjak pagi tadi kerana ada orang kampung yang baru meninggal dunia. Kudin
ada mengajak dia pergi berziarah. Tetapi dia yang tak mahu. Segan dengan orang
kampung yang dia tidak kenal. Namun dia sempat memandang Kudin membawa cangkul
pergi ke arah kubur itu. Agaknya Kudin mahu menggali kubur.
Akhirnya kini dia hanya berdiri di tingkap memerhatikan aktiviti
pengkebumian jenazah di kawasan tanah perkuburan itu. Kereta Kudin juga ada
terpakir di hadapan pintu masuk ke kawasan itu.
Petang itu sebelum magrib barulah Kudin balik ke rumah. Entah apa yang
dibuat Kudin lama benar di kubur itu, dia pun tak tahu.
“Perempuan tu dah kebumi ke?” tanya Edrina sebaik sahaja Kudin sampai di
muka pintu rumah itu.
“Dah selamat tengahari tadi..” jawab Kudin.
“Dia meninggal sebab apa?” tanya Edrina sedikit berminat. Lelaki yang
sedang membasuh kesan tanah dikakinya berdekatan dengan tempayan itu
diperhatikannya.
“Dia meninggal waktu melahirkan anak. Anak dia pun meninggal,” jawab Kudin
sambil terbongkong-bongkok memberus kakinya.
“Habis tu kau buat apa lama sangat kat kawasan kubur tu?”
“Tolong bersihkan kawasan kubur tu,” jawab Kudin lantas memanjat tangga
naik ke atas. Dia mahu mandi segera.
“Nak ikut pergi tahlil rumah arwah tu malam ni?” tanya Kudin setelah
separuh jalan dia menapak di ruang tamu itu.
“Tak naklah,” jawab Edrina rendah sahaja.
“Okay.. kau makan ajalah kat rumah. Lauk yang aku beli siang tadi ada
lagikan? Tak payah tunggu aku,” ucap Kudin.
“Kau hantar aku rumah mak boleh tak?” tanya Edrina sebelum sempat Kudin
menjauh.
“Kenapa pulak?” tanya Kudin semula.
“Saja je. Lepas habis tahlil tu nanti kau ambillah aku semula,” jawab
Edrina dengan muka selamba. Takkanlah dia nak cakap yang dia takut duduk
seorang.
“Yalah.. nanti aku hantar kau ke sana.” Kudin menjawab akur.
Malam itu usai tahlil Kudin mengotakan janjinya mengambil Edrina di rumah
emaknya. Ketika itu suasana sudah lain. Angin bertiup agak kencang dan kilat pancar
memancar menandakan hujan akan turun sekejap lagi.
Edrina terus masuk ke dalam bilik. Kudin pula sempat memanaskan air di atas
dapur gas yang baru dibelinya semalam. Dia mahu membancuh kopi untuk dirinya.
“Dah nak tidur?” tegur Kudin setelah naik ke atas semula.
“Yelah.. nak tengok tv pun bukannya ada tv kat dalam rumah ni,” jawab
Edrina. Diselitkan juga perlian untuk suaminya itu. Kedekut! Tv pun tak mahu
beli!
“Tak takut ke tidur seorang tu? Kat luar tu hujan. Siang tadi ada orang
meninggal..” ucap Kudin sengaja mahu menakutkan isterinya itu. Manalah tahu
Edrina sudi membenarkan dia menempel sekali di sebelah perempuan itu.
“Nak takut apanya. Semalam-semalam aku tidur seorang okay aja. Biarlah..
dah orang tu nak meninggal. Nak buat macamana. Takde mananya aku nak ajak kau tidur
dalam bilik ni dengan aku.” Edrina menjawab sombong. Dia sudah tahu taktik Kudin
mahu memikatnya.
“Okay.. tak mahu takpe!” Kudin tersengih sendiri.
Usai menikmati secawan kopi, Kudin naik semula ke atas untuk mematikan
lampu di ruang tamu.
“Aku tutup lampu ni. Kalau takut cakaplah. Aku boleh temankan kau kat dalam
bilik tu,” ucap Kudin dari arah ruang tamu itu. Tangannya sudah bersedia di
suiz lampu itu.
“Tutup jelah! Sibuk ajalah dia ni. Orang tak mintak pun dia temankan ke
apa!” getus Edrina sebal. Matanya dialihkan daripada screen telefonnya ke arah
ambang bilik yang berlangsir itu. Entah apa-apa punya tukang buat rumah. Bilik
takde berpintu. Hanya bertutup dengan langsir sahaja sebagai penghadang.
“Okay..” sesaat kemudian rumah itu sudah gelap gelita. Hanya kedengaran
derap langkah Kudin menuju ke arah tempat tidurnya berdekatan dengan dapur
sana. Seketika kemudian sunyi terus suasana di dalam rumah itu.
Edrina di dalam bilik itu bungkam dalam kegelapan. Telinganya mendengar
suara angin yang menderu kuat. Hujan sudah mula menuruni bumi berdasarkan bunyi
titikannya di atas zink. Sekali-sekala dia terlihat kilauan kilat sabung
menyabung.
Edrina mula mendail di telefonnya. Dia mahu mengadu keadaanya kepada
ayahnya itu. Dua kali dia mendail, nombor ayahnya tidak berjaya dihubungi. Barulah
dia perasan.. signal telefonnya sedang nyawa-nyawa ikan. Namun dia tetap mahu
mencuba lagi. Kali kelima dia mencuba barulah terdengar panggilannya di jawab. Tetapi
suara ayahnya putus-putus dipendengarannya menandakan line syarikat
telekomunikasi yang selalu menunjukkan iklan kecemerlangannya itu sedang tenat
saat itu. Mungkin akibat hujan.
“Papa, dengar tak ni? hello? Hello?”
“Rina..” suara Tengku Ehsan kedengaran tenggelam timbul.
“Papa, rumah ni dekat dengan kubur. Rina nak balik. Papa datang sini ambil
Rina? Rina kena mandi kat perigi. Tidur dalam bilik panas, tidur atas tilam
buruk. Katil pun takde, pa. Teruk sangat kat sini!” adu si wanita itu melalui
corong.
“Pa?” Edrina memanggil lagi. Suara ayahnya terus terputus-putus
dipendengarannya. Jawapan si ayah tidak jelas dan dia tidak dapat menangkap
langsung apa yang disedang diperkatakan ayahnya itu.
“Pa?” suara Tengku Ahmad Ehsan sudah menghilang terus. Edrina mendegus
sendiri. Saat dia memandang permukaan telefon itu isyarat radar itu sedang
terkelip-kelip menandakan signalnya memang tiada langsung.
“Hish! Tempat apalah macam ni,” kutuk Edrina sendiri.
Tiba-tiba bulu roma Edrina meremang tatkala dia asyik memandang telefonnya.
Gambaran cerita-cerita seram yang pernah ditonton dilayar perak mula
bermain-main di benaknya. Filem The Ring.. filem Ju On.. Don’t Click.. babak-babak
seram dan mengerikan dalam filem itu semuanya bermain-main di benaknya
tiba-tiba.
Namun saat teringatkan cerita Kudin tentang wanita yang meninggal sebelum
bersalin dan ditanam di tanah perkuburan itu siang tadi, Edrina terbayangkan
satu cerita seram yang memang seram habis kepadanya. Filem Nang Nak! Kebetulan pula
sama keadaannya. Rumah kayu yang buruk.. wanita mati sebelum beranak.. hujan
yang sedang mencurah-curah di luar sana. Memang sama seperti babak-babak di
dalam cerita itu.
Edrina cuba memejamkan matanya. Namun asakan di benaknya semakin membuatkan
perasaannya semakin tidak tenang. Tambahan pula rumah itu langsung gelap
gelita. Tiada satu pun lampu terpasang selewat ini.
“Tak boleh jadi ni..” ucap Edrina sambil di terus bangun. Terhegeh-hegeh
dia berjalan mencari tempat tidur Kudin. Maklumlah gelap. Malangnya dia tidak
tahu di mana suiz lampu terletak di mana. Jadi berjalan ajalah dia dalam
keadaan gelap gelita.
Akhirnya dia selamat sampai ke tempat tidur Kudin. Kali ini tanpa segan
silu dia terus bersimpuh di atas tilam, di belakang Kudin.
Kudin menoleh pantas apabila menyedari ada orang berada di belakangnya. “Apasal
kat ada sebelah aku ni?” soal Kudin hairan melangit melihat Edrina ada di situ.
“Aku.. aku tak boleh tidurlah,” ucap Edrina perlahan. Nasib baiklah ruangan
itu malap. Kalau tidak Kudin sudah nampak matanya terkebil-kebil memandang
Kudin. Pipinya sudah merona akibat malu kepada lelaki itu.
Kudin terdiam. Namun akalnya sudah dapat meneka apa sebenarnya yang
berlaku.
“Jadi duduk sebelah aku ni kau boleh tidur ke? Tadi kau yang berlagak
sangat. Kenapa sekarang kau menyempit kat tilam aku ni?” ucap Kudin sambil
mengiring membelakangkan gadis itu. Sengaja buat-buat tidak peduli. Padahal dia
mahu tergelak sebenarnya.
Edrina terdiam menggigit bibir. Jawapan Kudin menyakitkan hatinya.
“Boleh tak kau tidur kat ruang tamu tu?” soal Edrina polos. Kalau Kudin ada
di ruang tamu takdelah dia takut benar. Dekat!
“Ah! Malas.. Takut aku tidur kat depan tu! Dekat dengan kubur,” jawab Kudin
selamba sengaja mahu menakutkan Edrina lagi. Giliran dia pula yang mahu
menunjuk lagak. Itulah.. nak ajak tidur sekali tak mahu. Sekarang siapa yang
malu? Mereka dan keluarga mereka..
“Kudin..” getus Edrina geram. Bahu lelaki itu digoncangnya kuat.
“Tak nak!” jawab Kudin selamba. Bantal semakin erat dipeluknya.
Edrina merenung lelaki itu sebal. Nak balik ke bilik dia memang takut
sangat-sangat. Akhirnya dia menebalkan muka meminta izin. “Aku tidur kat sini
boleh tak?” tanya Edrina agak perlahan. Pedulilah tilam itu sempit ke apa. Yang
penting dia selamat daripada dicekik hantu.
Kudin diam pada mulanya. Namun seketika kemudian dia menoleh. Kasihan pula
dia melihat isterinya. Sebiji bantal disuakan kepada Edrina. “Tidurlah..” jawab
Kudin perlahan.
Edrina berbaring perlahan di belakang Kudin. Belakang lelaki itu
dipandangnya. Kali ini dia tidak ingin marah Kudin tidur tidak berbaju. Takut dia
kena halau pula daripada situ kalau dia banyak songeh. Tapi satu benda itu dia
memang tidak sanggup. Sementelah dia pula memang sedang berada di posisi yang
sangat merbahaya sebagai mangsa.
“Kau jangan kentut tau!” pesan gadis itu agak polos.
Kudin mahu ketawa. Dia menoleh lagi kepada isterinya. “Tak..” jawab Kudin
cukup lembut. Entah kenapa hatinya merasa cukup aman waktu ini. Terlalu aman!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan