Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 8 Disember 2013

Bab 8 Si Kolot Suami Ku

  “Kami semua dah sepakat. Kami nak Rina terima Emran sebagai suami. Emran pun dah setuju dengan permintaan nenda semalam. Nenda merancang nak adakan majlis pertunangan kamu berdua secepat mungkin,” ucap Tengku Ahmad Ehsan kepada anaknya itu.
Tunku Zainab mengangguk mengakui kebenaran kata-kata anaknya itu. Kudin di meja makan itu hanya tunduk menyuap nasinya.
Edrina terus memandang Kudin yang duduk agak jauh darinya dengan mata terbuntang. “Kahwin dengan mamat kampung tu? Tak naklah, pa!” sambut Edrina sedikit meninggi.
“Rina dengarkan apa syarat nenda semalam?” ucap Tunku Zainab kepada cucu perempuannya itu. “Nenda yakin Emran boleh jadi suami yang baik pada Rina. Nenda tahu pilihan kami ni jauh lebih baik daripada lelaki-lelaki yang pernah berdampingan dengan Rina dulu,” ujar Tunku Zainab lagi.
Ah! Apa bezanya lelaki-lelaki tu dengan si Kudin ni pun. Sama-sama dia tak suka! Lelaki-lelaki yang pernah datang kepadanya bukan sebab dia yang jemput. Semuanya datang sendiri. Bila mereka semua dah bosan. Semua cabut lari! Dia tak kisah pun sebab dia bukannya seorang perempuan yang mudah ada hati dengan seseorang.
Edrina memikir lagi alasan yang boleh diberikan untuk menolak. “Nenda.. Rina tak mahu duduk kat kampung,” ujar Edrina kemudian.
“Bila dah jadi isteri kepada seorang suami, di mana suami tinggal di situlah juga tempat isterinya, Rina.” Tunku Zainab menjawab lembut.
Edrina memandang Kudin yang masih membisu. Sakit hatinya melihat gelagat macam tunggul Kudin. Bersetuju sebelum berbincang dengannya? Itu memang dia sakit hati. Sangkanya Kudin akan menerima tawaran ayahnya di Semarak Holding. Ini dah lain cerita pulak!
“Habis tu macamana dengan Semarak Holding?” ucap Edrina kembali.
“Itu serahkan saja pada kami.”
“Kalau macam tu Rina setuju kerja dengan papa. Rina tak mahu kahwin dengan dia tu,” ucap Edrina sengit.
Tunku Zainab mula berhenti menyuap nasinya. Matanya terus dihalakan kepada Edrina. Kepalanya menggeleng sedikit. “Nenda tak suka ada sesiapa main-mainkan kata-kata nenda. Kalau Rina masih hormat pada nenda. Tolong dengar cakap kami. Jangan nak ikut kepala sendiri aja. Semuanya dah dirancang dengan baik termasuk siapa yang akan ambil alih Semarak Holding nanti. Sekejap kamu kata kamu tak mahu kerja di Semarak Holding sekejap mahu pulak. Jangan buat nenda pening lagi, Nur Edrina! Kamu tak mahu berkerja, nenda nak kamu kahwin dan jadi isteri sepenuh masa! Tanggungjawab kamu satu saja. Lahirkan pewaris untuk keluarga ni,” ucap Tunku Zainab sedikit keras.
Edrina terdiam menelan bicara neneknya itu. Lahirkan zuriat? Mak ai.. ngerinya. Dengan lelaki yang itu? Mata Edrina sekali lagi memandang Kudin yang sedang merenung nasi di pinggannya. Rahang lelaki itu bergerak-gerak seolah-olah sedang menahan perasaan sendiri. Sama seperti Tunku Zainab, Kudin sudah tidak meneruskan makannya walaupun nasi masih banyak tersisa.
“Nenda..”
“Papa tak mahu dengar bantahan lagi, Edrina. Apa yang nenda cakap tu betul. Daripada kamu menghabiskan masa berjalan sana sini, eloklah kamu berkahwin,” pintas Tengku Ahmad Ehsan keras.
“Yalah.. memang Rina nak kahwin. Tapi dia tu..” Edrina tidak mampu meneruskan bicara. Matanya mengerling Kudin di hujung sana.
“Apa yang kurangnya dengan Emran ni?” tanya Tengku Ahmad Ehsan pantas.
Edrina menelan liur sendiri. “Rina tak suka.. sebab dia.. emm.. dia..” otak gadis itu ligat berfikir mencari idea untuk menolak. “Dia hitam! Dia makan banyak. Emm.. lepas tu.. dia..  dia banyak bulu dada. Eee.. gelilah! Macam monyet!” tukas Edrina agak kuat.
Terbeliak mata Kudin mendengar alasan penolakan Edrina kepada dirinya. Spontan dia terus memegang dadanya. Mak cik Kunah menekup mulut di sebelah Kudin. Dia terasa mahu ketawa melihat reaksi anak lelakinya itu.
Tunku Zainab tergelak entah kenapa mendengar bicara Edrina. “Itu semua bukan satu alasan yang boleh mengubah pendirian nenda sekarang, Edrina. Kamu jangan bersikap macam budak-budak,” komen Tunku Zainab sambil menggeleng sendiri.
“Fine! Nenda nak berapa cicit? Sepuluh cukup?” balas Edrina sebal. Dengan wajah mencuka dia terus bangun daripada duduknya. Pinggan ditinggalkan begitu sahaja sebelum membawa dirinya naik ke tingkat atas.
“Emran jangan ambil hati ya?” ucap Toh Puan Siri Aisyah kepada Kudin.
Kudin memandang wanita itu. “Takpe, Mak Engku. Saya faham..” jawab Kudin perlahan. Malu juga mukanya mendengar kata-kata Edrina sebentar tadi. Ah! Dia sudah tidak hairan. Ini bukan kali pertama Edrina menghinanya di hadapan ahli keluarga yang lain.

  Petang itu setelah puas berkurung di dalam bilik Edrina mula bersiap mahu keluar. Namun saat dia membuka pintu biliknya dia terkejut melihat Kudin berdiri di hadapan pintu. Tangan lelaki itu terangkat seolah-olah mahu mengetuk muka pintu itu.
“Aku baru nak ketuk, kau dah bukak dulu,” ucap Kudin perlahan.
“Apa kau nak?” soal Edrina sambil menjeling.
“Kau nak pergi mana?” soal Kudin lembut sahaja.
“Keluar..”
Kudin diam seketika sambil memandang gaun singkat Edrina dari atas ke bawah. Memang cantik Edrina di matanya. Tapi sayangnya kecantikan rambut, betis dan lengan yang seharusnya dilindungi senang-senang sahaja dipertontonkan kepada orang.
“Aku dah lama tak pergi berjalan di KL sana. Aku ikut, boleh?” ucap Kudin sengaja menebalkan muka.
Sibuk ajalah dia ni! getus hati Edrina sendiri. “Kau jangan nak ikut aku dengan baju buruk kau tu. Malu aku nanti. Selekeh!” ucap Edrina kasar.
Kudin memandang baju yang tersarung ditubuhnya seketika. “Emm.. aku takde baju lain selain ni,” jawab Kudin jujur.
“Kau ni memang kolot plus kedekut! Kau suka pakai baju buruk padahal kau bukannya miskin sangat. Kau lebih suka naik lori buruk datang sini padahal kau mampu beli kereta. Memang kau ni jenis lelaki yang tak up to date langsung! Tak kena dengan selera aku. Macamana aku nak terima lelaki macam kau jadi suami aku? Aku ni taste tinggi kau tahu!” ucap Edrina mula meninggikan suaranya.
Terkebil-kebil Kudin memandang Edrina. Dia tiada jawapan melainkan apa yang diucapkan Edrina itu memang betul pun.
“Buang masa aja bercakap banyak dengan kau ni. Kau bukannya faham pun. Kolot!” cemuh Edrina selamba. Dia terus keluar daripada biliknya. Pintu kamar itu dirapatkannya sambil diperhatikan oleh jejaka itu.
“Kata nak ikut. Cepatlah!” gesanya setelah melihat Kudin terkebil-kebil lagi memandangnya.
“Kita naik apa?” soal Kudin ketika di luar rumah.
“Apa-apa aja selain daripada besi buruk kau tu,” jawab Edrina selamba.
“Lori tu banyak berjasa pada aku, Rina. Tak baik kau panggil lori aku tu macam tu,” Kudin menyambut dalam nada tidak senang.
“Berjasa pada kau. Bukan pada aku. Kau ingat kita ni nak pergi ladang kau ke apa? Tolong sikit eh.. jatuh standard aku pergi Pavilion naik lori kau tu.” Edrina membalas sambil menjeling. Kakinya terus dihalakan ke arah keretanya.
Di gedung membeli belah Pavilion, Edrina terus membawa lelaki itu ke butik Ermenegildo Zegna, sebuah kedai menjual pakaian lelaki. Kudin macam orang bodoh mengekor sahaja ke mana gadis itu membawanya. Di dalam butik itu dia terlopong sedikit melihat suasana mewah di dalam tempat itu.
“Kita buat apa kat sini?” soal Kudin macam sudah tahu saja apa yang akan berlaku sekejap nanti.
“Diam! Ikut aja aku..” ucap Edrina lantas membawa Kudin naik ke tingkat atas. Mulut Kudin kembali terkunci sambil mengikut sahaja rentak gadis itu.
Namun tatkala terpandangkan harga sehelai tee berkolar bulat yang dibelek Edrina, liur Kudin sudah tidak tertelan. MYR 546?? Kudin mula mencongak ‘cash money’ yang terselit di dalam dompetnya.
Edrina yang ralik menunjukkan kepakarannya membeli belah terus mengacu baju itu kepada Kudin. Setelah berpuas hati dia mengambil yang lain pula. Semakin kering air liur Kudin melihat kemeja lengan pendek yang dipilih Edrina sekali ganda lebih mahal berbanding yang tadi. Kemudian seluar pula lebih 7 ratus harganya membuatkan Kudin mula berpeluh sendiri.
“Mahal sangatlah baju kat sini. Membazir,” ucap Kudin perlahan di belakang gadis itu.
“Kau ni bisinglah! Ikut jelah..” getus Edrina tidak senang.
“Takde diskaun ke?” soal Kudin separuh berbisik. Dia sudah mula berkira-kira mahu mengira duit di dalam dompetnya. Buatnya tak cukup duit tak ke malu mereka nanti?
“Apa diskaun-diskaun ni? Buat malu aja sebut diskaun kat sini!” getus Edrina perlahan. Lelaki di belakangnya itu dijeling. Kalut sangat dia ni kenapa? Diam-diam aja sudahlah!
Kudin membisu lagi. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia lari. Tapi sedang dia asyik memikir dalam kekalutan Edrina sudah menyerahkan semua pakaian itu untuk dicubanya.
“Cepat tukar. Situ fitting room. Baju dengan seluar ni pakai terus. Baju kau tu bukak.” Edrina segera memberikan arahan sambil menunjukkan satu kamar kecil tidak jauh daripada mereka.
Kudin memandang gadis itu seketika. Pakai terus? Buruk sangat ke bajunya ini? hati Kudin berkata-kata sendiri.
“Cepatlah! Kau nak berjalan sebelah aku dengan baju buruk kau tu? Agak-agaklah!” getus Edrina mengertap gigi geram. Sengal betul!
“Yalah..” Kudin akur juga dalam pada dia menggaru kepalanya.
Ketika di kaunter bayaran sebelum sempat Kudin mengira wang di dalam dompetnya Edrina terus meletakkan kadnya di hadapan juruwang. Terkebil-kebil Kudin melihat gelagat wanita itu. Edrina sanggup menghabiskan wang asalkan dia nampak setaraf dengan gadis itu. Pedih hati lelaki itu entah kenapa.
Usai urusan di situ mereka keluar meninjau kedai lain pula. Edrina lebih banyak melayan matanya yang seronok memerhatikan barangan yang dijual berbanding berbual dengan Kudin. Lelaki itu dah macam orang bodoh dibuatnya. Selain daripada dah macam orang bodoh, Kudin juga tukang pegang barang yang dia beli.
Akhirnya dua jam berjalan di dalam shopping mall itu Edrina mengajak Kudin rehat seketika di Starbuck Coffee. Lelaki itu sekadar menurut begitu sahaja. Macam orang kejakunan Kudin ralik memandang ke sekelilingnya. Reka bentuk bangunan shopping mall itu memang cantik di matanya. Namun sedang mereka duduk membisu berdua datang seorang manusia menegur Edrina.
“Hey, you..” gadis itu mencuit Edrina yang sedang memandang ke arah lain.
Edrina segera menoleh. Terkejut sedikit dia melihat wanita itu. “Eh! Lara..” sapanya lantas bangun. Mereka berdua berlaga pipi seketika.
“How are you?” soal Lara.
“Good enough. Bila balik Malaysia? Tak call I pun?” tanya Edrina biasa.
“Dah seminggu. Sorry, I buzy sikit semenjak dua menjak ni. Banyak kerja kat ofis tu. nak lepak macam dulu pun tak sempat.”
“Have a seat,” pelawa Edrina kepada temannya itu.
“Okay..” Mata Lara sudah mula terhala kepada si lelaki yang duduk memandang mereka berdua. Dek kerana meja itu kecil sahaja, dia duduk dekat dengan lelaki itu.
“Siapa ni?” soal Lara sudah tidak menyabar.
“Ini Emran. Bakal tunang I,” ujar Edrina kepada temannya itu. Kudin ikut bangun di sebelah Edrina.
Gadis itu merenung Kudin dari atas ke bawah. “Wow.. hotnya dia ni,” bisik gadis itu sambil tersengih gatal kepada si lelaki yang sedikit terkebil-kebil.
“Nama I Lara..” teman Edrina itu segera menghulurkan tangan.
“Kudin..” tangan gadis itu disambut sesaat sahaja.
“Kudin?” Lara memandang Edrina semula.
Edrina terus menyenggol lelaki itu. “Emran! Mana ada Kudin.. Kudis ni semua!” ucapnya sambil mengertap gigi geram. Tak habis-habis dengan Kudin. Sedap sangat ke nama Kudin tu? Hish! Memalukan betullah dia ni.. Edrina menggerutu dalam diam.
“Mana satu ni? Sorang kata Emran.. sorang kata Kudin.” Lara ketawa manja sambil merenung tampang lelaki itu. Alamak.. inilah lelaki Melayu yang paling macho yang pernah dilihatnya. Kenapa lelaki seperti ini boleh terlepas kat minah yang tastenya lebih kepada lelaki macam salih ni? Lara tidak faham.
Edrina sudah mendegus meluat kepada lelaki yang berada di sisinya itu. Buat malu dia aja mendengar nama Kudin didendangkan di hadapan temannya itu. Jatuh standard!
“Tengku Raden Emranuddin. Pendekkan jadi Kudin. Nak panggil Emran pun boleh. Takde masalah,” ujar Kudin biasa sambil menoleh kepada Edrina seketika.
“Oh.. I see. Tengku Raden? Unik nama you!” puji Lara sambil menyeringai.
“Kerabat jugak ke ni, Rina?” Lara menanyakan soalan itu kepada Edrina namun matanya cukup liar memandang Kudin dari atas ke bawah. Hensem sangat-sangat macam superstar Holywood tu tidaklah sebenarnya. Tapi manis di wajah lelaki berkulit sawo matang ini memang jelas tertera. Agaknya waktu mak dia mengandungkan Kudin, nurse asyik suruh mak dia minum air gula. Itu yang manis benar Kudin di matanya. Bibir dia wallawei.. seksi gila! Lengan milik lelaki itu berurat-urat dan berotot kental.
Ah! Lara tidak mampu membayangkan jika bibir seksi itu melekap di pipinya dan lengan sasa itu sedang memaut tubuhnya. Pastinya dia terbuai-buai bagaikan sedang terbang ke angkasan nan raya. Miang sungguh anak dara itu!
“Saudara bau-bau bacin aja,” jawab Edrina macam orang malas.
Lara tergelak dengan jawapan Edrina. “You ni suka buat lawaklah, Rina. Nanti ada masa bawaklah bakal tunang you ni ke rumah I. Kita boleh lepak sekali,” ujar Lara cukup senang.
“Huh! We’ll see..” ucap Edrina sambil ketawa hambar. Tak kuasa dia nak angkut mamat ni sekali ke tempat mereka melepak. Boring!
“You kerja apa, Kudin?” soal Lara semakin berminat mahu mengenali Kudin.
“Farmer..” jawab Kudin sedikit teragak-agak. Bimbang jawapannya memalukan Edrina lagi.
“Farmer? Maksud you petani?”
“Sebenarnya Emran ni pengurus dan pemilik ladang. Dia ada ladang beratus-ratus hektar. Betul tak, darling?” Edrina segera menyampuk sebelum sempat Kudin menjelaskan kekeliruan si Larasati itu.
“Err.. ya. Betul..” Kudin menjawab sedikit kalut.
“Wow.. interesting. So you ada business sendirilah ni? Setahu I business Semarak Holding bukan berkaitan dengan plants ni semuakan?” ujar Lara semakin kagum.
Kudin menelan liur. Fakta yang ladang dia sampai beratus-ratus hektar tu memang tak tepat. Tetapi dia mengangguk juga demi menjaga air muka Edrina.
“Patutlah body you tough semacam. Farmer rupanya..” ucap Lara dengan sedikit lirikan menggoda. Jarinya diletakkan di atas paha Kudin dan dielusnya lembut.
Terbeliak mata Kudin melihat keberanian wanita itu. Cepat-cepat dia mengalihkan tangan halus itu daripada pahanya. “Sorry..” ucap Kudin sedikit tidak senang dengan perlakuan Lara. Edrina di sebelahnya dipandang seketika. Wajah gadis itu sudah ketat seketat-ketatnya.
Edrina mula memandang tajam gelagat temannya itu. Ewah! Ewah! Aku pun belum rasmi lagi dia dah ke depan dulu pegang-pegang bakal tunang aku. Tak boleh dibiarkan ni.. getus hatinya sendiri. panas hatinya tiba-tiba. Memang silap besar dia mengajak Lara ini duduk bersama. Macamana pulak dia boleh terlupa yang Larasati ini memang pantang tengok lelaki sasa?
“Okaylah.. we must leave. See you, Lara..” ucap Edrina lantas bangun. Spontan dia terus menarik hujung lengan baju Kudin agar segera mengikutnya.
“Eh! cepatnya?” ucap Lara sedikit terkilan.
“Kami nak balik cepat. Bye..” ucap Edrina pantas.
“Okay, see you. Bye, Kudin..” Lara menggoyang manja dua jarinya kepada Kudin. Terlentok-lentok dia memandang Kudin. Kudin sekadar tersenyum biasa sebagai tanda menghormati gadis itu.
“Bye Kudin..” ejek Edrina meluat. “Miang! Asal nampak lelaki aja mulalah dia sibuk nak menggatal. Menyampah!” Edrina membebel sendiri. Geram melihat gelagat miang temannya itu. Bakal tunang aku pun dia nak try jugak ke? Bisik hatinya geram.
“Siapa miang?” soal Kudin yang terdengar sipi-sipi sahaja kata-kata Edrina.
“Takde siapalah! Sibuk aja nak tahu,” degus Edrina dengan sedikit jelingan ekor mata. Mamat ni pun satu.. melayan jugak si perempuan sorang tu!
“Kita pergi mana lagi?” tanya Kudin.
“Balik!” jawab Edrina sebal. Hilang moodnya mahu berjalan-jalan lagi. Buatnya terjumpa lagi kawan-kawan dia yang lain dia jugak yang sakit jiwa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan