Ya! benar kata Iqmal. Jika dia tidak membenci lelaki itu,
dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk berdiri di hadapan Iqmal dan Zahnita
begitu sahaja. Tanpa ada hati yang pedih. Tanpa ada rasa yang beperang sendiri!
Itulah yang dia rasai semenjak dia mendengar luahan Iqmal. Dia tidak mampu
memandang Iqmal begitu sahaja setiap kali lelaki itu berada di hadapan matanya.
“Kamu tak pergi ziarah Nita di hospital hari ni?” tanya
Bibik Ruyati lembut kepada Regina pagi itu. Dia lihat Regina sekadar bersiap
dengan pakaian santai di rumah.
“Tak, bik. Nita dah balik ke rumah semalam. Gina nak
relax kat rumah aja,” jawab Regina lembut. Hari ini dia lambat bersarapan.
Semua orang sudah pergi kerja. Tinggal dia dan bibik Ruyati di rumah berdua.
“Kamu baik-baik ajakan?”
tanya Bibik Ruyati lembut. Tampang gadis itu tidak jemu langsung untuk
ditatapnya.
“Gina okay. Kenapa? Bibik nampak Gina macam tak okay ke?”
tanya Regina lantas memandang wanita itu.
“Kamu tak senyum langsung dari tadi. Senyum kamu tu
manis, Gina. Kalau disimpan di dalam nanti jadi kencing manis,” ujar wanita
Indonesia itu.
Regina terus tergelak. “Bibik ni pandai-pandai ajalah!
Tak pernah Gina dengar ada orang tak senyum boleh kena kencing manis,” sambut
Regina mula sedikit terhibur perasaannya dibuat oleh wanita itu.
“Kamu nanti bila udah mula kerja mesti susah bibik mahu
lihat muka kamu di rumah lagi. Pasti sibuk macam si Nina. Perginya pagi..
baliknya pasti udah lewat malam baru nampak di rumah,” ujar Bibik Ruyati biasa.
“Nina tu sebab dia sibuk melayan boyfreind dia. Bukannya
sebab kerja,” jawab Regina selamba. Cawan teh dianggkat ke mulut sambil
memandang ke hadapan. Baru-baru ini dia terdengar Nirina sudah mula serius
bercinta dengan seorang lelaki. Kawan satu pejabat dengan dia.
“Kamu sendiri kapan mahu mencari pacar lagi?” soalan itu
dibalikkan kepada Regina pula.
“Gina nak kerja dulu, bik.”
“Belum kerja pun apa salah kalau punya pacar. Lagi bagus.
Kamu bisa luangkan masa senggang sama pacar kamu,” komen Bibik Ruyati pantas.
“Memanglah. Tapi Gina malas nak fikir sangat pasal ni
semua,” jawab Regina pula.
Bibik Ruyati menghela nafas perlahan. “Jangan ditunggu
sesuatu yang bukan untuk kamu lagi, Gina. Kamu ni cantik. Di luar sana pastinya
ada yang suka sama kamu.” Nasihat pendek itu segera diluahkan Bibik Ruyati.
Regina terdiam tidak menjawab. Kali ini dia tunduk
menyuap mehoon goreng di dalam pinggannya itu. Jelas benarkah sikapnya sampai
semua orang boleh membaca isi hatinya?
“Hari ni Gina tolong bibik kemas ruang tamu. Bibik masak
ya?” ucap Regina usai dia menikmati sarapan paginya.
“Iyalah..” sambut wanita Indonesia itu senang.
Berbekalkan kain lap dan bulu ayam dengan penuh kegigihan
Regina mengemas ruang tamu rumah itu. Dua jam kemudian dia sudah mula menghela
nafas puas hati walaupun agak keletihan. Sejuk matanya melihat susun atur
perabut di ruang tamu itu sudah berubah. Bibik Ruyati masih sibuk seorang diri di
dapur. Akhirnya bertemankan air teh pagi tadi, dia duduk melepak di ruang tamu
itu menonton tv seorang diri.
Namun fikirannya terus berpusar sendiri. Mencari kenangan
lalunya bersama Iqmal.
“Kalau Gina tak senang dengan apa yang abang cakap tadi, abang
minta maaf.” Iqmal di sisi berkata lembut sambil memandang raut gadis itu. Dia
perasan Regina hanya membisu semenjak dari dalam tren tadi. Resah hatinya
melihat gelagat gadis itu. Mungkin hanya dia seorang sahaja yang berperasaan
begitu selama ini.
“Takpe. Gina tak kisah pun,” ucap Regina dalam pada dia
meneruskan langkahnya untuk keluar dari stesen komuter itu.
“Abang takut Gina dah tak mahu jumpa abang lagi lepas ni,”
ujar Iqmal di sebelah.
“Kenapa selama ni abang tak pernah tegur Gina kalau betul
abang sukakan Gina?” tanya Regina terus menoleh kepada lelaki yang sedang
berjalan seiringan dengannya itu. Dia macam tak percaya luahan Iqmal sebentar
tadi. Selama ini lelaki itu hanya buat tidak nampak sahaja kepadanya.
“Sebab abang segan. Lagipun kita di sekolah. Tak elokkan
kalau kita campur adukkan hal-hal macam ni dengan pelajaran? Lagipun kita masih
terikat dengan peraturan sekolah.” Iqmal menjawab tenang.
Regina diam memikirkan jawapan lelaki itu. Ada betulnya juga.
Sebaik sahaja mereka selesai menuruni tangga stesen komuter itu, di sisi jalan
Iqmal menarik tangan gadis itu. Mereka terhenti seketika di situ.
“Abang cuma nak peluang untuk dekat dengan Gina. Walaupun
mungkin Gina tak boleh terima abang lebih daripada seorang kawan buat masa ni,
abang faham. Tapi abang nak Gina kenal siapa abang sebenarnya. Tolong jangan
ambil hati dengan apa yang abang cakap kat dalam tren tadi tu.” Iqmal menambah
bicaranya bersungguh.
“Gina bukannya tak suka abang. Tapi Gina terkejut dengar
apa yang abang cakap tadi. Macam mimpi pulak. Selama ni abang macam sombong
sangat. Senyum pun tak mahu. Tiba-tiba aja abang cakap abang sukakan Gina,”
jawab Regina sambil tersenyum sedikit.
Berubah wajah Iqmal kala itu. “Gina sukakan abang?” tanya
Iqmal dengan sorotan mata mencerun tajam ke wajah gadis itu.
“Lain kali tegur.. jangan buat bodoh aja! kalau Nita tak
ajak abang keluar agaknya sampai bila-bila abang takkan tahu yang Gina suka
abang selama ni,” jawab Regina lantas menarik tangannya daripada lelaki itu. Pandangannya
dialihkan kepada jalan raya yang sibuk.
Iqmal akhirnya ikut tersenyum memandang sisi wajah gadis
itu. Mereka melintas jalan bersama.
“Kenapa selama ni Gina pun tak pernah tegur abang?” tanya
Iqmal pula setelah selamat berada di seberang sana.
“Eee.. takkanlah Gina yang nak mulakan. Malulah!” rengus
gadis itu pantas.
Iqmal ketawa perlahan sambil memandang gadis itu. Macam
bermimpi sahaja akhirnya dia dapat berjalan seiringan dengan gadis ini. “Selama
ni abang selalu pandang Gina dari jauh aja. Abang selalu tengok Gina melepak
dengan kawan-kawan Gina tu kat tempat Gina selalu lepak lepas habis waktu
rehat. Harap-harap lepas ni abang tak perlu lagi curi-curi pandang Gina macam
dulu. Tapi.. honestly pandang dekat-dekat macam ni lagi best. Kecantikan tu abang
boleh nampak dengan lebih jelas.”
Regina tersenyum memandang lelaki itu sekilas. “Mulut
maniskan?” sambut Regina malu-malu.
“Oh.. sebelum keluar rumah tadi abang memang ada makan buah
kurma. Kawan mama abang hadiahkan sebab dia baru balik dari Iran. Memang manis
kurma tu. Tu yang mulut abang jadi manis macam ni bila jumpa Gina,” jawab Iqmal
sambil menyeringai nakal.
“Iyalah sangat..” cebik Regina sambil menjeling. Kuat tali
begnya yang tersangkut di bahunya dipegang erat. Maklumlah.. dada tengah
berdebar semacam.
Iqmal ketawa kecil memandang gadis itu. Gelagat malu-malu
dan mahu tapi mahu si Regina benar-benar membuatkan hatinya kembang semacam.
Sebaik sahaja bertemu dengan Zahnita dan Ariya di tempat
yang mereka janjikan sebelum ini, mereka berempat terus mencari tempat melepak
sambil makan. Ariya asyik mengeluh kelaparan menunggu Regina dan Iqmal. Medan Selera
The Mall menjadi pilihan remaja seperti mereka.
Tetapi hanya mereka bertiga yang makan. Iqmal sudah
kenyang. Jadi dia hanya minum sambil memerhatikan gadis di sebelahnya makan. Ariya
dan Zahnita tersenyum-senyum melihat gelagat tak senang duduk Regina tatkala
dirinya diperhatikan Iqmal.
“Abang asyik pandang, Gina rasa macam nak tercekik. Boleh
tak pandang tempat lain?” getus Regina geram. Bertambah geram meluhat ada bibir
yang tersenyum-senyum mengajuk dia.
“Abang nak tengok buah hati abang makan.” Perlahan sahaja
suara Iqmal menjawab kepada Regina. Sengaja.. kerana hanya mahu kata-kata itu
Regina seorang sahaja yang mendengarnya.
Berderau darah Regina mendengar kata-kata Iqmal. Terus terencat
seleranya. Aku belum cakap apa-apa lagi.. dia dah pandai-pandai mengaku aku
buah hati dia, bisik hati Regina sendiri.
“Pasal tu kita cakap nanti ya? Kat sini ramai orang. Seganlah..”
ucap Regina juga sengaja memperlahankan nadanya.
“Kan elok kalau abang nombor telefon Gina? Dari tadi
abang tunggu Gina bagi abang nombor phone, Gina buat bodoh aja,” ucap Iqmal
sengaja berkias-kias. Pandangannya mula dialihkan ke arah lain. Buat seketika
dia memerhatikan kawasan tempat makan itu yang sudah sesak dengan orang ramai.
“Tak mintak manalah nak tahu,” bebel gadis itu seorang. Dia
kembali meneruskan suapannya.
“Kalau boleh bagilah alamat rumah sekali,”
bisik Iqmal tanpa mempedulikan pandangan dua teman Regina itu. Tersenyum-senyum
dia memandang paras gadis itu.
“Nak buat apa alamat rumah?” getus Regina lantas menoleh.
“Sebab abang nak tahu rumah Gina kat mana,” jawab Iqmal
selamba.
Regina tidak menjawab. Namun dia sudah tersenyum sendiri
melihat gelagat lelaki di sebelahnya itu. Matanya dihalakan semula ke arah
pinggannya. Nak tahu rumah? Buatnya Iqmal buat kerja gila datang ke rumah, apa
dia jawab pada mamanya?
“Boleh ya? Kata orang.. bila kita tengah angau, tak dapat
tengok orangnya tengok bumbung rumah pun jadilah. Macamana abang nak tengok
bumbung rumah Gina kalau rumah Gina pun abang tak tahu?” ucap Iqmal sambil
menyeringai kepada gadis itu.
“Siapa yang cakap macam tu? Tak pernah dengar pun ada
pepatah melayu ke.. pepatah Inggeris yang bunyinya macam tu?”
“Itu pepatah yang abang reka sendiri sebab abang nak
mengorat Gina,” jawab Iqmal cukup bersahaja. Hujung jari telunjuknya
menguis-nguis lengan Regina yang terdedah.
Regina segera menoleh dengan renungan tajam. Ada sahaja
ulah lelaki ini yang membuatkan dia tidak senang untuk makan. Zahnita dan Ariya
saling berpandangan melihat gelagat dua manusia di hadapan mereka itu.
“Ehemm... kat meja ni ada empat orang semuanya. Apasal aku
terasa macama ada dua orang aja ek? Dah mabuk cinta ke apa ni?” perli Ariya sengaja
menguatkan suaranya. Sepasang manusia lagi terus memandang Ariya. Wajah Regina
mula berubah warna.
“Ary, kau dah habis makankan? Jom kita tengok magazine
kat sana?” ajak Zahnita sambil menunjukkan satu kedai buku kecil di pintu masuk
medan selera itu.
“Jomlah.. tak senang merpati dua sejoli ni kita ada kat
sini,” ujar Ariya sengaja memerli Regina dan Iqmal.
Iqmal tersenyum senang hati melihat dua sahabat Regina
yang begitu sporting dengannya. Macam tahu aja dia memang sangat menginginkan
ruang berdua sahaja dengan Regina.
“Seganlah, abang. Janganlah buat macam tadi.” Regina
terus merengus sebaik sahaja Zahnita dan Ariya berlalu. Pinggan nasi ayamnya
ditolak ke hadapan. Gelas jus tembikainya terus dicapai.
“Bagi no phone Gina,” pinta Iqmal lembut.
Regina akur. Mujurlah dalam begnya memang ada pen. Tapi kertas
pulak takde. Puas dicarinya di mana resit bayaran tadi. tiada! Takkan nak koyak
majalah kesayangannya? Tak kuasa..
“Kertas takde. Bak sini tangan abang,” ucapnya sambil
memandang lelaki itu. lelaki itu sedang sibuk menjenguk isi begnya.
Dengan senang hati lelaki itu terus menghulurkan
tangannya. Matanya memerhatikan apa yang ditulis Regina. “Alamat rumah?”
“Tak payahlah..” getus Regina tidak senang. Segan dia
mahu membiarkan Iqmal datang ke rumahnya.
“Kenapa pulak tak payah? Abang nak tahu rumah Gina kat
mana. Nanti senang abang nak cari Gina. Kalau abang tak jumpa Gina, boleh abang
tanya pada mama Gina.” Iqmal menjawab selamba.
Regina merenung sebal lelaki itu. Nak tahu rumah jugak
buat apa?
“Bolehlah.. manalah tahu nanti abang nak tulis surat. Senanglah
alamat rumah dah ada. Tulis nama penuh Gina sekali.” Iqmal terus petah
meluahkan ayat-ayat powernya kepada gadis itu sambil menyengih.
“Nama jiran sebelah rumah tak mahu ke?”
“Jiran tak payahlah. Nanti bila abang dah kahwin dengan
Gina, abang berkenalan sendiri dengan jiran-jiran rumah mak mertua abang tu
nanti. Nama penuh Gina aja dah cukup buat masa ni,” balas Iqmal terus
menyeringai pada gadis itu.
“Mengada!” getus Regina pantas.
“Cepatlah.. kalau tak abang tanya Nita ya?” ucap Iqmal
setelah melihat Regina hanya memandang tajam kepadanya.
Regina menghela nafas perlahan sambil mendecit sendiri. Akhirnya
dia menulis juga alamat rumahnya di lengan lelaki itu.
“Okay.. bak sini pen tu. Abang pun nak conteng tangan
Gina.” Terus pen di tangan Regina diambil Iqmal. Tanpa meminta, tangan gadis
itu segera diambilnya.
“Hmm.. tangan lembut,” ucap Iqmal tanpa memandang. Tangan
gadis itu terus dibalikkannya.
Regina segera memandang wajah lelaki itu yang berada dekat
dengannya. Lelaki ini memang mulut manis! Saja nak buat dia jadi tak tentu arah
macam sekarang ini.
Di sebalik lengan Regina dicoretkan Iqmal beberapa angka.
Kemudian dilukis pula imej kartun seorang budak perempuan dan di bawahnya
tertera.. ‘I love you, Regina Fatyma’. Iqmal tersenyum saat melepaskan jemari
gadis itu.
Lama pandangan Regina terpasak pada lukisan dan coretan
aku cinta pada mu itu. Nombor telefon itu dia tidak peduli sangat. Tetapi tiga
patah kata itu benar-benar membuatkan dia terasa macam sedang dilambung ke
udara. Macam nak pengsan pun ada. Tapi indahnya memang tidak terkata! Begini rupanya rasanya bila jatuh cinta pada
seseorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan