“Eh! Gina
nak keluar ke mana ni?”
Pertanyaan lembut dari Puan Iffah membuatkan Regina
menoleh. Riak kegusaran pada raut emaknya segera terkesan oleh bola matanya.
“Ma, Gina ada temuduga kat kementerian. Mama dah lupa
ke?” balas Regina lantas mengerutkan keningnya kepada emaknya itu. Rasanya
semalam dia sudah mengkhabarkan hal itu kepada emaknya. Masakan sudah lupa?
Serta merta Puan Iffah tersedar dari kealpaannya. Ya tak
ya juga. Takkan dia tak perasan anaknya itu mengangkut segedabak fail di celah
ketiaknya itu. Semalam Regina ada memberitahu yang dia harus menduduki
peperiksaan di Malaysia Medical Council untuk mempraktikkan ilmu perubatannya
di Malaysia. Walaupun sudah mendapat pengiktirafan dan juga lesen di Ireland. Namun
syarat ketat untuk pengamal perubatan sah di Malaysia memerlukan Regina
menduduki peperiksaan itu sekali lagi di sini.
“Ya Allah, Gina.. mama tak ingat langsung pasal tu. Semalam
Gina ada cakap dengan mama tapi mama lupa. Pukul berapa start temuduga tu?”
“Surat tu kata Gina kena ada kat sana jam 8 pagi,” jawab
Regina sambil kembali menyelongkar kotak kasut yang dibawa pulangnya semalam.
Sepasang kasut bertutup penuh diambil lalu diletakkan di hadapan pintu.
Seketika kemudian dia bergerak ke meja makan untuk bersarapan pagi bersama Puan
Iffah.
“Nak mama hantarkan ke?”
“Tak payahlah, ma. Gina dah janji nak pergi dengan Abang
Iqbal. Abang Iqbal dah sms Gina tadi. Dia dah nak sampai pun,” balas Regina
sambil menuangkan air untuk dirinya.
Puan Iffah mengangguk puas hati dengan jawapan anak
ketiganya itu. Dia sedar antara Iqbal dan Farouq, Iqbal lebih mudah diajak ke
sana ke mari. Berkerja secara freelance seperti Iqbal boleh memilih masa kerjanya
sendiri berbanding Abang Farouqe yang berkerja dengan mamanya. Nirina juga
berkerja mengikut waktu pejabat walaupun di syarikat lain.
“Baca surah Al Fatihah dan berdoa banyak-banyak nanti
supaya senang nak jawab soalan,” pesan si ibu berusia 55 tahun itu.
Regina tersenyum memandang emaknya itu. “Mama pergi ofis
hari ni?” tanya Regina kepada Puan Iffah.
“Anak mama baru balik semalam takkanlah hari ni mama nak
ke ofis pulak? Mama cuti hari ni. Nina pun cuti katanya. So mama ingat nak masak
sikit, ajak Abang Farouqe dengan Kak Ain makan kat sini. Nanti cakap dengan
Abang Iqbal ya? Hari ni mama nak semua anak-anak mama berkumpul kat sini,”
jawab Puan Iffah dengan senyum lebarnya. Semenjak melihat semula anak daranya
ini petang semalam senyuman itu amat sukar dihakis dari wajahnya. Dia terlalu
gembira walaupun amat terkejut pada mulanya.
“Mama plan nak masa apa hari ni?”
“Adalah.. mana boleh bagitahu sekarang. Nanti Gina tak
fokus pulak waktu exam tu nanti,” jawab Puan Iffah selamba sengaja mahu
mengusik anak gadisnya.
Gadis muda itu terus ketawa melihat gelagat emaknya itu. Seronok
melihat keceriaan di wajah emaknya. Jika kepulangannya yang membuatkan emaknya
jadi begitu, dia sama sekali tidak menyesal membuat keputusan seperti ini.
“So Gina pasti ke nak mula berkhidmat dengan hospital kerajaan?
Tak mahu cuba peluang di tempat lain?” soal Puan Iffah lembut.
“Kat tempat lain? Maksud mama di hospital swasta?”
Puan Iffah sekadar mengangguk.
“Gina nak timba pengalaman di hospital kerajaan dulu, ma.
Kalau ada rezeki Gina nak mintak tajaan untuk sambung belajar lagi kat
sini.” Regina menjawab perlahan. Memang itulah impiannya selama ini.
“Baguslah kalau begitu..” jawab Puan Iffah lembut.
“Ma..”
“Ya..” Puan Iffah kembali memandang anaknya itu.
“Gina harap Ary dengan Nita dapat terima kehadiran Gina
semula kat sini. Walaupun mama tak pernah cakap tapi Gina dapat rasakan yang
Iqmal dan Ary takkan suka tengok Gina semula,” ucap Regina tiba-tiba berkalih
kisah tentang itu pula. Sejenak itu riak di wajahnya mula bertukar ekspresi
lambat-lambat.
Puan Iffah memandang lama wajah anaknya itu. Ada
keresahan dan ketidakupayaan kelihatan di wajah tenang itu walaupun cuba
disembunyikan sedalam mungkin. Luahan Regina itu ingin dibalasnya. Namun dia
sedar dia harus berhati-hati dalam perkataan kerana kedua-dua pihak ada konflik
sendiri. Dia tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak.
“Gina, mama faham perasaan Gina. Melenturkan hati orang
ibarat melenturkan seketul batu. Batu fizikalnya keras namun air mampu melentur
batu walaupun beribu tahun terpaksa dihabiskan. Mama nak Gina jadi air. Air
kalau dah setitis sahaja boleh melemahkan batu.. inikan pula kalau dah sekolam.
Orang takkan faham kita macam tu aja, sayang. Kita kena sabar untuk membuatkan
orang faham diri kita. Sebab tu mama kata Gina kena jadi air. Setitis demi
setitis lama-lama akan jadi sekolam,” pujuk Puan Iffah.
Regina mengalihkan pandangannya ke arah ruang tamu.
Bicara emaknya membuatkan dia jadi pemikir kala itu. Mampukah dia menjadi air
di hadapan Iqmal? Bohonglah dia jika dikatakan sebaris nama itu masih tidak
mampu memberi kesan kepada dirinya? Sesungguhnya cinta pertama itu sememangnya
cukup membuatkan dia tersadai akibat kecewa.
“Gina, bersabarlah. Allah tahu segalanya, sayang.”
“Gina cuma sedih, ma. Gina yang salah dalam segala hal.
Gina yang pentingkan diri sendiri selama ini. Ginalah kawan yang paling teruk
dalam dunia ni sampai kawan baik sendiri sakit pun Gina masih tak peduli. Tapi
sakit Gina, sedih Gina selama ini, luka di hati Gina.. semuanya Gina rawat
sendiri. Iqmal tak pernah peduli perasaan Gina. Dia lepaskan macam tu aja.”
Regina menyambut bicara emaknya itu perlahan.
“Jangan macam tu, sayang. Semua yang terjadi dah Allah
tentukan. Kita kena terima qada dan qadar ni. Iqmal mesti ada sebab dia
sendiri.” Puan Iffah memujuk perlahan. Hatinya sayu mendengar luahan Regina.
Hon yang kedengaran membuatkan mereka berdua terus
memandang ke arah pintu rumah. Pasti Iqbal sudah sampai. Regina sempat
memandang jam di pergelangan tangannya. “Ma, Gina pergi dulu ya?” ucapnya
lantas bangun mendekati emaknya itu. Tangan Puan Iffah dicium penuh hormat.
“Doakan Gina ya?” sempat lagi dia meminta sambil
tersenyum kepada Puan Iffah.
“Iya, mama selalu doakan..” sambut wanita tua itu lantas
bangun untuk mengiringi Regina ke pintu utama. Dari pintu itu dia melihat Fariq
Iqbal menapak ke arah mereka dengan senyumannya.
“Ma..” sapa Iqbal sebaik sahaja kakinya berada di hadapan
emaknya. Tangan emaknya itu dicapai untuk diciumnya.
“Nanti dah habis terus ke sini ya, Iq? Mama nak kita
semua berkumpul hari ni. Mama dah ajak Abang Farouqe dengan Kak Ain makan kat
sini tengahari nanti,” ucap Puan Iffah kepada anak keduanya itu.
“Makan punya pasal kira beres, ma. Sehabis aja urusan
Gina kat sana Iq terus speed balik
sini, okay?” balas anak muda itu sambil tersengih kepada emaknya itu.
“Yalah tu! Speed..
speed juga. Pastikan speed tu selamat sampai ke sini. Jangan speed sampai ke hospital macam dulu
lagi, sudahlah! Yang susah siapa? Mama jugak!” marah orang tua itu geram. Berbulu
telinganya mendengar perkataan speed yang diucapkan Iqbal. Anaknya itu memang
gemar membawa kereta laju di tengah bandar. Berlagak terror dengan enjin kereta yang sudah diubah suai. Tetapi akhirnya
ke hospital juga sekali sekala akibat kecuaian sendiri. Bukannya tidak pernah
berlaku sebelum ini.
“Kita kan dah ada doktor, ma. Ni.. Dr. Regina.” Iqbal
memuncungkan mulutnya ke arah Regina yang sedang tersenyum kepadanya.
“Aaa.. jangan nak libatkan Gina pulak! Gina tak campur!”
pantas Regina mengangkat kedua-dua tangannya tanda enggan terlibat dalam soal
itu.
“Sudah! Jangan nak merepek lagi. Pergi cepat hantar Gina.
Nanti lambat pulak sampai ke sana..” getus Puan Iffah malas mahu melayan jenaka
Iqbal. Anaknya itu tidak pernah serius dengan nasihatnya. Selalu menjawab!
“Gina pergi dulu, ma?”
“Yalah..”
Regina sempat menoleh kepada emaknya saat melepasi pintu
pagar rumahnya. Secebis senyuman dan lambaian dihadiahkan buat wanita itu yang
masih setia menghantar pemergiannya dengan pandangan mata.
“Dah habis ke?” soal Iqbal sebaik sahaja ternampak kelibat
adiknya datang kepadanya. Sempat juga dia menjeling jam di pergelangan
tangannya itu.
“Dah..”
“Fuh! Berjanggut jugak abang menunggu. Nasib baiklah
ramai makwe cun lalu lalang. Takdelah abang boring,” keluh Iqbal penuh
kelegaan.
“Alah.. kalau tunggu Gina lama sikit pun komplen. Cuba kalau
tunggu girlfrend? Seminggu terpacak tengah panas pun okay je,” cebir Regina
kepada lelaki 30 tahun itu. lelaki itu sempat dijelingnya.
“Well.. inilah pencinta wanita namanya!” jawab Iqbal
selamba.
“Ceh! Menyampah dengar!”
“Abang..” panggil Regina lembut sebaik sahaja
talipinggang keledar dipasangkan ke tubuhnya. Iqbal menoleh kepada adiknya itu.
“Boleh singgah sekejap kat rumah Nita?” ucap Regina
perlahan sahaja.
“Gina nak pergi tengok dia?” tanya Iqbal lembut nadanya.
Regina mengangguk perlahan. Dia yakin Iqmal tiada di
rumah hari ini. Jadi inilah peluangnya dia mahu bertemu Zahnita tanpa kehadiran
orang lain.
“Okay.. abang boleh bawakkan.” Iqbal menyambut akur. Keretanya
terus digerakkan meninggalkan kawasan itu.
“Gina jangan nangis pulak nanti,” ucap Iqbal setelah agak
lama mereka membisu.
“Tak..” ucap Regina biasa. Entah iya entah tidak dia
tidak akan menangis. Dia sendiri tidak yakin. Harap-harap dia tabah nanti.
Sejam perjalanan akhirnya Iqbal memberhentikan keretanya
di sebuah rumah dua tingkat. Setahun Regina ini bukan rumah keluarga Iqmal.
“Kenapa Iqmal duduk sini?” tanya Regina hairan.
“Entahlah. Dia dah lama pindah sini,” jawab Iqbal ikut
memandang rumah yang kelihatan tenang sahaja itu.
Seketika kemudian lelaki itu kembali memandang adiknya. “Pergilah..
ada orang gaji dengan nurse kat dalam agaknya. Abang tunggu luar aja,” ucap Iqbal
lembut.
Regina mengangguk sahaja sambil menolak pintu kereta. Sesungguhnya
dadanya cukup berdebar. Dia tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya setelah
dia melihat Zahnita nanti.
Benar kata Iqbal.. kehadirannya disambut orang gaji.
Iqmal tiada di rumah. Kerja kata wanita Indonesia itu. Ada seorang jururawat
yang diupah khas untuk menjaga Zahnita. Regina terus dibawa ke sebuah bilik di
tingkat bawah. Debar di dada Regina semakin tidak terkawal saat berada di
hadapan pintu bilik itu.
“Masuklah..” ucap wanita Indonesia itu lembut. Seorang
lagi wanita keluar sebelum sempat Regina masuk. Mereka saling berbalas senyum.
Dengan langkah penuh hati-hati Regina masuk ke bilik itu.
namun baru sekadar memandang dari jauh.. dadanya sudah terasa mahu pecah
melihat fizikal seorang wanita tersandar tidak berdaya. Hampir sahaja dia tidak
cam itu adalah Zahnita. Terlalu jauh bezanya Zahnita yang pernah ada di hadapan
matanya dahulu.
Sebaik sahaja mereka bertamu pandang wanita itu
menghulurkan sebelah tangannya.
“Gina.. kau dah balik? Ya Allah, Gina..” panggilan sayu
itu membuatkan air mata Regina tumpah juga ke pipi. Tubuh kurus Zahnita terus
diterpanya. Tanpa sebarang kata mereka berpelukan. Erat! Dengan air mata yang
semakin melebat dan tangisan yang tidak sudah terkawal.
“Ya Allah.. syukurlah akhirnya aku dapat tengok kau
semula. Aku rindukan kau, Gina. Aku rindu sangat-sangat. Maafkan aku. Aku tak
berniat nak hancurkan hidup kau dengan Iqmal. Aku tak berdaya, Gina.” rintih
Zahnita dalam tangisannya sendiri.
Regina tidak terdaya mahu menjawab. Sebaliknya tangisannya
menjadi semakin hebat. Tubuh Zahnita dipeluknya semakin erat.
“Maafkan aku, Gina. Aku tahu aku dah buat salah pada kau.
Sebelum mata aku ni tertutup selamanya, aku harapkan kemaafan kau. Aku nak
dengar sendiri kau kata yang kau maafkan aku,” ucap Zahnita setelah pelukan
dileraikan. Wajah Regina dipandangnya bersungguh.
“Nita, jangan cakap macam tu. Aku dah lama maafkan kau.
kau takde salah dengan aku pun selama ni,” jawab Regina sayu. Air matanya
diseka dengan belakang tangannya. Dalam keadaan Zahnita sudah kurus kering begini,
dia tidak ingin mendedami sahabatnya ini. Dia tidak sanggup!
“Aku tak berniat nak rampas Iqmal daripada kau, Gina. Percayalah..
aku tak ingin jadi pengkhianat kepada sahabat aku sendiri,” ujar Zahnita masih
belum puas.
Regina menggeleng perlahan. Air mata Zahnita disekanya
lembut. “Kita jangan cakap pasal tu lagi. Itu semua kisah dulu. Aku balik sebab
aku dah lupakan semua tu, Nita. Itu semua dah tak penting lagi pada aku,” ujar
Regina bersungguh.
“Tapi rasa bersalah aku ni takkan hilang sampai akhir
hayat aku, Gina.”
“Nita, jangan cakap macam tu. Aku tak mahu terus bergelumang
dengan kenangan tu. Dah terlalu jauh kita tinggalkan semua tu. aku terima
dengan hati terbuka, jodoh kau dengan Iqmal.” Regina segera menjawab.
“Aku sedih sangat, Gina. Disebabkan aku hubungan kita
semua retak. Aku hanya menyusahkan orang sekeliling aku dalam keadaan aku macam
ni.”
“Nita, kau tak patut cakap macam ni. Dugaan untuk kau,
dugaan untuk semua orang di sekeliling kau jugak, Nita. Termasuk aku! Allah uji
kita semua. Tak timbul soal menyusahkan ni semua. Kau kena kuat, Nita. Jangan putus
asa.” Lebat kesayuan di hati Regina mendengar ucapan Zahnita.
Zahnita menggeleng perlahan. “Aku reda dengan dugaan ni,
Gina. Aku tahu setiap kesakitan ni, Allah akan gugurkan dosa-dosa aku sekiranya
aku sabar.” Lemah sahaja jawapan Zahnita.
Regina mengangguk sambil menyapu pipinya yang basah.
“Kau dah jadi doktor sekarang? Alhamdulillah.. cita-cita
kau dah tercapai. Aku tumpang gembira, Gina. Aku bangga dengan kau.” Zahnita
berkata lembut dengan sedikit senyuman di bibirnya.
“Tapi aku ni tak gunakan? Aku doktor tapi kawan aku
sakit.. aku tak pedulikan. Aku bersalah pada kau, Nita. Aku minta maaf,” sambut
Regina kesal.
“Aku faham, Gina. Aku tak pernah marah kau selama ni. Kalau
aku di tempat kau sekali pun, aku akan buat macam tu,” sambut Zahnita sambil
mengangkat tangannya menyentuh pipi Regina.
“Ary pun mesti dah bencikan aku..”
“Dia akan sejuk kalau kau pujuk dia baik-baik. Kau kenal
diakan? Marah dia takkan lama, Gina. Kita semua kawan baik. Takde apa yang
mampu meretakkan hubungan kita,” ujar Zahnita lembut sahaja.
“Tapi aku rasa aku macam dah hilang semua kawan-kawan
yang dulu sayangkan aku. Aku rasa macam dah takde sesiapa lagi, Nita. Aku tahu
aku bersalah. Aku mementingkan diri sendiri. Aku nak sangat balik tengok kau
tapi aku tak kuat, Nita.” Regina terus tertunduk. Tangisannya kembali berlagu
mengenangkan kenyataan yang ada di hadapan matanya kini. Di sebalik kedua belah
telapak tangannya dia menangis lagi. Segala yang terkurung akhirnya tertumpah
jua di situ.
“Aku faham. Kami masih ada di sini, Gina. Kami masih
menunggu kau balik kepada kami semua,” pujuk Zahnita. Sedaya upaya dia mengusap
belakang Regina untuk menenangkan wanita itu.
“Jangan menangis, Gina. Aku happy tengok kau dah balik. Aku
tak mahu tengok kau menangis sebab aku. Aku lemah bila tengok orang sekeliling
aku menangis,” ujar Zahnita tenang sahaja.
Regina mengangguk perlahan. Seluruh wajahnya diseka. Ya!
dia juga harus kuat untuk berhadapan dengan semua ini. Jika Zahnita yang lemah
ini masih mampu tersenyum dalam penderitaannya, kenapa dia tidak?
Buat seketika waktu itu Regina menghabiskan masa di situ
bersama Zahnita. Bercerita.. menyuapkan makanan kepada sahabatnya itu. Dalam
setiap detik yang berlalu hanya rintihan yang berlagu di hatinya melihat setiap
kepayahan Zahnita.
“Aku banyak terhutang budi pada Iqmal. Tak terhitung, Gina! Semenjak
dari awal sehinggalah ke saat ini. Dia korbankan segala-galanya untuk aku. Bukan
sekadar kederat dia menjaga aku.. sebaliknya wang ringgit. Semuanya aku
bergantung kepada dia. Waktu aku dah takde apa-apa, dia datang. Waktu dia
sendiri pun dah susah takde siapa bantu ringankan kesusahan kami.. dia tetap
sabar. Dia tak pernah merungut walaupun waktu tu hanya ada aku dia dan Allah
saja yang faham kesusahan kami,” cerita Zahnita lembut.
Regina diam sahaja sambil memandang Zahnita. Dia lihat
mata itu kembali berkaca saat menyebut tentang Iqmal.
“Dia lelaki yang baik. Susah dia tak pernah tunjuk depan
mata aku. Jangan marah dia, Gina...” ucap Zahnita agak payah. Regina tunduk.
Tidak sanggup memandang mutiara jernih di tubir mata Zahnita.
“Dia buat sebab terpaksa. Bukan setakat kasihankan aku
yang sakit ni. Tapi sebab rasa bersalah.”
“Rasa bersalah?” soal Regina setelah mengangkat
pandangannya.
Zahnita mengangguk perlahan. Jemari sahabatnya itu
diraihnya. “Iqmal kahwin dengan aku dalam keadaan hati dia masih ada pada kau.
Aku tahu dia merana. Tapi dia takde pilihan lain sebab ayah..”
“Nita!” jerkahan di muka pintu bilik itu merencatkan apa
yang hendak disampaikan Zahnita. Dua wanita itu menoleh serentak. Wajah Iqmal
menjelma di hadapan mata mereka. Serius sekali wajah itu. Zahnita terkejut
melihat suaminya ada di situ pada waktu-waktu begini. Sangkanya Iqmal masih di
pejabat.
Regina terpaku. Entah kenapa matanya tidak mampu berkalih
daripada wajah lelaki itu. Walaupun raut itu sudah nampak sedikit tanda
kedewasaan namun masih sama seperti yang ada dalam memorinya selama ini.
Iqmal masuk ke bilik itu. Bag kerjanya diletakkan di atas
meja tidak jauh dari katil isterinya. Tetamu di dalam bilik itu tidak sanggup
untuk dipandangnya. Sebaliknya matanya terus memandang Zahnita. Zahnita menelan
liur tidak berupaya menentang pandangan suaminya itu.
“Abang, Gina dah balik. Dia datang melawat Nita,” ucap
Zahnita setelah wajah lelaki itu dipandangnya semula.
Iqmal memandang Regina sekilas sebelum mengangguk. Langsung
tidak terhias biar secebis pun senyuman di bibir lelaki itu sebagai menyapa
tetamu itu. Zahnita mula serba salah melihat gelagat Iqmal lain macam. Mendung benar
wajah lelaki itu.
“Abang dah makan ke?” tanya Zahnita cuba memancing suara
lelaki itu.
“Dah. Nita dah makan?” tanya Iqmal lantas memandang
isterinya itu.
“Gina dah suapkan Nita tadi.” Zahnita menjawab dengan
senyuman. Wajah Regina sempat dipandangnya.
“Ubat?”
“Dah.. Gina jugak yang paksa Nita makan ubat tadi.”
Iqmal mengangguk dengan sambil memandang sekilas wanita
yang dimaksudkan isterinya. Ingin benar dia mengucapkan terima kasih. Tetapi entah
kenapa canggung benar dia mahu meluahkan kata-kata. Dia kekok! Biarpun dadanya
ini seperti mahu pecah melihat Regina berada di dalam rumahnya tiba-tiba.
“Aku rasa eloklah aku balik sekarang, Nita. Abang aku
tunggu kat luar tu. Kesian dia,” ucap Regina sudah tidak selesa mahu berada di
kamar itu.
“Kau akan datang jumpa aku lagikan?” tanya Zahnita sambil
meraih tangan Regina.
“Tengoklah kalau suami kau izinkan.” Regina menjawab
lembut.
“Bolehkan, bang?” terus soalan itu diajukan Zahnita
kepada suaminya itu.
“Boleh..” jawab Iqmal perlahan.
“Datanglah bila kau ada masa, Gina. Aku rindu nak berbual
dengan kau lagi,” ucap Zahnita lembut.
Regina mengangguk dengan senyuman. Perlahan kucupannya
didaratkan di dahi sahabatnya itu. “Insya-Allah aku akan datang, Nita. Aku akan
selalu ada di sini untuk kau selepas ini.” Regina berbisik perlahan.
Zahnita tersenyum puas mendengar itu. Saat itu hatinya
tenang setenang-tenangnya.
suka sifat regina yg tak berdendam walaupun hati dia terluka.
BalasPadamso sedey.... sob....sob....
BalasPadam