Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Selasa, 14 Januari 2014

5-BUTAKAH CINTA

Perjalanan yang panjang!
Setelah singgah di London selama 4 jam sebelum menaiki penerbangan seterusnya untuk tiba di KL, akhirnya bumi Malaysia dijejaki juga oleh Regina setelah hampir 7 tahun dia melupakan tanah kelahirannya ini. Kepulangannya hari ini sengaja tidak diberitahu kepada sesiapa termasuk juga mamanya. Dia tidak ingin dijemput segala.
Malaysia.. aku sudah kembali berada di perut mu. Aku kembali untuk mengutip sejarah lama yang sudah lama bersepai. Aku kembali untuk menghadap kisah persahabatan yang sudah bertahun retak menanti belah. Aku pulang untuk mengutip sisa-sisa kasih sayang yang mana masih tinggal. Terimalah aku seadanya, Malaysia.. hati Regina berbisik sayu saat memandang keindahan panorama sepanjang jalan pulang ke rumahnya.
Bertahun-tahun dia meninggalkan Kuala Lumpur kini matanya disajikan dengan begitu banyak perubahan kepada wajah kota yang pernah menyaksikan suka dan duka hidupnya semenjak kecil. Di kota ini juga dia pernah menganyam impian untuk sehidup semati dengan lelaki yang disayanginya.
Iqmal.. nama itu terus meniup kepiluan di hatinya. Semenjak dia mendapat tahu Iqmal memilih Zahnita sahabat baiknya sendiri mereka tidak pernah lagi berhubung. Lelaki itu sendiri langsung tidak pernah mengirim email kepadanya untuk meleraikan ikatan kasih mereka. Sedih hatinya tidak terungkap.
Keputusan Iqmal mengahwini Zahnita hanya ketahuinya daripada mamanya. Terlalu kejam dan pahit perbuatan lelaki itu. Biar apa pun alasannya itu terlalu sukar untuk diterimanya. Dia tidak diberikan hak untuk menyuarakan isi hatinya. Iqmal tidak pernah memberikan dia ruang untuk bertanya setelah dia dengan tega membuat keputusan itu.
Sejam perjalanan akhirnya kediaman lamanya dijejaki semula. Turun dari teksi dia terpaku memandang rumah itu. Di rumah ini sejarah hidupnya dilakarkan sehinggalah dia berusia 21 tahun sebelum terbang ke Ireland. Sudah terlalu lama lantai rumah ini dingin tanpa dipijak oleh telapak kakinya. Hati Regina terus tepu oleh rasa sayu saat matanya menjamah permandangan rumah itu.
Rindu.. tetapi entah kenapa dia sering kalah kepada hatinya selama ini.
 Regina tahu tidak selamanya dia mampu menidakkan kehendak hatinya. Sampai satu masa di sini juga dia tiba akhirnya. Jika selama ini dia berdiam diri untuk mengumpul kekuatan.. sudah pasti apa yang ada hari ini sebenarnya sudah cukup untuk membuat dia berdiri teguh untuk berhadapan dengan kenyataan.
Perlahan loceng di hadapan tembok pagar itu ditekan. Kali ke dua dia membunyikan loceng itu wajah Bibik Ruyati muncul di hadapan matanya.
“Ya Allah.. Gina?” wanita itu kelihatan amat terkejut melihat batang tubuh yang ada di hadapan pagar masuk rumah itu. Regina sekadar tersenyum dan mengangguk.
“Ya ampun.. kamu sudah pulang, nak? Ya Allah.. Maha Suci Allah.. Maha Suci Allah. Akhirnya doa bibik Allah tunaikan.” Terpa wanita itu sebaik sahaja pagar itu terbuka. Batang berdiri di hadapan pagar rumah itu terus dipeluknya.
“Bibik sihat?” soal Regina sambil mencapai tangan wanita itu.
“Bibik sihat, nak. Syukurlah kamu sudah pulang. Ya ampun.. macam mimpi aja ni!” Bibik Ruyati mengucapkan kata-kata itu dalam nada terharu. Mereka berpelukan lagi.
Ngapain pulangnya tidak diberitahu? Bikin bibik kaget aja! mujurlah jantung bibik ni masih kuat. Kalau tidak copot!” Wanita Indonesia itu berkata lagi sambil menepuk bahu Regina geram.
Tergelak Regina mendengar ucapan wanita itu. “ Saja je Gina nak suprisekan bibik..” Regina menjawab selamba. Senyumannya masih tidak lekang. Terbang segala kesedihannya melihat keceriaan di wajah Bibik Ruyati.
“Kamu ini ada-ada aja! Udah besar tapi masih nakal!” Bibik Ruyati ketawa perlahan. Bag yang dibawa Regina ditariknya masuk ke dalam. Regina terus membuntuti wanita itu. Liar matanya memandang persekitaran halaman rumah itu.
“Mama pergi office ya, bik?” soal Regina sambil memandang ke arah rumah itu.
“Waktu begini pastilah dia di kantor. Mama kamu pasti senang kamu sudah pulang. Hari-hari dia bilang sama bibik rindukan kamu, Gina. Kasihan bibik sama mama kamu itu,” ucap Bibik Ruyati lembut.
Ujaran wanita itu tidak dijawab Regina. Dia terus duduk melepaskan lelah di sofa tengah rumah itu.
“Kamu bukan pulang sekejap sajakan?” tanya Bibik Ruyati dalam pada dia berdiri terpacak memandang Regina.
“Taklah. Gina balik teruslah, bik. Inikan rumah Gina,” jawab Regina lembut.
“Baguslah kalau begitu. Gina duduk sebentar. Bibik bikin minuman buat kamu, okay?” ucap Bibik Ruyati lembut.
Gadis berusia 28 tahun itu sekadar mengangguk. Suasana di ruang tamu itu dijamu oleeh pandangan matanya. Kebanyakan perabot sudah berubah mengikut fesyen terkini. Tv juga sudah ditukar kepada jenis LED. Oh.. taste mama dia pun dah moden jugak. Regina tersenyum sendiri mengenang mamanya itu.
“Gina sudah dengarkan tentang Zahnita?” soalan yang menerpa tiba-tiba itu membuatkan perhatian gadis muda itu tergugah. Dia menoleh ke arah Bibik Ruyati yang sedang menatang dulang ke arahnya.
“Gina dah dengar,” jawab Regina agak perlahan.
“Kasihan sekali anak itu..” keluh Bibik Ruyati sambil menuangkan air oren di dalam gelas buat Regina. Seketika kemudian gelas itu dihulurkan kepada Regina. Wajah Regina ditatapnya lembut.
“Kamu harus segera pergi menziarah dia, Gina. Keadaannya semakin memburuk akibat penyakit kanker itu. Kasihan sungguh dia. Orang tuanya meninggal kecelakaan. Kemudian dia pula sakit. Kalau bibik di tempat dia, bibik enggak tahu mahu buat apa.” Bibik Ruyati menambah lagi bicaranya.
“Insya-Allah, Gina akan pergi tengok dia nanti.” Namun entah kenapa jawapan Regina menjadi serba ringkas sahaja dan tiada keceriaan. Semenjak dia menerima warkah tulisan tangan dari emaknya wajah Zahnita tidak pernah lepas dari pemikirannya. Dia sedih memikirkan sahabatnya itu.
Tanpa sedar gelagat Regina terus diperhatikan wanita Indonesia itu.
“Bibik tahu kamu pasti sedih dengan apa yang berlaku. Tetapi biar apapun keadaannya dia masih teman baik kamu, Gina. Selagi Tuhan memberikan kamu peluang, kembalikan semula kemesraan kamu bertiga dahulu. Sayang sekali semuanya harus dilepaskan begitu sahaja. Kita tidak akan tahu selama mana Allah memberikan kita ruang untuk melihat antara satu sama lain.”
Regina menghela nafas perlahan. Nasihat Bibik Ruyati melintas di benaknya. Nasihat yang lebih kurang sama sahaja dengan mamanya. Semuanya mahu dia mengalah. Memang dia sedih dengan keadaan Zahnita. Tetapi dia juga punya kesedihannya sendiri. Tiada siapa yang menemankan dan memujuk dirinya di sana melainkan dirinya sendiri.
“Kamu berehatlah. Bibik ke dapur dulu siapkan makanan buat kamu. Sebentar lagi kita boleh makan siang bersama,” ucap wanita itu setelah melihat Regina diam sahaja. “Mahu bibik nelefon mama kamu?” tiba-tiba pertanyaan itu diajukan sebelum Bibik Ruyati melangkah meninggalkan ruang itu.
“Tak payahlah, bik. Biarlah Gina tunggu mama balik petang nanti aja.” Regina menjawab sambil menggeleng. Segaris senyuman segera diberikan kepada wanita itu.
Wanita Indonesia itu sekadar tersenyum biasa lantas meninggalkan Regina.
Di sofa itu Regina termenung sendiri. Kusut! Itu yang berlaku pada fikirannya saat ini apabila soal Zahnita dihidupkan di hadapannya. Mulalah dia asyik memikir sendiri. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia pergi melihat temannya itu sekarang juga! Tetapi bila teringatkan lelaki seorang itu, dia tak sanggup pula.


Akhirnya dia terus tersandar memandang tv yang tidak bernyala. Sekali lagi kenangan lama masuk ke ruang fikirannya.

"Bukannya jauh sangat pun. Kat Melaka tu aja," ucap Regina lembut.
Iqmal diam. Matanya terus dihalakan ke hadapan dalam pada dia memikir sendiri. Walaupun hanya di Melaka tetapi dia tetap tidak akan dapat bertemu Regina semudah sebelum ini.
"Abang.." getus Regina geram melihat lelaki itu berdiam. Lengan lelaki itu digoncangnya.
"Apa?" soal Iqmal macam orang tengah mamai.
"Berangan apa? Dengar ke tak apa Gina cakap tadi?"
"Dengar.." hambar sahaja jawapan lelaki itu sambil mengeluh sendiri. Regina sudah mendapat tawaran memasuki Kolej Matrikulasi. Bermakna mereka akan berjauhan dalam tempoh 3 tahun ini. Keadaan itu membuatkan fikirannya kusut. Takut bunga yang dipuja diambil orang. Seketika kemudian dia memandang gadis di sisinya itu. Regina sedang memerhatikan dirinya.
"Abang susah hati.." luah Iqmal perlahan sahaja.
"Susah hati kenapa pulak?"
"Buah hati abang cantik sangat. Nanti ada orang kebas." Iqmal tercebir sendiri.
Mahu tergelak Regina mendengar ucapan lelaki itu. "Takde siapa pun yang nak kebas Gina ni."
Namun Iqmal terus menunjuk muka sedih. Kata-kata itu langsung tidak mampu memujuk hatinya. "Gina duduk jauh-jauh dari abang, Gina jangan lupakan abang tau?" ucap Iqmal sayu sahaja.
"Gina takkan buat macam tu. Gina tahu abang sayang Gina," jawab Regina bersungguh.
"Janji lepas habis belajar nanti Gina kahwin dengan abang?" ucap Iqmal masih tidak berpuas hati.
"Janji.."
"Janji jangan dimungkiri ya?" ucap Iqmal sedikit polos.
Regina tergelak melihat kegelabahan lelaki itu. Kepalanya digelengkan perlahan.
"Kenapa ketawa pulak ni?" tanya Iqmal hairan.
"Abang, Melaka tu masih ada dalam negara Malaysia ni. Dari sini pergi Melaka cuma 4 jam. Apa yang abang melalut sampai bab kahwin ni?" getus Regina gelihati.
"Gina memang tak faham perasaan abang," sambut Iqmal terus sayu.
"Gina faham. Gina pun sayang abang. Gina dah janji nak call abang hari-hari, email, surat.. apa lagi? Ha.. sms! Abang tak percaya Gina lagi ke?" ucap gadis itu bersungguh.
Iqmal diam sambil menunduk. Rasa hati tengah menggebu-gebu.. manalah dia sanggup berjauhan dari Regina? Siksa!
"Kita kahwin sekaranglah!" ucap Iqmal tiba-tiba.
Terbeliak mata Regina mendengar ucapan lelaki itu. Kahwin sekarang? Gila! "Abang, cubalah bawak bertenang. Gina bukannya nak pergi bercinta dengan orang lain. Gina pergi belajar, bang."
Iqmal meraup wajahnya seketika. Macamana dia nak bertenang. Hanya Tuhan sahaja yang tahu ketakutan yang bersarang di dalam hatinya ini. Bimbang Regina berpaling kasih darinya. Mahu makan tak kenyang seumur hidup dia nanti.
"Janji ya.. lepas habis belajar nanti Gina kahwin dengan abang?"
"Janji.. janji.. janji.." ucap Regina bersungguh.


Janji? Regina tergelak sendiri mengenang kenangan hampir 10 tahun dulu itu. Mana boleh berjanji tentang itu. Soal jodoh bukan urusan manusia. Entah kenapa dia begitu bodoh. Naif! 
Akhirnya Iqmal yang mungkir janji kepadanya. Iqmal yang berpaling dan memilih orang lain. Lebih teruk lagi Iqmal tidak pernah meminta maaf kepadanya kerana mungkir janji. Cinta hanya gurauan. Cinta monyet! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan