Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Rabu, 15 Januari 2014

8-BUTAKAH CINTA

“Gina tengok macamana keadaan Nita sebelum ni? Agaknya ada peluang ke dia nak sembuh?” soal Puan Iffah kepada anak daranya itu. Regina asyik menyiram bunga di hadapan rumahnya. Belum memulakan kerja di mana-mana Regina sekadar membantu membuat kerja di rumah. Kadang-kala dia pergi menemankan Zahnita sehingga ke petang dan dia akan pulang sebelum Iqmal pulang ke rumah.
Regina diam seketika. Sembuh? Dengan sel barah yang sudah mengangu saraf utama, tidak perlu lagi dia berhujah panjang lebar dari segi saintifiknya. Hanya kuasa Allah yang mampu mengubah semua ini.
“Peluang tu ada kalau kita tak terus putus asa,” jawab Regina tanpa memandang emaknya itu.
Puan Iffah mengangguk setuju dengan kata-kata anaknya itu. “Sakit ni walaupun sekadar luka di tangan kalau Allah tak izinkan luka tu sembuh, maka tak sembuhlah. Kadang-kadang benda macam ni susah kita jelaskan dengan akal fikiran kita yang terbatas ni. Ada orang yang dah puas usaha tapi tak sembuh-sembuh juga. Mungkin Allah mahu lihat kekuatan kita untuk bertahan, sejauh mana kita reda pada DIA dalam keadaan kita sengsara.”
Regina sekadar mendengar bicara emaknya itu.
“Gina dah jumpa Ary ke?” tanya Puan Iffah kepada anaknya itu.
“Dia tak nak angkat call Gina, mama. Bila dia dengar suara Gina aja terus dia putuskan,” jawab Regina biasa. Paip getah ditangannya diletakkan. Kemudian dia terus menutup pili. Tempat duduk emaknya itu dijejakinya lantas dia duduk di sebelah emaknya itu.
“Takpelah. Gina sabarlah dulu. Kita kena bagi dia masa,” ucap Puan Iffah lembut.
“Takpe, ma. Gina faham. Gina pun ada buat salah pada dia. Memang patut pun dia marah pada Gina,” balas Regina tenang sahaja.
“Susah kita nak jumpa sahabat yang sehati sejiwa ni, Gina. Yang sanggup menunggu waktu kita susah lagilah payah nak ada. Ariya tu dah banyak berkorban untuk Nita. Mama tahu hati dia baik. Dia tak pernah jemu menghadap segala kapayahan yang ada. Beruntung Gina ada kawan macam dia. Sebab tu mama nak Gina berbaik-baik dengan Ary. Kita tak tahu bila pulak hari kita akan sampai,” ucap Puan Iffah bersungguh.
Regina terus mengangguk faham. Namun dia tidak tahu adakah Ariya masih mahu menganggap dia kawan atau tidak.
“Sebelum ni Nita ada cakap sesuatu pada Gina. Tapi Gina tak faham apa maksud dia. Waktu tu Iqmal balik, dia terus tutup cerita pasal tu. Sampai sekarang Gina tertanya-tanya apa maksud dia,” ucap Regina sambil memandang emaknya itu.
“Pasal apa?”
“Pasal perkahwinan dia dengan Iqmal. Dia kata Iqmal kahwin dengan dia sebab rasa bersalah. Apa maksud dia, mama? Nita ada cerita apa-apa pada mama ke sebelum ni?”
“Mama tak tahu, sayang.” Puan Iffah mengerut kening sedikit sambil menatap wajah anaknya itu.
“Habis tu macamana Iqmal boleh tiba-tiba kahwin dengan Nita? Apa puncanya, mama?” tanya Regina lagi.
Puan Iffah diam seketika. “Mama pun tak tahu sangat apa mulanya semua ni. Mama Cuma dapat tahu daripada Ariya yang Iqmal nak nikah dengan Nita. Mama ada cari Iqmal.. mama nak tanya dia pasal tu. Tapi waktu tu semua orang tak tahu dia ke mana. Mama hanya jumpa dia sehari sebelum dia orang berdua bernikah. Itupun terserempak kat hospital. Bila mama tanya alasan dia, dia lebih banyak diam. Dia kata dia terpaksa buat macam ni sebab kesiankan Nita. Mula-mula mama memang susah nak terima alasan dia. Kenapa mesti dia yang berkorban untuk Nita? Tapi bila mama fikir semula, mama tahu Nita perlukan seseorang yang boleh jaga dia sepenuh masa. Mama pun tak senang tengok anak mama hidup bahagia.. senang lenang dengan kekasih hati sedangkan kawan sendiri hidup terumbang ambing. Mama anggap.. sekiranya Gina reda terima keputusan Iqmal, inilah salah satu pengorbanan yang Gina boleh bagi sebagai seorang sahabat. Mama mintak Iqmal explain sendiri pada Gina pasal ni. Tapi dia tak jawab,” jelas Puan Iffah lembut.
Regina menghela nafas sambil meraup rambutnya ke belakang. “Tapi dia tak pernah pun jelaskan apa-apa pada Gina. Dia biarkan macam tu aja. Macamana Gina nak reda, mama?” ucap Regina perlahan.
Puan Iffah berdiam seketika memikirkan lelaki itu. Juga kisah lama itu. Bermula ketika dia mendapat berita yang emak dan ayah Zahnita kecelakaan ketika pulang dari solat subuh di sebuah surau. Dengarnya mak dan ayah Zahinta di langgar orang. Sedih benar dia waktu itu. Zahnita jatuh sakit selama beberapa minggu. Selalu demam dan pengsan. Sangka mereka itu kesan daripada kesedihan dia akibat pemergian emak dan ayahnya. Tetapi rupanya tidak.. dia disahkan menghidap tumor otak. Bertimpa-timpa kesusahan Zahnita. Tidak terdaya dia mahu memandang.
“Entahlah.. mama pun tak tahu nak baca fikiran dia macamana, Gina.” Puan Iffah mengeluh perlahan.
“Waktu Gina terserempak dengan dia sebelum ni, dia langsung tak tegur Gina. Gina rasa dia pun bencikan Gina.” Regina meluahkan bicaranya lagi.
“Demi Zahnita.. mama mintak Gina jangan tunjukkan sangat masalah ni semua. Jangan bagi dia susah hati. Mama memang marah dengan perbuatan Iqmal pada Gina. Tapi Zahnita.. dia tak berdaya, Gina. Kalau kita yang berada di tempat dia waktu tu.. kita pun akan jadi sekejam itu.” Puan Iffah berkata lembut.
Regina mengangguk sahaja kepada bicara emaknya itu. “Gina tak kisah pun Iqmal tak mahu tegur Gina. Mungkin ini lebih baik untuk kami,” ucap Regina kemudian.
“Gina masih sukakan dia ke?”
Regina terus melepaskan tawanya. Namun tawa itu kedengaran cukup hambar. Juga sedikit mengejek. Mengejek dirinya sendiri kerana masih juga menjadikan lelaki itu sebagai satu beban dalam jiwanya. Entahkan Iqmal sudah tidak merasa apa-apa lagi kepadanya. Memandangnya sahaja pun Iqmal macam tak sudi. “Untuk apa lagi Gina suka pada dia, ma? Dia suami orang.” Regina membalas agak lambat.
“Baguslah kalau itu kata Gina. Tapi mama harap Gina jujur pada diri Gina sendiri. Mama tak mahu Gina menyiksa diri dengan harapan yang tak boleh lagi digapai.”
“Iqmal cuma kisah lalu Gina, mama. Gina tahu di mana batas Gina. Mama jangan risau. Gina takkan bersikap pentingkan diri lagi. Tak pernah terlintas dalam fikiran Gina ni untuk rampas Iqmal daripada Nita.” Regina membalas pantas.
Puan Iffah menghela nafas lega mendengar itu. Dia tahu Regina sudah cukup matang untuk berfikir apa yang baik dan apa yang tidak untuk kehidupannya sendiri. “Mama harap suatu hari nanti ada seorang lelaki yang ikhlas akan datang dalam hidup Gina.”
“Gina malas nak fikir lagi pasal lelaki ni semua, ma. Gina nak kerja dulu. Gina pun belum bersedia nak kahwin ni semua.”
“Kalau itu pendirian Gina kesianlah Nina.” Puan Iffah berkata sambil tersenyum lembut. Entah kenapa dia menggelengkan kepalanya pula.
“Kenapa dengan Nina?” tanya Regina semula.
“Mama rasa Nina tu dah ada teman lelaki.”
“Mama rasa? Mama agak aja ke?”
Puan Iffah ketawa perlahan mengenang anak bongsunya itu. “Nina tu tak pernahnya takde teman lelaki, Gina. Putus dengan orang ni.. sebulan kemudian dia dah keluar dengan orang lain. Bila mama tegur dia kata sunyi takde boyfreind. Susah hati bila takde orang dia nak ketuk belikan itu ini. Pening mama dibuatnya.”
Kali ini Regina ikut tergelak mendengar cerita mamanya itu. Berani sungguh Nirina menjawab begitu kepada emaknya.
“Tapi Nina tak pernah menangis kalau dia ditinggalkan. Bagi dia lelaki ni satu pergi sepuluh datang. Pendirian macam tu ada sebahagiannya baik untuk diri kita. sebahagian lagi memang tak boleh diamalkan,” ucap Puan Iffah lagi.
“Maksud mama?”
“Kita tak boleh terlalu selesa sangat dengan keegoan diri kita sendiri. Tapi Iqbal dengan Nina memang sekepala kalau bab bercinta. Satu pergi sepuluh datang! Mama tak suka anak-anak mama jadi kaki betina atau kaki jantan. Berdosa kita main-mainkan perasaan orang ni. Tapi kalau terlalu sayangkan seseorang sampai kita tak boleh lupakan dia terus pun susah juga. Masa akan terus pergi sedangkan kita masih bergelumang dengan sesuatu yang dah tak teruntuk buat kita. Untuk apa?” ucap Puan Iffah terus lembut nadanya.
Regina tertunduk mendengar ucapan emaknya itu. Bahagian yang mana dia berada? Bahagian kaki jantan itukah atau pun bahagian yang satu lagi. Masih bergelumang dengan kisah lama sedangkan semua itu sudah tidak ada maknanya lagi. Buang masa untuk dikenang. Tepuklah dada sendiri. Di sana pasti ada jawapannya.
“Gina faham apa maksud mama tu,” ucap Regina sambil memandang emak di sisinya itu.
“Baguslah kalau Gina faham harapan yang ada dalam hati mama ni pada setiap anak-anak. Takde apa lagi yang mama nak tengok ada pada setiap seorang anak-anak mama. Mama nak kamu semua gembira dengan kehidupan yang Allah anugerahkan kepada kamu semua. Itu saja,” balas Puan Iffah.
“Insya-Allah.. Gina happy, mama. Mama jangan susah hati pasal Gina ya?” ucap Regina lembut.
Puan Iffah tersenyum sahaja memandang anaknya itu. Dia tahu Regina pasti akan mencari kebahagiaannya sendiri sampai masanya nanti. Dia tahu Allah tidak akan membiarkan anaknya terus begini.

Panggilan itu!
Regina tiba di hospital Kuala Lumpur seorang diri. Dia yang paling awal di situ. Namun Iqmal kelihatan sudah ada di situ. Lelaki itu duduk tertunduk merenung lantai. Masih tidak sedar akan kedatangannya.
“Macamana dengan Nita?” tanya Regina terus saat berdiri di tepi lelaki itu.
Iqmal mendongak untuk memandang wanita yang berdiri di sebelahnya itu. “Tak tahu lagi. Doktor masih belum cakap apa-apa,” jawab Iqmal.
“Kenapa dengan Nita?” Regina mula melabuhkan duduk di kerusi berselang satu daripada Iqmal.
“Dia demam teruk sehari dua ni. Bangun dari tidur tadi.. dia.” Iqmal menghela nafas perlahan. “Dia kata dia tak nampak apa-apa.” sambung Iqmal cukup payah.
Astaghafirullah.. keluh Regina dalam senyap sambil menekup mulutnya. Apa yang bakal berlaku kepada sahabatnya itu sudah mampu diagaknya. Pasti sel jahat itu sudah menyerang saraf matanya pula.
“Ary tak datang?” tanya Regina lagi.
“Dia datang nanti. Dia kena selesaikan kerja dia dulu,” jawab Iqmal sambil mengubah kedudukannya. Dia bersandar sambil berpeluk tubuh.
Buat seketika itu mereka berdua berdiam di situ. Menanti apa yang bakal dihadapkan kepada mereka sekejap lagi. Namun dalam kebisuan itu Regina resah sendiri. Dia cangguk duduk sahaja macam patung. Lelaki itu juga macam tidak ada apa-apa mahu diucapkan kepadanya. Diam sahaja.
“Abang kerja kat mana sekarang?” akhirnya Regina memberanikan diri memulakan bicara dengan lelaki itu.
“Cyberjaya..” sepatah sahaja jawapan Iqmal dengan tolehan sekilas.
Regina diam kembali. Susah rasanya mahu mencipta perbualan dengan lelaki ini dalam keadaan hatinya masih begini. Canggung! Lelaki itu juga terlalu pembisu. Macam sudah tidak sudi bercakap dengan dia. Regina menghela nafas perlahan. Desakan hatinya sudah tidak tertahan. Dia mahukan jawapan segera! Walaupun sekadar yang ringan.. biarlah! Asalkan dia tidak terbiar macam kain buruk begitu sahaja.
“Kenapa abang tak pernah cakap dengan Gina yang abang nak putuskan hubungan kita dulu?” soal Regina perlahan sahaja.
 Iqmal terus diam. Macam tidak mendengar walaupun sebenarnya dia dengar soalan itu. Regina menggeleng perlahan.
“Gina tak pernah lupakan abang selama ini. Itu yang abang nakkan dulukan? Tapi sampainya hati abang biarkan Gina macam tu aja. Kalau abang dah tak mahukan Gina sekalipun kenapa tak berterus terang dengan Gina? Sekurang-kurangnya hati Gina takkan sesakit ini. Tapi selama ni abang hanya diam,” ucap Regina sedikit mendayu.
Iqmal tunduk sahaja. “Abang takde apa yang nak dijelaskan, Gina. Sebab tu abang diam.” Iqmal menjawab rendah.
“Takde? Pasal Nita takde apa yang perlu abang jelaskan? Abang cuma harap Gina akan faham-faham sendiri? Abang ingat Gina ni robot ke?” tekan Regina bagaikan tidak percaya jawapan itu yang akan didengarinya.
Abang tak kuat untuk tengok apa akan jadi pada Gina waktu tu. Sebab tu abang diam. Bahu ni tak cukup kuat nak tampung semuanya. Abang takde kekuatan lagi nak menadah maruah diri abang yang dah menyembah bumi.. jawab Iqmal dalam hati.
“Abang minta maaf. Abang harap lepas ni Gina akan lupakan abang. Lupakan apa yang pernah kita janji bersama dulu,” ucap Iqmal tanpa mampu memandang gadis itu.
Regina menghembus nafas keras. Maaf? Senanglah Iqmal bercakap. Dia macam nak gila menahan perasaannya selama ini. “Lain kali kalau tak mampu jangan pandai-pandai nak berjanji macam bulan dengan bintang tu boleh dicapai dengan tangan! Loser!” ucap Regina mula keras nadanya. Lelaki itu dijelingnya.
Iqmal tidak beraksi kepada ucapan Regina itu. Hatinya seakan-akan sudah kebas saat ini.
“Penderitaan Nita aja yang penting untuk abang? Gina ni bukan manusia ke? Takde perasaan ke Gina ni?” ucap Regina masih tidak puas menghambukan kemarahannya kepada Iqmal.
Iqmal terus mendengar. Marahlah dia.. dia tidak kisah. Katalah apa pun. Dia tidak akan halang. Baginya semua itu masih terlalu sedikit untuk dijadikan kudis di dalam hatinya.
“Menyampah bercakap dengan tunggul ni! Bercakap dengan dinding pun tak macam nilah,” ucap Regina sambil menggeleng sendiri.
“Abang tahu abang hancurkan hati Gina. Abang minta maaf. Selama ini abang selalu berdoa Gina akan bertemu dengan seseorang yang boleh sayangkan Gina lebih baik daripada abang.  Abang cuma seorang lelaki yang lemah, Gina.” Iqmal membalas perlahan. Dan takde apa-apa lagi.. kata-kata itu hanya mampu disambung di dalam hatinya.
Berkali-kali Regina menggeleng sambil memandang sisi wajah lelaki itu. Mendoakan semoga dia bertemu lelaki lain? Betapa sakit hatinya saat ini. Pantas sungguh Iqmal mendoakan dia begitu setelah membina mahligai dengan perempuan lain.
“Siti Zahnita Binti Harun..” nama itu tiba-tiba kedengaran dilaungkan dari arah pintu wad kecemasan itu. Iqmal terus bangun mendapatkan seorang petugas perubatan yang berdiri di celahan pintu itu. Regina ikut mendekati wanita itu.
“Macamana, doktor?” tanya Iqmal pantas.
“Kita kena buat ujian MRI sekali lagi. Buat masa ni kami masukkan air dulu untuk kawal panas badan dia. Sekejap lagi kita akan pindahkan dia ke wad di tingkat 3. Saya dah call doktor yang biasa ambil kes dia.”
“Mata dia masih tak nampak lagi?” tanya Iqmal lagi.
Doktor itu menghela nafas perlahan. “Saya syak sel kanser tu dah pengaruhi saraf mata. Tapi ini kita kena pastikan betul-betul apa puncanya dia jadi macam tu. Buat masa ni dia memang masih tak boleh nampak apa-apa,” jawab wanita itu biasa.
“Maksudnya dia dah buta?” tanya Iqmal bersungguh.
“Ya.. kemungkinan besar dia dah buta,” jawab doktor itu akhirnya.
Iqmal terus terpaku merenung tajam wanita itu. Tidak tahu apa yang mahu diucapkannya lagi. Tidak tertahan rasa perit di hatinya menerima kenyataan itu. Regina hanya mampu menekup mulutnya.
“Saya harap encik sabar dengan dugaan ni,” ucap wanita itu perlahan.
Iqmal meneguk liurnya perlahan. Satu lagi kenikmatan sudah Allah ambil semula dari tubuh isterinya itu. Dia yang memandang setiap hari seperti mahu meraung. Inikan pula Zahnita yang menanggungnya.
“Tunggu di atas ya? nanti ada doktor akan panggil encik,” ucap doktor wanita itu lembut.

Iqmal hanya terdaya mengangguk lesu. 

1 ulasan:

  1. kte cedey lagi.... sob..sob....

    sian kat nita....

    BalasPadam