Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Jumaat, 17 Januari 2014

12-BUTAKAH CINTA

Riang perasaan anak dara itu saat turun ke bawah tengahari itu. Entah apa yang seronok benar dia sendiri tidak tahu. Semenjak semalam dia perasan moodnya memang berbunga-bunga saja. Namun di bawah dia terlihat Bibik Ruyati sedang memandang ke arah meja telefon. Muka macam tak puas hati dengan meja telefon itu.
“Kenapa, bik?” tanya Regina pantas.
“Ada orang main nelepon ke sini. Bila bibik bilang hello, terus dia letak. Kemudian dia nelefon lagi. Udah kenapa itu orang? Udah gila sama telefon mungkin,” getus Bibik Ruyati sambil menggeleng sendiri.
Regina terkebil-kebil sendiri mendengar kata-kata pembantu rumahnya itu. Gila sama telefon? Aku tak pernah dengar ada orang gila dengan telefon? Siapa pulak yang main-main ni?
Namun sedang mereka bercakap berdua telefon itu berbunyi lagi. “Takpe. Biar Gina pulak yang jawab,” ucap Regina pantas ke meja telefon itu. Ganggang terus diangkat.
“Hello..” ucapnya lembut.
“Akhirnya..” jawab satu suara garau di hujung sana.
Regina mengerut kening. “Siapa ni?”
“Bakal menantu mama Gina,” jawab suara itu lagi.
“Abang Iqmal ke ni?” tanya Regina sedikit keras. Namun suaranya diperlahankan. Bimbang Bibik Ruyati terdengar.
“Siapa lagi calon suami Gina kalau bukan abang,” jawab Iqmal sedikit mendayu.
“Mengada! Abang ke yang main telefon tadi?” tanya Regina lagi.
Iqmal ketawa di hujung sana. “Ada orang marah abang ke?”
“Ada. Bibik marah! Dia kata abang gila sama telefon,” jawab Regina pantas. Dia pun tergelak sama.
“Abang tunggu Gina yang jawab. Gina kan tak mahu mama Gina tahu pasal abang?” selamba sahaja nada Iqmal meluahkan bicara.
Regina memandang ke belakang seketika untuk mencari kelibat Bibik Ruyati. Wanita itu sudah hilang entah ke mana. Dia terus duduk bersebelahan dengan meja itu. “Jangan call malam tau. Mama ada kat rumah,” ujar Regina lembut.
“Okay.. nanti abang call.”
“Gina cakap jangan! Abang ni sengaja aje kan?” meninggi sedikit suara Regina. Geram dengan ulah lelaki itu. Namun terhibur benar dia dengan gelak Iqmal di hujung sana.
“Kalau mama tahu pasal abang pun kenapa? Mama Gina marah ke Gina kawan dengan abang?” tanya Iqmal mula serius nadanya.
“Mama tu banyak soal. Susah Gina nak jawab nanti,” jawab Regina segera.
“Kalau Gina rasa susah nak jawab, biar abang tolong jawabkan.”
“Bukan sekarang, abang. Gina seganlah..”
“Kan elok kalau mama Gina tahu dengan siapa Gina berkawan?” balas Iqmal pula.
“Please.. bukan sekarang. Gina tak tahu nak cakap apa dengan mama,” sambut gadis itu lembut.
“Okaylah.. kalau Gina belum bersedia, abang tak mahu paksa. Yang penting abang dapat dengar suara Gina selalu,” ujar Iqmal akur dengan kehendak gadis itu.
“Best sangat ke dengar suara Gina ni?” duga Regina selamba. Hujung rambutnya mula dipintalnya tanpa sedar.
“Bukan sebab best ke tak. Tapi sebab abang rindu Gina.” Ringkas sahaja jawapan Iqmal. Namun itulah jawapan yang sesungguhnya. Baru semalam mereka berjumpa. Hari ini dia sudah mengagau mencari telefon semata-mata mahu meredakan perasaannya kepada gadis itu.
Regina terdiam pada mulanya. Hangat wajahnya mendengar ucapan lelaki itu. Bibirnya digigit untuk mengawal debaran yang memalu kuat dadanya.
“Abang nak jumpa Gina boleh tak? Abang ada kat public phone tak jauh dari rumah Gina,” ucap Iqmal dalam pada gadis itu berdiam sahaja.
Bertambah hangat wajah Regina mendengar pertanyaan yang kedengaran cukup polos itu. Mahu datang ke rumah pulak! Mati dia kalau orang di dalam rumah ini tahu dia dah pandai bercinta pulak sekarang. “Abang jangan main-main boleh tak?” ucap Regina payah.
“Abang serius ni..” jawab Iqmal sedikit mendayu.
Adui.. macamana ni? Padan muka kau, Gina. Bagi lagi alamat rumah kau kat dia! Bisik hatinya sendiri dalam kekalutan itu.
“Hello.. ada orang ke takde ni?” tegur Iqmal apabila gadis itu berdiam tanpa memberikan jawapan.
“Ya.. Gina dengar ni,” sambut Regina pantas. Pipinya dipegang. Panas! Dadanya sudah tidak tentu hala rasanya. “Abang tunggu sana. Gina datang sekarang,” putus Regina tidak sampai beberapa saat dia berfikir.
“Okay..” jawab Iqmal senang hati.
Sebaik sahaja ganggang diletakkan Regina terus berlari naik ke atas untuk bersiap. Pakaiannya yang bersalut di tubuhnya ditukar secepat yang mungkin. Ah! Siapa nak kelihatan selekeh depan kekasih sendiri, ya tak? selesai merias sedikit sebanyak wajahnya ia terus turun ke bawah.
“Bik, Gina nak keluar sekejap. Nak pergi taman sana,” ucap Regina kepada Bibik Ruyati di dalam biliknya.
“Ke taman? Kok cuaca panas-panas begini kamu mahu ke taman?” jawab wanita itu hairan. Bersiap cantik-cantik begitu tak macam orang nak beriadah pun. Macam nak pergi berdating memang ya. Bibik Ruyati sempat menilik gadis itu dari atas ke bawah.
“Saja je Gina nak pergi sana. Boring tengok tv,” ucap Regina sambil tersengih.
“Iyalah.. pulangnya jangan telat, Gina. Bising mama kamu nanti.”
“Ya, bik. Gina pergi dulu ya? Bye..”
Sambil berjalan menuju ke arah telefon awam yang dimaksudkan Iqmal, dia memandang sekeliling. Takut kawan-kawan rapat mamanya ada di sekitar situ. Tetapi kawasan itu lengang sama sekali. Tidak sampai 5 minit kemudian dia sudah ternampak bayang Iqmal sedang duduk bercangkung di bawah pondok telefon itu. Lelaki itu tunduk merenung tanah di hadapannya. Namun seketika kemudian Iqmal menoleh ke arahnya. Spontan lelaki itu tersenyum dan bangun.
“Hai..” sapa Iqmal tanpa mengalihkan pandangan kepada si gadis yang semakin mendekat.
“Hai..” Regina membalas lembut dengan sedikit senyuman.
Iqmal terus menyeringai sambil memandang kepadanya. Sehingga hairan Regina melihat gelagat lelaki itu.
“Kenapa tersengih macam tu?”
“Makin lama makin cantik Gina abang tengok. Macam tak mahu balik aja abang rasa. Abang rasa nak buat rumah kat public phone ni. Senang abang nak jumpa Gina hari-hari,” jawab Iqmal terus tersengih kepada gadis itu.
“Mengada!” getus wanita itu malu-malu dengan pujian Iqmal.
 “Jom kita duduk kat taman tu. Panaslah..” ajak Iqmal sambil menundingkan taman permainan kanak-kanak di sebelah mereka itu. Tanpa memberikan jawapan Regina terus menuju ke arah yang ditunjukkan Iqmal.
“Siapa yang jawab panggilan abang tadi?” tanya Iqmal setelah mereka duduk di satu kerusi di kawasan yang agak redup. Gadis di sebelahnya itu dipandang lagi.
“Bibik..”
“Gina dengan siapa lagi kat rumah?” tanya Iqmal lagi.
“Berdua aja dengan bibik. Mama kerja. Abang-abang Gina semua pergi kampus. Adik Gina sekolah,” jawab Regina lembut.
Iqmal mengangguk. “Semalam Gina balik lambat, mama tak bising ke?”
“Mama tak cakap apa-apa pun. Tapi dia pandang semacam je,” jawab Regina mula menoleh kepada lelaki di sebelahnya itu. Khusyuk benar Iqmal mengamati wajahnya. Tetapi dia suka.. dia suka melihat mata redup lelaki itu. Cantik!
“Pandang semacam yang macamana?” tanya Iqmal lagi.
“Yelah.. pandang sinis. Mama nak Gina faham sendirilah tu yang mama tak suka Gina balik lambat. Mama memang bukan jenis yang suka membebel,” jawab Regina biasa.
“Oh.. mama abang pulak suka membebel. Agaknya sebab tu papa abang tak suka duduk rumah. Nasib baiklah telinga abang ni jenis telinga lintah. Kena bebel banyak mana pun elok lagi,” sambut Iqmal lantas ketawa mengenang emaknya itu.
Lelucon itu terus disambut tawa oleh Regina. Dia tidak sangka. Dulu lelaki ini dilihatnya sering berwajah serius. Tetapi rupanya Iqmal suka mengusik.
Iqmal tersenyum lembut. Serentak itu jemari runcing milik Regina diambilnya. “Cuba bagitahu abang.. kalau mamanya tak suka membebel, anaknya pun tak suka membebel jugak ke?” tanya Iqmal dengan pandangan yang cukup mesra.
“Gina membebel kalau abang suka-suka sentuh Gina lagi. Kalau mama nampak mati Gina nanti. Kalau abang Gina yang nampak lagilah teruk,” ucap Regina lantas menarik semula tangannya.
Namun lelaki itu hanya buat tidak tahu sahaja. Jemari wanita itu sekali lagi ditariknya. Kali ini dengan muka selamba jemari itu diramasnya lembut sambil memandang. Berderau darah perempuan muda itu melihat keberanian Iqmal. Lagi ditegur lagi dia buat pulak!
“Abang memang suka perempuan yang suka membebel,” ucap Iqmal dengan sedikit senyuman.
“Ayat.. tak boleh tahan. Belum dapat bolehlah cakap macam tu. Nanti dah dapat mulalah komplen jemu. Tak suka duduk rumah,” jawab Regina sambil mencebik sendiri.
Semakin lebar senyuman Iqmal mendengar bebelan itu. “Belum cuba belum tahu. Gina kahwin dengan abang dulu, baru Gina tahu abang cakap betul ke tak.” Iqmal menjawab selamba. Jemari gadis itu digentel-gentelnya lembut.
Regina sekadar memandang perbuatan lelaki itu. Bohonglah kalau dia tidak suka melihat apayang Iqmal lakukan saat ini.
“Kalau abang Gina nampak abang pegang Gina sekarang, dia nak buat apa pada abang?” tanya Iqmal segera menoleh kepada Regina.
“Kemungkinan yang pertama, Abang Farouq mungkin akan halau abang balik. Kemudian dia tak bagi Gina keluar rumah dah. Tapi kalau Abang Iqbal.. kemungkinan besar dia akan tumbuk abang,” jawab Regina bersungguh.
“Kalau mama Gina?”
“Entah.. mama pun mungkin tak bagi Gina keluar rumah,” jawab Regina mula memikirkan emaknya itu.
“Kalau abang cakap dengan mama Gina yang abang betul-betul sukakan Gina, agak-agak mama Gina marah abang tak?” tanya Iqmal seakan sedang menduga.
Regina terdiam memandang lelaki itu seketika. Cuba memikirkan sikap mamanya itu kebiasaan yang dilihatnya. “Entah.. mungkin marah jugaklah.” Hanya jawapan itu yang dapat diberikan Regina.
Iqmal mengangguk perlahan. Dia faham.. anak perempuan seperti Regina sudah tentu dikawal ketat oleh keluarga berbanding anak lelaki. “Tapi abang bukannya nak main-mainkan, Gina. Kalau mama Gina tak bagi abang jumpa Gina lagi, abang tak tahu apa akan jadi pada abang lepas ni,” ucap lelaki itu rendah sahaja bersama sedikit keluhan.
Hangat jadinya perasaan gadis itu mendengar ucapan si teruna. Orang tengah mabuk cinta.. memanglah macam ini agaknya! Ayat sentiasa berbunga-bunga, nada asyik pun mendayu-dayu aja. Dia pun yang mendengar, dada asyik berdebar-debar. Kalau macam ni selalu memang ada potensi dia boleh kena sakit jantung.
“Abang nak sayang Gina sampai bila-bila,” tambah Iqmal lagi dalam pada gadis itu berjeda sendiri.
“Abang ni selalu buat Gina rasa nak pengsan,” jawab gadis itu lantas tergelak sendiri, cuba mengawal perasaan yang kian menyesak.
“Serius ni! Abang takkan datang pada seorang perempuan kalau bukan sebab abang nak sesuatu daripada dia,” sambut Iqmal bersungguh.
“Apa yang abang nak dari Gina sekarang ni?” tanya Regina pantas. Bola matanya sempat menyapu seluruh wajah lelaki itu. Hee.. kenapa makin hensem dia ni kat mata aku? bisik hatinya tidak keruan sendiri.
“Abang nak Gina sayangkan abang jugak,” jawab Iqmal sambil menunduk sedikit. Kemudian dia memandang semula wajah gadis itu. “Abang nak kahwin dengan Gina suatu hari nanti,” tambah Iqmal serius.
“Amboi.. jauh angan-angankan?” getus Regina lantas tersenyum memandang lelaki itu.
“Ustaz abang pernah cakap.. jangan cakap sayang pada perempuan kalau kita tak berniat nak kahwin dengan dia. Itu yang abang buat sekarang,” jawab Iqmal dengan riak wajah bersungguh.
“Maknanya kalau Gina jauh dari abang lepas ni, boleh ke Gina percaya abang takkan curang?” tanya Regina mesra.
Iqmal terus tersenyum. Tiba-tiba jemari yang berada di dalam genggamannya itu dibawa ke bibirnya. “Abang takkan boleh bagi hati abang pada orang lain lagi selepas ni. Sebab hati abang dah ada pada Gina,” jawab Iqmal cukup lembut.
“Boleh percaya ke ni?”
“Abang tak paksa Gina percayakan abang sekarang. Abang tak datang sini sekadar nak menabur ayat manis yang kosong sama sekali. Takde faedah pun untuk abang dari semua tu, Gina. Banyak lagi kerja lain yang boleh abang buat selain mempermainkan perasaan orang.” Iqmal sekadar menjawab tenang dengan sedikit senyuman.
Regina terdiam memandang lelaki itu. Pada mata lelaki itu dia terus mencari kejujuran Iqmal. Namun redup pandangan lelaki itu membuatkan dia semakin tidak mampu menahan keinginan hatinya pula. Ya! dia juga ingin menyayangi lelaki ini seikhlas hatinya.
“Andai katalah jika ditakdirkan lepas ni Gina dapat tawaran belajar luar dari KL..” Belum sempat Regina menghabiskan bicarnya Iqmal terus memintas.
“Abang akan tunggu Gina balik. Abang akan tunggu sampai bila-bila, Gina.” Serius nada lelaki meluahkan janjinya itu, membuatkan gadis itu tidak mampu meluahkan kata untuk menggambarkan rasa terharu dirinya dianggkat seistimewa itu oleh Iqmal.
Tanpa segan silu lengan lelaki itu dipautnya. Kepalanya diletakkan di atas bahu Iqmal. Pertama kali jatuh cinta.. memang indah sungguh rasanya. Macam taman permainan itu mereka yang punya!
“Gina pun nak sayangkan abang sampai bila-bila,” bisik Regina perlahan.

Iqmal tersenyum senang mendengar itu. Semakin erat tautan jemari mereka berdua. Seperti mana eratnya dua hati itu berpaut antara satu sama lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan