Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Isnin, 9 Disember 2013

Bab 12 Si Kolot Suami Ku

Pagi itu setelah selesai berhias diri Edrina keluar daripada bilik. Ruang tamu rumah itu sunyi sahaja. Pastinya seisi rumah ini sibuk dengan kerja masing-masing. Kudin semenjak awal subuh tadi sudah menghilang entah ke mana.
“Kudin mana, mak?” soal Edrina saat dia turun ke dapur rumah itu. Kelibat suaminya tiada dilihatnya di kawasan dapur itu.
“Ada kat belakang tu ha. Mak suruh dia ambil ubi sikit nak buat kuih untuk petang nanti. Mari sarapan dulu, Rina. Kudin tu awal-awal lagi dah sarapan,” ajak Mak cik Kunah mesra.
Edrina terus duduk di meja makan itu. Di atas meja ada sarapan pagi stail kampung yang tidak pernah dimakannya selama ini. Ada pulut dan nasi lemak.
“Pulut ni kesukaan Kudin. Kena masak hari-hari untuk dia sarapan. Dia memang tak mahu yang lain,” ucap Mak cik Kunah tanpa disuruh.
Edrina diam sahaja. Dalam diam dia berkata sendiri.. macamlah aku tahu masak pulut ni macamana. Pulut di atas meja itu dikaut sedikit masuk ke dalam pinggan.
“Kalau Rina tak tahu masak mak boleh ajarkan cara masaknya. Senang aja. yang penting bahannya ada,” ucap Mak cik Kunah bagaikan tahu apa yang sedang berada di fikiran menantunya itu.
Edrina memandang emak mertuanya. “Tengoklah nanti, mak.” Itu sahaja jawapan yang mampu diberikannya kerana soal masak memasak ini memang bukan kegemarannya apatah lagi kepakarannya.
“Kudin tu tak suka makan di kedai, Rina. Perlahan-lahanlah berlajar semua tentang dia. Mak berani jamin, lama-lama nanti Rina akan terima juga dia. Dia tu memang tak banyak cakap orangnya. Tapi dia tu baik sebenarnya.” Mak cik Kunah berkata perlahan. Bukan dia mahu memuji kosong anaknya itu. Tetapi itulah kenyataannya.
Edrina terus berdiam mendengar celoteh emak metuanya itu. Perasaannya biasa-biasa sahaja tatkala mendengar tentang Kudin. Di sebalik pujian wanita itu dia masih tidak nampak apa-apa yang istimewanya Kudin.
“Dah duduk sekali nanti jangan selalu sangat bergaduh. Suami isteri ni kalau bergaduh yang paling seronok meraikan, iblis! Sebab iblis ni memang tak suka lelaki dan perempuan ni bersatu dalam ikatan suami isteri. Kerja dia menghasut sampaikan hal yang kecil-kecil pun kita nak jadikan hal tu serius,” ucap Mak cik Kunah lembut.
Edrina mengangguk perlahan sambil memandang wanita di hadapannya itu.
“Kalau nak apa-apa cakap elok-elok dengan Kudin tu. Jangan kasar-kasar. Berdosa isteri meninggikan suara pada suami ni,” nasihat Mak cik Kunah lagi.
“Tapi dia tu suka buat benda yang Rina tak suka. Dia memang sengaja bagi Rina marah kat dia.” Entah dari mana datangnya keberanian wanita itu membalas kata-kata emak mertuanya itu. Dia terfikirkan hal malam tadi. Memang sakit hati!
Mak cik Kunah tersenyum lembut kepada menantunya itu. “Mula-mula nak serasi memanglah macam tu, Rina. Kadang-kadang dia sengaja nak mengusik,” sambut Mak cik Kunah biasa.
Edrina hanya memandang Mak cik Kunah walaupun ada rasa jengkel dirasakan kepada lelaki bernama Kudin itu.
“Kudin tu jarang berkawan dengan perempuan selama ini. Kalau ada pun dulu dengan Lisa aja. tapi setahu mak, Lisa tu dah macam adik pada dia..”
“Lisa? Siapa Lisa?” soal Edrina sebelum sempat mak cik Kunah menghabiskan bicara.
“Yang makan dengan Kudin kat meja ni semalam. Rina jangan fikir yang bukan-bukan pulak pasal dia orang berdua. Lisa tu memang rapat dengan Kudin sebelum ni. Selalu datang sini. Cuma semenjak dia berkerja di KL dia dah jarang ke sini. Semenjak dia tahu Kudin dah nak kahwin baru dia rajin ke sini tolong mak buat persiapan kenduri baru-baru ni,” jelas Mak cik Kunah mesra.
Edrina mengangguk perlahan. Patutlah dia nampak rancak benar Kudin berbual dengan Lisa semalam.
“Dulu waktu kamu berdua bersanding di KL tu pun Lisa ada ke sana dengan teman lelaki dia. mak tak kenal sangat budak lelaki tu. Tapi katanya orang KL juga.” Mak cik Kunah menambah celotehnya tentang Lisa.
Saat itu barulah Edrina teringat semula tentang Lisa. kalau tidak silap Lisa gadis yang bersama Gabriel dulu. Ya! dia yakin nama Lisa yang disebut suaminya. Siapa lagi kawan sekampung yang ada disebut Kudin ketika di majlis itu.
Kalau adik dan abang mengapa Lisa memandang Kudin seperti itu dulu? Hati Edrina berbisik sendiri. Dia masih ingat betapa dalamnya renungan Lisa kepada Kudin.
“Kenapa tak makan?” soal Mak cik kunah saat terpandang Edrina termenung sendiri merenung meja.
Tersedar dengan teguran Edrina pantas menggeleng. “Takde apa-apa, mak.” Enggan membiarkan wanita tua itu meneka lagi apa yang ada di dalam fikirannya Edrina meneruskan makan seperti biasa.
Usai makan Edrina naik ke atas seketika. Dia menghidupkan tv. Sejam dua itu dia ralik sendiri di hadapan tv itu. akhirnya akibat bosan dia turun semula ke dapur. Suaminya masih tidak kelihatan. Aik? Takkanlah tak habis lagi mengorek ubi?
Tanpa mempedulikan emak mertuanya yang sedang sibuk memasak makan tengahari Edrina terus ke pintu dapur. Dari ambang pintu itu dia sudah terpandangkan Kudin sedang berbual dengan seseorang di bawah sepohon pokok. Lama mata perempuannya meneliti gelagat dua manusia itu. Macam ada hal besar yang sedang dibincangkan oleh dua manusia itu yang membuatkan hatinya mula syak wasangka serta merta. Gelagat Lisa paling lama diperhatikan Edrina.
Adik dengan abang ke macam ni? ucap hati wanita itu sendiri. Kudin dilihatnya sedang memandang jauh ke hadapan sambil menelinga kata-kata gadis di sebelahnya itu.
Ewah-ewah! Seronok dating nampaknya tu.. Edrina terus memerhatikan pasangan dua sejoli itu berbual di belakang rumah itu. Perlahan dia menyarung selipar di hadapan pintu dapur. Dek kerana hati sudah terlalu ingin tahu dia tidak kisah walaupun kakinya terpaksa menyarung selipar jepun tidak berjenama LV dan sudah kembang setaman itu.
Sebaik sahaja ternampak kelibat Edrina menghampiri mereka perbualan Kudin dan Lisa terhenti.
“Rancaknya berborak? Kenapa berhenti?” Edrina memandang tajam Lisa. Dia perasan gadis ini melekat sahaja di rumah ini. Entah apa hubungan Lisa dengan emak mertuanya dia sendiri tidak tahu.
Kudin memandang Lisa agak serba salah. Takkanlah dia mahu memberitahu apa yang dibualkan dengan Lisa tadi?
“Kau nak apa datang sini tiap-tiap hari? Kenduri dah habiskan?” tanya Edrina serius. Sibuk nak berkepit dengan laki orang. Minah kampong tak tahu malu betul! Getus hatinya meluat memandang muka Lisa.
Kudin menelan liur tidak senang. Dia perasan ada aura tidak tenang mula menyelebungi mereka. Hatinya yang sememangnya sedang gundah semakin gundah dengan kehadiran Edrina di situ.
“Abang, Lisa balik dulu ya?” ucap Lisa mula serba salah dengan kehadiran isteri Kudin itu.
“Oh! Bila aku ada sini tiba-tiba kau nak balik pulak. Tak nak berbual dengan aku? Dia ni abang kandung kau ke?” soal Edrina begitu cepat mencelah. Wajah Kudin mula dipandang tajam. Macam suka melayan aja mamat ni. Ada apa-apa ke? Hati Edrina semakin tidak tenang.
“Lisa cuma berbual sekejap dengan abang Kudin, Kak Rina.”
“Edrina! Semenjak bila pulak aku ni jadi kakak ipar kau?” jerkah Edrina geram.
“Rina!” tegur Kudin tidak senang dengan nada meninggi Edrina.
“Kenapa? Salah ke kenyataan tu? Memang aku bukan kakak ipar kaukan? Aku tak tahu pulak Emran ada adik kandung selama ni. Kau nak apa dengan Kudin?” ucap Edrina sambil memandang Lisa yang berwajah sugul.
“Lisa cuma nak tanya khabar abang Kudin,” jawab Lisa rendah.
“Kau nampak dia macam sakit ke?” soal Edrina dengan mata terjegil.
“Janganlah bergaduh pulak. Mak kat dalam tu,” tegur Kudin sudah mula kalut sendiri.
Lisa tidak menjawab pertanyaan Edrina. Dia terus berpaling dan berlari anak meninggalkan Kudin di situ. Kudin sempat memandang permergian Lisa tanpa menyedari perbuatannya itu sedang diperhatikan Edrina.
“Cinta lama kau ke dia tu? Semacam aja dia dengan kau?” soal Edrina sengit.
“Mana ada..” jawab Kudin lantas mengambil cangkulnya semula. Kerjanya yang sudah lama terkandas semenjak kedatangan Lisa tadi kembali disambung semula.
Edrina terus memandang suaminya itu. Dia tahu Kudin sengaja mahu mengelak daripadanya. “Habis tu apasal pandang dia macam tu sekali? Kenapa kau tak kahwin aja dengan dia dulu?” soal Edrina masih dengan nada tajam.
“Apa kau mengarut ni? Jangan cari gaduh dengan aku, boleh tak? Aku ada kerja nak buat ni!” getus Kudin malas mahu melayan.
“Aku tahu cara dia pandang kau, dia memang ada hati dengan kau,” ujar Edrina masih tidak berpuas hati.
“Jangan tuduh aku tak tentu pasal. Pergi masuk tolong mak memasak sana lagi ada faedah daripada kau duduk sini ajak aku bertekak dengan kau. Jangan nak buat perangai malas kat sini. Ini kampung! Bukan KL,” ucap Kudin serius. Wajah Edrina tidak dipandangnya. Dia terus kembali ke tempat dia menggali tadi. Ubi yang emaknya minta masih belum tidak didapatkannya.
“Kau fikir aku ni macam bekas kekasih kau tu ke? Tipikal perempuan kampung! Datang sini buat-buat rajin. Berlagak ayu macam perempuan Melayu terakhir. Padahal datang sini nak memikat laki orang! Kau pun sama gatal dengan diakan? Memang sepadan sangat kau dengan dia tu,” cemuh Edrina sudah mula berasap hatinya dengan lelaki itu.
“Jangan naikkan darah aku, Rina. Pergi masuk sana!” tekan Kudin keras.
“Lelaki macam kau ni memang takkan pernah lekat di hati akulah, Kudin! Memualkan! Kau boleh layan Lisa tu bila-bila masa kau nak. Aku tak hairan! Lelaki kampung mestilah seleranya perempuan kampung jugakkan?” ucap Edrina semakin panas hati dengan nada keras Kudin.
“Habis tu kenapa sibuk tanya pasal dia tadi? Cemburu?” jawab Kudin pantas.
 “Cemburu? Boleh blah! Lelaki semuanya sama aja. Tak kurang.. tak lebih walaupun sekadar lelaki kampung macam kau!” jawab Edrina meninggi sambil menunding jarinya kepada suaminya itu.
“Kau pandai sangat pasal lelaki ke? Apa lagi yang kau tahu pasal lelaki macam aku? Apa yang samanya aku dengan lelaki bandar yang pernah ada dalam hidup kau sebelum ni?” cabar Kudin sudah mula panas hati dengan bicara isterinya itu.
Edrina tersenyum sinis. “Yang serupanya engkau dengan lelaki-lelaki bandar sana, pantang nampak betina mulalah nak melayan. Tengok tadi tu aja dah cukup. Betulkan kalau aku dah tersalah cakap, Kudin. Kau boleh berdiam diri tapi aku tak buta. Aku tahu kau memang ada hati pada betina tadi tukan? Adik dengan abang konon!”
“Kalau dah tahu aku ni jenis lelaki suka melayan perempuan, kau nak terus buat tak tahu lagi pada aku ke? Aku ada isteri tapi isteri aku tak sukakan aku. Kau ingat aku ni tunggul?” balas Kudin keras.
“Jangan nak jadikan aku sebagai alasan pulak. Kita baru kahwin seminggu, Kudin. Jangan nak hipokritlah!” ucap Edrina nekad sebelum dia masuk ke dalam rumah.

Kudin hanya memandang sebelum dia menggeleng sendiri. Malas mahu memikirkan dua wanita itu dia akhirnya mengangkat cangkulnya semula. Korek ubi lagi ada faedah!

1 ulasan:

  1. gedix btol si lisa ni. hr tu jual mahal. kan dh kena jilat ludah dia balik. terhegeh2 dkt kali org. dasar perempuan miang

    BalasPadam