Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 8 Disember 2013

Bab 4-5 Si Kolot Suami Ku

4-  Panasnya.. keluh hati Edrina tidak selesa dengan keadaan rumah kampung itu. Takde aircond! Pakai kipas buruk aja.. manalah kulit mulus ala-ala Paris Hiltonnya ini boleh tahan? Tangannya pun sudah lenguh berkipas sahaja daripada tadi.
“Panas ke, Rina? Maaflah.. rumah makcik ni memang panas sikit,” ucap Mak cik Kunah dengan senyum simpulnya. Serba salah dia melihat wajah masam kelat anak gadis itu.
Edrina sekadar tersenyum tidak ikhlas kepada Mak cik Kunah. Memang panas pun rumah ni! Belilah aircond lain kali. Kan senang.. jawabnya dalam hati. Mahu menjawab di mulut. Kurang ajar benarlah tu gayanya. Sedap-sedap aja si Edrina ni nak advice orang suruh beli aircond khas untuk dia.
“Lambat pulak balik si Kudin ni. Selalu waktu macam ni dia dah balik makan di rumah. Kalau lambat benar kita makan ajalah dulu. Tak payah tunggu dia,” ucap Mak cik Kunah kepada tetamu-tetamunya itu.
“Eh! Takpelah, kak. Tunggulah sekejap. Lagipun belum zuhur lagi ni,” sambut Tengku Ahmad Ehsan lembut.
Kudin? Detik hati Edrina sendiri. Daripada tadi dia terdengar nama Kudin aja yang disebutkan wanita tua itu. Siapa Kudin? Mana Tengku Emran?
“Budak tu rajin betul ya, Kak Nah? Saya kagum betul dengan dia. Ladangnya dah menjadi. Kolam ikannya dah makin besar nampaknya,” ucap Toh Puan Siti Aisyah pula.
Mak cik Kunah tersenyum lembut. “Tengoklah keturunannya siapa, Aisyah. Tak ke mana larinya walaupun dah berpuluh tahun tak jumpa. Masih lagi darah yang sama,” jawab Mak cik Kunah lembut. Jawapan itu segera dimengertikan oleh Tengku Ahmad Ehsan. Dia tersenyum bangga mengenang itu.
“Siapa Kudin ni, pa?” bisik Edrina sambil mencuit ayahnya itu.
“Shhtt..” Tengku Ahmad Ehsan meletakkan jari telunjuk tidak membenarkan anaknya itu menyampuk perbualan mereka.
“Bonda saya tu teringin benar nak berjumpa dengan akak anak beranak. Harap-harap akak sudilah nak berkunjung ke teratak kami bila ada masa,” ucap Tengku Ahmad Ehsan lembut.
“Apa pulak tak sudinya, Engku. Kami ni orang kebanyakkan aja. Seganlah nak ke sana kalau tak berjemput. Insya-Allah.. ada masa nanti sampailah kami ke sana,” sambut Mak cik Kunah perlahan.
“Saya ni pun orang kebanyakan jugak, kak. Takde apa yang lainnya kita ni..” Toh Puan Siti Aisyah pula menjawab.
Edrina sudah kebosanan mendengar perbualan tiga manusia itu. Takde topik menarik ke? Akhirnya tanpa meminta diri dia bangun dari situ. Daripada terkepung dalam rumah yang panas macam dalam mikrovawe itu lebih baik dia mengambil angin di luar sambil menikmati permandangan.
Perlahan Edrina mengatur langkah ke bahagian belakang rumah kayu itu. Banyak pokok-pokok yang entah apa namanya dilihatnya. Daun nya berbentuk seperti jari. Pada batang pokok itu ada kelihatan ‘mata’ yang timbul-timbul.
Edrina berjalan lagi lebih jauh ke arah belakang. Ada macam pondok dilihatnya. tapi ada binatang berkaki dua pula di dalamnya. Semakin dia mendekati pondok itu bau busuk semakin kuat.
“Owh.. ini reban ayam kut. Patutlah busuk,” ucapnya sendiri. Ayam-ayam yang sedang mematuk-matuk makanan di dalam reban itu dipandangnya khusyuk.
Comel jugak anak ayam ni. Macam nak cuba pegang aja.. bisik hatinya saat terpandangkan satu lagi bahagian yang menempatkan anak-anak ayam dan emaknya.
Puas memandang reban ayam itu Edrina berjalan lebih jauh ke belakang. Keralikannya membuatkan dia terlupa.. tak mati pun dia sebenarnya menjejakkan kaki ke kampung ini. Takde pulak lintah nak telan dia. Keindahan alam yang tak terdapat di Milan dan Paris ini benar-benar melekakannya.
Pertengahan jalan itu langkah gadis itu terhenti. Ada satu lubang sederhana besar dilihatnya. macam lubang untuk menanam sesuatu berdasarkan tanah yang berkumpul di sekeliling kawasan lubang itu. Edrina semakin mendekat sehingga kakinya berdiri betul-betul di tebing lubang itu. Dasar lubang itu dijenguknya tanpa menyedari ada seseorang sedang memandang perbuatannya.
Kudin memandang seketika gelagat gadis itu. Pelik! Anak siapa pulak ni? Sesat pulak kat dalam kebun belakang rumah aku ni dengan kasut tingginya? Dia tengok apa? hati Kudin tertanya-tanya sendiri saat memandang belakang perempuan yang tertunduk-tunduk memandang sesuatu. Perlahan dia mendekati gadis itu.
“Woi! Apa kau buat kat sini?” tanya Kudin.
Sergahan dari arah belakang itu membuatkan Edrina yang sedang dibalut kejakunan terkejut besar. Tanpa sengaja dia tergelincir tiba-tiba. Dalam keadaan dirinya tidak dapat mengimbangkan diri sebelah kakinya diterjerumus ke dalam lubang yang diintainya tadi. Sebelah kaki lagi di atas.
Terbeliak matanya melihat kakinya sudah tenggelam masuk ke dalam tanah lembik di dasar lubang itu. Dia terasa benar-benar geli.
Kudin mahu ketawa gadis itu sudah terjun ke dalam lubang najis mughalazah itu. “Dulu kecik-kecik tak pernah masuk dalam lubang ke?” perli Kudin selamba.
“Apa kau cakap?” tersirap darah Edrina mendenga perlian lelaki itu.
“Kau tengok macam tu sekali.. macam teringin benar nak masuk dalam lubang tu. tak pernah tengok lubang ke apa?” Kudin berkata sambil menahan gelak. Dia hanya terpacak tidak membantu gadis itu.
“Kau ni memang beballah! Habis aku kotor kaki aku!” jerit Edrina hilang sabar. Melihat lelaki asing itu mahu ketawa dia semakin sakit hati. Merah padam mukanya.
“Kau siapa?” tanya Kudin mula mengeraskan riak wajahnya.
“Kau tu yang siapa?” jerkah Edrina denga pertanyaaan yang sama. Sibuk aja sergah orang..
“Emm.. aku mintak maaflah. Tapi lubang tu lubang bekas ‘cik B’ korek. Kau kena cuci dengan air tanah dan air mutlak 6 kali,” ucap Kudin selamba. Malas dia mahu melayan suara petir gadis itu. Macam bagus aja.
“Cik B?” soal Edrina tidak faham.
“Khinzir hutan.. kat belakang ni memang banyak. Lubang tu cik B yang korek,” jawab Kudin selamba.
Terbeliak mata Edrina. Kakinya yang terjerumus ke dalam lubang selut itu cuba ditariknya sekuat-kuat tenaganya. Namun akhirnya kasut LV dari Amerikanya tertinggal pula di dalam selut itu. Malah dah tak nampak kelibat langsung kasutnya itu. Mungkin dah jauh terperosok ke dalam.
“Kasut aku! Ee.. jijiklah dengan tempat ni!” jerit Edrina semakin sebal. Kembang rasa jari kakinya yang sudah bersalut tanah lembik itu.
“Siapa suruh kau datang sini?” ucap Kudin sambil mengerling sebelah kaki Edrina yang sudah togel tanpa alas. Mahu tergelak dia melihat kasut yang dipakai gadis itu. Masuk dalam kebun pakai kasut bertumit.. macamana tak terjerumus dalam lubang cik B? Padan muka kau.. ejek hati Kudin mula meluat melihat gelagat mengada-ngada gadis itu.
“Tolonglah cari kasut aku! Eee.. banyak cakaplah mangkuk ni. Kau yang buat aku jatuh dalam tu tadi,” jerit Edrina semakin sebal dengan lelaki itu.
“Eh! Kasut kau.. carilah sendiri. Tak nak aku pegang tanah dalam lubang tu. Susah nanti nak kena samak,” ucap Kudin macam orang yang tidak berperasaan.
 Semakin menyirap darah Edrina mendengar jawapan lelaki itu. Melihat lelaki itu sudah berpaling mahu meninggalkannya dia nekad mencapai sebelah lagi kasut yang masih ada di kaki. Dengan sekuat-kuat hati dia melemparkan kasut itu ke arah Kudin. Balingannya tepat mengena ke arah belakang Kudin.
Langkah Kudin terhenti serta merta. dia memandang ke bawah. Kasut wanita itu sudah terdampar di atas tanah dekat dengannya. Kurang ajar punya perempuan.. getus hatinya bengang. Dia mula berpaling ke arah Edrina yang terpaku memandangnya.
“Apa kau nak buat kat aku?” soal Edrina mula gentar melihat lelaki itu kembali kepadanya.
“Ambik kau..” ucap Kudin. Dengan sekali tolakan Edrina terjerumus semula ke dalam lubang itu. Kali ini lebih sadis lagi. Dia siap jatuh terlentang di tepi lubang itu akibat perbuatan Kudin.
“Kau ni memang kurang ajarlah!!!!” Edrina memekik dengan dada sudah turun naik menahan rasa marah yang sudah tidak tertahan.
“Siapa kurang ajar? Kau ke aku?” balas Kudin sambil bercekak pinggang selamba.
“Papa, tengok dia ni!!!!!!”
Jeritan itu terhela cukup kuat sebelum akhirnya Edrina meraung di situ mengenangkan sebahagian dirinya sudah tersalut dek tanah lembik itu.

    “Ya Allah, Kudin.. apa kamu buat ni? Kenapa kamu biarkan Rina ni jatuh dalam lubang tu?” ucap Mak cik Kunah sebal ketika menemui dua manusia itu di hadapan ambang pintu dapur itu. Kasihan benar dia melihat rupa Edrina. Separas pinggang ke bawah sudah bersalut dengan tanah. Gadis itu menangis mengongoi macam budak kecil.
“Lantaklah dia!” ucap Kudin selamba. Dia terus masuk ke dalam rumah.
“Kudin..” tegur Mak Kunah tidak senang.
Kudin memandang sekilas emaknya itu. “Apa dia, mak? Kudin dah laparlah..” ucap Kudin bosan mahu memandang muka cememei Edrina itu. Baru jatuh dalam lubang cik B dah menangis macam tu. Belum lagi jatuh dalam lubang kubur.
“Pergilah ambilkan tanah. Biar dia cuci tempat kena kotor tu?” getus Mak cik Kunah mula geram dengan anak lelakinya itu.
“Alah.. tanah pun tak kenal ke?” getus Kudin menyindir Edrina. Namun permintaan emaknya itu dipatuhinya juga. Saat melintasi Edrina dia sempat dijeling tajam.
“Elleh.. jeling-jeling aku pulak. Aku selam kau dalam lubang cik B tu lagi, baru kau tahu..” getus Kudin meluat.
“Kudin..” tegur Mak Cik Kunah yang terdengar. Menggeleng dia melihat gelagat dua manusia itu.
“Ya, Kudin nak pergi ambillah ni..” jawab Kudin sedikit sebal. Orang lain yang kena samak dia pula yang disuruh.
Edrina terus memandang Kudin yang sedang menuju ke hadapan rumah. Rupanya inilah Kudin yang dipuji-puji oleh emak dan ayahnya tadi. Habis tu mana satu Tengku Emran? Hatinya tertanya sendiri.
Sudah diambilkan tanah, Kudin disuruh pulak oleh emaknya membantu Edrina membersihkan kakinya. Bertambah seballah anak muda itu menghadap muka berlagak Edrina.
“Nama kau Kudin ya?” tanya Edrina lantas ketawa.
Kudin memandang tajam gadis itu. “Apasal kau gelak?”
“Kudin nama kau? Memang sesuai sangat dengan kau,” ucap Edrina selamba mempersendakan lelaki itu. Matanya menjeling baju buruk yang tersarung di tubuh anak muda itu. “Nama kau sama buruk dengan baju kau,” ucapnya sengit. Sengaja dia mahu menyakitkan hati lelaki itu lagi.
“Kalau aku mandikan kau dengan air tanah ni kau nak?” ucap Kudin.
“Mak cik Kunah, tengok Kudin ni. Diakan..” belum sempat dia menghabiskan ayatnya Kudin sudah menutup mulutnya.
“Eh! Apa ni? Puih! Tangan kau ada tanahlah!” tangan kasar lelaki itu terus ditepi Edrina.
“Kau ni memang mengada-adalah! Suka mengadu. Sikit-sikit mengadu.” Kudin menjeling meluat. Ikutkan hatinya mahu sahaja dilempang-lempang mulut gadis itu. Menyampah betul!
“Biarlah.. mulut aku yang suka mengadu. Bukan guna mulut kau pun!” sambut Edrina selamba dengan muka berlagaknya.
Eeiiii.. macamanalah boleh sesat perempuan sengal ni kat rumah aku? Nak aja aku.. Kudin tidak mampu membayangkan apa yang hendak dilakukan kepada gadis itu sekiranya dia berpeluang.
“Macamana kau boleh ada kat rumah aku ni? Menyemak aja kat tempat aku ni..” ucap Kudin sambil memandang Edrina tajam. Perempuan ni eloknya letak kat sarkas dengan singa aja. Biar dia rasa..
“Papa yang bawak. Ikutkan hati aku tak ingin aku datang rumah buruk kau ni kalau setakat kena tolak masuk lubang cik B dek lelaki poyo macam kau,” jawab Edrina sambil menjulingkan matanya ke atas.
Kudin menggeleng perlahan. “Perempuan macam kau ni memang perasan bagus. Dah takde adab bila bercakap dengan orang. Datang rumah aku tapi kau sedap-sedap aja kutuk rumah aku,” ucap Kudin kesal.
“Kau yang mulakan dulu..”
“Bila masa aku cari pasal dengan kau?” sanggah Kudin tajam.
“Tadi.. kau sergah aku sampai masuk lubang tu. Aku geli, tahu tak! kau lagi kurang ajar daripada aku. Macam ni kau ke layan tetamu yang datang rumah kau?” jawab Edrina sengaja menajamkan nada melawan bicara Kudin sebentar tadi.
Kali ini Kudin terdiam. Wajah Edrina tidak mampu dipandangnya lagi. Sehabis membilas kawasan najis itu dengan aiar tanah, dia terus bangun. “Dah! Pergi cuci kaki kau dengan air kat paip tu. Cuci sampai 6 kali. Lepas tu tukar baju.. pakai baju lain. Baju tu buang,” arah Kudin serius.
“Paip mana pulak? Aku mana tahu..” ucap Edrina sambil menoleh ke sekelilingnya.
“Pair air kat tepi tu. Buta ke? Hish!” balas Kudin sedikit meninggi sambil menunding ke arah tepi Edrina. Paip air pun tak kenal ke? Turun dari planet mana dia ni? Menyampah dengan gadis itu, Kudin terus menapak masuk ke rumahnya melalui pintu dapur. Dia sudah tidak kuasa mahu melayan Edrina dalam keadaan dia kelaparan begini.
Selesai Edrina mengganti baju barulah dua keluarga itu dapat bersatu di meja makan. Namun masam kelat wajah Edrina digelakkan oleh ayahnya atas insiden terjerumus di dalam lubang tadi. Bertambah sakit hati melihat riak kosong di wajah Kudin macam takde apa-apa yang berlaku. Bukan main berselera Kudin makan. Siap bertambah-tambah nasi.
Sepanjang masa itu Edrina asyik tertanya-tanya sendiri. Mana dia Tengku Emran? Takkanlah si Kudin ni Tengku Emran kut? Kalau betul dia.. kenapa panggil Kudin?
Ish! Kalau inilah dia Tengku Emran, memang tak sesuai langsung mamanya mahu meminang Kudin untuk dirinya. Macam ni pun papa cakap hensem? Tolong sikit, okay.. wajah Melayu ‘totok’ macam Kudin ni memang kurang mendapat tempat di hatinya. Semua bekas teman lelakinya dulu hot macam Alex Oloughlin. So kirim salam ajalah bab nak berkenan tu. Jawapannya.. tak berkenan! Hati Edrina terus berkata-kata sendiri dalam pada dia memandang makanannya.
“Kenapa macam tak berselera, Rina? Tak suka ke lauk kampung yang mak cik masak ni?” tegur Mak cik Kunah saat terpandangkan suapan Edrina cukup perlahan. Nasi di dalam pinggan juga masih banyak.
Kudin terus memandang gadis yang sedang diperkatakan emaknya itu. “Dia biasa makan steak, mak. Mak buatkan dia steak petang nanti.” Kudin terus menjawab separuh menyindir.
Edrina terus menjegilkan matanya kepada lelaki itu. Ikutkan hatinya mulut celupar lelaki itu mahu dicilikannya. Mak cik Kunah terus menepuk bahu Kudin.
“Kamu ni suka sangat menyakat, Kudin. Tengah makan pun nak cari gaduh ke?” Mak cik Kunah menggeleng tidak senang kepada anak bujangnya itu.
Suka hati akulah nak makan ke tak? Padan muka kena marah.. getus hati Edrina sendiri.
“Apa pulak tak suka lauk kampungnya, Kak Kunah. Kalau dah lapar lauk kampung ke bandar ke.. dah takde beza. Telan jugak. Ya tak, Rina?” ucap Toh Puan Siti Aisyah sambil tersenyum memandang anaknya itu. Biasanya di rumah mereka pun makan masakan Malaysia juga. Lauk kampunglah tu namanya.
“Tengok muka mamat sengal tu terus tak selera aku nak makan. Dahlah tak hensem. Makan banyak.. macam badang!” Edrina menceceh sendiri. Mujurlah tiada orang yang mendengar biji butir kata-katanya itu. Saat itu hatinya melonjak-lonjak mahu lekas pulang ke ibu kota. Tak sanggup lagi untuk berlama-lama di rumah Kudin itu. Benci!
Sayangnya impiannya untuk pulang segera ke Kuala Lumpur tidak menjadi kenyataan selepas ayahnya pulang dari mengikut Kudin ke ladangnya. Entah ladang apa Edrina tidak tahu. Tapi papanya itu sibuk bercerita keseronokan berada di ladang si Kudin itu. Tidak habis-habis papanya meluahkan rasa bangga dengan pencapaian Kudin sebagai petani. Penghabisannya papanya menerima pelawaan Mak cik Kunah bermalam di rumah itu kerana esok papanya mahu melihat kolam ternakan ikan keli si Kudin itu pula. Semakin meluatlah dia dengan lelaki itu.
Petang itu dalam keadaan terpaksa dia melepak sendiri di pankin rumah itu. Emaknya dan emak Kudin sudah lesap ke kebun di belakang rumah itu. dia asyik termenung tanpa menyedari emaknya sudah kembali semula ke situ.
“Rajin betul Kudin tu menanam. Ada aja ruang kosong habis ditanamnya dengan pokok-pokok. Bagus budak tu.” Toh Puan Siti Aisyah sengaja mencanang pujian lagi tentang Kudin untuk memancing minat Edrina kepada lelaki itu.
Hee... Kudin itu.. Kudin ini.. Kudin! Kudin! Kudin! Telinganya yang mendengar dah macam nak berkudis akibat disogokkan pujian bertangki-tangki tentang lelaki poyo itu. Rajin tanam pokok aja pun nak puji. Pak cik Selamat yang rajin tanam pokok di halaman banglo rumah mereka itu takde pulak nak dipuji bertangki-tangki.
“Makanlah buah tu, Rina. Sedap tau. Mama dah rasa tadi..” ucap Toh Puan Siti Aisyah kepada anaknya itu lagi. Buah longan yang diambil dari ladang longan Kudin itu nampaknya masih tidak luak.
Edrina mencebik. Tak kuasa nak makan buah yang mamat tu tanam. Baik aku makan longan dalam tin tu aja.. cemuhnya sambil memandang buah longan Brazil itu dengan sebelah mata.
“Siapa tak cuba, dia rugi. Bukan senang nak dapat buah ni kat tempat lain.”
“Ma.. Rina nak baliklah.” Edrina segera merebut peluang itu untuk memujuk emaknya pula. Tersiksa benar dia memikirkan mereka kena bermalam di rumah papan itu. Mesti dia susah nak tidur nanti.
“Hish! Nak balik apanya? Kan papa dah janji nak ikut Kudin pergi kolam ikan keli dia esok?”
Kudin lagi.. Edrina sudah tidak tahan mendengar nama itu. Entah kenapa benci benar dia. “Kudin tu Tengku Emran kan? Kenapa panggil dia Kudin, ma?” soal Edrina tidak faham.
“Lah.. nama penuh dia Tengku Raden Emranuddin. Mak dia pendekkan jadilah Kudin,” jawab Toh Puan Siti Aisyah lantas ketawa sendiri.
“Nama bukan main sedap. Tengok orangnya hempeh! Petani aja pun. Apa nak hairan? Lainlah kalau CEO..” perli Edrina sedikit perlahan.
Bicara anak gadis itu menerbitkan rasa tidak senang Toh Puan Siti Aisyah. Tidak berlapik benar mulut anaknya itu kalau menghina pekerjaan orang.
“Kudin tu ahli keluarga kita juga, Rina. Cuba-cubalah berbaik dengan dia. Dia tu pun dah pangkat abang dengan Rina. Kena panggil Abang Kudin,” ucap wanita 52 tahun itu lembut. Dia tahu anaknya tidak sebulu dengan Kudin semenjak peristiwa tengahari tadi.
“Eee.. tak kuasa nak panggil dia Abang Kudin. Nak berbaik apanya kalau dia tu asyik nak sakitkan hati Rina. Macam bagus aja dia tu. Not my taste, okay!” sambut Edrina siap dengan jelingan tajam.
Sekali lagi Toh Puan Siti Aisyah menggeleng. Anaknya ini tidak ingat agaknya. Kudin itu adalah satu-satunya pewaris lelaki yang mereka ada untuk keluarga ini. Biarpun bertahun terceruk di kampung ini tetapi Kudin tetap ahli keluarga ini yang mewarisi susur galur keluarga ini.
“Mama tak nampak apa benda yang tak kena dengan Kudin sampai Rina benci dengan dia sangat?” ucap Toh Puan Siti Aisyah kesal.
“Ma.. dia kurang ajar dengan Rina. Dia tu celupar bila bercakap! Pleaselah.. lelaki macam tu memang tak masuk dalam senarai,” cemuh Edrina angkuh.
“Habis tu yang bercakap tu elok sangat ke mulutnya?” sambut Toh Puan Siti Aisyah selamba sambil mengerling Edrina.
Edrina menoleh kepada emaknya. “Ah! Rina tak peduli. Pendek kata Rina tak suka dia!” malas mahu mendengar perlian emaknya lagi Edrina terus bangun. Kakinya dihalakan masuk ke dalam rumah segera.
Toh Puan Siti Aisyah menghela nafas perlahan. Niatnya ke mari untuk mendekatkan Edrina dengan Tengku Emran. Tapi sekarang? Hai.. susahlah nampaknya nak menjalankan rancangan itu. Kena tukar plan B pulak lepas ni.

5- “Malam ni kau tidur dalam bilik aku. Mak aku yang suruh..” ucap Kudin mendatar kepada Edrina yang sedang menonton tv di ruang tamu itu. Gadis itu dipandang seketika sahaja dek kerana bengkak di hatinya. Disebabkan Edrina, dia terpaksa tidur di ruang tamu malam ini. Nak melawan.. itu arahan emaknya. Patutnya Edrina yang kena tidur luar. Baru padan muka budak cememei ni.. kutuk hati Kudin sendiri.
Edrina menoleh kepada lelaki itu. “Katil kau empuk tak? Ada empuk macam katil aku kat rumah sana?” tanya Edrina sengaja mahu meniupkan kemarahan lelaki itu.
“Aku tak hempuk kau sekarang ni pun dah cukup bagus. Jangan banyak cakap. Hilang mood aku, kau tidur bawah rumah nanti,” ucap Kudin serius. Nak buat perbandingan antara tilam kekabu yang menjadi alas tubuhnya selama ini dengan tilam harga beribu-ribu di rumah orang kaya di KL sana, memang tak berakal sungguh gadis ini bila bercakap.
“Alah.. takkan dah nak marah kut?” ejek Edrina sinis.
“Kau kalau bercakap tak mencari pasal dengan aku, tak boleh ke?” soal Kudin dengan muka serius. Serius! Dia memang tak suka dengan perempuan ini. Perangai macam bagus aja!
“Tak boleh. Aku memang sengaja nak sakitkan hati kau,” sambut Edrina selamba.
Kudin menggeleng. “Buang masa layan budak otak senteng macam kau ni. Perasan bagus.. perasan lawa!” Kudin merengus perlahan.
“Kau ingat aku hairan sangat dengan mamat kampung yang kolot macam kau ni?” balas Edrina sebal.
Kudin memandang tajam gadis itu. Biadap sungguh! Kudin mula mendekati gadis itu yang sedang duduk tersandar di atas kerusi rotan.
“Hey, perempuan.. kau yang datang sini. Bukan aku yang pergi cari kau di KL sana. Siapa yang hairan dengan siapa sekarang?” ucap Kudin agak perlahan. Sengaja dia membiarkan kata-kata itu tertuju kepada Edrina seorang.
Edrina terdiam mendengar bicara yang kedengaran lain macam itu.
“Perempuan macam kau ni aku nak buat bini? Memang taklah! Lebih baik aku kahwin dengan anak dara lembam kat kampung ni. Melayan budak lembam tu lebih berfaedah daripada melayan mulut macam lubang jamban kau ni. Buat banyak dosa aku aja mengata kau,” ucap Kudin cukup serius.
“Siapa nak jadi bini kau? Tolong sikit eh? Kau tu tak masuk dalam list aku langsung! Mamat kolot macam kau ni aku tak pandang sebelah mata,” balas Edrina enggan kalah.
Kudin tergelak perlahan. “Kau ni banyak bermimpilah! Suka hayal. Kau masih tak sedar apa yang berlaku di sekeliling kau. Dahlah! Malas aku nak layan kau. Berkarat otak aku bercakap dengan kau ni,” ucap Kudin lantas menghayunkan kaki ke dapur.
Edrina menggigit bibir memandang langkah Kudin. Sakit hatinya melihat lelaki itu. Berlagak! Macamlah dia bagus sangat!
Tidur gadis itu tidak lena langsung malam itu. Bukan sebab tidak selesa atau apa. Tidak juga sebab kepanasan kerana di kampung kedinginan yang memang cukup terasa bila malam hari. Tidak perlu ada aircond segala. Tapi dia tidak dapat tidur sebab dia sakit perut nak ‘membuang’ segera. Puas ditahannya semenjak tadi. Berpeluh-peluh telapak tangannya.
Akhirnya Edrina nekad. Bilik yang menempatkan emak dan ayahnya dijejaki dalam keadaan seluruh isi rumah itu gelap gelita. Terhegeh-hegeh kakinya berjalan macam orang buta.
“Pa..” panggil Edrina kepada ayahnya di atas katil itu.
"Papa dah tidur.." Toh Puan Siti Aisyah terus bangun untuk melihat anaknya itu. Suaminya yang sedang terlena itu dibiarkan sahaja.
"Ma, kat mana toliet? Sakit perutlah, ma." Edrina berkata separuh berbisik.
"Toilet kat luar. Kenapa?”
“Sakit perut..” jawab Edrina resah.
“Pergilah lekas. Toilet kat belakang sana.”
"What? Dalam keadaan gelap-gelap macam ni? Takutlah nak pergi, mama.." keluh Edrina gusar. Dah pukul 1 pagi, siapa sanggup ke jamban di luar sana? Seram.. Patutlah dia tak nampak rupa tandas di dalam rumah ini. Hanya bilik air sahaja yang ada.
"Upps! mama pun takut! Ajak Kudin temankan pergi toilet tu." Dengan muka selamba Toh Puan Siti Aisyah memberi cadangan itu kepada anaknya.
"Ma.. ajak dia? Tak naklah! Malulah.."
Toh Puan Siti Aisyah sudah tersenyum sendiri. Nak malu apa kalau dah terpaksa. Daripada membuang di dalam celana. Lagilah malu!
"Cepatlah, ma. Sakit perut sangat ni.." degus Edrina sudah merah muka.
"Nanti mama beritahu Kudin.."
"Ma, tak nak.."
Namun emak Edrina sudah berlalu meninggalkan Edrina yang sudah memegang perut. Mahu tidak mahu Edrina menyusul juga emaknya tidak lama selepas itu. Nak berdegil pun tak guna dalam keadaan darurat begini. Kakinya dihalakan ke ruang tamu. Dia tahu Kudin tidur di atas kerusi panjang di hadapan tv.
Setelah dikejutkan oleh Toh Puan Siti Aisyah, Kudin bangun juga. Permintaan wanita itu diturutkan tanpa bantahan. Lampu suluh dicapainya.
“Jom lekas..” ucap Kudin kepada Edrina yang terpacak macam patung tidak jauh dari emaknya itu.
“Janganlah laju sangat. Aku tak nampaklah,” bebel Edrina kepada si lelaki yang berjalan laju sahaja di hadapannya. Dia sudah teramat seram melihat kesepian dan kegelapan sekeliling. Hanya ada pohon-pohon ubi dan pisang menemani mereka.
Buat jamban jauh sangat. Kenapa tak buat tandas kat KL aja? bisik hati Edrina sebal. Rupanya tandas rumah itu berada di dalam kawasan kebun di belakang rumah itu.
Kudin terhenti seketika menyuluh ke arah gadis itu. Setelah gadis itu sampai kepadanya dia kembali berjalan.
“Tu jamban. Kat tepi dinding tu ada mancis dengan lilin. Pasang dulu baru membuang. Dah! Cepat pergi. Aku tunggu sini!” ucap Kudin serius sambil menyuluh lampu suluhnya agar Edrina dapat berjalan dengan selamat ke arah jamban itu.
 “Kau jangan pergi mana-mana tau!”
“Pergi ajalah lekas!” getus Kudin malas mahu mendengar lagi. Dia sedang mengantuk benar sekarang. Satu hal pulak dia kena menemankan ‘anak Tengku’ yang cengeng ini.
Edrina akur. Dek kerana seruan alam yang tak mengira tempat dan masa itu.. dia terpaksa membiasakan diri ‘membuang’ dengan ditemani oleh lilin dek kerana tiada sebarang lampu yang disediakan di dalam jamban percuma itu. Memang macam jamban zaman Jepun rupanya. Nasib baiklah ada paip air disediakan.
Tapi yang membuatkan dia benar-benar sakit jiwa.. seronok benar nyamuk-nyamuk jantan mengintai dia menunaikan hajat di dalam situ. Sampai naik kebas punggungnya ditampar akibat disengat belalai nyamuk yang miang.
“Kurang ajar punya nyamuk. Takde tempat lain ke kau nak gigit. Kau gigitlah mangkuk kat luar tu. Jangan kacau aku, boleh tak?” bebel Edrina geram.
“Woi.. lama lagi ke?” tegur Kudin setelah lebih 5 minit dia menunggu. Belakang tubuhnya sudah kerap diserang nyamuk. Tulah.. lain kali pakai baju!
“Kejaplah..” jerit Edrina dari arah dalam.
“Lama pulak berak tu. Dah lapan hari tak berak ke apa?” ucap Kudin sendiri.
Hampir setengah jam barulah Edrina mampu keluar daripada kamar kecil itu. Barulah dia dapat bernafas dengan selesa.
“Hey.. lama betul. Berak batu ke apa? Menaun aku menunggu!” bebel Kudin sudah tidak sanggup berlama-lama lagi di situ.
“Biarlah.. dah sakit perut. Nak buat macamana?” jawab Edrina selamba. Pedulilah! Yang penting dia dah lega.
Namun baru sahaja mereka mula melangkah meninggalkan kawasan jamban itu. mereka terdengar bunyi sesuatu sedang berjalan ke arah mereka. Edrina yang berada di belakang Kudin terus melompat ke arah lelaki itu.
“Apa tu, Kudin?” ucap Edrina meninggi. Tanpa segan silu lelaki itu dipeluknya dari arah belakang.
Kudin menyuluh ke arah datangnya bunyi itu. Sebaik sahaja lampunya terhala ke arah pokok ubi beberapa meter dari tempat mereka berdiri, dia ternampak segerombolan khinzir hutan sedang memandang ke arah mereka.
“Diam! Cik B tengah korek ubi,” ucap Kudin separuh berbisik.
Mendengar itu Edrina semakin ketakutan. “Ee.. ramainya tu, Kudin?” Dia sudah tidak sedar apa yang sedang dilakukannya kepada Kudin. Matanya sibuk memandang ke arah tempat suluhan Kudin. Bukan seekor dua yang dia nampak. Tapi puluhan ekor sedang memerhatikan mereka berdua di situ. Ngerinya!
“Banyak! Ramai tu untuk manusia,” getus Kudin sambil memandang sekilas Edrina di belakangnya. Namun seketika kemudian dia mula terperasan. Berderau darahnya saat tersedar tubuhnya sedang peluk Edrina. Kuat pulak tu! Dahlah dia tak pakai baju. Bahaya sungguh. Patutlah cik B tu ralik memandang ke arah mereka. Rupanya tayangan free..
“Apasal kau peluk aku ni?” ucap Kudin lantas meleraikan pautan tangan Edrina di perutnya. Edrina yang mula terpasan perbuatannya terus meleraikan pelukannya.
“Aku takutlah!” ucap Edrina mula terasa malu sendiri dengan perbuatannya itu.
“Kut ya pun tak payahlah peluk kuat sangat.”
“Manalah aku perasan. Itu pun nak berkira ke? Poyo betullah dia ni!” getus Edrina sebal. Dia sendiri pun boleh tak sedar apa yang dia buat tadi. Patutlah tangannya terasa geli semacam. Dia tersentuh sesuatu pada tubuh lelaki itu. Tapi apa bendanya entah..
“Dah! Malas aku nak layan kau. Buang masa aja..”
Tanpa menunggu gadis itu Kudin terus berjalan balik ke rumah. Tunggu situ lagi nanti.. entah apa pula yang berlaku nanti. Takut punya pasal Edrina ikut mengejar langkah Kudin. Itu lebih baik daripada dia melayan sebal bertemankan Cik B di belakang itu. Tak pasal kena samak lagi nanti.

   “Kudin!!!!! Kudin!!!!” pekikan itu mengejutkan Kudin yang sedang sibuk dengan kerjanya.
“Apa lagilah minah ni nak? Terpekik-pekik macam polong,” keluhnya sendiri.
“Apa bendanya?” soal Kudin sambil menoleh. Peluh di dahinya diseka dengan belakang tangan.
“Apa benda ni. Buang!!! Buang!!!” Edrina dah macam orang gila di situ. Terkinja-kinja ketakutan. Siapa lagi hero yang dia nak panggil kalau bukan Kudin? Lagipun dia hanya berdua sahaja dengan Kudin di situ.
“Apa dia?” Kudin merengus sendiri sambil mendekati gadis itu.
“Ini... buang cepat!!” Edrina sudah tidak mampu menjerit. Dia sekadar pasrah melihat binatang kecil itu merayap di atas jari kakinya.
“Ini pacat daunlah. Pagi-pagi macam ni memanglah banyak. Alah.. macam kena gigit harimau bisingnya. Tak pernah lagi ada orang mati kena gigit pacat,” degus Kudin sambil mengambil binatang penghisap darah kotor itu daripada kaki Edrina. Terus dihumbannya ke arah lain.
“Memanglah. Tapi aku geli!”
“Pergilah masuk sana. Tak senang aku nak buat kerja kalau aku ada sini,” keluh Kudin sambil menggeleng sendiri. Kerja mengorek ubu kayu tadi disambungnya semula.
Edrina terdiam. Dia saja mahu melihat Kudin buat kerja. Salah ke? Sombong betul mamat kampung ni. Namun Edrina tidak juga masuk ke dalam rumah. Dia bosan duduk di dalam rumah. Lagi baik dia tengok apa Kudin buat di belakang rumahnya ini.
“Kenapa kau korek ubi tu?” soal Edrina dengan soalan berilmunya.
“Nak buat makanlah! Sebelum cik B makan habis semua.. baik ambil dulu,” jawab Kudin selamba.
“Owh..” Edrina memerhatikan lagi lelaki itu buat kerja. Kudin hanya berseluar jeans tanpa baju. Tak malu sungguh dia ni dedah body depan orang. Dahlah dada banyak bulu.. menggelikan! Kutuk gadis itu sendiri.
Tapi body dia tough sungguh. Banyak otot berketul-ketul. Tapi sayang.. aku tak minat mamat kampung lagi kolot macam dia ni. Dahlah selekeh dengan seluar buruk koyak rabak dia tu.. Edrina tergelak dalam hati sambil berbicara sendiri tentang Kudin.
“Kenapa mak kau tak panggil kau Emran? Kenapa semua orang panggil kau Kudin?” Edrina bersuara lagi dalam pada Kudin masih ralik dengan kerjanya.
“Aku tak suka,” jawab Kudin tanpa menoleh.
“Kau tak suka? Kenapa pulak?”
“Tak payah tahulah. Itu hal aku,”jawab Kudin mendatar.
“Alah.. saja nak tahu. Takkan tak boleh?” getus Edrina sebal.
Kudin berdiam tidak melayan kehendak Edrina. Biarlah dia sahaja yang tahu apa sebabnya mengapa dia tidak gemar orang lain memanggilnya dengan nama itu.
“Kau ada girlfreind tak?”
“Kau jangan kacau aku buat kerja, boleh? Kan aku kata pergi masuk?” ucap Kudin serius sambil menoleh.
“Kau ni sombonglah! Orang nak berbaik aja pun tak sudi. Macamlah kau hebat sangat!” Edrina merenggus sambil mengangkat punggung segera.
“Aku ni orang kampung aja. mana layak nak berbaik dengan perempuan bandar macam kau, betul tak?” ucap Kudin sebelum sempat Edrina menjauh.
Edrina terhenti melangkah. Wajah Kudin kembali dipandang. Lelaki itu sedang merenung kepadanya.
“Kenapa dengan nama Kudin? Tak moden? Nama Emran lagi tak memalukan kau dengan keturunan kau?” ucap Kudin sedikit sinis.
“Memanglah! Orang bagi nama sedap-sedap, Kudin pulak jadinya. Kolot!” balas Edrina selamba.
“Kau nak tahu kenapa aku tak suka orang lain tahu nama penuh aku?”
Edrina terdiam tidak menjawab. Namun dalam hatinya memang ingin tahu benar mengapa Emran menjadi Kudin dan mengapa Tengku Emran boleh berada di sini. Mengapa tidak dengan mereka di KL.
“Sebab aku tak mahu orang lain selongkar kisah lama keluarga kita. Semua orang kampung ni pelik kenapa Tengku macam aku ni boleh ada di kampung ni, hidup sebagai petani. Hakikatnya aku bukan lahir di sini. Aku anak yatim piatu. Mak aku yang ada dalam rumah tu, bukan mak kandung aku tapi dia mak saudara aku. Adik kepada arwah ayah aku. Mak kandung aku dah lama meninggal, Rina. Nenda aku pun dah lama takde. Yang ada dengan aku hanya mak aku sekarang dan dia bukan orang berdarah bangsawan macam kau dengan ahli keluarga kau yang lain. Dia yang besarkan aku selama ni. Kerana tu nama aku Kudin sekarang. Sebab aku anak mak aku. Dia orang kebanyakkan. Arwah ayah aku juga orang kebanyakkan. Hanya arwah mak aku aja yang ada gelaran Tunku dan takde siapa kenal Tengku Emran di sini. aku takkan tinggalkan mak aku dan kampung ni untuk jadi Tengku di bandar sana. Hidup aku di sini,” jelas Kudin agak tenang.
Edrina terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Dia sebenarnya tidak tahu sangat tentang kisah lama keluarga mereka itu. Yang dia tahu moyangnya pernah berkahwin dua kali. Tengku Emran adalah cicit daripada keturunan isteri pertama moyangnya itu.
Melihat lelaki itu tidak mahu bercakap dengannya lagi Edrina masuk ke dalam rumah. Namun kata-kata Kudin terus bermain di fikirannya. Kudin tidak akan meninggalkan kampung ini. bermakna dia harus mengambil alih syarikat keluarganya sama ada dia mahu atau tidak. Masalahnya macamana? Dia tidak mahu!



1 ulasan:

  1. Bwahahahaaa ambik kau tu kotoran cik B. Haiii wujud nya pun beta x pernah nampak. Jorok sgt kot.. Euwwh !

    BalasPadam