Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Selasa, 14 Januari 2014

4-BUTAKAH CINTA

“Why you and I came to an end..
Tell me again I want to hear
Who broke my faith in all these year
Who lay with you at night when I’m here all alone..
Remember when I was your own..
I let you go.. I let you fly..
Why do I keep on asking why?”
Lelaki itu tertarik mendengar suara gadis menyanyi kecil di sebelahnya itu. Tanpa mempedulikan orang di sekeliling, gadis itu terus membaca dengan telinga tersumbat dengan earphone. Lama pandangannya singgah kepada gadis itu yang sedang ralik membaca majalah. Sehingga Regina mula perasan dia diperhatikan dan mata mereka mula bertaut akhirnya. Wajah gadis itu berubah serta merta.
“Sorry.. tak perasan,” ucap Regina cuba mengawal kegelabahannya. Earphone ditelinganya itu ditanggalkan dalam rasa kalut sendiri. Dia tidak sedar bila masanya lelaki itu boleh duduk di sebelahnya. Namun demi menyembunyikan reaksinya Regina buat-buat memandang majalah di tangannya.
“Macamana nak perasan kalau dengar mp3 tu kuat sangat? Orang sebelah pun boleh dengar lagu apa tu. Lepas tu asyik tunduk aja pada majalah tu. Tak pedulikan orang sekeling,” usik Iqmal dengan senyum kecil.
Hasil bicara Iqmal, Regina menoleh lagi. Namun tidak lama kerana dia tahu wajahnya sedang menghangat dengan renungan yang masih tidak terkalih lelaki itu. Aduh! Jangan pandang macam tu boleh tak? Macamana dia boleh naik satu tren dengan aku pulak? Agak-agak dia dengar ke aku nyanyi tadi? Mesti dia gelak. Malunya.. getus hati Regina sendiri.
“Sorrylah kalau terganggu..” ucap Regina agak payah mahu memandang lagi lelaki itu.
“Tak.. abang tak kisah pun,” ucap Iqmal lembut dengan sedikit senyuman.
Abang? Alamak.. merdunya. Pengsan aku ni karang. Tak pernah-pernah aku mabuk naik komuter ni, mabuk pulak hari ini.. ucap hati Regina tidak keruan.
“Kenapa nyanyi lagi tu? Kan lagu sedih tu?” ucap si lelaki terus mahu memancing perbualan.
“Saja je. Kebetulan turn lagu tu. Nyanyi ajalah. Takde sebab apa-apa pun,” jawab Regina sambil menoleh seketika kepada lelaki itu. Berdegup kencang jantungnya melihat sinar mata redup lelaki itu.
Iqmal mengangguk sedikit. Namun matanya tidak mampu berkalih daripada sisi paras gadis di sebelahnya. “Kita selalu jumpa kat sekolah sebelum ni. Tapi abang tak pernah tahu nama. Nama siapa?” ucap Iqmal lembut.
“Regina..”
“Regina.. panggil Gina ya?” teka lelaki itu mudah.
Regina sekadar mengangguk. Entah kenapa berat mulut pulak dia.
“Hmm.. unik nama tu. Siti Regina ke atau Nur Regina?” tanya Iqmal sengaja mahu tahu nama penuh gadis itu.
“Regina Fatyma Khan,” jawab Regina dalam pada cuba mengawal degupan jantungnya.
“Khan? Macam nama orang..”
“Pakistan.. ya, saya tahu. Arwah ayah saya orang Pakistan. Tapi saya Malaysian sebab mama orang sini.” Regina terus mencelah sebelum sempat Iqmal menghabiskan bicaranya.
“Yup.. Khan ni selalu ada pada orang Pakistan.” Iqmal mengangguk sambil tersenyum. Mix Pakistani.. patutlah bola mata dia warna coklat terang, bisik hati Iqmal sendiri. Dia memandang penumpang di hadapan seketika sebelum kembali memandang Regina.
“Tapi nama tu memang sedap. Patutlah hidung mancung. Orangnya pun memang cantik,” ucap Iqmal setelah dia menoleh lagi kepada gadis itu.
Regina hanya terdaya tersenyum sedikit dalam rasa tidak tentu arah entah kenapa. Baru sepotong dua ayat Iqmal memuji.. rasanya dia macam dah sampai ke London terbangnya. Kalau berpotong-potong pujian diberikan, entahkan dia sampai ke bulan akhirnya nanti. Pujian Iqmal benar-benar melemahkan segala urat saraf. Apa yang dibaca di majalahnya itu sudah tidak masuk ke benaknya. Dia asyik mengulangi bacaan di baris yang sama.
“Nama abang Iqmal.. Norman Iqmal.” Masih lagi Iqmal yang terus berkata-kata.
“Hai..” balas Regina lembut sambil cuba mengawal rasa gelabahnya itu sebaik mungkin.
“Hai..” balas Iqmal mesra. Berbunga hatinya melihat Regina mahu melayan bicaranya walaupun gadis itu agak malu-malu.
Mereka berbalas senyum seketika sebelum Regina memandang majalah di tangannya lagi. sebuah helaan nafas dilepaskan untuk meredakan perasaannya sendiri.
“Selalunya Gina bertiga, kali ni kenapa seorang? Hari tu kawan Gina tu.. entah siapa namanya..”
“Zahnita..” sambut Regina pantas.
“Ya, Zahnita kata dia ajak kita berempatkan. Kenapa Gina seorang aja dalam tren ni?” pandangan terus dihantar Iqmal dengan kerutan di kening.
“Dia orang dah pergi dulu. Tadi saya terlambat sebab mama tak bagi pergi. Lepas dah berhempas pulas pujuk mama barulah dapat keluar,” ujar Regina biasa.
“Mama tak bagi pergi?” tanya Iqmal semula dengan senyum tertahan.
“Mama dengar ada lelaki keluar sekali dengan kami. Then biasalah.. typical mom. Banyak soalan nak kena jawab sebelum dia kata yes,” jawab Regina lantas ketawa kecil.
Iqmal ikut ketawa dengan kata-kata gadis itu. Melihat Regina sudah sedikit santai dengannya hatinya semakin senang. “Gina dah takde ayah ya? tadi abang dengar Gina sebut arwah ayah.”
“Arwah ayah meninggal waktu Gina umur 12 tahun. Mama yang besarkan kami adik beradik,” jawab gadis itu jujur. Tenang sahaja wajahnya bercerita tentang itu.
“Innalillah..” bisik Iqmal sendiri. “Sorry kalau Gina tak senang abang tanya pasal tu,” tambahnya kepada gadis itu.
“It’s okay.. Gina dah biasa.”
“So lepas ni apa perancangan Gina?” ucap Iqmal terus memancing perbualan dengan gadis itu.
“Emm.. Gina dah apply matriks. Kalau ada rezeki nak ambil medic course. Insya-Allah..” jawab Regina lembut.
“Malaysia ke India agak-agaknya nanti?”
“Mana-mana aja yang tawarkan. Kalau ada tawaran universiti dalam negara itu lebih bagus.” Regina menjawab dengan tawa kecil.
“Good..” sambut Iqmal sepatah. Martiks? Di mana? Jauh ke? Bisik hatinya sedikit ralat.
“Abang Iqmal?” kali ini barulah kedengaran suara Regina bertanya tentang lelaki itu.
“Dalam perancangan abang nak ambil engeneering. Tapi sebab abang ada ambil art.. so pilihan kedua dah tentulah seni bina. Tapi kalau diberi pilihan abang pun nak sambung dalam negara aja,” jawab Iqmal lembut.
Regina mengangguk sambil tersenyum kepada lelaki itu. Iqmal terpaku seketika menatap senyuman itu. Inilah pertama kali Regina tersenyum selebar itu kepadanya semenjak tadi. Manisnya.. bisik hatinya terpukau tanpa sengaja. Namun pantas dia mengalihkan pandangan ke hadapan sambil menghela nafas. Harap-harap kegundahan itu dapat dihalau pergi bersama helaan itu.
Cakap ajalah, Iqmal! Bila lagi? Tak matinya kalau kena reject pun. Ada satu suara mula berbisik meminta dia segera merebut peluang yang tidak sebanyak mana itu. Lelaki muda itu meraup wajahnya perlahan. Desakan hatinya semakin kuat pula bila berdekatan dengan gadis ini.
Seminit dua itu mereka berdua mula membisu. Regina kembali menatap majalah di tangannya bersama dengan helaan nafas kuat. Helaian di selak sambil cuba memfokuskan dirinya kepada majalah itu. Namun tidak boleh! Dia asyik memikirkan lelaki di sebelahnya itu sahaja. Hatinya terus resah tidak ketentuan.
Namun seketika kemudian dia kembali memandang ke sebelahnya. Iqmal dilihatnya sedang merenung kepadanya. Kelu lidahnya melihat renungan lelaki itu.
“Abang harap bukan sekali ini aja abang akan dapat tengok Gina duduk sebelah abang,” luah Iqmal lembut. Zahirnya dia nampak tenang namun dalam hatinya betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu berdebarnya dia. Walaupun sekadar satu ayat kiasan namun dia sudah tidak tentu arah sendiri.
“Maksudnya?” tanya Regina dengan sedikit kerutan di kening.
“Abang nak jumpa Gina lagi. Abang setuju dengan ajakan Zahnita sebab abang nak jumpa Gina. Dulu abang tak berani sebab kita masih sekolah. Tapi lepas ni..” Iqmal terdiam seketika cuba meredakan degupan jantung yang cukup kencang, membuatkan dia merasa cukup susah mahu meluahkan bicara.
“Abang sebenarnya dah lama sukakan Gina,” jawab Iqmal jujur.

Hampir rebah Regina dibuat Iqmal saat itu. Nasib baiklah dia memang sedang elok duduk di kerusi. Buatnya dia sedang berdiri ketika tren penuh? Sendiri mau ingatlah apa akan jadi pada dia. Namun sungguh! Lidah Regina kelu sekelu-kelunya mendengar ayat yang baru sahaja diluahkan Iqmal. Walaupun itu sesuatu yang amat diharapkannya. Namun entah kenapa dia tidak terkata. Kerana semua ini tidak dijangkanya sama sekali!  
"Kenapa?" tanya Iqmal dengan sedikit kerutan di kening.
Regina ketawa perlahan cuba mengusir keresahan yang semakin banyak bertamu. "Macam nak pengsan pulak rasanya ni," jawabnya perlahan kepada dirinya sendiri.
"Abang pun.." sambut Iqmal yang sempat terdengar. Lelaki itu ikut ketawa.
Semakin banyak gelak Regina mendengar ucapan lelaki itu. Dah tahu nak pengsan.. kenapa cakap macam tu? Karang pengsan sama-sama.. siapa yang susah? Namun bicara itu hanya terkulum di jiwa gadis muda itu. Sebab dia tidak sanggup lagi menatap lelaki itu yang masih terus memandangnya. Kalau sekali lagi Iqmal cakap begitu. Memang dia akan pengsan sungguh! Sah!

1 ulasan: