Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Selasa, 14 Januari 2014

6-BUTAKAH CINTA

Eh! Gina nak keluar ke mana ni?”
Pertanyaan lembut dari Puan Iffah membuatkan Regina menoleh. Riak kegusaran pada raut emaknya segera terkesan oleh bola matanya.
“Ma, Gina ada temuduga kat kementerian. Mama dah lupa ke?” balas Regina lantas mengerutkan keningnya kepada emaknya itu. Rasanya semalam dia sudah mengkhabarkan hal itu kepada emaknya. Masakan sudah lupa?
Serta merta Puan Iffah tersedar dari kealpaannya. Ya tak ya juga. Takkan dia tak perasan anaknya itu mengangkut segedabak fail di celah ketiaknya itu. Semalam Regina ada memberitahu yang dia harus menduduki peperiksaan di Malaysia Medical Council untuk mempraktikkan ilmu perubatannya di Malaysia. Walaupun sudah mendapat pengiktirafan dan juga lesen di Ireland. Namun syarat ketat untuk pengamal perubatan sah di Malaysia memerlukan Regina menduduki peperiksaan itu sekali lagi di sini.
“Ya Allah, Gina.. mama tak ingat langsung pasal tu. Semalam Gina ada cakap dengan mama tapi mama lupa. Pukul berapa start temuduga tu?”
“Surat tu kata Gina kena ada kat sana jam 8 pagi,” jawab Regina sambil kembali menyelongkar kotak kasut yang dibawa pulangnya semalam. Sepasang kasut bertutup penuh diambil lalu diletakkan di hadapan pintu. Seketika kemudian dia bergerak ke meja makan untuk bersarapan pagi bersama Puan Iffah.
“Nak mama hantarkan ke?”
“Tak payahlah, ma. Gina dah janji nak pergi dengan Abang Iqbal. Abang Iqbal dah sms Gina tadi. Dia dah nak sampai pun,” balas Regina sambil menuangkan air untuk dirinya.
Puan Iffah mengangguk puas hati dengan jawapan anak ketiganya itu. Dia sedar antara Iqbal dan Farouq, Iqbal lebih mudah diajak ke sana ke mari. Berkerja secara freelance seperti Iqbal boleh memilih masa kerjanya sendiri berbanding Abang Farouqe yang berkerja dengan mamanya. Nirina juga berkerja mengikut waktu pejabat walaupun di syarikat lain.
“Baca surah Al Fatihah dan berdoa banyak-banyak nanti supaya senang nak jawab soalan,” pesan si ibu berusia 55 tahun itu.
Regina tersenyum memandang emaknya itu. “Mama pergi ofis hari ni?” tanya Regina kepada Puan Iffah.
“Anak mama baru balik semalam takkanlah hari ni mama nak ke ofis pulak? Mama cuti hari ni. Nina pun cuti katanya. So mama ingat nak masak sikit, ajak Abang Farouqe dengan Kak Ain makan kat sini. Nanti cakap dengan Abang Iqbal ya? Hari ni mama nak semua anak-anak mama berkumpul kat sini,” jawab Puan Iffah dengan senyum lebarnya. Semenjak melihat semula anak daranya ini petang semalam senyuman itu amat sukar dihakis dari wajahnya. Dia terlalu gembira walaupun amat terkejut pada mulanya.
“Mama plan nak masa apa hari ni?”
“Adalah.. mana boleh bagitahu sekarang. Nanti Gina tak fokus pulak waktu exam tu nanti,” jawab Puan Iffah selamba sengaja mahu mengusik anak gadisnya.
Gadis muda itu terus ketawa melihat gelagat emaknya itu. Seronok melihat keceriaan di wajah emaknya. Jika kepulangannya yang membuatkan emaknya jadi begitu, dia sama sekali tidak menyesal membuat keputusan seperti ini.
“So Gina pasti ke nak mula berkhidmat dengan hospital kerajaan? Tak mahu cuba peluang di tempat lain?” soal Puan Iffah lembut.
“Kat tempat lain? Maksud mama di hospital swasta?”
Puan Iffah sekadar mengangguk.
“Gina nak timba pengalaman di hospital kerajaan dulu, ma. Kalau ada rezeki Gina nak mintak tajaan untuk sambung belajar lagi kat sini.” Regina menjawab perlahan. Memang itulah impiannya selama ini.
“Baguslah kalau begitu..” jawab Puan Iffah lembut.
“Ma..”  
“Ya..” Puan Iffah kembali memandang anaknya itu.
“Gina harap Ary dengan Nita dapat terima kehadiran Gina semula kat sini. Walaupun mama tak pernah cakap tapi Gina dapat rasakan yang Iqmal dan Ary takkan suka tengok Gina semula,” ucap Regina tiba-tiba berkalih kisah tentang itu pula. Sejenak itu riak di wajahnya mula bertukar ekspresi lambat-lambat.
Puan Iffah memandang lama wajah anaknya itu. Ada keresahan dan ketidakupayaan kelihatan di wajah tenang itu walaupun cuba disembunyikan sedalam mungkin. Luahan Regina itu ingin dibalasnya. Namun dia sedar dia harus berhati-hati dalam perkataan kerana kedua-dua pihak ada konflik sendiri. Dia tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak.
“Gina, mama faham perasaan Gina. Melenturkan hati orang ibarat melenturkan seketul batu. Batu fizikalnya keras namun air mampu melentur batu walaupun beribu tahun terpaksa dihabiskan. Mama nak Gina jadi air. Air kalau dah setitis sahaja boleh melemahkan batu.. inikan pula kalau dah sekolam. Orang takkan faham kita macam tu aja, sayang. Kita kena sabar untuk membuatkan orang faham diri kita. Sebab tu mama kata Gina kena jadi air. Setitis demi setitis lama-lama akan jadi sekolam,” pujuk Puan Iffah.
Regina mengalihkan pandangannya ke arah ruang tamu. Bicara emaknya membuatkan dia jadi pemikir kala itu. Mampukah dia menjadi air di hadapan Iqmal? Bohonglah dia jika dikatakan sebaris nama itu masih tidak mampu memberi kesan kepada dirinya? Sesungguhnya cinta pertama itu sememangnya cukup membuatkan dia tersadai akibat kecewa.
“Gina, bersabarlah. Allah tahu segalanya, sayang.”
“Gina cuma sedih, ma. Gina yang salah dalam segala hal. Gina yang pentingkan diri sendiri selama ini. Ginalah kawan yang paling teruk dalam dunia ni sampai kawan baik sendiri sakit pun Gina masih tak peduli. Tapi sakit Gina, sedih Gina selama ini, luka di hati Gina.. semuanya Gina rawat sendiri. Iqmal tak pernah peduli perasaan Gina. Dia lepaskan macam tu aja.” Regina menyambut bicara emaknya itu perlahan.
“Jangan macam tu, sayang. Semua yang terjadi dah Allah tentukan. Kita kena terima qada dan qadar ni. Iqmal mesti ada sebab dia sendiri.” Puan Iffah memujuk perlahan. Hatinya sayu mendengar luahan Regina.
Hon yang kedengaran membuatkan mereka berdua terus memandang ke arah pintu rumah. Pasti Iqbal sudah sampai. Regina sempat memandang jam di pergelangan tangannya. “Ma, Gina pergi dulu ya?” ucapnya lantas bangun mendekati emaknya itu. Tangan Puan Iffah dicium penuh hormat.
“Doakan Gina ya?” sempat lagi dia meminta sambil tersenyum kepada Puan Iffah.
“Iya, mama selalu doakan..” sambut wanita tua itu lantas bangun untuk mengiringi Regina ke pintu utama. Dari pintu itu dia melihat Fariq Iqbal menapak ke arah mereka dengan senyumannya.
“Ma..” sapa Iqbal sebaik sahaja kakinya berada di hadapan emaknya. Tangan emaknya itu dicapai untuk diciumnya.
“Nanti dah habis terus ke sini ya, Iq? Mama nak kita semua berkumpul hari ni. Mama dah ajak Abang Farouqe dengan Kak Ain makan kat sini tengahari nanti,” ucap Puan Iffah kepada anak keduanya itu.
“Makan punya pasal kira beres, ma. Sehabis aja urusan Gina kat sana Iq terus speed balik sini, okay?” balas anak muda itu sambil tersengih kepada emaknya itu.
“Yalah tu! Speed.. speed juga. Pastikan speed tu selamat sampai ke sini. Jangan speed sampai ke hospital macam dulu lagi, sudahlah! Yang susah siapa? Mama jugak!” marah orang tua itu geram. Berbulu telinganya mendengar perkataan speed yang diucapkan Iqbal. Anaknya itu memang gemar membawa kereta laju di tengah bandar. Berlagak terror dengan enjin kereta yang sudah diubah suai. Tetapi akhirnya ke hospital juga sekali sekala akibat kecuaian sendiri. Bukannya tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kita kan dah ada doktor, ma. Ni.. Dr. Regina.” Iqbal memuncungkan mulutnya ke arah Regina yang sedang tersenyum kepadanya.
“Aaa.. jangan nak libatkan Gina pulak! Gina tak campur!” pantas Regina mengangkat kedua-dua tangannya tanda enggan terlibat dalam soal itu.
“Sudah! Jangan nak merepek lagi. Pergi cepat hantar Gina. Nanti lambat pulak sampai ke sana..” getus Puan Iffah malas mahu melayan jenaka Iqbal. Anaknya itu tidak pernah serius dengan nasihatnya. Selalu menjawab!
“Gina pergi dulu, ma?”
“Yalah..”
Regina sempat menoleh kepada emaknya saat melepasi pintu pagar rumahnya. Secebis senyuman dan lambaian dihadiahkan buat wanita itu yang masih setia menghantar pemergiannya dengan pandangan mata.

“Dah habis ke?” soal Iqbal sebaik sahaja ternampak kelibat adiknya datang kepadanya. Sempat juga dia menjeling jam di pergelangan tangannya itu.
“Dah..”
“Fuh! Berjanggut jugak abang menunggu. Nasib baiklah ramai makwe cun lalu lalang. Takdelah abang boring,” keluh Iqbal penuh kelegaan.
“Alah.. kalau tunggu Gina lama sikit pun komplen. Cuba kalau tunggu girlfrend? Seminggu terpacak tengah panas pun okay je,” cebir Regina kepada lelaki 30 tahun itu. lelaki itu sempat dijelingnya.
“Well.. inilah pencinta wanita namanya!” jawab Iqbal selamba.
“Ceh! Menyampah dengar!”
“Abang..” panggil Regina lembut sebaik sahaja talipinggang keledar dipasangkan ke tubuhnya. Iqbal menoleh kepada adiknya itu.
“Boleh singgah sekejap kat rumah Nita?” ucap Regina perlahan sahaja.
“Gina nak pergi tengok dia?” tanya Iqbal lembut nadanya.
Regina mengangguk perlahan. Dia yakin Iqmal tiada di rumah hari ini. Jadi inilah peluangnya dia mahu bertemu Zahnita tanpa kehadiran orang lain.
“Okay.. abang boleh bawakkan.” Iqbal menyambut akur. Keretanya terus digerakkan meninggalkan kawasan itu.
“Gina jangan nangis pulak nanti,” ucap Iqbal setelah agak lama mereka membisu.
“Tak..” ucap Regina biasa. Entah iya entah tidak dia tidak akan menangis. Dia sendiri tidak yakin. Harap-harap dia tabah nanti.
Sejam perjalanan akhirnya Iqbal memberhentikan keretanya di sebuah rumah dua tingkat. Setahun Regina ini bukan rumah keluarga Iqmal.
“Kenapa Iqmal duduk sini?” tanya Regina hairan.
“Entahlah. Dia dah lama pindah sini,” jawab Iqbal ikut memandang rumah yang kelihatan tenang sahaja itu.
Seketika kemudian lelaki itu kembali memandang adiknya. “Pergilah.. ada orang gaji dengan nurse kat dalam agaknya. Abang tunggu luar aja,” ucap Iqbal lembut.
Regina mengangguk sahaja sambil menolak pintu kereta. Sesungguhnya dadanya cukup berdebar. Dia tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya setelah dia melihat Zahnita nanti.
Benar kata Iqbal.. kehadirannya disambut orang gaji. Iqmal tiada di rumah. Kerja kata wanita Indonesia itu. Ada seorang jururawat yang diupah khas untuk menjaga Zahnita. Regina terus dibawa ke sebuah bilik di tingkat bawah. Debar di dada Regina semakin tidak terkawal saat berada di hadapan pintu bilik itu.
“Masuklah..” ucap wanita Indonesia itu lembut. Seorang lagi wanita keluar sebelum sempat Regina masuk. Mereka saling berbalas senyum.
Dengan langkah penuh hati-hati Regina masuk ke bilik itu. namun baru sekadar memandang dari jauh.. dadanya sudah terasa mahu pecah melihat fizikal seorang wanita tersandar tidak berdaya. Hampir sahaja dia tidak cam itu adalah Zahnita. Terlalu jauh bezanya Zahnita yang pernah ada di hadapan matanya dahulu.
Sebaik sahaja mereka bertamu pandang wanita itu menghulurkan sebelah tangannya.
“Gina.. kau dah balik? Ya Allah, Gina..” panggilan sayu itu membuatkan air mata Regina tumpah juga ke pipi. Tubuh kurus Zahnita terus diterpanya. Tanpa sebarang kata mereka berpelukan. Erat! Dengan air mata yang semakin melebat dan tangisan yang tidak sudah terkawal.
“Ya Allah.. syukurlah akhirnya aku dapat tengok kau semula. Aku rindukan kau, Gina. Aku rindu sangat-sangat. Maafkan aku. Aku tak berniat nak hancurkan hidup kau dengan Iqmal. Aku tak berdaya, Gina.” rintih Zahnita dalam tangisannya sendiri.
Regina tidak terdaya mahu menjawab. Sebaliknya tangisannya menjadi semakin hebat. Tubuh Zahnita dipeluknya semakin erat.
“Maafkan aku, Gina. Aku tahu aku dah buat salah pada kau. Sebelum mata aku ni tertutup selamanya, aku harapkan kemaafan kau. Aku nak dengar sendiri kau kata yang kau maafkan aku,” ucap Zahnita setelah pelukan dileraikan. Wajah Regina dipandangnya bersungguh.
“Nita, jangan cakap macam tu. Aku dah lama maafkan kau. kau takde salah dengan aku pun selama ni,” jawab Regina sayu. Air matanya diseka dengan belakang tangannya. Dalam keadaan Zahnita sudah kurus kering begini, dia tidak ingin mendedami sahabatnya ini. Dia tidak sanggup!
“Aku tak berniat nak rampas Iqmal daripada kau, Gina. Percayalah.. aku tak ingin jadi pengkhianat kepada sahabat aku sendiri,” ujar Zahnita masih belum puas.
Regina menggeleng perlahan. Air mata Zahnita disekanya lembut. “Kita jangan cakap pasal tu lagi. Itu semua kisah dulu. Aku balik sebab aku dah lupakan semua tu, Nita. Itu semua dah tak penting lagi pada aku,” ujar Regina bersungguh.
“Tapi rasa bersalah aku ni takkan hilang sampai akhir hayat aku, Gina.”
“Nita, jangan cakap macam tu. Aku tak mahu terus bergelumang dengan kenangan tu. Dah terlalu jauh kita tinggalkan semua tu. aku terima dengan hati terbuka, jodoh kau dengan Iqmal.” Regina segera menjawab.  
“Aku sedih sangat, Gina. Disebabkan aku hubungan kita semua retak. Aku hanya menyusahkan orang sekeliling aku dalam keadaan aku macam ni.”
“Nita, kau tak patut cakap macam ni. Dugaan untuk kau, dugaan untuk semua orang di sekeliling kau jugak, Nita. Termasuk aku! Allah uji kita semua. Tak timbul soal menyusahkan ni semua. Kau kena kuat, Nita. Jangan putus asa.” Lebat kesayuan di hati Regina mendengar ucapan Zahnita.
Zahnita menggeleng perlahan. “Aku reda dengan dugaan ni, Gina. Aku tahu setiap kesakitan ni, Allah akan gugurkan dosa-dosa aku sekiranya aku sabar.” Lemah sahaja jawapan Zahnita.
Regina mengangguk sambil menyapu pipinya yang basah.
“Kau dah jadi doktor sekarang? Alhamdulillah.. cita-cita kau dah tercapai. Aku tumpang gembira, Gina. Aku bangga dengan kau.” Zahnita berkata lembut dengan sedikit senyuman di bibirnya.
“Tapi aku ni tak gunakan? Aku doktor tapi kawan aku sakit.. aku tak pedulikan. Aku bersalah pada kau, Nita. Aku minta maaf,” sambut Regina kesal.
“Aku faham, Gina. Aku tak pernah marah kau selama ni. Kalau aku di tempat kau sekali pun, aku akan buat macam tu,” sambut Zahnita sambil mengangkat tangannya menyentuh pipi Regina.
“Ary pun mesti dah bencikan aku..”
“Dia akan sejuk kalau kau pujuk dia baik-baik. Kau kenal diakan? Marah dia takkan lama, Gina. Kita semua kawan baik. Takde apa yang mampu meretakkan hubungan kita,” ujar Zahnita lembut sahaja.
“Tapi aku rasa aku macam dah hilang semua kawan-kawan yang dulu sayangkan aku. Aku rasa macam dah takde sesiapa lagi, Nita. Aku tahu aku bersalah. Aku mementingkan diri sendiri. Aku nak sangat balik tengok kau tapi aku tak kuat, Nita.” Regina terus tertunduk. Tangisannya kembali berlagu mengenangkan kenyataan yang ada di hadapan matanya kini. Di sebalik kedua belah telapak tangannya dia menangis lagi. Segala yang terkurung akhirnya tertumpah jua di situ.
“Aku faham. Kami masih ada di sini, Gina. Kami masih menunggu kau balik kepada kami semua,” pujuk Zahnita. Sedaya upaya dia mengusap belakang Regina untuk menenangkan wanita itu.
“Jangan menangis, Gina. Aku happy tengok kau dah balik. Aku tak mahu tengok kau menangis sebab aku. Aku lemah bila tengok orang sekeliling aku menangis,” ujar Zahnita tenang sahaja.
Regina mengangguk perlahan. Seluruh wajahnya diseka. Ya! dia juga harus kuat untuk berhadapan dengan semua ini. Jika Zahnita yang lemah ini masih mampu tersenyum dalam penderitaannya, kenapa dia tidak?
Buat seketika waktu itu Regina menghabiskan masa di situ bersama Zahnita. Bercerita.. menyuapkan makanan kepada sahabatnya itu. Dalam setiap detik yang berlalu hanya rintihan yang berlagu di hatinya melihat setiap kepayahan Zahnita.
“Aku banyak terhutang budi pada Iqmal. Tak terhitung, Gina! Semenjak dari awal sehinggalah ke saat ini. Dia korbankan segala-galanya untuk aku. Bukan sekadar kederat dia menjaga aku.. sebaliknya wang ringgit. Semuanya aku bergantung kepada dia. Waktu aku dah takde apa-apa, dia datang. Waktu dia sendiri pun dah susah takde siapa bantu ringankan kesusahan kami.. dia tetap sabar. Dia tak pernah merungut walaupun waktu tu hanya ada aku dia dan Allah saja yang faham kesusahan kami,” cerita Zahnita lembut.
Regina diam sahaja sambil memandang Zahnita. Dia lihat mata itu kembali berkaca saat menyebut tentang Iqmal.
“Dia lelaki yang baik. Susah dia tak pernah tunjuk depan mata aku. Jangan marah dia, Gina...” ucap Zahnita agak payah. Regina tunduk. Tidak sanggup memandang mutiara jernih di tubir mata Zahnita.
“Dia buat sebab terpaksa. Bukan setakat kasihankan aku yang sakit ni. Tapi sebab rasa bersalah.”
“Rasa bersalah?” soal Regina setelah mengangkat pandangannya.
Zahnita mengangguk perlahan. Jemari sahabatnya itu diraihnya. “Iqmal kahwin dengan aku dalam keadaan hati dia masih ada pada kau. Aku tahu dia merana. Tapi dia takde pilihan lain sebab ayah..”
“Nita!” jerkahan di muka pintu bilik itu merencatkan apa yang hendak disampaikan Zahnita. Dua wanita itu menoleh serentak. Wajah Iqmal menjelma di hadapan mata mereka. Serius sekali wajah itu. Zahnita terkejut melihat suaminya ada di situ pada waktu-waktu begini. Sangkanya Iqmal masih di pejabat.
Regina terpaku. Entah kenapa matanya tidak mampu berkalih daripada wajah lelaki itu. Walaupun raut itu sudah nampak sedikit tanda kedewasaan namun masih sama seperti yang ada dalam memorinya selama ini.
Iqmal masuk ke bilik itu. Bag kerjanya diletakkan di atas meja tidak jauh dari katil isterinya. Tetamu di dalam bilik itu tidak sanggup untuk dipandangnya. Sebaliknya matanya terus memandang Zahnita. Zahnita menelan liur tidak berupaya menentang pandangan suaminya itu.
“Abang, Gina dah balik. Dia datang melawat Nita,” ucap Zahnita setelah wajah lelaki itu dipandangnya semula.
Iqmal memandang Regina sekilas sebelum mengangguk. Langsung tidak terhias biar secebis pun senyuman di bibir lelaki itu sebagai menyapa tetamu itu. Zahnita mula serba salah melihat gelagat Iqmal lain macam. Mendung benar wajah lelaki itu.
“Abang dah makan ke?” tanya Zahnita cuba memancing suara lelaki itu.
“Dah. Nita dah makan?” tanya Iqmal lantas memandang isterinya itu.
“Gina dah suapkan Nita tadi.” Zahnita menjawab dengan senyuman. Wajah Regina sempat dipandangnya.
“Ubat?”
“Dah.. Gina jugak yang paksa Nita makan ubat tadi.”
Iqmal mengangguk dengan sambil memandang sekilas wanita yang dimaksudkan isterinya. Ingin benar dia mengucapkan terima kasih. Tetapi entah kenapa canggung benar dia mahu meluahkan kata-kata. Dia kekok! Biarpun dadanya ini seperti mahu pecah melihat Regina berada di dalam rumahnya tiba-tiba.
“Aku rasa eloklah aku balik sekarang, Nita. Abang aku tunggu kat luar tu. Kesian dia,” ucap Regina sudah tidak selesa mahu berada di kamar itu.
“Kau akan datang jumpa aku lagikan?” tanya Zahnita sambil meraih tangan Regina.
“Tengoklah kalau suami kau izinkan.” Regina menjawab lembut.
“Bolehkan, bang?” terus soalan itu diajukan Zahnita kepada suaminya itu.
“Boleh..” jawab Iqmal perlahan.
“Datanglah bila kau ada masa, Gina. Aku rindu nak berbual dengan kau lagi,” ucap Zahnita lembut.
Regina mengangguk dengan senyuman. Perlahan kucupannya didaratkan di dahi sahabatnya itu. “Insya-Allah aku akan datang, Nita. Aku akan selalu ada di sini untuk kau selepas ini.” Regina berbisik perlahan.

Zahnita tersenyum puas mendengar itu. Saat itu hatinya tenang setenang-tenangnya.

2 ulasan: