Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Selasa, 14 Januari 2014

7-BUTAKAH CINTA

“Macamana keadaan Nita, Mal?” tanya Puan Sri Bainun lembut. Wajah anak tunggalnya itu dipandang lembut.
“Macam tulah.” Hambar sahaja jawapan Iqmal. Memandang emaknya juga tidak.
“Dia dah makan ke?”
Iqmal menggeleng. “Dia baru lepas buat kimo. Mana dia nak makan sangat,” keluh Iqmal runsing sendiri. Tanda-tanda demam pun sudah ada pada isterinya itu.
Puan Sri Bainun hanya terdaya memandang raut anaknya itu. Tidak tahu apa lagi yang hendak dikomennya tentang itu. Ini bukan kali pertama dia mendengar Zahnita berkeadaan begitu selepas menjalani kimoterapi. Matanya ini sudah biasa melihat Zahnita lemah selepas menjalani rawatan itu. Siksa hatinya tetapi apakan daya.
“Mal, dah fikir apa yang mama cadangkan hari tu?” tanya lagi ibu tua itu. Tetap lembut walaupun ini bukan kali pertama Iqmal bercakap tanpa mahu memandang wajahnya.
Iqmal diam. Namun pandangannya tajam memandang tv di hadapannya. Pertanyaan itu seolah-olah tidak masuk ke benaknya.
“Mal.. mama nak yang terbaik untuk Nita. Janganlah terus berdegil macam ni. Kesian dia,” ucap wanita tua itu separuh mengeluh.
“Biarlah Mal yang jaga dia, mama. Mal tak mahu ada ungkitan pulak nanti. Mal buat apa yang termampu,” jawab Iqmal biasa.
“Sampai bila Mal nak buat kami macam ni? Mama tahu Mal kecik hati dengan mama dengan papa. Tapi takkan selamanya Mal nak jauhkan diri?” ucap Puan Sri Bainun sambil menggeleng sendiri.
Iqmal membisu lagi. Selagi dia tidak lupa segala keperitan itu.. selagi itulah dia begini. Dia sudah tidak berharap lagi ada sesiapa datang berkongsi susah senang dengannya.
“Papa tu cuma manusia biasa. Manusia memang tak lepas daripada berbuat kesalahan, Mal. Yang penting dia dah sedar. Mama nak Mal ingat yang mama pun sayangkan Nita,” ucap Puan Sri Bainun lagi. Runsing benar dia melihat perubahan sikap anaknya ini. Kurang bercakap dan susah mahu melihat dia ketawa seperti dulu.
Iqmal terus diam. Setelah semua keperitan yang dia lalui selama ini, dia tidak berharap lagi sesiapa sedar kewujudannya. Dia sudah lali! Dia sudah jelak menadah kesilapan orang lain.
Mengeluh lagi ibu tua itu melihat kekerasan hati anaknya. Dia sedih.. Iqmal jadi begini kerana kesilapan mereka berdua. “Mama susah hati tengok Mal tak berbaik dengan papa. Mama tahu papa sedih tengok Mal bencikan dia. Jangan macam ni, Mal.”
“Mal tak harap banyak, mama. Mama nak maafkan papa.. itu hak mama. Mama nak terus bela papa, itu pun hak mama sebagai isteri. Papa nak berbini lagi itupun bukan hak Mal untuk menghalang. Cuma Mal harap jangan disebabkan kemarukkan perempuan muda, nyawa orang lain jadi mangsa! Mal takde kemampuan nak kahwin lebih dari seorang perempuan. Hidup Mal pun dah cukup susah sekarang,” ucap Iqmal cukup tajam.
“Sebab tulah kami nak bantu, Mal. Sampai bila Mal nak berdegil macam ni?” keluh Puan Sri Bainun lembut.
“Nak buat apa susah-susah kutip anak terbuang ni, mama? Papa jugak yang kata anak macam Mal ni dia boleh cari tepi jalan bila-bila dia nak! Kenapa nak jilat ludah sendiri?” cabar Iqmal sinis.
Terkedu Puan Sri Bainun mendengar ucapan tidak berlapik Iqmal. Pedih hatinya mendengar kesalahan suaminya terus diungkit lagi. “Papa dah tak macam tu, Mal. Dia dah insaf.”
Iqmal hanya mampu tersenyum sendiri. Insaf? Iyalah sangat.. bisik hatinya sendiri. Sesebis pun dia tidak mampu meletakkan kepercayaan kepada ayahnya itu.
“Okaylah.. kalau Mal tak mahu pindah duduk dengan kami semula, mama mintak Mal terima tawaran kerja dengan papa. Ini untuk kebaikan Mal dan Nita jugak,” ujar Puan Sri Bainun masih tidak putus harap untuk melihat Iqmal mengalah.
“Mama, janganlah susah-susah pasal kami. Apa yang Mal ada hari ini, alhamdulillah cukup untuk tampung semuanya, ma. Mal bukannya nak hidup mewah sangat. Mal tak mahu bertemu muka dengan papa setiap hari. Tolong faham Mal ni, mama. Mal pun tak harap harta benda dari papa. Semua tu dah takde maknanya bagi Mal lagi,” jawab Iqmal sambil menggeleng sendiri.
“Iqmal, semua yang kami usahakan selama ni untuk Iqmal. Hati mak mana yang tak sedih tengok anaknya hidup susah?”
“Mal yang mama nampak hari ni dah jauh lebih baik daripada semalam, mama. Tapi mama tetap susah hati sebab Mal dah tak sesenang waktu Mal masih ada dengan mama dan papa. Kalau mama nampak apa yang Mal lalui lepas papa halau Mal dulu..”
Iqmal terdiam tiba-tiba. Ada rasa sebak yang cukup besar menyumbat tenggoroknya membuatkan dia tidak mampu meluahkan bicaranya. Demi Tuhan hatinya terlalu hancur mengenang sikap lepas tangan ayahnya itu. Terlalu kejam! Hingga akhirnya memaksa dia mengambil tindakan yang nekad. Mengahwini Zahnita dan melepaskan Regina yang terlalu disayanginya. Tetapi semua itu masih tidak cukup. Dia pula yang dibuang daripada keluarga akhirnya. Sehelai sepinggang! Hidupnya lebih teruk daripada orang yang sudah jatuh ditimpa tangga. Dia teraba-raba menyeret tangan Zahnita mencari arah hidup sendiri dalam keadaan dia tidak punya apa-apa. Menyedihkan!
‘Benda dah nak jadi.. nak buat macamana? Lagipun polis dah putuskan bukan papa yang melanggar undang-undang. Tapi dia orang!’ itulah sebahagian kata-kata yang pernah dilemparkan ayahnya yang membuatkan hatinya runtuh sehabis-habisnya. Sehingga kini dia tidak pernah lupa riak bongkak di wajah ayahnya saat dia merayu bantuan ayahnya. Dia sedar yang mati tidak akan hidup lagi. Tetapi Zahnita ditinggalkan orang tuanya dalam keadaan sakit! Takkan sedikit pun takde rasa perikemanusiaan ayahnya?
Puan Sri Bainun mula berpindah duduk di sebelah anaknya. Wajah Iqmal sedikit kemerahan. Dia tahu Iqmal sedaya upaya menahan tangis.
“Mama faham, sayang..” bahu anak itu dipaut lembut oleh Puan Sri Bainun.
“No! Mama takkan faham. Hidup Mal dah lama musnah. Hati Mal dah lama hancur berkecai, mama. Takkan ada gantinya lagi. Mama pernah rasa hidup sebagai anak terbuang? Tak pernahkan? Jadi mama takkan tahu apa yang Mal rasa bila papa halau Mal dulu. Mal Cuma mintak papa biayai rawatan Zahnita. Cuma itu, mama! Tapi papa tak mahu. Kenapa kesalahan yang papa buat, Mal yang kena terima hukumannya? Kenapa bila Mal harap belas ehsan papa pada Nita, papa cakap itu bukan masalah dia. Tapi dengan perempuan yang dia bawak dalam kereta dia tu.. dia boleh bertanggungjawab pulak?” ucap Iqmal sambil merenung tampang emaknya itu.
Puan Sri Bainun terdiam menghela nafas sendiri. Apabila soal itu disebut semula.. dia sudah tidak tahu apa yang hendak diucapkan lagi. Dia benar-benar tidak mampu menepis segala tuduhan itu kerana semua itu memang benar.
“Mal ada impian Mal sendiri, mama. Tapi semua tu dah habis 6 tahun dulu! Mal terpaksa lepaskan untuk Nita. Sebab Mal tak boleh pejam mata macam tu aja pada kesengsaraan dia,” tambah Iqmal lagi.
“Iqmal.. itu semuakan dulu. Papa benar-benar harap Mal balik ke rumah jumpa dia,” ucap Puan Sri Bainun lembut.
Iqmal menggeleng perlahan. Tekad itu sudah lama dipasakkan ke dalam hatinya. Di saat dia terlalu susah.. ayahnya lebih mementingkan perempuan lain. “Mal pernah balik dulu. Tapi papa halau Mal lagi. Mama dah lupa?” balas Iqmal cukup sinis.
“Mal, mama mengaku waktu mama pun sedih dengan keadaan keluarga kita. Hati mama pun hancur dengan perbuatan papa pada Mal dan orang sekeliling. Tapi pengalaman dulu dah mengajar dia, Mal. Papa dah lama ceraikan perempuan tu..”
“Ini bukan soal perempuan tu, mama. Mal takde hak nak halang kalau itulah kehendak papa.” Iqmal segera memintas dalam nada keras. Dia menoleh dengan sorotan mata yang cukup tajam kepada emaknya.
“Mama tahu.. waktu Mal datang jumpa papa, mintak papa pinjamkan duit.. dalam poket ni memang dah takde apa-apa langsung! Zero! Tapi papa halau Mal lagi. Macam anjing kurap Mal ni, mama. Tapi beberapa hari lepas tu papa boleh pulak pergi bercuti dengan isteri baru. Mama diam sebab mama pun takut nak tolong Mal sebab takut papa tinggalkan mama. Mama pun takut jadi macam Mal. Hidup merempat! Mal macam nak gila waktu tu, mama. Ariya sampai jual barang kemas dia sebab nak tolong Mal. Mal macam orang takde maruah mintak tolong dengan seorang perempuan. Kesiankan? Dengan kos rawatan Nita yang makin bertambah setiap masa, mama tahu berapa lama Mal kena bersabar untuk hidup macam hari ni? Bertahun-tahun, mama. Bukan sebulan dua.. tapi bertahun!” tambah Iqmal tajam.
Puan Sri Bainun tunduk memandang jemarinya. Liur rasa tidak terteguk mendengar ucapan anaknya itu. Sedih.. tapi semua itu takkan boleh ditarik semula. Hanya dia termampu meminta Iqmal memaafkan kesilapan mereka. Tetapi sayangnya Iqmal masih juga begitu. Masih terus menghukum mereka dengan kedinginan.
“Hidup papa akan lebih okay tanpa Norman Iqmal. Anak yang bodoh kata papa! Mal tak perlu simpati papa lepas semua tu, mama. Mal pun dah tak harap sesen pun harta papa. Mal dah lama ajar diri Mal hidup seadanya.” Iqmal bersuara lagi dalam pada emaknya berdiam.

Mengeluh lagi wanita tua itu melihat kegagalannya memujuk anak tunggalnya itu. Dia sedar pengalaman yang lepas dan masa telah membuatkan keperibadian Iqmal jadi begini. Dia tidak mahu menyalahkan Iqmal sepenuhnya. Kerana ada tikanya keegoan mereka sebagai ibu bapalah yang menjadi punca semua ini.

3 ulasan: