32
“Abang tak sunyi ke bini abang tu ada di KL? Bila dia nak
balik?” soal Lisa cukup ramah.
“Sunyi jugak. Tak tahu lagi bila nak balik. Papa dia masih dalam rawatan
lagi,” jawab Kudin tanpa mengalihkan pandangannya daripada kerjanya.
Lisa tersenyum sendiri mendengar jawapan Kudin. Lelaki itu mula didekatinya.
Dia melabuhkan duduknya di hadapan meja Kudin. Semenjak kebelakangan ini dia
lihat Kudin sudah sedikit ‘slow’ dengan dia. Kudin tidak lagi menghalau dia
setiap kali dia datang ke pejabat Kudin. Cumanya lelaki itu tetap tidak seramah
dulu lagi apabila bercakap dengan dia. Lelaki itu hanya bersuara apabila perlu
sahaja.
“Kesian Rinakan, bang? Mesti dia susah hati sekarang ni. Lisa sendiri pun
tak dapat bayangkan macamana Lisa nak terima keadaan tu kalau benda tu jadi
pada keluarga Lisa,” ujar Lisa cukup lembut mengalun suara sayunya. Macam
ikhlas benarlah tu kononnya.
Kudin mengangguk sahaja dalam kesibukannya itu.
“Lisa harap dia tabah dengan semua dugaan ni,” tambah Lisa lagi.
“Dia okay. Mula-mula dulu dia memang sedih. Tapi semenjak kebelakangan ni
dia dah mampu sesuaikan diri dengan keadaan. Hidup ni memang takkan selamanya
macam tu aja,” jawab Kudin masih tidak memandang si Lisa.
Lisa mengangguk setuju dengan bicara lelaki itu.
“Abang, nampak buzy sangat. Ada apa-apa ke yang Lisa boleh tolong?” tanya
Lisa lembut.
Kudin mula menoleh. Ada kerutan tergaris di dahinya mendengar kata-kata
Lisa. Tiba-tiba Lisa baik hati pula mahu menyumbang tenaga di situ. Ikutkan
kesibukan dia saat ini memang dia memerlukan bantuan seseorang.
“Betul ke nak tolong?” soal Kudin bersungguh.
“Ada apa-apa kerja yang abang nak Lisa buat?”
Kudin pantas mengambil sebuah buku dari dalam laci mejanya. Buku itu
diserahkan kepada Lisa bersama sebatang pen. Kemudian dia mengambil sehelai
kertas yang terselit di bawah buku di hadapannya itu lalu diserahkan kepada
Lisa. “Nah.. isi semua yang terkandung dalam kertas ni dalam buku tu. Tahukan
macamana nak buat?”
“Abang ajarkanlah..”
Kudin menghela nafas perlahan. Namun permintaan Lisa diturutinya juga.
“Okay.. bukak bahagian report yang last sekali dibuat,” arah Kudin sambil
menunjukkan buku yang diberikannya kepada gadis itu sekejap tadi.
Lisa terus melakukan apa yang disuruh oleh Kudin. “Yang ini?” lembut sahaja
pertanyaannya. Kudin memandang seketika buku yang sudah terbentang luas itu.
kemudian dia terus mengangguk.
“Angka yang ada dalam kertas tu kau isikan dalam kotak kosong tu ikut
turutan. Kemudian ambil kalkulator ni. Angka yang terdahulu tu kau tolakkan
dengan angka yang dalam kertas tu. Jawapannya nanti kau letak pada bahagian
kosong yang last tu.”
“Okay.. Lisa dah faham,” jawab Lisa cukup senang dengan tugasan yang
diberikan Kudin kepadanya. Senang sahaja baginya dan yang lebih bermakna lagi
dengan tugasan ini dapatlah dia berlama-lama di dalam pejabat lelaki itu sambil
meraih kepercayaan Kudin kepada kesungguhannya.
Kudin kembali kepada kerjanya tanpa sebarang perbualan lagi. Dia mahu
segera menyelesaikan tugasnya di situ sebelum pergi menjenguk ladangnya pula.
Namun sedang dia ralik menyudahkan kerjanya telefon di dalam poket seluarnya
bergetar. Sebaik sahaja gadjet itu dikeluarkan Kudin melihat nama isterinya
tetera sebagai pemanggil. Bibirnya segera tersenyum.
Dah rindu dengan Abang Kudin ke? Detik hatinya seronok. Baru beberapa hari
mereka tidak bertemu dia sudah dicari-cari Edrina selalu. Pagi petang dan malam
Edrina tidak pernah culas memanggilnya. Bahagia rasanya hati lelaki itu. Kudin
sempat berlalu dari pejabat itu sebelum menjawab panggilan itu.
“Abang sibuk ke?” pertanyaan itu menerpa setelah salam dihulurkan Edrina.
“Sibuk jugak. Rina kat mana ni?”
“Kat rumah. Papa dah discharge semalam,” jawab Edrina lembut sahaja.
“Alhamdulillah.. sayang okay ke tu?”
“Hmm.. biasa je. Abang sihat?”
“Sihat. Baby abang sihat ke hari ni?”
“Semuanya okay. Abang jangan bimbang. Rina tak pernah abaikan pesanan abang
hari tu,” jawab Edrina cukup mesra.
“Emm.. bila sayang nak balik? Dah lama sangat Rina kat sana.” Perlahan
sahaja nada Kudin mengalunkan kata-katanya.
“Baru 4 hari je pun abang ni!” getus Edrina sambil ketawa.
“Dah lama sangat tu, yang. Abang ni pun macam nak demamlah pulak rasanya.”
Tiba-tiba Kudin terbatuk-batuk.
“Ish! Batuk lagi. Tulah.. dah dua hari abang asyik batuk je. Tekak ni pun
macam tak berapa sedap. Kepala sakit. Hidung ni pulak dah berapa hari asyik
tersumbat aja. Selesema..” ujar Kudin sambil membuat nada paling polos di alam
semesta ini.
“Hmm.. nak demam tu sebab kurang minum air masak kut. Cuaca panas sekarang
ni. kena banyak minum air masak. Abang tu mesti asyik minum air kopi ajakan?
Kopi tu bagi panas badan tau, bang!” komen Edrina sengaja buat tidak faham olah
lelaki itu.
Kudin menggaru kepalanya. Alahai.. bini aku jawab macam tu pulak. “Emm..
abang dah minum banyak air masak. Betul, yang! Tapi masih nak demam jugak,”
ucap Kudin bersungguh.
“Tadi Rina tanya, abang kata sihat. Sekarang mengadu nak demam pulak. Mana
satu yang benar ni? Tadi suara tu sengau konon-konon macam tengah selesema. Ni
elok balik dah suara tu?” desis wanita itu sudah cukup lama terhidu drama propaganda
suaminya itu. Setiap olah Kudin sudah masak di benaknya ini.
Kudin terus terdiam dengan mata terbuntang sendiri. Aku dah terkantoi ke
ni? detik hati Kudin dengan mulut sedikit ternganga. “Suara abang okay ke? Ni
memang tengah tak sihatlah,” jawab Kudin bersungguh.
“Nak suruh Rina baliklah tu..” cebir Edrina di hujung sana.
“Yalah.. sunyilah abang Rina takde. Tak boleh tidur. Esok abang pergi ambil
sayang ya?” jawab Kudin rendah sahaja.
“Mengada-ada betul. Hari tu abang cakap abang bagi Rina duduk sini jaga
papa. Baru 4 hari dah suruh balik pulak,” desis Edrina semakin geram.
“Abang pun nak kena jaga jugak.” Kudin segera membuat suara meminta
simpati.
“Yalah.. esok abang datang ambil Rina,” putus Edrina mengalah juga. Rasanya
dengan keadaan ayahnya yang sudah tegap, dia harus mengutamakan suaminya pula.
Lagipun ramai orang di rumah itu boleh menjaga ayahnya sedangkan suaminya hanya
bersendirian di rumah mereka. Tambah lagi satu faktor, dia pun sebenarnya
teramat rindukan lelaki itu.
“Betul, sayang? Esok sehabis saja abang solat subuh, abang pergi sana ya?”
ucap Kudin mula ceria suaranya.
“Ya. Abang jangan lambat pulak.”
“Tak, sayang. Esok awal pagi abang bertolak. Ni yang buat abang bertambah
sayang ni.” Kudin berbisik perlahan sambil menyeringai sendiri. Kakinya
menyepak-nyepak tanah di hujung kakinya entah kenapa.
“Kalau Rina cakap tak mahu balik lagi tak bertambah sayang ke?” perli
Edrina selamba. Saat mendengar nada suaminya dia macam dapat membayangkan rupa
suaminya. Mesti tengah tersengih macam kerang sambil menguis-nguis sesuatu yang
berdekatan dengan dia.
“Ish! Mana boleh tak bertambah sayang. Bertambah jugak tapi nanti lepas
Rina balik sini, Rina jugak yang siksa,” jawab Kudin lembut.
“Siksa kenapa pulak?” sambut Edrina pantas.
“Siksalah..” jawab Kudin sedikit berlagu.
“Yalah.. siksa kenapa pulak?” getus Edrina malas mahu berteka teki.
“Alah.. sayang ni buat-buat tak faham pulak. Kita kan dah lama tak jumpa.
Mestilah abang nak itu.. emm.. alah! Yang itu tu,” ucap Kudin terus menyeringai
membayangkan apa yang sedang melintas di otaknya itu.
“Gatalkan?”
“Gatal apa pulak?” sambut Kudin sengaja menahan tawa.
“Yalah.. itu tu apa maksudnya? Dah lama tak jumpa nak itu-itu. Apa itu yang
abang maksudkan ni?” Edrina mendegus geram. Tak habis-habis gatal si Kudin.
“Maksud abang tadi.. emm..”
“Apa yang emm?” pintas Edrina saat Kudin termanggu seketika.
“Emm.. baju abang yang bersih dah nak habis. Banyak yang lain tak basuh
lagi. Rumah pun dah bersepah. Abang tak sempat nak kemas,” jawab Kudin selamba.
Edrina terdiam sambil menarik nafas dalam. Itu rupanya! Patutlah nak aku
balik cepat! Nak suruh aku kemas rumah dengan kain baju dia. Kurang asam punya
suami.
“Abang Kudin..” sapaan dari arah belakang itu merencatkan perbualan dua
manusia itu. Kudin segera menekup corong sebelum memandang ke belakang.
“Ada apa?” rengusnya sedikit terkejut dengan panggilan Lisa yang menerpa
tiba-tiba.
“Lisa dah siapkan kerja tadi. Ada apa-apa lagi yang abang nak Lisa buat?”
ujar Lisa dengan segaris senyuman manis di bibir.
“Takde apa-apa. Kau pergi balik sekarang,” ucap Kudin serius.
Berubah wajah Lisa kala itu. Balik? Dia tak mahu balik! “Lisa nak tolong
abang kat sini,” ujar Lisa agak rendah.
“Dah takde apa lagi yang kau boleh tolong. Tolong pergi balik aja sekarang
ni,” ujar Kudin selamba.
Sebal Lisa dengan arahan Kudin. Sudahlah tiada terima kasih. Sekarang
dengan senang hatinya dia dihalau Kudin. Namun mahu tidak mahu Lisa berlalu
juga dengan wajah cemberut. Sebaik sahaja gadis itu berlalu Kudin kembali
melekapkan gadjet itu ke telinga.
“Sayang..” tiada jawapan kedengaran sebaliknya hanya nada panjang
kedengaran menandakan talian sudah tidak bersambung antara mereka berdua.
“Aik? Dah putus ke? Terputus ke atau dia memang sengaja putuskan?” Kudin
memandang telefonnya. Memang tiada lagi nama Edrina dan simbol ganggang tertera
di skrin.
Kali itu Kudin pula cuba memanggil nombor isterinya. Namun sebaik sahaja
talian bersambung panggilannya itu terus dimatikan oleh orang di sebelah sana.
Dua kali dia mencuba akhirnya Kudin sekadar memandang kosong telefonnya. Hairan
melihat perubahan tiba-tiba isterinya itu.
Si lelaki muda itu termanggu seketika berfikir sendiri. “Kenapa tiba-tiba
dia buat macam ni kat aku? Dia dengar ke suara Lisa tadi?” ucap Kudin sendiri.
Pelik!
Dia marahkan aku ke? Kalau tak kenapa dia tak mahu jawab call aku? Kudin
terus tertanya sendiri dalam rasa hati yang cukup gundah. Satu sms segera
dikirimkan kepada wanita itu. Namun beberapa ketika dia menanti smsnya tidak
berbalas. Bertambah kalut Kudin jadinya. Ikutkan hatinya sekarang juga dia mahu
pergi mencari Edrina di sana. Namun memikirkan kerjanya di ladang masih banyak
menunggu dia hanya mampu mengeluh sendiri.
Ah! Malam karang dia okaylah tu kut.. bisik hati Kudin sengaja mahu memujuk
dirinya sendiri.
Panjang doa yang dipanjatkan oleh lelaki itu. Tatkala zikir
diteruskan di atas sejadah tumpuannya diganggu oleh satu bunyi yang tidak asing
lagi baginya. Kudin menoleh ke arah telefonnya di atas katil. Melihat kerdipan
cahaya dari skrin itu Kudin terus bangun dan menyidai sejadah.
Sms yang masuk sebentar tadi itu membuatkan Kudin agak tergopoh-gopoh
mencapai telefon untuk membaca isinya. Dia tahu dalam waktu-waktu seperti ini
pasti Edrina yang menghantar pesanan itu. Laju bola mata Kudin membaca apa yang
terlakar di skrin itu.
‘Abang, Rina balik
kampung sekarang. Dah! Jangan banyak kompen!’ Kudin terkedu sambil menggaru kepalanya.
“Aik? Mana dia tahu aku nak komplen banyak? Ni sms ugut aku ke.. marah ke..
merajuk ke apa ni? Dia balik nak ajak aku gaduh ke?” desis Kudin sendiri.
Kudin termanggu seketika sambil memandang telefonnya. Dia hairan macamana
Edrina mahu balik dalam waktu-waktu begini? Ada kerisauan menjenguk ke kamar
hatinya memikirkan keputusan wanita itu. Lalu Kudin segera membalas sms itu
semula.
‘Nak balik naik
apa? Kan abang dah cakap nak ambil esok pagi? Tunggu abanglah..’
Kudin duduk di birai katil seketika memikirkan isterinya itu. Sebuah
keluhan terhela dalam rasa hati yang tidak aman. Tidak lama kemudian smsnya
mendapat balasan.
‘Driver hantarlah!
Takkan jalan kaki pulak..’
Jawapan yang berbunyi agak kasar itu membuatkan Kudin menghela nafas
perlahan. Kepalanya digaru lagi. Mahu melarang dia bimbang rajuk isterinya
bertambah panjang. Buatnya Edrina tidak mahu balik langsung, dia juga yang
merana nanti. Mahu bersetuju dia bimbangkan keselamatan isterinya. Ah!
Takkanlah pemandu kepercayaan keluarga mertuanya itu sanggup mengapa-apakan
isterinya? Tidak mungkin..
‘Yalah.. tapi cakap
dengan Abang Roslan tu, bawak kereta hati-hati.’ Kudin mengirim sms itu pula. Tiada balasan daripada Edrina selepas itu.
Selesai makan malam Kudin melepas menonton tv seorang diri. Namun dalam
pada matanya melekat kepada skrin fikirannya sedang terbang mencari bayangan
isterinya. Sebahagian hatinya memang sudah tidak sabar menunggu Edrina pulang
ke pangkuannya. Sebelah lagi hatinya bimbang. Bimbang Edrina pulang kerana mahu
mengganyangnya akibat peristiwa petang tadi. Bukannya dia tidak tahu perangai
Edrina kalau sudah naik angin. Kalah singa betina yang hilang anak.
Ketika dia sudah terlentok sendiri di sofa itu Kudin kembali dikejutkan
dengan bunyi hon kereta di hadapan rumah. Kelam kabut dia bangun untuk melihat
siapa empunya kereta yang datang malam-malam begini. sebaik sahaja pintu rumah
dibuka dia melihat Edrina berjalan ke arahnya dengan sebuah bag baju di tangan.
Kudin terus turun di ke bawah.
“Abang..” tanpa mempedulikan di mana mereka berada Edrina terus mencampak
bagnya dan meluru memeluk lelaki itu. Lagaknya macam dah bertahun-tahun mereka
telah terpisah.
Terkedu Kudin melihat aksi isterinya. Aneh! Dia tak marah aku ke? Tadi
macam dah nak ganyang aku sangat. Namun pelukan wanita itu tetap disambut Kudin
dalam keadaan dirinya terpinga-pinga. Dalam pada dia memaut tubuh wanita itu
kereta yang dinaiki Edrina tadi sudah berundur untuk pergi.
“Kenapa tak ajak Abang Roslan tu singgah?” tanya Kudin hairan melihat
lelaki itu sudah pergi.
“Tak payahlah. Dia kena balik cepat. Esok dia kerja,” jawab Edrina setelah
dia memandang kelibat kereta itu seketika.
Kudin mengangguk sahaja. Kasihan Abang Roslan. Tak pasal-pasal kena
berjalan sejauh ini.. detik hatinya sendiri.
“Jom naik?” ajak Kudin cukup senang hati. Lega benar hatinya melihat mood
baik isterinya. Tadi dia sempat menyangka mereka akan berperang besar nanti.
Bag Edrina yang terdampar di atas tanah terus diambil Kudin sebelum memimpin
wanita itu untuk naik ke rumah.
“Kenapa balik tiba-tiba? Kan abang dah kata abang nak ke sana esok pagi?”
tanya Kudin sebaik sahaja mereka masuk ke dalam rumah.
“Saja. Abang tak suka Rina balik cepat ke? Tadikan abang kata abang nak
demam. Mestilah Rina risau abang kat sini sorang-sorang,” ujar Edrina dengan
senyum manisnya. Macam takde apa-apa sahaja lagaknya.
Jawapan Edrina terlebih dahulu disambut oleh sengihan Kudin. “Mana boleh
tak suka. Bantal peluk abang dah ada malam ni.” Dalam fikirannya sudah merangka
apa yang patut dibuat sekejap lagi.
Edrina ketawa perlahan. Tubuh lelaki
itu dipeluknya tanpa segan silu. Tampang lelaki itu ditatap sepuas-puas
hatinya. Manalah dia mampu menahan dirinya daripada mencari lelaki ini jika dia
tahu ada wanita lain sedang senang lenang mencelah ruang dikala dia tiada
bersama Kudin.
“Papa macamana?” tanya Kudin setelah pelukan dileraikan. Edrina mula
berdiri di hadapan cermin meja solek. Jemarinya mula menanggalkan segala
perhiasan yang ada pada dirinya.
“Papa okay. Dia dah boleh masuk kerja semula minggu depan.” Wanita itu
menjawab sambil mengerling lelaki itu melalui cermin.
“Alhamdulillah..” sambut Kudin penuh kelegaan.
“Macamana dengan abang pulak?”
Jantung Kudin mula berdegup kencang mendengar pertanyaan yang kedengaran
bernada aneh di telinga. “Kenapa dengan abang?” tanya Kudin semula.
“Selama Rina takde kat sini siapa yang selalu temankan abang?” soal Edrina
mula menghadapkan tubuhnya kepada lelaki itu.
“Mana ada sesiapa,” jawab Kudin sambil meneguk liur. Melihat renungan tajam
isterinya dia tiba-tiba menggelabah entah kenapa. Kegusaran tadi mula kembali
kepadanya tanpa dapat ditahan.
“Really? Suara perempuan dalam telefon petang tadi tu suara siapa?” tanya Edrina
sedikit tajam.
“Itu Lisa, sayang. Takkanlah Rina nak syak abang dengan dia pulak,” jawab
Kudin lembut. Wanita itu semakin didekatinya. Makna pandangan Edrina tidak
susah untuk dimaknakan Kudin. Dia tahu isterinya sudah mula curiga kepadanya.
Edrina tersenyum sambil menggeleng. “Abang tahukan Rina tak suka dia? Abang
tahu Rina ni jenis orang yang susah nak kontrol perasaan cemburu. Abang fikir
semudah itu perasaan Rina boleh tenang bila ada perempuan lain datang pada
suami Rina waktu Rina takde?” ujar Edrina bersahaja. Namun pandangan yang
dilontarkan agak aneh. Tiada kemesraan dalam bola mata itu.
“Abang tahu tu.. tapi dia yang beriya-iya datang. Bukan abang yang suruh. Abang
sendiri pun dah tak larat nak halau. Lagipun dia tolong abang di kolam tadi.
Takde apa-apa yang berlaku pun, sayang. Sungguh!” ucap Kudin dengan pandangan yang
tertuntas redup, memohon agar wanita itu tidak mengaggap dia yang bukan-bukan.
Tidak pernah terlintas di benaknya mahu menduakan isterinya. Sekurang-kurangnya
bukan dengan si Lisa itu.
“Rina sakit jiwa bila memikirkan dia terus-terusan menggoda suami Rina.
Abang takkan faham sebab abang anggap itu semua sekadar satu perkara yang remeh,
takde apa-apa. Tapi yang kat dalam ni sakit sangat, abang tahu tak? Takde
perempuan yang boleh hidup tenang kalau ada perempuan lain terus kacau suami
dia!” ucap Edrina terus meletakkan telapak tangan di dadanya.
“Jangan fikir yang bukan-bukan..”
“Itu ajalah yang abang asyik cakap pada Rina. Rina tak faham.. kenapa dia
suka sangat nak dekat dengan abang? Macam dah takde lelaki lain dalam kampung
ni. Kalau sekadar sebagai abang, kenapa dia tak suka pada Rina? Kenapa dia tak
pernah cuba dekat dengan Rina sebagai kakak?” pintas Edrina sebelum Kudin
menghabiskan pujukannya.
Kali ini Kudin terus terdiam, terbedik-bedik memandang isterinya. Ucapan
isterinya berlegar-legar dalam benaknya untuk ditafsirkan kebenarannya.
“Rina ajak abang pindah KL, abang tak mahu. Abang sayang nak tinggalkan
business abang. Rina faham. Tapi abang faham ke apa pulak yang Rina rasa
sekarang ni?”
“Rina, dia tak pernah buat apa-apa dengan abang. Dan abang tak pernah
pandang dia melebihi daripada apa yang seharusnya. Kenapa Rina syak abang macam
ni?” balas Kudin pantas.
Edrina menggeleng sambil membalikkan tubuhnya menghadap cermin. Wajahnya
diraup perlahan untuk meredakan ketegangan perasaannya. Sudah diagaknya. Kudin
memang seorang lelaki yang lembut. Tetapi jangan sangka lelaki ini tiada
egonya.
“Sayang..” keluh lelaki itu sambil mendekati isterinya itu. Kedua-dua belah
tangannya diletakkan di atas bahu wanita itu. “Jangan macam ni. Dia boleh
datang pada abang bila-bila masa yang dia nak. Tapi perasaan abang bukan untuk
dia. Tak semudah itu, sayang!” ucap Kudin bersungguh.
“Apa sebenarnya yang berlaku antara abang dengan dia dulu?” soal Edrina
dengan lirikan melalui cermin di hadapannya.
“Astaghafirullah.. apa sayang cakap ni? Kan abang dah kata dulu yang
abang..”
“Kalau betul takde apa-apa, kenapa Lisa tu hanya dekati abang seorang.
Kenapa dengan Rina tak?” Edrina sekali lagi memintas kata-kata suaminya.
“Rina..”
“Abang tahu tak betapa kecewanya papa dengan kita berdua bila abang menolak
untuk ambil alih jawatan papa? Papa sama sekali tak mahu beri ruang pada Bad
atau mana-mana ahli keluarga Tan Sri Ghafur masuk ke syarikat kita. Tan Sri pun
tak setuju untuk lantik anak dia untuk jadi CEO. Disebabkan hal itu papa
terpaksa terus pikul tanggungjawab di Semarak Holding.” Kali ini suara Edrina
mula meninggi menentang kelembutan Kudin.
Kudin terkedu memandang isterinya. “Kenapa tiba-tiba kita bercakap soal
ini? Kan abang dah jelaskan hari tu apa sebabnya abang tak mahu masuk ke
Semarak Holding? Kehidupan kita kat sini, sayang.”
“Memang kehidupan Rina di sini, dengan abang! Tapi salah ke apa yang ada
dalam fikiran Rina ni? Rina nak kita keluar dari sini sebab Rina tak tahan
tengok suami Rina diganggu perempuan lain. Abang faham ke tak apa yang ada
dalam hati Rina sekarang? abang nak Rina bersabar, sampai bila? Makin lama dia
makin dekat dengan abang. Abang tak rasa apa yang Rina rasa sekarang!” tekan
Edrina semakin meninggi.
“Rina, janganlah macam ni. Semua ni cuma dugaan kecil untuk kita,” keluh
lelaki itu mula risau melihat kemarahan isterinya. Bahu wanita itu dipicitnya
lembut.
“Rina nak mandi, bang. Nak rehat. Kepala ni sakit sangat,” keluh Edrina
perlahan. Tangan lelaki itu diturunkan dari bahunya perlahan.
“Tengok tu? Janganlah fikir yang bukan-bukan. Bila Rina banyak fikir, Rina
jugak yang stress. Lepas tu sakit kepala,” ucap Kudin sambil menggeleng
sendiri.
“Rina letihlah. Bukan sebab stress,” jawab Edrina lantas ke almari.
“Jom abang temankan..”
Wanita itu tidak menjawab. Namun pelawaan itu dialu-alukan dalam hati.
Di ranjang itu..
Sudah lebih 5 minit wanita itu berbaring di sebelahnya. Namun tiada sepatah
kata dikeluarkan Edrina walaupun matanya masih terbuka luas. Kudin memandang
isterinya itu. Edrina asyik memicit kepalanya.
“Kenapa diam aja ni?”
“Takde apa nak cakap,” jawab Edrina lantas memalingkan pandangan ke arah
sana.
“Sakit kepala lagi?” tanya Kudin lembut.
“Sakit. Tak boleh tidur,” getus wanita itu perlahan.
Kudin bangkit separuh badan. Wanita itu didekatinya. Lalu jemari yang
sedang rancak mengurut dahi itu dicapainya. “Abang picitkan ya?” ucap Kudin
lembut.
Edrina menggeleng perlahan. “Abang tidurlah. Rina tak apa-apa.” macam orang
tiada mood aja Edrina menjawab. Tubuhnya terus dialihkan menghadap sana.
“Yang, janganlah marah abang. Abang ingat Rina faham pendirian abang,” ucap
Kudin. Bahu wanita itu disentuhnya.
“Rina faham. Abang tak suka bergantung dengan orang lainkan? Abang
sayangkan ladang abang sebab itu semua hasil titik peluh abang sendiri,” jawab
Edrina hambar.
Kudin terdiam memandang belakang tubuh wanita itu. Perlahan dia
membaringkan tubuhnya semula. Kata-kata Edrina sebentar tadi kembali
difikirkannya. Antara kehendak dirinya dan harapan orang lain, dia masih tidak
tahu yang mana harus dipilihnya. Mampukah dia meninggalkan kehidupannya di sini
dan membina hidup baru di KL sana? mampukah dia meninggalkan apa yang
dicintainya dan memegang sesuatu yang tidak pernah berada dalam anganannya?
Entah.. Kudin tidak pasti.
Akhir
Tanpa memberitahu Kudin yang dia hendak keluar, Edrina mula
menghidupkan enjin keretanya. Tujuannya tiada lain. Dia mahu menghendap
suaminya dan Lisa di kolam ikan Kudin. Seperti yang sudah dijangkanya, Edrina
ternampak kereta Lisa terpakir di hadapan pintu masuk kawasan itu. Berselang
sebuah kereta daripada kereta suaminya. Tidak berlengah lagi Edrina terus
mencari pejabat Kudin.
Namun saat dia sudah menghampiri pintu pejabat itu Edrina memandang
sekeliling seketika, mencari tempat untuk berselindung. Dia mahu lihat sejauh
mana kebenaran bicara Kudin tentang Lisa.
Akhirnya Edrina memilih untuk berselindung di sebalik dinding bersebelahan
dengan pintu masuk ke ruangan itu. Dari situ dia nampak Kudin sedang berdiri
menghadap seseorang. Siapa lagi kalau bukan Lisa! Memang sakit hati! Itulah
yang dirasakannya saat melihat Lisa mengendeng lagi kepada Kudin. Dia tidak
tahu apa urusannya Lisa terus mencari suaminya itu. Sabar.. dia sudah bersabar.
Namun hatinya terus sakit melihat gadis itu dengan muka tidak tahu malunya
terus mencari suaminya.
Edrina bungkam di situ menelinga perbualan dua manusia itu. demi untuk
mendengar perbualan itu dengan jelas dia sanggup menahan nafas agar
pendengarannya tidak diganggu oleh deruan nafasnya yang sedang menderu laju.
“Lisa, tak boleh buat apa yang abang suruh tu. Lisa minta maaf, abang. Lisa
balik sini untuk abang.” Suara Lisa kedengaran mencelah masuk ke gegendang
telinga wanita itu.
“Aku dah ada isteri! kau ni pekak ke apa? Ke kau tak faham bahasa Melayu.
Aku mintak kau baliklah ke KL, Lisa. teruskan hidup kau di sana. biarkan aku
aman kat sini. jangan ganggu aku lagi,” balas Kudin meninggi.
“Abang.. Lisa.. emm..”
“Aku takde masa nak dengar benda merepek ni lagi, Lisa. Pergilah balik!”
“Abang Kudin, Lisa betul-betul minta maaf. Lisa tak mampu lepaskan abang
lagi. Lisa sayangkan abang dan Lisa tahu abang jugak pernah ada perasaan tu
pada Lisa. Lisa memang tersilap selama ini, bang. Apa yang Lisa cari selama ini
sebenarnya ada depan mata Lisa.”
Ucapan Lisa itu membuatkan Edrina menekup mulutnya tiba-tiba. Hatinya bak
kata terhempas ke batu. Benarlah dugaannya selama ini, Lisa memang ada hati
kepada suaminya.
“Apa yang kau nak lagi, Lisa? Kau yang tinggalkan aku dulu! Dah terlambat
untuk aku terima apa yang kau katakan ni. Aku dah ada kehidupan aku sendiri
sekarang,” balas Kudin terus meninggi.
Berderau darah Edrina mendengar ucapan Kudin. Dadanya berdegup kencang.
“Abang..” tanpa segan silu Lisa meluru memeluk lelaki itu. Namun Kudin
terus menolak wanita itu jauh daripadanya.
“Lisa tahu Lisa pernah buat abang kecewa dengan Lisa dulu. Tapi itu dulu,
bang. Lisa balik sini untuk abang. Lisa nak hidup dengan abang. Lisa tak mampu
sayangkan abang sebagai seorang abang. Lisa nak lebih dari itu. Lisa tahu abang
pernah cintakan Lisa dulu.” Teresak-esak Lisa menangis di hadapan Kudin.
“Ya! memang aku pernah cintakan kau. Tapi aku ni sekadar lelaki kampung,
Lisa. Dulu waktu aku sayangkan kau, kau pandang rendah pada aku. Kau layan aku
macam sampah. Kasih sayang aku takde harganya untuk kau. Kau kata lelaki macam
aku tak layak untuk kau. Kenapa baru sekarang kau sedar yang aku ni bermakna
bagi kau, Lisa? Apa sebenarnya yang kau nak dari aku?” jerkah Kudin tanpa
menyedari ada orang ketiga sedang menelinga kata-katanya dengan hati yang sudah
hancur berkecai.
“Air mata kau tak mampu melembutkan hati aku, Lisa. Pergilah.. jangan
ganggu hidup aku lagi. Aku dah tak perlukan kau di sini atau di mana-mana pun,”
sambung Kudin membuatkan tangisan Lisa semakin pecah di situ. Namun apa yang
Kudin tidak nampak ada seorang lagi wanita juga sedang menahan tangisannya
daripada pecah biarpun air matanya sudah jatuh di pipi. Betapa hancur hatinya
mengenang hakikat dia sudah ditipu oleh suaminya selama ini.
“Pergilah.. aku tak mahu kau datang cari aku lagi. Aku dah cukup bosan
dengan semua ni, Lisa! Aku tak mahu diganggu. Pergi sekarang sebelum aku tolak
kau keluar,” jerkah Kudin lantas menunding ke arah pintu.
Lisa menggeleng sambil menyeka air matanya perlahan. “Maafkan Lisa, abang.
Lisa takkan berhenti sayangkan abang sampai mati,” ucap Lisa.
“Aku tak nak dengar lagi. Berambus sekarang!” semakin naik suara Kudin
kepada wanita itu. Hilang sudah perasaan belas kasihannya kepada Lisa.
Mahu tidak mahu Lisa berlalu juga dari situ. Kudin terus mendekati mejanya
sambil menghela keluhan keras. Dia tengah banyak kerja, Lisa menyibuk datang
lagi ke situ.
Edrina tidak masuk ke pejabat Kudin sebaliknya dia mengekori Lisa ke ke
keretanya.
“Hei!” panggil Edrina lantas dia memintas Lisa.
Langkah Lisa terhenti serta merta. Berubah wajahnya melihat Edrina berada
di situ. “Kau nak apa lagi?” tanyanya dengan nada meninggi. Jelingan tajamnya
dihadiahkan kepada Edrina demi mahu menzahirkan kebencian yang sedang
meluap-luap kepada wanita itu.
“Sepatutnya aku yang tanya kau, apa kau nak lagi dengan suami aku?” ucap
Edrina meninggi. Dadanya turun naik menahan rasa. Kalaulah dia seekor naga,
pasti ada api yang menyembur keluar dari dua lubang hidungnya. Ikutkan hatinya
yang sedang sakit, wanita ini mahu dicincangnya lumat-lumat.
“Aku nak jumpa abang angkat aku. Salah ke?” jawab Lisa sinis.
“Kau ingat aku bodoh ke ha?” Edrina mula bercekak pinggang di hadapan
wanita itu.
“Suka hati kaulah nak cakap apa. Malas aku nak layan perempuan gila macam
kau ni,” ujar Lisa lantas mencelah di tepi untuk ke keretanya. Namun Edrina
yang tidak berpuas hati kembali mengejar wanita itu.
“Aku tak habis dengan kau lagi. Kau nak ke mana?” tukas Edrina meninggi.
Sebelum sempat Lisa membuka pintu kereta sepenuhnya dia terlebih dahulu berdiri
di tepi pintu itu.
“Kau jangan nak sakitkan hati lagi, boleh tak? Aku nak balik!” jerkah Lisa
sudah mula hilang sabar. Sudahlah tadi Kudin menyakitkan hatinya. Sekarang
Edrina pula mahu menambah lagi.
“Aku tahu kau dengan Kudin memang ada apa-apa dulu, betulkan?”
“Baguslah kalau kau dah tahu. Kau tu perampas kekasih orang. Sekarang kau
boleh berambus! Aku nak balik.” Spontan Lisa segera menolak pintu itu. Pintu
yang dihayun sekuat-kuat hatinya itu terkena pinggang Edrina membuatkan wanita
itu terhumban serta merta.
“Aduh..” Edrina cuba bangun. Namun pinggangnya terasa sakit yang teramat
sangat. Tubuhnya rebah semula di tanah. Dia mula terasa ada sesuatu sedang
berlaku kepada dirinya. Dua bola matanya berkaca saat memandang ke langit di
atas sana. Kesakitannya yang dirasai separas pinggang itu membuatkan dia tidak
terdaya untuk bergerak.
Lisa terpaku tidak terkata melihat Edrina jadi begitu kerana perbuatannya.
“Astaghafirullah-al-adzim.. Rina!!!” Kudin terus menjerit melihat wanita
itu jatuh terlentang. Lintang pukang dia berlari mendapatkan Edrina. Tubuh
wanita itu dipangkunya. “Sayang..” panggil Kudin kuat. Edrina dilihat sedang
terkebil-kebil sendiri.
Lisa hanya terdaya menekup mulutnya dengan mata berkaca. Pucat wajahnya
melihat Edrina tidak berdaya untuk bangun.
“Apa kau dah buat pada bini aku??” herdik Kudin cukup lantang. “Sayang..”
panggil Kudin panik melihat Edrina tidak memberi reaksi kepadanya.
“Sakit, abang..” keluh wanita itu mula memegang perutnya. Akhirnya esakannya
terhela akibat kesakitan yang sedang mencengkam organ peranakannya. Kudin mula
memandang kaki wanita itu.
“Ya Allah.. darah!” Seperti mahu menangis lelaki itu melihat seluar Edrina
basah oleh cecair merah itu. “Kita pergi hospital ya? Mokhtar, tolong aku!!!”
Kudin dah macam orang gila memekik di situ.
“Astaghafirullah.. apa dah jadi ni, Kudin?” Mokhtar ikut panik sebaik
sahaja melihat keadaan Edrina.
“Anak aku, Mokhtar. Anak aku!!!” jerit Kudin sudah tidak tahu apa yang
harus dibuatnya saat itu. Dia benar-benar terasa meraung di situ.
“Abang..” Lisa cuba mendekat namun Kudin terus mengherdik kepadanya.
“Kau jangan dekat dengan aku lagi!!!” wajah Kudin sudah merah padam
bersalut dengan peluh menandakan kemarahannya sudah naik ke kepala. Berderai
air mata Lisa akibat dijerkah lelaki itu.
“Kudin, sabar. Kita pergi hospital lekas. Bagi kunci kereta kau. Aku
drive,” ucap Mokhtar yang masih mampu berfikiran dengan waras.
Ucapan Mokhtar itu mula mengembalikan kewarasan Kudin. Kunci kereta dari
dalam kocek seluarnya terus diberikan kepada Mokhtar. Tubuh Edrina dicempungnya.
“Abang, Lisa tak sengaja. Lisa takde niat nak buat Rina jadi macam ni. Lisa
minta maaf,” luah Lisa tatkala dia mengekori Kudin ke keretanya. Namun
bicaranya tidak dilayan oleh Kudin. Lelaki itu terus menutup pintu kereta tanpa
memandang kepadanya.
“Sayang.. pandang abang. Tahan ya? Kita pergi hospital.” Suara Kudin
bergetar saat memanggil isterinya itu. Rambut isterinya diusap lembut.
Namun seruan lelaki itu tidak mampu dibalas Edrina dalam keadaannya begini.
Tangisannya semakin pecah mendengar suara Kudin. Hatinya benar-benar hancur
dengan segala yang dihadiahkan kepadanya hari ini. Terlalu hancur. Entah bila
dapat dicantum semula.
Dua jam kemudian seorang doktor wanita mula memanggil Kudin. Sebuah berita
sedih diberitakan oleh doktor itu. Air mata Kudin mengalir juga tatkala berita
itu diperdengarkan kepadanya. Bertambah pilu hatinya mendengar ucapan maaf
daripada wanita itu kerana gagal menyelamatkan kandungan Edrina. Kini hakikat
yang harus ditelannya, permata hati yang dijangka bakal dilahirkan 6 bulan akan
datang sudah diambil semula oleh Maha Pencipta. Hatinya hancur. Tetapi tiada
apa yang dapat dilakukannya lagi melainkan reda.
“Anak aku dah takde, Mokhtar. Semuanya dah hancur!” keluh Kudin. Dia
tersandar ke dinding di belakangnya. Akhirnya tubuhnya melurut jatuh ke lantai.
Kudin menangis teresak-esak.
“Sabar, Kudin. Ini semua kehendak Allah.” Mokhtar berkata lembut sambil
memegang pundak sahabatnya.
Kudin menggeleng kesal. Sesungguhnya kegembiraanya sudah hancur begitu
sahaja. Dia tidak tahu bagaimana penerimaan Edrina pula nanti. Dia tidak tahu
bagaimana dengan harus berdepan dengan Edrina berserta dengan berita malang
ini. Mampukah Edrina menerima semua ini begitu sahaja? Entah.. Dia
sungguh-sungguh tidak tahu!
“Kau kena kuat, Din. Sabar banyak-banyak,” ucap Mokhtar lembut.
Kudin diam sambil menyeka air matanya. Tiada guna dia menangis. Semuanya
sudah berlalu pergi. Dia tahu.. kebahagiaan yang pernah dirasainya juga sudah
berlalu pergi bersama jasad zuriatnya itu.
Sebaik sahaja membuka matanya Edrina memandang sekeliling. Dia sedikit
keliru melihat wajah mamanya berada di sisinya.
“Sayang..” ucap Toh Puan Siti Aisyah mula tersenyum penuh kelegaan.
“Baby Rina macamana mama?” panggilan si ibu tidak dihiraukannya sebaliknya
dia terus memegang perutnya. Apa yang dirasainya di dalam sana ialah.. tiada
apa-apa. Kosong! Apa yang sering dirasainya sebelum ini tidak lagi dapat
dirasainya. Wajah Toh Puan Siti Aisyah mula berubah mendengar pertanyaan
Edrina. Dia tidak terkata jadinya.
“Mama?” Edrina kembali memandang wajah ibunya.
Toh Puan Siti Aisyah memandang Mak cik Kunah seketika. Pahit benar rasanya
untuk dia meluahkan bicara begitu sahaja. Seorang ibu seperti dia pasti mampu
merasai kesedihan yang bakal dilalui anaknya. “Mama tak tahu apa nak cakap,
sayang.” Toh Puan Siti Aisyah berkata perlahan.
“Baby Rina okaykan? Kenapa Rina dah tak rasa macam dulu? Mama, cakaplah!” lengan
Toh Puan Siti Aisyah sempat digegar Edrina.
“Kudin!” panggil Mak cik Kunah kepada anaknya itu. Kudin dilihatnya terpaku
begitu sahaja seolah-olah tidak ada kekuatan untuk bersuara. Wanita itu segera
membuat isyarat agar Kudin memberitahu Edrina keadaan sebenarnya.
Mahu tidak mahu Kudin mendekati isterinya itu dengan perasaan serba salah. Dia
juga tidak berani mahu mengungkapkan hakikat sebenarnya. “Sayang, baby kita dah
takde. Rina keguguran. Doktor tak dapat selamatkan anak kita,” ucap Kudin cukup
rendah.
Edrina tidak terkata mendengar bicara suaminya itu. Kepala yang tadi
diangkat memandang Kudin kini terlepas ke bantal seolah-olah ada batu besar
telah jatuh ke atasnya. Satu persatu kenangan yang lepas kembali semula kepada
kesedarannya. Namun apa yang paling tidak mampu ditahannya mengenangkan apa
yang berlaku di kolam ikan Kudin beberapa jam yang lepas. Akhirnya dia hanya mampu
menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya untuk melindungi apa yang
sedang menunggu masa untuk pecah.
“Sayang, abang tahu sayang sedih. Tapi sabar ya? Insya-Allah kita akan ada
peluang yang lain,” ucap Kudin lembut.
Suara lelaki itu tiba-tiba sahaja menaikkan kemarahannya. Tiba-tiba dia merasa
cukup benci dengan nada seperti itu. Hipokrit! “Apa kau cakap?” soal Edrina
setelah dia kembali memandang Kudin.
Kudin terkedu mendengar nada kasar isterinya itu.
“Peluang yang lain? kau tahu aku benci sangat-sangat dengan lelaki penipu. Tapi
kau tergamak tipu aku pasal betina tu! kau tahu semua ni jadi sebab kau,
jantan!” jerkah Edrina cukup kasar.
Wajah Kudin terus berubah ditampar kata-kata itu. “Apa sayang cakap ni? abang
tak faham,” jawab Kudin dengan sedikit gelengan.
“Aku dengar daripada mulut kau sendiri yang rupanya dulu kau juga cintakan
betina tu. Aku dengar kau sendiri yang ucapkan kata-kata tu, Kudin. Patutlah betina
tu tak pernah jemu mencari kau. Kau pun tak sanggup nak jauhkan diri daripada
dia. Kau tahu tak apa yang kau dah buat pada aku, Kudin? Kau menipu aku!!! Kenapa
kau tergamak buat aku macam ni?” wanita itu memekik diakhir bicaranya. Air matanya
ikut berderai di pipi tanpa dapat ditahannya.
Mak cik Kunah segera menuntaskan pandangannya kepada Kudin. “Apa semua ni,
Kudin? Siapa perempuan yang Rina cakapkan ni? Lisa ke?” meledak suara Mak cik
Kunah cukup terkejut mendengar itu.
Lembik lutut Kudin mendengar kenyataan yang dilahirkan oleh isterinya. Spontan
wajahnya diraup menyesali kebodohannya sendiri. Sungguh dia tidak pernah tahu
ucapan itu telah sampai ke telinga isterinya tanpa sengaja. Kelu lidahnya tiba-tiba
untuk membela dirinya.
“Cakap dengan mak siapa perempuan tu? Lisa ke?”
“Lisa..” akui Kudin akhirnya. Kepalanya ditundukkan. Wajah si ibu tidak
mampu dipandangnya. Dadanya terasa mahu pecah saat ini.
“Astaghafirullah..” hanya itu yang mampu diucap Mak cik Kunah dalam deruan
nafas cukup kencang. Tidak disangkanya dalam diam-diam ada rahsia yang dia
tidak pernah tahu selama ini.
“Sekarang kau mengakukan? Kau memang pernah ada apa-apa dengan dia. sebab
tu kau tak sanggup tinggalkan tempat ni. Sebab dia ada di sini!”
“Sayang, demi Allah abang tak pernah terfikir macam tu,” ucap Kudin pantas.
“Aku dah tak percayakan kau lagi, Kudin. Kau tahu aku cukup tersiksa tengok
keadaan tu tapi apa kau buat? Kau hanya diam! Kau lebih pentingkan ladang kau
berbanding perasaan aku!” melengking lagi suara Edrina dalam tangisan yang
pecah berderai.
“Rina, jangan macam ni. Sabar, sayang..” keluh Toh Puan Siti Aisyah tidak
senang melihat Edrina menangis begitu.
“Aku benci lelaki penipu. Kau keluar!” Edrina terus memalingkan wajahnya daripada
Kudin.
Kudin yang memandang hanya mampu menelan liur kepahitan. Hancur hatinya
melihat kebencian yang sedang dihadapkan kepadanya. “Sayang.. abang tak bermaksud
nak berbohong dengan Rina selama ini,” ucap Kudin cukup lembut. Jemari wanita
itu cuba dicapainya namun Edrina lebih pantas menepis tangannya.
“Tak bermaksud? Puaslah hati kau sekarangkan? Puaslah hati kekasih kau tu? Pergi
cakap pada dia.. dia dah boleh bertepuk tangan menang dengan keadaan aku macam
ni. Aku dah hilang anak aku. Ini yang dia nak sangat selama ni. Dan kau.. hari
ini aku dah faham.. kau memang tak akan tinggalkan apa-apa pun yang ada di
kampung ni untuk aku? Semua yang ada di kampung tu terlalu bermakna pada kau
tapi menyakitkan untuk aku, kau faham tak?” jerkahan itu terus melantun kuat segenap
wad. Pandangan yang dilemparkan Edrina kepada Kudin mencerlang penuh dengan kebencian.
Tidak ada terselit lagi biarpun setitis kasih sayang.
“Sayang, jangan cakap pada abang macam ni. Abang tak bermaksud macam tu.
Abang tak pernah sayangkan dia macam abang sayangkan Rina selama ini,” rayu
Kudin cuba menenangkan isterinya itu.
“Tapi kau takkan faham apa yang aku alami sekarang. Kau takkan rasa semua
ni, Kudin. Kenapa kau tergamak tipu aku? Kau buat aku percayakan kau tapi..” semakin
kuat tangisan wanita itu tanpa dapat meneruskan bicaranya lagi.
“Sayang, maaafkan abang..” Kudin cuba menyentuh Edrina namun wanita segera
berpaling menghadap mamanya semula.
Toh Puan Siti Aisyah hanya mampu mengusap bahu anaknya itu. Simpati dia
dengan apa yang berlaku. Dia juga kecewa dengan berita ini. Takdir Allah tiada
siapa yang berhak menolaknya. Dia reda dengan kehilangan ini. Namun melihat
keadaan hubungan Edrina dan menantunya berantakan begini, hatinya walang
sewalang-walangnya.
“Sayang, maafkan abang. Abang tak bermaksud nak menyembunyikan tentang itu.
Itu semua cerita dulu, sayang. Abang sayangkan Rina sangat-sangat,” ucap Kudin
semakin bergetar suaranya. Matanya sudah mula berkaca sendiri.
“Aku dah tak mahu apa-apa lagi daripada kau, Kudin. Pergilah.. tinggalkan
aku kat sini dengan mama,” ujar Edrina nekad.
“Sayang, jangan buat abang macam ni. Abang tahu sayang kecil hati dengan
abang dua tiga hari ni. Abang akan pertimbangkan semula..”
“Aku tak perlukan keputusan kau lagi!” Edrina terus memintas kata-kata
suaminya. “Aku tak akan pandang lelaki yang dah melukai hati aku, Kudin. Jangan
membazirkan masa kau untuk perempuan macam aku. Pergilah balik pada kekasih kau
tu. Dia kata aku perampas! Aku tak pernah tahu aku ni seorang perampas, Kudin. Tapi
aku cukup faham apa perasaannya bila hak aku dirampas orang seperti mana anak
aku hilang dari kandungan aku sekarang ni. Sakit sangat-sangat, Kudin! Hati aku
hancur. Aku dah hilang semuanya,” ucap Edrina dengan tangisan kembali lebat. Wajahnya
sudah merah dengan mata yang sudah sembab akibat terlalu banyak menangis
semenjak tadi.
Air mata Kudin mula gugur mendengar luahan isterinya itu. “Pandang abang,
sayang..” wajah wanita itu ditarik menghadapnya. “Abang akan tebus semuanya
semula. Abang janji, sayang. Tolong bagi abang peluang,” rayu Kudin bersungguh.
Suaranya menggigil menahan kesedihan yang menghujani jiwanya.
Edrina tidak menjawab namun tangan lelaki itu ditolaknya dari wajahnya.
“Takkan Rina sanggup tengok abang bersedih. Rina tahukan abang tak boleh
hidup tanpa Rina? Abang memang salah. Abang minta maaf banyak-banyak, sayang.” Tenggelam
timbul suara Kudin dalam rasa sebak yang semakin kuat mencengkam hati
lelakinya.
“Mungkin aku yang patut minta maaf sebab menjadi penghalang kepada
kebahagiaan kau dengan Lisa selama ni,” jawab Edrina tanpa memandang. Air mata
di pipinya terus disekanya.
“Abang tak pernah sayangkan dia sedalam perasaan abang pada Rina. Takkan takde
maaf lagi untuk abang, sayang?” wajah lelaki itu berkerut menahan tangisan yang
mahu pecah saat-saat itu juga.
“Pergilah, Kudin. Aku tak mahu terus hidup tertekan begini. Lepaskan aku..”
diakhir ayatnya Edrina menangis semula. Sesungguhnya dia tidak berupaya menepis
kekecewaan yang sedang berlabuh di pantai hatinya.
“Jangan, sayang. Abang buat apa saja. Sayang nak panggil abang baby kan?
Abang tak kisah. Abang suka.. asalkan Rina maafkan abang.” Air mata Kudin gugur
setitis demi setitis saat bicara itu dilahirkannya. Jemari wanita itu
digenggamnya erat. Hatinya tidak tertahan melihat derai air mata isterinya. Hatinya
kian terdesak mahu merebut semula kepercayaan wanita itu biarpun dia tahu semua
itu terlalu sukar buatnya selepas ini.
Edrina terus menggeleng. Tangganya ditarik kuat daripada genggaman lelaki
itu. Sungguh! Kata-kata itu sudah tidak mampu membuatkan dia cair lagi. “Rina
tak mahu tengok dia lagi, mama. Suruh dia keluar!” ucap Edrina dengan air mata
terus berderai di pipi. Dia tidak ingin mendengar rayuan lelaki itu lagi.
“Astaghafirullah.. Bawak mengucap, Rina. Tak baik buat suami kamu macam
ni,” balas Toh Puan Siti Aisyah. Bahu anaknya itu dipeluk dan diusap untuk
menenangkan Edrina.
“Rina, abang minta maaf, sayang. Abang takde niat nak buat keadaan kita
jadi macam ni.” Kudin cuba merayu lagi.
“Aku takkan maaafkan kau sampai mati. Sebab kau anak aku mati! Aku benci
tengok muka kau, Kudin. Pergi!” pekik Edrina sudah tidak peduli lagi kepada
orang di sekelilingnya yang memandang kepadanya.
“Kudin, keluarlah dulu. Biar Rina ni bertenang. Dalam keadaan dia macam ni,
kamu tak boleh paksa dia. Salah seorang kena mengalah dulu.” Mak cik Kunah
segera menarik anaknya itu agar menjauhi katil Edrina. Dia tidak sampai hati
melihat keadaan Edrina terus tidak terkawal begitu.
Longlai langkah Kudin menuruti permintaan emaknya. Namun dia tidak terus
keluar. Ketika di hujung katil itu kakinya terpaku di situ, memandang Edrina
lagi. Sesungguhnya dia tidak sanggup untuk menjauhi wanita itu dalam keadaan
begini.
“Baby Rina dah takde, mama. Kenapa Allah ambil anak Rina? Kenapa semuanya
jadi macam ni, mama? Rina nak anak Rina balik!” Edrina terus memekik di situ,
meluahkan kekecewaannya.
“Ya Allah.. bawak bertenang, sayang. Jangan cakap macam ni. Ini semua ujian
Allah. Rina masih muda. Lain kali insya-Allah.. Rina boleh mengandung lagi,”
ujar Toh Puan Siti Aisyah cuba memujuk anaknya itu. Tubuh Edrina dipeluknya
erat.
“Rina dah hilang semuanya, mama. Kudin tipu Rina. Rina tak sanggup terus
hidup kat situ lagi, mama. Rina nak balik KL dengan mama. Rina nak Kudin
ceraikan Rina.” Tenggelam timbul suara Edrina di sebalik tubuh ibunya.
Kudin hanya memandang isterinya dengan seribu rasa bermain di jiwanya. Hancur
hatinya mendengar kemahuan isterinya untuk berpisah. Namun lidahnya kelu untuk
menjawab. Toh Puan Siti Aisyah sempat memandang wajah Kudin. Menantunya itu
murung menundukkan wajahnya.
“Jangan cakap macam ni, Rina. Soal cerai berai ni bukan boleh dibuat main,”
pujuk Toh Puan Siti Aisyah kesayuan. Belum setahun berkahwin sudah jadi begini.
Namun dia tidak mahu terus melulu menghukum sesiapa. Semua yang terjadi pasti
ada penjelasannya.
“Rina nak bali, mama. Tolong jangan paksa Rina lagi. Rina dah penat, mama..”
rayu Edrina. Suaranya kedengaran sudah terlalu lemah. Tubuhnya melonglai dalam
pelukan wanita itu.
“Yalah.. yalah.. kita balik rumah sana. Bertenang ya? Rina kena banyak
bertenang. Tak boleh stress macam ni,” balas si ibu lembut.
Namun saat itu tiada balasan daripada Edrina.
“Rina?” panggil Toh Puan Siti Aisyah sambil meraih wajah anaknya itu. Mata
Edrina dilihatnya sudah terpejam. Kepalanya terlentok di lengan wanita itu.
“Rina!” tubuh Edrina digoncang lagi. Kali ini mak cik Kunah ikut menggegarkan
untuk menyedarkan Edrina.
“Panggil doktor, Kudin!” hanya itu yang mampu mereka lakukan sementelah
Edrina sudah tidak memberi reaksi lagi.
Assalamualaikum.. salam hormat semua pembaca. kisah Si Kolot Suami Ku ini sampai di sini sahaja untuk saya sempurnakan manuskripnya. harapan saya semoga kisah ini dapat dibaca dalam versi cetak di masa akan datang. sepanjang bersama anda di dalam karya ini, segala kekurangan yang ada harap dimaafkan. bagi mereka yang memberi komen sy ucapkan terima kasih dan sy cukup menghargainya. Semoga ada peluang kita bersama lagi di karya yang lain nanti. Insya-Allah.. terima kasih semua dan selamat menempuhi tahun baru buat semua pembaca. Assalamualaikum.
-Adnil Zaff-
Assalamualaikum.. salam hormat semua pembaca. kisah Si Kolot Suami Ku ini sampai di sini sahaja untuk saya sempurnakan manuskripnya. harapan saya semoga kisah ini dapat dibaca dalam versi cetak di masa akan datang. sepanjang bersama anda di dalam karya ini, segala kekurangan yang ada harap dimaafkan. bagi mereka yang memberi komen sy ucapkan terima kasih dan sy cukup menghargainya. Semoga ada peluang kita bersama lagi di karya yang lain nanti. Insya-Allah.. terima kasih semua dan selamat menempuhi tahun baru buat semua pembaca. Assalamualaikum.
-Adnil Zaff-
Best baca tulisan cik ct nih...nih abg kudin nih agak2 bila nak jumpa balik nih???? ;-)
BalasPadamHafisah, bila masa yang tepatnya sy x boleh janji. tapi Insya-Allah saya akan usahakan dlm tahun ni juga.
BalasPadamaduhaiii..sedih la pulak...;-(
BalasPadamSedihh bab akhir ni��������
BalasPadam