Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 12 Januari 2014

BUTAKAH CINTA-1

“Abang..”
Panggilan itu menggugah perhatian Iqmal kepada kerja pejabatnya. Dia pantas menoleh ke arah katil tempat pembaringan isterinya.
“Ya..” sahutnya lantas bangun mendekati batang tubuh di atas katil itu.
“Nita nak apa?” soalnya lembut sambil melabuhkan duduk di sisi tilam itu.
Zahnita tersenyum entah kenapa saat memandang wajah suaminya itu. Namun bukan sedikit kesayuan menghuni hatinya saat terpandangkan wajah Iqmal. Dia tahu.. seperti mana dia, lelaki itu menderita hidup di sisinya. Lelaki sebaik Iqmal tidak pantas menghabiskan usia dengan menjaga penghidap tumor otak yang sudah tidak berdaya sepertinya. Tumor yang dihidapinya ini sudah semakin menekan kesihatannya sehinggakan kini sebahagian badannya sudah tidak mampu digerakkan. Ingatannya kadang-kala terganggu.
“Abang banyak kerja?” soal Zahnita perlahan.
“Macam biasalah. Kenapa? Nita perlukan apa-apa?” balas Iqmal cukup lembut.
Zahnita meneguk liurnya payah. Kasihan suaminya.. dalam penat-penat menjaga dirinya masih juga dibebani dengan kerja-kerja pejabat. Dia pula sememangnya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk bergerak. Betapa hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa-jasa lelaki ini kepadanya.
“Nita cuma nak abang duduk dengan Nita sekejap..” ucap Zahnita perlahan.
Iqmal akur sambil mengangguk. Siksa benar dia melihat wajah Zahnita. Semakin hari keadaannya semakin uzur. Dengan kesan ubat-ubatan dan rawatan terapi radiasi isterinya dilihat semakin tidak berdaya. Sebelum ini.. Zahnita lumpuh tiba-tiba selepas bangun dari tidur, doktor sudah mengesahkan tumor yang dihidapi Zahnita sudah naik ke peringkat sekunder dan merebak ke tulang belakang. Ubat dan pembedahan sudah tidak mampu membantu lagi. Mereka hanya berserah kepada Allah menentukan apa yang bakal berlaku seterusnya.
Sayu hati Iqmal. Wanita ini amat tabah dengan dugaannya. Biarpun sakit parah begini namun Zahnita tetap tenang dan lembut. Iqmal bangga kerana diberi peluang memperisterikan wanita ini.
“Penyakit ni.. tak lama lagi akan buat Nita tak mampu makan, tak mampu bercakap dengan abang lagi. Selagi diberikan kesempatan Nita nak abang dengar apa kata Nita. Nita tahu abang takkan suka tapi Nita tak sanggup tengok abang terus menderita kerana Nita,” luah Zahnita lembut. Berkaca matanya memandang Iqmal.
“Apa yang Nita nak cakap pada abang? Abang akan dengar,” balas Iqmal tenang.
“Gina..”
Spontan Iqmal menghela nafas keras apabila dia nama itu diperdengarkan lagi buat kesekian kalinya. “Nita, berhentilah bercakap pasal dia. Abang tak suka!”
“Dengarlah, bang. Bukan selamanya Nita mampu sebut nama dia depan abang. Nita takkan mampu bertahan selama yang abang mahukan. Nita tak mahu pergi dalam keadaan kekusutan lama tu tak terungkai. Tolonglah dengar pada Nita kali ni,” rayu Zahnita sayu. Lengan suaminya itu disentuhnya lembut agar lelaki itu sudi memberikan dia peluang untuk berbicara.
Iqmal menghela nafas perlahan. Serba salah. Perlukah mereka menyebut nama itu dalam keadaan Zahnita sakit begini? Dia tidak ingin melukai hati isterinya.
“Nita bersalah pada dia, bang. Hanya Nita sahaja yang faham rasa tu. Dia kawan baik Nita tapi Nita rampas abang dari dia. Memang betul kata abang.. waktu Nita pilih abang Gina hanya seorang kekasih pada abang. Tapi hakikatnya hati dia sudah diserahkan pada abang. Mungkin Nita ni mementingkan diri sendiri,” luah Zahnita semakin sayu.
“Nita.. yang mementingkan diri sendiri bukan Nita sebaliknya dia. Kalau dia sayangkan Nita dia takkan jadikan kisah lama tu sebagai alasan untuk duduk sana lama-lama. Kalau dia ikhlas bersabahat dia sepatutnya dah kembali ke sini untuk jumpa Nita. Dia dah lama tahu yang Nita sakit, Nita perlukan sokongan dia. Tapi dia tetap tak mahu balik. Dia dah jadi doktor tapi kenapa dia tak mahu balik ke sini rawat Nita? Ini bukan salah Nita! Abang tak mahu Nita terus salahkan diri sendiri. Kita sama-sama kena terima hakikat yang jodoh abang adalah dengan Nita. Bukan dengan dia.” Iqmal menjawab dengan jawapan sama yang sering diucapkan kepada isterinya ini.
Zahnita menggeleng perlahan. “Hakikat yang ada sekarang ni Nita dah kehilangan seorang kawan baik, abang. Walaupun dia masih marahkan Nita tapi Nita tetap berharap sebelum Nita pergi Nita dapat berjumpa dengan dia. Sekali pun jadilah! Supaya Nita dapat sampaikan maaf Nita ni terus pada dia.”
Iqmal menghela nafas perlahan. “Nita jangan cakap macam tu. Hidup dan mati ni kerja Allah.”
“Memang benar.. tapi ada sesetengah perkara yang mampu diramal oleh manusia, bang. Walaupun tak semestinya benar tetapi tak salah kalau kita bersedia.” Zahnita membalas sebak. Dia tahu.. masanya tidak akan lama lagi di atas dunia ini.
Iqmal menghela nafas perlahan. “Nita nak abang buat apa?”
“Tolong jernihkan keadaan ni untuk Nita. Nita tahu, dia masih cintakan abang. Sebab tu sampai sekarang dia masih menjauhkan diri dari kita..”
“Apa maksud Nita ni?” Iqmal memandang tepat ke wajah cengkung isterinya itu. Tafsiran yang sedang berada di fikirannya cuba ditepis sehabis mungkin. Berbaik dengan Regina semula? Tidak mungkin! Kisahnya cintanya bersama Regina cuma sekadar itu dan tiada lagi kesinambungannya selepas dia berikrar untuk menerima Zahnita seikhlas hatinya.
“Nita rasa bersalah, bang. Bukan sekadar pada Gina tetapi juga pada abang. Semenjak dari awal perkahwinan ni tiada apa yang Nita mampu lakukan untuk suami Nita. Hanya ini yang abang terima dari Nita. Abang perlukan seorang isteri yang mampu menjaga segala keperluan abang,” ucap Zahnita lemah dalam kesayuan yang ditahan.
“Nita, abang tak suka apa yang Nita cakapkan ni. Sama ada abang perlu atau tidak itu biar abang yang putuskan!” tegas Iqmal sedikit meninggi. Dia sudah dapat mengagak apa yang dimaksudkan Zahnita. Apa sekalipun kemahuan Zahnita saat ini jawapannya adalah tidak!
“Abang, Nita cuma nak abang bahagia semula dengan Gina,” luah Zahnita sayu.
“Abang akan bahagia kalau Nita berhenti bercakap soal dia. Abang akan bahagia kalau Nita sihat semula seperti dulu. Abang tak mahu yang lain. Tolong jangan paksa abang buat sesuatu yang tak mampu abang lakukan, Nita!” tegas Iqmal mula dihambat rasa tidak aman. Bukan sekali ini dia sudah mendengar ura-ura isterinya ini.
“Dia tak bersalah pada abang. Kenapa abang bencikan dia? Kita yang bersalah pada dia, bang. Kita yang layak dibenci. Nita yang paling kejam kerana merampas kasih sayang abang pada dia. Dia benci Nita bersebab, bang. Sanggup ke abang tengok Nita terus begini?” menggigil suara Zahnita menuturkan bicara itu. Betapa saat itu hanya Allah yang tahu sebaknya dia memikirkan sahabatnya itu.
Iqmal terdiam saat itu. Terlupa sebentar dia kepada hakikat itu. Bicara Zahnita membuatkan relung hatinya mula terasa pedih. Sesungguhnya bukan Zahnita yang bersalah selama ini. Sebaliknya dia! Dia yang membiarkan Regina begitu sahaja. Malahan dia tidak pernah menghubungi Regina untuk menyatakan keputusannya untuk mendampingi Zahnita. Dia yang seharusnya memikul rasa bersalah ini. Namun entah kenapa dia benar-benar terkilan dengan keegoan Regina untuk menghubungi Zahnita yang sedang sakit biarpun hanya sekali. Setiap kali dia memikirkan gadis itu terdetik satu soalan di benaknya. Adakah Zahnita sudah tidak penting lagi kepada Regina?
“Nita sedar Nita tak boleh paksa abang dalam hal begini. Kalau permintaan Nita tu terlalu berat untuk abang, Nita faham. Cuma kalau boleh.. abang bawalah dia balik berjumpa Nita. Nita nak sangat jumpa dia, bang. Sekali pun jadilah! Nita rindukan dia.” Keheningan bilik itu sekali lagi dipecahkan oleh suara lemah Zahnita.
Perlahan Iqmal mengangguk. Jemari isterinya segera dicapai. “Abang akan usahakan, sayang. Insya-Allah,” ucap Iqmal lembut. Dalam keadaan begini dia tidak sampai hati mahu menghampakan permintaan isterinya walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pasti bagaimana untuk dia menghubungi Regina di Ireland sana setelah sekian lama mereka terputus hubungan.
Entahlah..

“Kenapa kamu menangis? Kamu ada masalah ke?” pertanyaan dalam bahasa Irish itu pantas kedengaran di telinga wanita itu.
Regina menoleh dengan sedikit senyuman. Perlahan dia menggeleng.Saya cuma teringatkan seseorang di Kuala Lumpur. Saya rindukan dia dan saya pulang hanya untuk bertemu dengan dia.” Perlahan sahaja suara Regina menjawab perlahan.
Wanita berdarah Inggeris yang duduk di kerusi bersebelahan dengannya itu tersenyum lantas mengangguk. “Sekarang kamu dah pulang. Kamu sepatutnya gembira, wanita muda..” masih dengan bahasa Irish wanita itu berkata kepada Regina.
Bicara wanita berusia pertengahan 50-an itu membuatkan Regina mengukirkan sebuah senyuman yang nyata sekali amat hambar. Sambil mengalihkan pandangannya ke tingkap kecil pesawat itu dia berkata separuh berbisik. “Saya tak tahu samaada dia mahu bertemu dengan saya atau tidak. Saya hanya membiarkan dia tahun ini sedangkan dia perlukan saya.”
Wanita di sebelah Regina itu mula diam sambil memerhatikan gelagat penumpang lain di sekeliling mereka. Ruang yang ditinggalkan oleh wanita asing itu membuatkan Regina kembali mengimbau surat yang dikirimkan oleh mamanya kepadanya. Ibunya merayu dia pulang untuk menjenguk keadaan Zahnita yang kian parah akibat tumor otak. Entah apa anginnya mamanya berkirim surat pula sedangkan mereka selalu berhubung melalui telefon dan email. Regina tahu kelainan yang ditunjukkan mamanya menandakan ada sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan begitu sahaja. Memikirkan itu dia nekad memilih untuk meninggalkan bumi Ireland untuk kembali ke tanah air.
Namun biarpun keputusan sudah dibuat dia sendiri masih merasa aneh dengan perasaannya sendiri. Semakin lama pesawat milik Midland British Airway ini membelah ruang udara dia sedar semakin dekat dia dengan London. Bermakna selangkah dua lagi untuk dia kembali kepada kisah dulu. Semakin itu perasaannya bercampur baur. Dia yakin bukan semua orang akan menantikan kepulangannya dengan ria. Tidak semua orang akan menghargai kepulangannya kali ini. Dia terlalu yakin!
Perlahan beg tangannya dibuka. Sekilas dia memandang wanita tua bersebelahan dengannya itu sudah mamai akibat mengantuk. Senaskah surat yang tiba ke tangannya kira-kira 5 bulan dulu diambil untuk ditatap buat kesekian kalinya.
Assalamualaikum..
Buat anaknda Regina yang berada jauh di mata namun selalu berada di hati mama. Semoga hari-hari anaknda di Dublin indah selalu. Mama, Abang Farouq, Abang Iqbal, Nirina dan Bibik Ruyati di sini baik-baik belaka. Seperti kebiasaannya kami semua terlalu rindukan anaknda di sana.
Pastinya anakanda hairan mengapa kali ini mama memilih untuk mencoretkan warkah sedangkan kita boleh berbual melalui telefon seperti kebiasaannya. Kali ini mama memutuskan untuk meluahkan kata-kata tetapi mama tidak mahu mendengar apa-apa jawapan lagi dari anakanda. Melainkan mama mahu anaknda memutuskan sendiri apa keputusan yang terbaik untuk diambil selepas ini. Sesungguhnya mama tidak sanggup melihat anakanda kesayangan mama ini menjadi seorang yang cukup mengecewakan.
Anak ku sayang,
Masa terus berlalu.. sedar atau tidak 7 tahun sudah pun pergi. Dahulu ketika Gina melangkah ke Dublin, mama tidak pernah menyangka selama ini rupanya penantian mama kepada Gina. 7 tahun melakarkan cerita demi cerita buat kita semua.
Abang Farouq berkahwin dengan kak Ain dan kini sudah pun memiliki dua cahaya mata. Abang Iqbal juga sudah mula merencanakan kehidupannya sendiri. Walaupun tidak berminat membantu mama di ofis, mama bangga kerana dia tetap berjaya dengan bidang yang dipilihnya. Nirina pula sudah pun menghabiskan kursus sarjana dan sedang mendaki tangga kerjayanya sebagai setiausaha. Gina sendiri berjaya mencapai pencapaian seperti yang mama harapkan. Malahan setelah 7 tahun berada di sana, kejayaan Gina mendapat sarjana dalam bidang perubatan jelas sekali amat membanggakan mama. Kalimah alhamdulillah tidak pernah putus dari bibir mama atas kurniaan Allah kepada mama. Perih dan jerih mama membesarkan kamu semua sendirian rasanya sudah pun Allah nampakkan hasilnya. Mama ada anak-anak yang berjaya di dunia, ikhlas dan taat kepada mama dan mama berharap kejayaan anak-anak mama akan terus sehingga ke syurga. Semoga impian Gina untuk berbakti kepada masyarakat dalam bidang ini dapat direalisasikan. Sesungguhnya hanya tinggal selangkah sahaja lagi semua itu akan dapat dikecapi.
Tetapi.. kegembiraan mama tidak sepenuhnya, sayang. Dalam suka ada duka yang mama rasakan apabila anakanda terus jauh dari mama. Mama tidak pasti sampai bila Gina nak memilih untuk menjauhkan diri dari semua orang di sini. Mama nak Gina sedar. Gina tak boleh lari, sayang. Inilah tempat Gina. Ke mana pun Gina pergi, suatu hari nanti Gina pasti akan kembali semula ke sini. Paling mama berduka cita apabila anak kesayangan mama terus terusan dituduh mementingkan diri sendiri. Cukup menyedihkan apabila melihat anak mama disingkirkan oleh sahabat-sahabat baiknya sendiri. Sesungguh hanya Tuhan sahaja yang tahu remuknya hati seorang ibu memikirkan apa yang dilalui oleh anaknya.  
Sayang,
Mama nak Gina tahu, keadaan Zahnita kian memburuk saban hari. Baru-baru ini dia disahkan lumpuh separuh badan akibat sel tumor yang sudah menganggu tulang belakangnya. Mama ada bertemu dengan dia tetapi Iqmal tidak benarkan mama berlama-lama dengan Zahnita. Mama faham perasaan dia. Zahnita perlukan rehat dan dia tidak boleh diganggu. Tetapi hakikatnya Zahnita dan Ariya pernah berada di kalangan keluarga kita sebagai sebuah keluarga yang bahagia. Kita berkongsi suka dan ketawa bersama. Tetapi sekarang Ariya juga sudah tidak mahu bertegur sapa dengan mama seperti dulu. Sedih! Itulah yang mama rasakan. Hakikatnya apabila kita susah nak memaafkan orang lain, maka orang lain juga sukar untuk memaafkan kita. 
Gina, selagi ada peluang yang tersisa gunakanlah sebaiknya. Mama tak mahu Gina menyesal kemudian hari kerana mempersiakan apa yang Gina sayangi selama ini. Mama tahu Gina sudah cukup terluka dengan keputusan dan perbuatan Iqmal. Tapi mama merayu.. ketepikanlah semua itu buat sementara ini demi kesihatan Zahnita. Ketika mama bertemu dengan dia, dia sempat berkata kepada mama yang dia mahu Gina balik berjumpa dengan dia. Dia terlalu rindukan Gina. Malahan dia tidak pernah jemu berdoa semoga hati Gina lembut untuk memaafkan dia. Dia tak pernah salahkan Gina kalau Gina tak pernah pulang selama ini. Tetapi demi masa yang sudah tidak sebanyak mana, dia amat berharap Gina ketepikan segalanya untuk berjumpa dengan dia. Dia terlalu berharap, sayang. Air mata mama hampir mengalir memikirkan dia. Mama tak mampu membayangkan betapa beratnya penderitaan yang ditanggungnya selama ini.
Regina anak ku,
Lembutkanlah hati, sayang. Pulanglah ke sini.. mama sentiasa menanti dan takkan pernah berhenti menanti Gina pulang. Hidup manusia tidak akan pernah lepas dari ujian Allah. Inilah ujian untuk kita yang Allah turunkan untuk menilai setinggi mana kesabaran kita. Sesiapa yang tabah akan menang dan mama tak mahu Gina kalah seawal ini. Kembalilah untuk perbetul segala yang tersilap. Perkukuhkan ikatan yang sudah hampir tumbang ini. Bukankah kalian pernah berikrar kalian adalah sahabat sejati sehingga ke akhir hayat nanti? Inilah masanya Gina memikirkan semula semua itu.
Mama harap Gina akan memikirkan dan membuat keputusan yang terbaik untuk diri Gina. Pesanan mama pada Gina.. tidak salah untuk kita mengalah dan tidak salah untuk kita korbankan perasaan kita demi kejernihan hubungan yang sudah lama keruh. Melarikan diri bukanlah satu penyelesaian sebaliknya memburukkan lagi keadaan. Mama tak sanggup tengok Gina terus dibenci sahabat sendiri. Mama juga tak sanggup membiarkan Gina hidup sendiri membilang kekesalan sekiranya waktu yang datang sudah tidak mampu membuka ruang untuk Gina melihat Zahnita semula. Pulanglah, nak.. pulanglah pada mama dan pulanglah kepada diri Gina sendiri. Mama akan menanti bersama doa yang tidak pernah putus. Insya-Allah...
Salam sayang dari kami di Malaysia. Semoga anaknda tenang selalu. Wassalam.
Yang Benar,
Mama.

Air mata Regina menitis semakin laju. Saat dipejamkan kedua-dua belah matanya wajah seorang lelaki berlegar lama di layar hitamnya membuatkan esakannya terkulum sendiri. Tidak mampu untuk diluahkan. Kejamkah dia? Kerana terluka oleh seorang lelaki dia menjauhkan diri dari semua orang. Kejamkah dia?

2 ulasan:

  1. Ek eleh iqmal ni, wajarlaaa kalau gina bawak diri sampai 7 tahun sbb salah ko sendiri. ni geram nie...salah sendiri xnmpk. salah org lain ko nmpk. ko kata gina kejam. tapi yg lagi kejam adalah ko sendiri.

    Inikah caramu membalas cintaku
    Kau nodai cinta yang ku beri
    Inikah caramu membalas sayangku
    Kau lukai sayangku untukmu

    Teganya kau menari diatas tangisanku
    Kau permainkanku sesuka hatimu

    Sudah cukup cukup sudah
    Cukup sampai disini saja
    Daripada hati gelisah
    Cintaku kau balas dengan dusta

    ok..ternyanyi pulakk (",) kbaiii

    BalasPadam
  2. tega btol iqmal buat gina mcm tu. berkasih dgn org lain tp kawen dgn org lain. kalu dh xsuka, naper bg harapan kat gina tuh. pah2 nk salah kan gina bila gina bwk diri ke oversea. mmg xpatut btol

    BalasPadam